Tuesday, August 31, 2010

Alhamdulillah - semuanya selesai dengan baik

Alhamdulillah, semua rancangan berlangsung dengan baik. Sekitar 1500 orang anak Kedah di Lembah kelang hadir menjayakan majlis berbuka puasa dan mendengar taklimat daripada YAB Dato' Seri MB kelmarin. Antara yang hadir ialah bekas menteri pelancongan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Dato' Nazri Abdullah (x-NSTP), Dato' Dr Abd Razak Awang Kechik (bekas Pengarah Kesihatan Perak/Hospital K Lumpur), Dato' Najmi Ahmad (bekas Pengarah KAGAT)EXCO kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen, ahli-ahli perniagaan, pegawai kanan kerajaan, pelajar IPT dan lain-lain.
.
Sebagai Pengarah Program, Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih di atas kehadiran dan semua Ahli JAwatankuasa serta petugas yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada MBPJ yang menyediakan tempat dan memberi diskaun.
.
Sdr Amin, Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Anak Kedah Kuala Lumpur juga berucap pada majlis itu, dan kita doakan semoga persatuan itu yang sedang didaftarkan dapat berfungsi dengan berkesan bagi manfaat rakyat Kedah di lembah Kelang dan pihak Kerajaan Negeri.
.
Tahun depan kita jayakan majlis yang lebih besar lagi, InsyaAllah.
.

Saturday, August 28, 2010

Final - 1500 pengunjung dijangka akan hadir

Inilah julung-julung kali diadakan, tetapi sambuatan di luar dugaan. Sewaktu meletak sasaran 2000 tetamu, beberapa teman dari Kelantan bertanya...demo nok pecoh rekod kelate ko?? kalu 1000 oghe pong, demo telepong ghoyak ko kawe, kawe nok tabik ko demo... kata seorang sahabat yang saban tahun menganjurkan program seumpamanya untuk anak kelantan di Kuala Lumpur.
.
Kecut juga dengaq komen sahabat tu, saya dan jawatankuasa menurunkan sasaran ke 1000 orang sahaja. Persiapan dan bajet pun setakat 1000 orang. Itupun dapat tempat last minutes muat-muat untuk 1000 orang.
.
Kelmarin mesyuarat terakhir, mengumpulkan semua pemanggil-pemanggil yang ada pada wakil-wakil yang dilantik. Jumlah-jumlah tengok, hampir mencecah 1,300 orang. Aduh! Gawat ni... Plan B, sediakan buffet di luar dewan untuk 300 orang, siapa tak telefon bagi nama, lepas ucapan YAB MB, kena beredar makan diluar...tapi menunya tetap sama, cuma kena cedok sendiri..
.
Ada pulak iklan di Harakah hari ini...panggilan terus menerus masuk di semua talian wakil yang dilantik. Final...buffet jadi 500, dalam dewan 1000. Siapa yang belum telefon, sila telefon segera. Takut juga nanti ada tetamu yang tak dapat makan. Mungkin pihak caterer masih sanggup untuk tambah juadah untuk semua orang. Yang sudah memanggil dan memberi nama, sila perhatikan kedudukan anda di plan susun atur meja di pintu masuk. Duduk di tempat yang ada nama anda.
.
Semoga majlis berjalan dengan sempurna. Ini majlis kenduri buka puasa, atas nama anak Kedah. Protokol paling minimum, semua orang sama atas nama anak Kedah, bukan apa ada pada pangkal nama anda. Selamat Datang, semoga anda akan berpuas hati dengan majlis yang sangat sederhana ini.
.

Tuesday, August 24, 2010

Setakat la ada sekitar 500 pemanggil...

Alhamdulillah, majlis yang dirancang bermula dengan baik, diharap berakhir dengan sempurna. Kita hanya mendapat dewan yang muat 1000 orang di Dewan Sivik, tempat-tempat besar yang lain semua dah ditempah. Kita mengaku, kita agak lewat merancangkan program ini, dulu kita agak stadium malawati di Shah Alam tu tak dak orang pakai, belum pun puasa bermula, dah ditempah orang.
.
Alhamdulillah, dengan bantuan seorang rakan yang juga Ahli majlis MBPJ, kita dapat dewan sivik ni, syaratnya, tak boleh makan buffet, kena hidang. Maka, kosnya pun naik sikit, dan tetamu pun terhad.
.
Setakat sekarang sudah sekitar 500 orang yang telefon wakil-wakil kita di pejabat dan wakil di KL, jadi siapa yang telefon bagi nama, kita reserve la kerusi dan meja dia dulu...yang tak telepon, harap-harap dalam sehari dua ni pakat2 telefon lah. Telefon saja mana-mana nombor yang ada dalam iklan.
.
Ramai juga yang tanya berapa kena bayar? Eh...majlis ini tak ada bayaran, ia PERCUMA. Takkan Pejabat MB nak ambil duit pulak...kalau nak merderma juga, mungkin kita letakkan Tabung Rumah Anak Yatim Dewan Ulamak (DAYA) di satu dua penjuru.
.
Untuk mengelak kahadiran tetamu tetapi makanan tak cukup, kita minta caterer kita Lan Jan sediakan sikit buffet di luar dewan, mana tau kot-kot melimpah, dan ada yang walk-in tak bagi tau. InsyaAllah, tahun depan kita dapatkan tempat yang lebih besar untuk semua anak kedah di Lembah Kelang. Ramai yang ucap tahniah, inilah julung-julung kali Kedah buat majlis seumpamanya di lembah kelang. Pakat mai Laaaa NOooooo.. Tak Payah Bayaq Apa-apa punnn..
.

Monday, August 23, 2010

Selamat Datang
.
Seluruh Anak Kedah Di Sekitar Lembah Kelang
Ke
Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Menteri Besar Kedah
.
29 Ogos 2010
Dewan Sivik
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
5:00 petang - 8:15 malam
.
Aturcara:

Tayangan Multimedia
Taklimat Perkembangan Negeri Kedah -EXCO
Ucapan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak
Jamuan Berbuka - 'Lamb mandy Special'
Solat Maghrib - Bersurai
.

Terbuka dan Percuma Kepada Seluruh Rakyat Kedah di Lembah Kelang

Hubungi:

.013-4332730 (Rahimin)
013-5844310 (Afnida)
019-9902839 (Solehah)
04-7312136 (Pejabat MB Kedah)
012-4827563 (Ust Musadaq - Urusetia Penerangan)
019-4706247 (Ust Rosli - Urusetia Belia)
.

Thursday, August 19, 2010

Menjawab Desakan Membatalkan Kelulusan Kerajaan Lama...

