Ramadhan kali ini disambut di hospital bersama beberapa sahabat. Isteri saya sakit dada tiba-tiba waktu saya dalam perjalanan dari airport ke rumah. Sampai di rumah, isteri terbaring menahan kesakitan, banyak airmatanya keluar. Saya tiada di rumah selama 3 hari. Sejak berkahwin dua belas tahun dulu, dia sering ditinggalkan. Pernah satu ketika jiran memapahnya ke hospital Bukit Mertajam gara-gara tekanan darah rendah. Saya di Kuala Lumpur, dia tinggal seorang dirumah, waktu itu belum ada anak untuk temankan. Lepas 3 hari baru saya pulang, dia masih di wad.
.
Ustaz Azki Insaniah juga berpuasa di hospital, anaknya masuk wad kali kedua. Saya nampak wajah kebimbangannya. Ustaz Akhiyari Jabatan Agama juga sama, anaknya demam teruk. tiga hari di wad Sultanah Bahiyah, doktor belum berbuat apa-apa. Dia pindahkan ke KMC, terus ke wad kecemasan, anaknya yang berusia 6 bulan kena drip tambah air. Dia berpuasa dan berbuka di wad.
.
Saya mengusung isteri dan anak-anak ke KMC, yang paling dekat dengan rumah. Untungnya dia ada insuran kesihatan, bolehlah ke hospital swasta. Saya bimbangi dia diserang sakit jantung. Masuk ke wad kecemasan, dimasukkan tiub pernafasan dan dibuat EGC. Saya mengasuh anak-anak sementara dia dirawat. Yang sulung 10 tahun, yang paling kecil 2 tahun mengidap jantung berlubang.
.
Doktor menasihatkan dia ditahan di wad. Seingat saya, selain daripada 'kesakitan dan kecederaan bersalin', sudah lebih 10 kali isteri saya dirawat di wad. Kadang-kadang sehingga 4-5 hari. Alhamdulillah, saya tidak pernah mengalaminya. Kali terakhir saya demam kuat ialah pada tahun 1987, lepas itu tidak lagi...cuma pening-pening, batuk dan sakit perut. Panadol dan breacol sudah memadai. Allhamdulillah, jantungnya ok, dia mengalami koyakan otot bahu akibat mengangkat beban berat.
.
Tempat paling cepat meransang keinsafan dan kesyukuran ialah di hospital. Ada yang sudah berbulan menunggu keluarga di wad, kesukarannya sukar diterjemahkan. bergilir-gilir antara ahli keluarga. Ada yang sedang bertarung dengan maut, ada yang dijemput pulang menemui Allah tanpa diduga. Ada yang kesempitan wang untuk membiayai rawatan. Semua harta sudah dijual, ditambah lagi hutang dengan kawan dan saudara...semuanya demi kesihatan orang tersayang. Masa lapang tidak ada lagi, apa terjadi diluar dilupakan sementara, menanti penuh sabar semoga yang ditunggu segera sembuh.
.
Derita kita cuma sedikit... kesusahan mereka lebih dasyat lagi. Ia segera mendatangkan kesyukuran dan keinsafan. Betapa berharganya kesihatan dan kelapangan. Sempena ramadhan kali ini, apa kata kita luangkan masa menziarahi saudara-saudara kita di hospital, kenal atau tidak bukan penting. Semoga Allah mencurahkan kesabaran yang tinggi kepada yang sedang sakit, yang bersusah payah ke sana kemari menguruskan keluarga yang dirawat, semoga diberi pahala yang besar atas kesabaran dan keredhaan menghadapi ujian. Ia terapi keinsafan...cubalah!
.
No comments:
Post a Comment