Ada orang mendakwa kerajaan sekarang lemah dan tak tau buat kerja walaupun sudah diberi kuasa memerintah. Ada pulak yang melagukan 'bangau oh bangau' hanya kerana kita mendedahkan bila pembalakan itu diluluskan. Kita dituduh pulak menghalalkan tindakan zaman UMNO dulu yang merugikan rakyat atas kepentingan kita. Inilah jawapannya kepada blog-blog UMNO dan suku sakatnya yang suka-suka komen ikut suka:
.
Keputusan-keputusan (kelulusan kerajaan) seperti ini mengikat (bind) kerajaan sebagai pihak berkuasa negeri, ia tidak mengikat parti maupun individu sebagai MB atau EXCO. Ia sama seperti perjanjian-perjanjian yang ditandatangani oleh mana-mana kerajaan didunia.
.
(Lihat usaha carigali minyak di perairan Malaysia kepada Shell dan BP walaupun kita sudah ada Petronas - Yang merantau jauh ke seluruh dunia mencari minyak tetapi minyak dalam negara sendiri syarikat lain yg gali - semua itu persetujuan dan kelulusan atas nama kerajaan, bolehkah dinyahkan BP dan Shell dari membawa hasil perut bumi kita keluar kerana kita sudah ada Petronas? Lihat persetujuan kerajaan mengizinkan Tentera Udara Australia berpengkalan di Butterworth - sudah tamat tempohnya, mereka pun keluar. Bolehkah mereka dihalau keluar kerana kita sudah ada airforce yang kuat - walaupun enjin pesawat hilang - sebelum perjanjian tamat?)
.
Membatalkan kelulusan yang dibuat mengikut undang-undang sedia ada akan mengakibatkan kerajaan menghadapi tindakan undang-undang. Lihat kerajaan Pahang dijatuhkan hukuman di mahkamah membayar gantirugi RM63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan walaupun ia adalah kes lama sebelum DS Adnan Yaakob menjadi MB. Begitu juga Kelantan yang diarahkan oleh mahkamah membayar kepada sebuah syarikat berpengkalan di Singapura walaupun dealing itu berlaku di waktu BN memerintah Kelantan.
.
Kes serupa berlaku kepada sebuah kuari di Singkir, Yan yang menghadapi bantahan penduduk akibat banjir lumpur sejak sekian lama. Kes itu telah pun dibawa ke mahkamah dan kuari itu menang. Kerajaan harus bersedia menghadapi tuntutan puluhan juta jika membatalkan kelulusan kuari tersebut atas nama dan kuasa kerajaan. Sebab itu, semua tindakan dan urusan kerajaan harus mengambilkira kesannya apada masa hadapan.
.
Umpamanya kes Kedah Marble di Langkawi. Walaupun telah menutup operasi, syarikat itu bankrap dan diambil alih oleh Danaharta, tetapi perjanjian dan kelulusan kepada syarikat itu masih berkuatkuasa. Mereka menuntut RM50 juta jika kerajaan berhasrat memberikan kelulusan operasi mengeluarkan marble Langkawi kepada syarikat lain.
.
Kes yang sama juga berlaku dalam kes penswastaan bekalan air di Langkawi kepada Teleworks Sdn Bhd. - sebuah syarikat perniagaan MCA Kedah. Walaupun kerajaan terpaksa top-up bayaran kepada syarikat itu puluhan juta setahun, perjanjian penswastaan itu tidak dapat ditamatkan sehingga tahun 2020. Perjanjian di zaman UMNO memerintah Kedah ini mengakibatkan kerajaan negeri terpaksa membayar hingga RM70 juta kepada syarikat itu walaupun kutipan mereka hanya sekitar RM32 juta. Sedangkan semua infra untuk bekalan air kerajaan yang sediakan.
.
Inilah kerja-kerja di zaman UMNO/BN yang mengikat (bind) kerajaan sekarang walaupun telah bertukar parti memerintah. Walaupun sedar ini bukan kerja mudah dan memakan masa, tetapi pihak kerajaan negeri sekarang sedang mencari kaedah terbaik untuk memperbetulkan perjanjian yang hanya menguntungkan syarikat dan merugikan rakyat seperti itu. Ia mudah jika syarikat itu dan parti yang menguasainya mengembalikan apa yang mereka ambil dari rakyat secara sukarela. Ia hanya boleh berlaku jika dipersetujui kedua-dua pihak yang terikat dengan perjanjian. Mahukah mereka?
.
Saya percaya kes-kes seperti ini akan terbongkar satu demi satu bila tiba masanya. Tunggu saja kerja-kerja mengorek bijih besi di Tupah yang lulus kepada syarikat kroni suku sakat UMNO di penghujung tempoh berkuasa... kalau tak banjir lumpur atau mengganggu bekalan air kepada penduduk...depa selamat. Kesilapan atau keputusan dulu-dulu terpaksa dipikul sekarang atas nama kerajaan, tetapi kita dilarang menyebutkan siapa yang buat - dengan lagu bangau!!?? Patutkah begitu? Tunggu juga bila BN/UMNO diusung keluar dari Putrajaya!!!
.
Balak di Sik pun serupa. Mahukah syarikat yang diluluskan konsesi itu pada 2005, - yang belum ditebang hingga sekarang (ada 4 block lagi) - menyerahkan balik kawasan itu kepada kerajaan dan menerima balik bayaran premium, yang sudah dibuat sebulan selepas ia diluluskan. Saya rasa tidak! Sebab bayaran2 'lain' yang sudah keluar waktu itu siapa nak pulangkan? Ada banyak lagi senario seumpamanya, sebab itu BN tidak boleh dibenarkan lagi menang dan memerintah negeri ini...kalau rakyat tidak mahu terbabit dalam tindakan yang merugikan. Mahukan perpaduan la pulakkk! Ishhh!
.

Mungkin Info Ni Boleh Buat Depa Garu KepalaYang Tak Gatal...

Patutlah...sesetengahnya gelak sakan bila berjaya menimbulkan kepercayaan palsu di kalangan orang ramai bahawa kerajaan negeri PR meluluskan pembalakan di Rimba Teloi dan menyebabkan banjir, tapi ada orang yang tidak dapat tidur lena dengan cerita yang dia buat sendiri. Sepatutnya...kalaupun nak orang kata kita hero, jangan sampai angkut semua pinggan mangkok periuk belanga di dapoq, dan tilam bantai dalam kelambu buat modal politik. Ini sangat bahaya.
.
Ada sumber yang sangat berautiriti memaklumkan bahawa Kompartment 73 Hutan Simpan Rimba Teloi telah diluluskan untuk pembalakan pada 25 Ogos dan 9 November 2005, dan ia dibahagikan kepada 7 block. 3 block telah dikeluarkan lesen menebang, 4 block lagi belum diberi lesen menebang kerana belum menyempurnakan prosedur yang perlu.
.
Salah satu block yang belum dapat lesen menebang itu dianugerahkan kepada sorang tokoh muda yang sedang meningkat naik dalam UMNO Bahagian Sik pada waktu itu. Masa itu dia sangat rapat dengan MB baru yang berjaya menggulingkan MB lama. Walaupun dia tidak menggunakan lesen pembalakan atas namanya, sumber dalaman amat mengetahui block itu adalah miliknya. Kawasan itu nanti akan dijual kepada taukey-taukey balak (selalunya pengusaha cina) untuk dikerjakan sehingga kayu dijual. Sebaik sahaja surat tawaran kelulusan dikeluarkan, dia akan menerima bayaran bahagiannya, dan dia tak akan muncul lagi dalam apa-apa urusan kawasan itu. Memang kerja membalak di zaman itu tak ada orang politik yang guna nama sendiri, depa akan guna lesen sapa-sapa pun untuk melobi kawasan, dan pemilik lesen akan dapat bayaran duit lesen RM50k (biasanya) untuk satu kawasan.
.
Pengusaha itu patut mendapat apa yang diusahakan, dan tuan lesen pun patut dapat habuan dia kerana dia membayar duit lesen setiap tahun disamping cukai syarikat. Yang untung ialah 'pemilik sebenar' yang bersembunyi di sebalik lesen dan pengusaha itu. Di zaman balak dianugerahkan secara besar-besaran dengan hanya premium RM1000 bagi hutan dara dan RM500 bagi hutan sudah kerja (KSK), pada waktu itu (2005- awal 2008), orang-orang ini mengaut keuntungan berjuta ringgit. Duit ini akan diguna untuk mendapat tempat dan membina pengaruh untuk memanjat hirarki dalam parti politik.
.
Patutlaaahh... diawal polisi tander terbuka dilaksanakan, saya ada mengusik pengusaha-pengusaha balak yang masuk tander bahawa mereka telah buat untung besar waktu harga premium cuma RM1000 dan RM500, sekarang ini waktu untuk menyumbang kepada negeri...depa ketawa besar. Kata mereka, harga yang mereka bayar waktu itu adalah sama dengan harga tander juga. Untuk rekod, bagi kawasan hutan dara, harga tander yang menang sekarang antara RM12 hingga RM16 ribu sehektar. Bagi Kawasan Sudah kerja (KSK), antara RM7 - RM10 ribu sehektar, bergantung kepada nilai kayu yang ada dalam kawasan itu.
.
Senario ini berubah dan terhenti bila kerajaan sekarang mengamalkan polisi tender terbuka dan pemberian secara anugerah dihentikan. Tokoh mana pun, baik dengan siapapun, kalau nak balak, sila masuk tender terbuka. kalau membuat tawaran tinggi, dia dapat. Kalau tawaran rendah, maaf laaa... maka pendapatan kerajaan meningkat mendadak berlipat ganda kerana wang balak yang dulu masuk poket 'orang-orang dibelakang' pelesen dan pengusaha, kini masuk kepada kewangan kerajaan.
.
Patutlah... sebaik sahaja banjir surut pada jam 7 pagi, dia himpunkan TV3 dan Utusan untuk menyerang kerajaan sekarang dengan peluru kapor dan meriam buluh untuk melindungi kepentingan yang sudahpun dihabiskan untuk berada di tahap sekarang...Apa khabar YB??? Ada pribahasa kata: Berkokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi...
.

Tuesday, August 17, 2010

Banjir dan Balak di Sik Part 3 : Menjawab Komen Blog-blog Spesis UMNO

Ni satu lagi komen kaum bengap ka apa ka? Zamani menulis...

...ko ni setpol, kalu nk jd munafik pun jgnla di bulan yg baik ni,dah terang2 lesen tu lulus tahun 2010 ko kata lesen 2009, ko nak tipu org tua sik boleh la,ha! satu g kat mekah banjir berapa kali setahun,berapa ml/y,ni aku nak post lik ko jgn delete lak jgn jd dayus...

http://theflyingkick.blogspot.com/2010/08/terang-terang-pembohong-setpol-menteri.html

Si mamat zamani ni pun satu, saya tulis kawasan pembalakan di Rimba Teloi tu dilulus pada mesyuarat JK Hasil Bumi pada 25 ogos 2005 dan 9 November 2005, dia pi tuduh saya munafik di bulan ramadhan pulak. Dia kata pulak saya tulis lulus 2009...saya cari kat mana saya tulis lulus 2009 tu, sampai la ni tak jumpa.

Saya terima hakikat bahawa nak cerita dengan spesis UMNO bagi depa faham memang payah. Sebab tu depa duduk dalam UMNO juga walau dibentang hujah dan bukti apapun. Depa ni jenis orang yang hanya nampak apa yang ada depan mata, manakala yang tersirat, proses sebelumnya, selepasnya, kaitan dan rentetan sesuatu hal, amat kurang difahami. Sebab itu, dalam hal pelaksanaan Islam, bagi depa Islam hanya lah apa yang telah dibuat depan mata oleh UMNO. Islam yang belum dibuat, belum dilaksana, tak pernah dilihat, yang depa tak belajar lagi , yang tak selari dengan selera depa, depa anggaplah Islam ala PAS. Ini fikrah yg ada di kalangan UMNO di semua peringkat.

Orang yang ada fikrah macam ni menganut satu fahaman tahyul yang kian terhakis sedikit demi sedikit. Tahyul itu ialah, hanya sanya UMNO sajalah yang boleh memerintah di negara ini, orang lain tak boleh. Sebabnya ialah, sejak lahir, depa hanya nampak UMNO dan BN saja jadi kerajaan. Bila BN/UMNO kalah di beberapa negeri, parti lain pun boleh memerintah...tahyul tu mula terhakis.
.
Mereka juga berfahaman sesiapa yang lawan UMNO adalah lawan kerajaan dan menderhaka. Depa tak reti lagi nak bezakan UMNO sebagai sebuah parti politik dengan kerajaan yang menjadi entiti sebuah negara berdaulat. Sebab itu depa selalu merujuk kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Selangor sebagai kerajaan pembangkang. Istilah ini hanya ada dalam kamus UMNO di Malaysia. Orang jenis ini juga bertaklik bahawa hanya UMNO mampu membawa pembangunan dan kemajuan. Bila dihujahkan bahawa di negara-negara maju, hatta di Singapura, Thailand, malah di Amerika dan Australia yang lebih maju dari kita dalam bab pembangunan, tak ada UMNO pun! Depa tetap tak dapat terima kerana tak nampak depan mata. Nak nampak macam mana? Sesetengahnya tak pernah pi mana pun!
.
Sama jugalah macam gambar di papan iklan syarikat pembalakan di Rimba Teloi yang mencatatkan lesen menebang bertarikh 2010, depa tetap mengatakan kerajaan sekaranglah yang meluluskan kawasan itu untuk pembalakan. Padahal, tarikh pada papan itu antara bulan Mac 2010 hingga bulan Sept 2010 ialah tarikh lesen menebang balak itu berkuatkuasa. Sebelum dan selepas tarikh itu, penebangan tak boleh dilakukan. Kenapa lesen menebang dan mengeluarkan kayu balak itu diberikan kepada syarikat itu? Ia adalah kerana syarikat itu telah mendapat konsesi balak kawasan itu yang diluluskan oleh kerajaan BN pada 2005!
.
Dari mana saya dapat tarikh kelulusan pada 2005 itu? Dari rekod dan laporan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah. Jabatan itulah yang menyimpan semua rekod dan maklumat pembalakan, bukan YB UMNO atau Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, juga bukan tukang tangkap gambar yang tak tau gambar apa dia ambil.
.
Rekod jabatan itu juga mengesahkan tiada sebarang kelulusan kawasan membalak di Rimba Teloi yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri PR yang ada sekarang. Tak faham lagi tak tau laaaa...nanti saya scan laporan tu besar-besar, saya muatkan di sini... dan saya bulatkan tarikh kelulusannya...tapi mungkin juga depa tak percaya sebab di atas laporan tu tak ada tertulis Utusan Malaysia ataupun TV3!
.
Kalau susah sangat nak faham biar saya jelaskan begini! Kelulusan kawasan pembalakan kepada syarikat Meng Heng di Hutan Simpan Rimba Teloi oleh kerajaan BN pada 2005 adalah seperti Akad Nikah...manakala lesen menebang pada 2010 adalah seperti proses kerja-kerja buat anak... kalaupun depa 'buat anak' sampai banjir lumpur masuk rumah orang... puncanya kerana ada 'akad nikah' oleh UMNO/BN pada 2005. faham dak lagi? Tak faham jugak? Memang sah UMNO!
.

Monday, August 16, 2010

Ada Mamat Rajin Ambik Gambar, Tapi Tak Tau Gambar Apa dia Ambik!!!

Ada komen di blog saya menyebutkan seperti berikut:
.
Aku malas nak cakap banyak, sebab dah memang artikel ni cuba menipu... Dalam artikel kat blog aku dah ada siap gambar bukti menunjukkan lesen pembalakan diluluskan pada tahun 2010... P/S: Jangan padam komen ni, kalo hang betui anak jantan... Jgn buat dosa kering dalam bulan Ramadhan...
.
Laporan Jabatan Perhutanan Kedah berkaitan dakwaan Kerajaan Negeri Kedah sekarang meluluskan kawasan balak di kawasan tadahan hujan membuktikan sebaliknya. Sekali lagi saya terpaksa melayan mamat UMNO yang rajin pi ambik gambar, tapi tak tahu gambar apa yang diambil.
.
Kelulusan kawasan pembalakan di Kompartmen 73 Hutan Simpan Rimba Teloi dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Hasil Bumi pada 28 Ogos 2005 dan 9 November 2005. Tahun 2005, PAS cuma ada 5 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah, PKR dan DAP tak menang. Kerajaan waktu itu ialah Barisan Nasional, MB ialah DS Syed Razak dan MB berikutnya sedang berusaha mendapatkan kuasa.
.
Dalam gambar yang disiarkan dalam blog UMNO di atas, yang dibulatkan ialah lesen menebang bukannya kelulusan kawasan balak, setelah semua proses teknikal selepas kelulusan pada 2005 dilaksanakan. Ia dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan sebagai proses akhir kayu balak dikeluarkan dari hutan. Setelah melaksanakan prosedur yang perlu mengikut akta, kalau lesen menebang tak dikeluarkan, penerima konsesi boleh menyaman kerajaan negeri seperti yang dialami oleh negeri Pahang dan Kelantan (seperti yang saya sebutkan dalam posting awal).
.
Kawasan tersebut dikategorikan oleh Jabatan Perhutanan sebagai kawasan hutan pengeluaran, bukan kawasan tadahan. Kelulusan dan pembalakan terakhir dilaksanakan pada tahun 1975 hingga 1990. Semuanya di zaman BN.
.
Hari ini bukan setakat ADUN UMNO di kawasan itu 'menembak tuannya', yang turut campurtangan menuduh kerajaan sekarang ialah bekas EXCO Kanan, Wakil Rakyat paling lama dalam DUN Kedah. Dia sekarang jadi Timbalan Pengerusi UMNO Kedah...barangkali kerana sikap kurang periksanya ini, dia belum sempat jadi MB mau pun pengerusi UMNO Negeri, setakat Timbalan sajalah. Terpaksa jemput orang Sabah datang memimpin orang-orang macam ini. Nasiblahhh!!
.
Penyakit ni menular sampai ke bawah. Semalam, mamat ni muncul dalam TV menuduh kerajaan macam-macam. Mat Taib Bin Che Teh (JKKP Bendang Man) turut menandatangani kelulusan Kajian Kesan Sosial Pembalakan di kawaan tersebut pada 27 Ogos 2009. Kajian tersebut adalah keperluan yang ditetapkan oleh Jab Hutan. (Saya ada salinannya) Tapi, setahun selepas itu, dia terlupa, dia juga turut meluluskan pembalakan itu pada peringkatnya (JKKKP). Kalau macam ni depa punya lupa, lepas tangan, buat-buat tak tahu, patut lah Kedah tak berkembang selama setengah abad di bawah UMNO.
.

Banjir Di Sik Dan Baling...Pasai Pembalakan La Pulak.

Wartawan TV3 dan Utusan hari ni gelak sakan la...buleh tibai kerajaan yang kununnya meluluskan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi, Kawasan Tadahan Sg Semeliang lalu menyebabkan banjir teburuk dalam tempoh 40 tahun.
.
Saya bersimpati dan merakamkan takziah kepada semua mangsa banjir di Baling dan Sik. Kerajan melalui Pejabat Daerah dan JKM sedang bertungkus lumus membantu apa yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi di bulan puasa ni, tentu perit rasanya ditimpa musibah banjir. Kepada Allah kita berserah...ini semua ujian kepada hambanya yang kerdil seperti kita.
.
Ada pulak YB UMNO yang cari publisiti, tanpa usul periksa, cepat-cepat buat kesimpulan. Banjir ni puncanya kerajaan negeri punya pasai, lulus balak ikut suka. Esok, dia nak angkut mangsa-mangsa banjir pi SPRM nak buat laporan pembalakan haram di Rimba Teloi. Saya nak habaq, Jitra pun kena, tak ada pembalakan pun! Tahun lepas Jeddah bah besaq, ramai jemaah haji terkandas dan ada yang meninggal. Mana ada balak ditebang di Jeddah. Tak tau la kot-kot UMNO jadi kerajaan di Arab Saudi masa tu.
.
Saya alu-alukan langkah politiknya tu, kita tengok la apa hasilnya. Tapi mau ingat juga, sejak 2 tahun setengah kerajaan PR di Kedah, belum ada kelulusan pembalakan di Rimba Teloi, kalau ada pun, ia lulus di zaman bos dia jadi MB dan menguasai kerajaan. Kita boleh tengok lah sapa yang dapat kawasan tu, berapa depa bayaq masa tu, sapa nak kena jawab!
.
Maklumat yang saya ada, kali terakhir balak ditebang di Rimba Teloi/tadahan Sg Semeliang yang bersambung dengan Sg Chepir ialah sewaktu DS Syed Razak jadi MB, lepas tu Big Boss dia pulak jadi MB dan menguasai kelulusan kawasan pembalakan. Tiba-tiba YB UMNO tu mendakwa pembalakan berlaku September tahun lalu (2009). Maka kerajaan la ni bertanggungjawab. Jawapan saya begini.
.
Setiap kawasan pembalakan melalui proses kelulusan yang ketat, dibawah seliaan, kajian dan recommendation Jabatan Perhutanan. Mana-mana kawasan yang diluluskan dalam Jawatankuasa Hasil Bumi mengambil masa 1 hingga 3 tahun untuk proses tagging (tanda pokok yang boleh ditebang), persempadanan kawasan, dan memproses lesen menebang. Ini prosedur biasa. Boleh rujuk Jabatan Perhutanan atau mana-mana taukey balak. Paling cepat satu tahun, tapi jarang berlaku.
.
Oleh kerana sepanjang bulan Mac 2008 hingga kini belum ada kelulusan pembalakan di kawasan itu oleh kerajaan sekarang; dan proses mengubahasil yang memakan masa hingga 3 tahun, MAKA, kalaupun ada pembalakan di situ pada bulan September 2009, ia adalah kawasan yang diluluskan oleh kerajaan BN dan dalam tangan big bosnya dalam tahun 2006 -2009. Ia adalah tanggungjawab dan kawalan mutlak kerajaan BN.
'
Nanti ada orang akan kata pulak... "Ha! ni lah keja kerajaan PR, tak habis-habiskan nak salahkan kerajaan dulu. Dah jadi kerajaan, pandai-pandai lah jaga negeri". Jawabnya mudah. Kawasan yang telah lulus ikut proses masa itu, tak ada peraturan lain yang boleh menarik balik kelulusan itu. Proses itu 'mengikat' semua pihak! Kalau nak kena saman dan didenda macam kerajaan Pahang kena RM63 juta, cubalah batalkan mana-mana kawasan. Ada kes di Kelantan, kerajaan la kena bayar beratus-ratus juta walaupun kes kelulusan pembalakan itu berlaku di zaman BN memerintah Kelantan. Kalau Kedah kena, bingkuih kita!
.
Mana-mana kawasan yang telah lulus atas tanggungjawab Jabatan Perhutanan telah melalui proses standard yang termaktub dalam undang-undang (Akta Parlimen) yang telah diluluskan. Cuma, telah diketahui umum, kelulusan pembalakan dizaman 2006-2009 sangat 'memilukan' kantong kewangan negeri. Hanya sekitar RM6 juta hingga RM10.8 juta masuk sebagai hasil pembalakan kepada negeri dalam tempoh itu. Kuota tebangan ditetapkan ialah 2,340 hektar, tidak termasuk tanah kerajaan dan kuota tahun sebelumnya yang tidak dihabiskan..
.
Di zaman itu juga, kuota yang disimpan di zaman Tan Sri Sanusi Joned di habiskan. (TS Sanusi Joned meminimumkan pembalakan di zamannya). Dengan kuota tahunan yang sama, kerajaan sekarang menghasilkan RM35-RM38 juta (premium sahaja, belum masuk cukai kayu per/tan) pada tahun 2008-2009. Itupun kawasan yang diluluskan melalui tender terbuka adalah di Bkt Kachi, Tiang Layar, Ulu Muda dan Gunung Inas sahaja. Tidak ada di Rimba Teloi.
.
Esok, Jabatan Perhutanan akan masuk memeriksa dakwaan YB UMNO itu dalam akhbar hari ini. Saya bimbang ada yang tidur tak lena malam ini dan malam esok. YB, jangan asal nampak pokok bergoyang, YB pi tembak, mana tau itu bos YB sedang bersembunyi dari isterinya yang mengamok! YB pi la awai-awai pagi esok, sebaiknya lepas sahur terus naik bas MARA ke Alor Setar...Maaflahhh kawan!
.

Majlis Berbuka Anak Kedah Di Lembah Kelang Berubah Tempat...

Salam untuk semua sahabat...seperti yang dihebahkan sebelum ini, lokasi yang dirancang dan telah dipersetujui pada peringkat awal terpaksa diubah. Kawasan Kediaman YAB MB Selangor dikhuatiri tidak mampu menampung pengunjung dan ada kawasan yang tidak boleh digunakan akibat mendapan tanah. Atas sebab keselamatan dan keselesaan, pihak penganjur terpaksa mencari lokasi lain.
.
MB Kedah mengarahkan diadakan di mana-mana Markaz PAS atau dewan orang ramai yang boleh disewa, asalkan kosnya rendah.
.
Maka saya dan team kerja kena cari tempat lain, yang saya rasa amat sukar di saat-saat akhir, kerana kebanyakan dewan sudah ditempah lebih awal. Kalau ada sesiapa yang tahu lokasi yang sesuai untuk 2000 pengunjung, kos yang murah, bolehlah menghubungi saya di 012-5969220, ust Rosli 019-4706247/ust musadaq 012-4827563/En idrus 012-4454235.
.
Perkara asas ialah budget yg paling rendah. Kalau tak ada juga lokasinya, program ini akan ditunda ke tahun hadapan....Sekian Terima Kasih.
.

Sunday, August 15, 2010

Saya Tutup Gadget Shout! Untuk Membina Pengunjung Yg Berintegriti.

Salam untuk semua...Ya! Saya marah dengan caci maki dan tuduhan liar yang tidak ada asasnya melalui ruangan shout! blog saya. Bukan kepada saya saja, tapi kepada sesiapapun yang saya kenal atau tidak. Pokoknya ia menggunakan medan yang saya pugar, gelanggang yang saya bersihkan. Ia berwewenang dgn fitnah, saya harapkan ia berupa soalan yang boleh diberi penjelasan, tapi ia jadi medan fitnah dan keras kepala.
.
Seolah-olah saya hanya boleh menerima saja makian dan tuduhan orang, tetapi tidak boleh menjawab dan memberi penjelasan, tidak boleh membetulkan persepsi yang salah kerana saya setpol, makan gaji untuk dihina dan dimaki. Persepsi yang salah itu dibina oleh si pencaci dan pemaki tadi atas kepentingan bisness dan puak mereka. Saya percaya mereka tidak bermati-matian memfitnah orang itu orang ini hanya kerana sukarela, tapi bermotifkan dengki, khianat, tamak, wang ringgit dan kurang ajar. Kalau nak ikutkan sukarela, Yahudi dan Zionist pun sukarela juga...tapi mereka sesat dan masuk neraka akhirnya! Mau menjejaki mereka?
.
Yang tidak baiknya ialah ruangan shout! itu tidak memaparkan identiti si penulis, pengkritik, pencaci atau pemaki. Dia boleh lempar batu sembunyi tangan, membiarkan kita memberi penjelaan yang tidakpun menjadi matlamatnya. Dia akan reka cerita lain pulak. Blog saya bukan Bohsia! Saya bersengkang mata di waktu malam, kadang-kadang sampai pagi untuk update apa yang patut untuk manfaat pengunjung, bukan medan menyebar fitnah. Bila baca cadangan seorang 'tetamu' di ruangan shout! tadi, saya rasa ia idea yang bagus. Ini blog saya, itu hak saya...saya punya suka la kata org lani.
.
Semoga dengan cara itu, pemberi komen boleh memberi komen di posting, dan ada identiti yang boleh dijejaki. Harapan saya ialah, manusia yang menulis di ruangan ini menulis dengan penuh tanggungjawab, integriti dan amanah. Bukan menjadi medan fitnah, bertengkar, tak mau dengar, hanya mau mengata!
.
Saya pun manusia, saya tak mampu bertoleransi dengan manusia dari spesis tak reti dengar, hanya tahu menyuruh orang percaya katanya saja. Bila diberi penjelasan, dia tukar topik lain pulak. Kalau 10 tahun dulu, sah budak tu makan penampaq jepun, dak pun buleh rasa penendang budak Sg Pau tu. Boleh la try orang Sik ni tara mana.... La ni tak leh dah, kena jaga adab, kena sopan, kena lembut dengan orang...hang hanya buleh dengaq kami nak kata apa, ikut suka kami..... Saya memang berkecil hati sebagai seorang manusia dengan komen kurang ajar dan kurang sopan tu. Saya tidak berhasrat menyertai spesis itu, tapi saya ada cara supaya mereka lebih bertanggungjawab. Bertalqinlah... shout! sudah mati.
.

Terima kasih 'pirahsetpol'

Buat sahabat seiras 'pirahsetpol'....
Lama menerjah, kuat menikam, puas menghentam, letih bersilat tanpa buah, banyak pulak dalih dan alasan... bila diminta butirannya, dia tak mampu beri. Hanya mendengar dihujung telinga, cerita-cerita pasal si polan bin si polan jahat dan menipu. Puas menuduh kita bersubahat dengan orang itu dan orang ini berbuat honar. Bila di tanya apa buah butirnya, dia kata dia cuma bagi hint, lagipun dia tak dibayar gaji untuk memberi maklumat lengkap tentang tuduhannya. Habis siapa yang bayar dia untuk menuduh?
.
Ada pesanan dari Allah tentang pembawa berita yang fasiq, orang mukmin mesti siasat dulu. Inilah punca dan kesannya. Kalaulah semua pembawa berita diterima tanpa usul periksa, porak perandalah masyarakat kita. Apa akan jadi kalau tiba-tiba kerajaan negeri bertindak ke atas orang itu dan orang ini kerana satu hint melalui blog yang tak tahu punca dan sumbernya. Sedangkan dalam pemerhatian kita setiap hari secara langsung, tiada apa yang honar dan khianat, tiba-tiba kita salah kerana berdiam diri.
.
Bertanya dan mendengar jawapan lebih molek dari menghentam dan menuduh, apalagi memfitnah sipolan-sipolan itu bersubahat dan menjadi dajjal meruntuhkan kerajaan. Alangkah bodohnya kalau kita berjuang lebih 50 tahun untuk mendapat kuasa bagi melaksanakan perintah Allah kepada manusia, tapi bila diberi ruang oleh Allah, kita berkelahi dengan semua orang hingga menjejaskan semua kerja buat kita untuk menegakkan perintah Allah. Kita ketepikan pula dasar dan agenda perjuangan kita.
.
Usul fiqh memandu kita...Menolak mudharat lebih aula dari mengambil manfaat dari sesuatu perkara. Islam tidak tersebar dengan begitu gelojoh. Islam juga tidak mulia dengan tuduh menuduh orang itu jahat orang ini salah tanpa usul dan bukti. Apa lagi cerita sensasi dari tepi jalan. Kata seorang ulama', Islam dan cara ia dipersembahkan adalah sama penting, sama mustahak. Dalam bab ini, Islam menyuruh kita berjemaah dan berwala' dgn pimpinan. Apa tujuan menyalahkan pimpinan atas strategi yang diambil berdasarkan syura di byk peringkat...hingga menjadikan kita lebih tahu dalam semua hal. Petua untuk hidup tenang dan harmoni, bertanya kalau tak tahu. Menghentam melulu tak bawa kebaikan malah menghasil keburukan.
.
Apa nak diharap dari pemberi hint yang tidak pula menyerlahkan wajah dan dirinya. Siapa yang akan tampil sebagai saksi kepada tuduhannya? Saksi pulak mesti adil, tidak boleh fasiq. Dalam kes menuduh ini, ada hukum qazaf bg yang menuduh si gadis berzina, sebat 80 rotan ...Yang menuduh orang itu rasuah, kebas harta kerajaan, jahat, menipu, bersubahat dan macam-macam lagi, ... tapi tak tau bila, dimana, berapa, apa salah sebenarnya..apa jahatnya... boleh pakai kira ka?
.
Saya minta 'pirahsetpol' memohon maaf kepada manusia yang bernama Hasan dan Madi yang dia namakan sebagai 'orang jahat' berbuat honar di dalam ini negeri. Selagi dia menyimpan tuduhan tanpa usul periksa, dan orang ramai terpengaruh dengan tuduhannya, lalu menjejaskan manusia yang dinamakan itu, saya khuatir dia merintis laluan dosa tak berkesudahan. Sepanjang perkenalan dengan sahabat yang dinamakan itu, setahu saya bersandarkan maklumat dan pengetahuan yang ada, mereka tidak salah apa-apa. Mereka manusia seperti kita, yang kadang-kadang terkena tempias dengki, khianat dan fitnah. Mereka bersolat, berzakat, menolong orang dalam kesusahan, miskin , menderma, subuh istiqamah berjemaah di masjid (saya tak mampu lagi). Namun mereka juga tidak maksum. Kebaikan mereka mungkin jauh lebih besar dari kita atau yang kita sangka.
.
Saya berlepas diri dari termakan adu domba 'pirahsetpol' dalam hal ini. Kalau dia masih menyimpan syak wasangka terhadap saya, saya maafkan dia dibulan yang mulia ini. Saya menanti kalau-kalau ada bukti dari manusia spesis ini. Telah kukenal siapa dirimu....aku memohon Allah mengampuni kesalahanmu....Wallaahu a'lam.
.
.

Saturday, August 14, 2010

Menoleh Sejenak Ke Belakang...Pilihanraya Dulu-dulu...tahun 1955. Saya Rakam di Pej SPR pada 2008...


Wakil DAP memeriksa tong kertas undi tahun 1955


Mengajar cara memangkah... terbuka...








Membawa kertas undi untuk dikira di pusat penjumlahan

.

Pilihanraya La ni... Macam-macam depa buat

Rombongan YB Pesuruhjaya PAS Kedah Ke Putrajaya...
Membantah kemasukan Undi Tentara beramai-ramai ke POS Gubir
1031 pengundi dari Kem Sungai Ptani dan Grik, Perak. Mengundi di kem masing-masing, dikira di Kota Aur, DUN Belantek... apa cerita?


Dato' Mustaffa Ali, YB Salahuddin Ayob, Ustaz Azizan, Dr Syed Azman,
Kapt (B) Zamri...saya cameraman...


Ustaz Azizan sebelum jadi MB.......Noordin Ngah wakil SPR tu bekas murid Cikgu PA


.

Belum pernah diterbitkan! Usaha mempertahankan DUN Belantek dari manipulasi SPR+BN



Demontrasi....Membantah Kemasukan 1031 Pengundi Tentera di Pos Gubir...





Buat report polis









Bantah di SPR Kedah...dengan Lawyer





YB Dato' Taulan...belum jadi EXCO.


Sudahnya, depa mengundi juga, SPR jawab depa terima pendaftaran tentera secara lock, stock and barrel...Tak payah pamer, tak diperiksa lagi selebihnya...urusan tentera.

Kalahlah DUN Belantek -252 undi. Apa nak buat?

.

.

Majlis Berbuka Puasa Anak Kedah Di Perantauan

Alhamdulillah, tahun ni Pej YAB MB akan menganjurkan majlis berbuka untuk anak-anak kedah di Lembah Kelang pada 29 Ogos 2010. Tempatnya sedang diusahakan yang paling baik, kos rendah & senang orang mai. Memandangkan kesukaran mendapat tempat yang sesuai, seorang kawan mencuba menghubungi YAB MB Selangor. Apa dia kata? Dia offer dua tempat. Dewan SUK di Pejabat Kerajaan Selangor atau di Kediaman Rasmi MB Selangor. Saya pilih Kediaman Rasmi MB Selangor.
.
Ustaz Rosli dan Ust Muasadaq yang menguruskan hal ini terus bertemu pegawai-pegawai MB Selangor dan berbincang. Lepas berunding, depa bersedia menjadi tuan rumah. Alhamdulillah. Hari ahad nanti mesyuarat akhir akan memutuskan dan iklan rasmi akan dikeluarkan.
.
Sempena majlis itu, bolehlah sahabat-sahabat anak Kedah sekitar Lembah Kelang berjumpa MB Kedah dan Exco2 yang akan turut hadir. Bolehlah mendengar dan bertanya perkembangan Kedah terus dari MB. Memandangkan tempat yang terhad, kerana dimaklumkan ada kawasan yang tidak boleh diguna di kediaman itu, akibat mendapan, kita akan bersiap ala kadar sajalah. Mungkin makan buffet saja. Menu sedap Lan Jan akan masak. Katanya nasi arab dgn kambing..pakat mai la no.
.
Apa pun, kita tunggu mesyuarat persiapan ahad nanti, insyaallah kita akan buat yang terbaik untuk semua orang. Dalam dua tahun ni pun dah ramai yang dok tanya awat tak buat majlis seperti itu di KL macam Kelantan buat?? Ni kita nak mula la ni...Jangan la pulak nanti ada yang kata buat apa perabih duit buat majlis berbuka tu...susah la nak jawab.
.

Wednesday, August 11, 2010

Keinsafan Dan Kesyukuran Dari Rumah Sakit...

Ramadhan kali ini disambut di hospital bersama beberapa sahabat. Isteri saya sakit dada tiba-tiba waktu saya dalam perjalanan dari airport ke rumah. Sampai di rumah, isteri terbaring menahan kesakitan, banyak airmatanya keluar. Saya tiada di rumah selama 3 hari. Sejak berkahwin dua belas tahun dulu, dia sering ditinggalkan. Pernah satu ketika jiran memapahnya ke hospital Bukit Mertajam gara-gara tekanan darah rendah. Saya di Kuala Lumpur, dia tinggal seorang dirumah, waktu itu belum ada anak untuk temankan. Lepas 3 hari baru saya pulang, dia masih di wad.
.
Ustaz Azki Insaniah juga berpuasa di hospital, anaknya masuk wad kali kedua. Saya nampak wajah kebimbangannya. Ustaz Akhiyari Jabatan Agama juga sama, anaknya demam teruk. tiga hari di wad Sultanah Bahiyah, doktor belum berbuat apa-apa. Dia pindahkan ke KMC, terus ke wad kecemasan, anaknya yang berusia 6 bulan kena drip tambah air. Dia berpuasa dan berbuka di wad.
.
Saya mengusung isteri dan anak-anak ke KMC, yang paling dekat dengan rumah. Untungnya dia ada insuran kesihatan, bolehlah ke hospital swasta. Saya bimbangi dia diserang sakit jantung. Masuk ke wad kecemasan, dimasukkan tiub pernafasan dan dibuat EGC. Saya mengasuh anak-anak sementara dia dirawat. Yang sulung 10 tahun, yang paling kecil 2 tahun mengidap jantung berlubang.
.
Doktor menasihatkan dia ditahan di wad. Seingat saya, selain daripada 'kesakitan dan kecederaan bersalin', sudah lebih 10 kali isteri saya dirawat di wad. Kadang-kadang sehingga 4-5 hari. Alhamdulillah, saya tidak pernah mengalaminya. Kali terakhir saya demam kuat ialah pada tahun 1987, lepas itu tidak lagi...cuma pening-pening, batuk dan sakit perut. Panadol dan breacol sudah memadai. Allhamdulillah, jantungnya ok, dia mengalami koyakan otot bahu akibat mengangkat beban berat.
.
Tempat paling cepat meransang keinsafan dan kesyukuran ialah di hospital. Ada yang sudah berbulan menunggu keluarga di wad, kesukarannya sukar diterjemahkan. bergilir-gilir antara ahli keluarga. Ada yang sedang bertarung dengan maut, ada yang dijemput pulang menemui Allah tanpa diduga. Ada yang kesempitan wang untuk membiayai rawatan. Semua harta sudah dijual, ditambah lagi hutang dengan kawan dan saudara...semuanya demi kesihatan orang tersayang. Masa lapang tidak ada lagi, apa terjadi diluar dilupakan sementara, menanti penuh sabar semoga yang ditunggu segera sembuh.
.
Derita kita cuma sedikit... kesusahan mereka lebih dasyat lagi. Ia segera mendatangkan kesyukuran dan keinsafan. Betapa berharganya kesihatan dan kelapangan. Sempena ramadhan kali ini, apa kata kita luangkan masa menziarahi saudara-saudara kita di hospital, kenal atau tidak bukan penting. Semoga Allah mencurahkan kesabaran yang tinggi kepada yang sedang sakit, yang bersusah payah ke sana kemari menguruskan keluarga yang dirawat, semoga diberi pahala yang besar atas kesabaran dan keredhaan menghadapi ujian. Ia terapi keinsafan...cubalah!
.

Friday, August 6, 2010

Ramadhan mai lagi, kerja kena tambah kuat...

Selamat menyambut Ramadhan AlMubarak yang akan menjelma beberapa hari lagi. Ini tahun ketiga berpuasa dgn kerja baru di tempat baru. Tahun ni ada kelainan sikit. MB tak dak di awai2 bulan posa. YAB MB akan berangkat ke Mesir dan Makkah esok jam 9 mlm dr airport Kepala Batas. Sapa2 nak mengantaq bulehla mai. MB akan balik pada 22 Ogos nanti. Jadual berbuka di daerah2 telah diatur, dan sumbangan utk guru Quran macam tahun lepas juga lah. Sumbangan moreh melalui ADUN2 juga berjalan tahun ni. Diveden koperasi Beris pun lepas MB balik nanti, lebih dari tahun lepas yg riuh rendah tu.

Derita miskin melarat ramai yang terasa: Ada yang tak gembira bila ada yang dapat keluar dari putaran ganasnya...

Ada prasa yang sering dapat dikongsi dengan beberapa kawan yang pernah menderita diulit derita kemiskinan dan kesusahan. "Masa susah tak ada orang tanya, tak ada orang nak tolong, masa senang ramai yang buruk sangka dan mereka cerita"...
.
Kawan pula tambah..."masa aku melilau cari kawan2 nak pinjam sikit beli susu anak, tak ada yang tumpang simpati, masa aku berada sikit, depa reka cerita aku curi duit kat mana...bukan nak mai tanya hang buat kerja macam mana...
.
Ada sahabat lama bagitau, dia kerja dengan company swasta, ada gaji dan ada komisyen berdasarkan performence. Lima tahun dia kerja tanpa cuti, kalau cuti pun hari jumaat ja, 15 -18 jam sehari, kadang-kadang tidur di pejabat. Di tahun ketiga, bini dia pun buat loan, dia mula buat rumah di kampung... ada sorang tu lalu depan rumah dia lepas balik menoreh pukul 11 pagi, naik gerek... sambail menjueh mulut, sambil geleng kepala. masa tu dia tengah mengecat.
.
Petang tu sampai la cerita, kawan yan lalu depan rumah tadi pi sembang di rumah orang sebelah umah dia, kawan saya tu dah kena buang kerja, makan rasuah sbb buat rumah besar, kalau tak percaya pi tengok sendiri dia tengah cat sendiri rumah dia...
.
Padanlah dia motong sampai ke tua, kerja 4 jam sehari, lepas tu suka reka cerita 'pedih-pedih' pasai orang... tuhan bagi setakat tu aja la rezeki dia... kata kawan saya.
.
Sebab tu agaknya tak ramai yang mau berlabuh di kampung bila agak berada...payah nak cerita kat orang, duit mai mana... tapi rupanya, di pekan pun tak ada bezanya...kawan-kawan sendiri pun terbawa penyakit kampung depa...
.
Orang yang senang di sekeliling kita mungkin deritanya dulu melebihi kita. Bersyukurlah bila dia diberi rezeki. Susah miskin ada jalan keluarnya...yang pasti bukan dengan jalan mengata caci nista...kena bekerja, bekerja, bekerja. Putaran kemiskinan ganas deritanya...begitu juga kebodohan! Keluarlah dari pusarannya.
.

Thursday, August 5, 2010

Kepada yang mengirim ucapan Selamat hari Ulangtahun ke 36, jutaan terima kasih di atas ingatan Tuan.

Masa umur enam tahun, tahun 1980, aku sudah ada 9 adik beradik (semuanya 13 org)...duduk di Sg Pau, di sebuah rumah papan tanpa pintu tanpa tingkap dan tanpa bilik. Dinding pun papan jarang-jarang. Depan rumah ada pokok durian pokok petai, halaman rumah tak ada, hanya ada paya. Belum ada sebatang pun pokok rambutan milik keluarga masa tu... musim buah, durian banyak, 'moktan' kena pi umah tok. Waktu malam, belum ada elektrik masa tu, selimut gebaq syer dua orang...warna ala-ala guni tepong gandum. Musim sejuk, masuk gulung tikar, kalau setitik air embun dari atap zink menitik atas kaki, Aduuuhhhh! sejuk sampai tulang hitam. Ada dua tangga naik kerumah, satu di depan, satu di pelantar (jemoran). Pagi-pagi pakat himpun sampah daun durian bakar berdiang...sejuk sungguh dulu-dulu.
.
Mak keja tanam ubi dengan taukey cina Ah Neo, upahnya Rm5.50 sehari. Pak pi keja buruh binaan di Singapura. Satu hari tengah-tengah merong sampah (cuci tanah) utk tanam ubi milik sendiri, satu tunggul kayu tercacak kat kepala mak aku, abang aku baling untuk masuk dalam unggun api. Mak aku menangis kesakitan. Lama juga menangis...tak dak klinik dan hospital untuk berubat. Selaput tunggul, daun kapal terbang untuk hentikan pendarahan, Toyu dengan kopi aja la ubatnya. Hidup diselimuti kemiskinan...kaya dengan adik beradik... orang banyak yang menjueh! Tak ada sebijik gerek pun. Kemana-mana hanya jalan kaki, mandi telaga di paya, ada ketika lauk hanya garam dan minyak goreng ikan tamban. Baju penuh getah cenerai peluru caplong. 'Game' yang popular ialah 'lawan-lawan'...hulubalang, panglima, pendekar tujuh beradik. Kain batik mak jadi sampin pendekar...
.
Masa umur 16 tahun, 1990, aku belajaq di SSMJ, Sungai Petani, tengah buaih! Kena hantaq balik ke SMS. Adik beradik masa tu dah 'full'. Dah isi borang PAS dengan Pak Njang Bashir. Pak aku keja tukang rumah, dok buat rumah di kemelong dengan Pak Long Mud Tok Didik. Satu hari lepas 'dihantaq' ke SMS, kena tangkap sbb bawa rokok ke sekolah, Pak aku dipanggil jumpa pengetua. Kerana rokok ada dua batang, dia ambik sebatang, pak long mud sebatang, dia cucuh, dia balik pi kerja....cikgu dengan pak aku sama-sama tak tau nak buat apa dah...
.
Masa umur 26 tahun, aku sedang mnanti kelahiran cahaya mata pertama, yang kemudiannya aku namakan Nurul Fatihah. Duduk rumah sewa di Kg Baru, Pokok Sena, Kepala Batas, P. Pinang. Kerja di CAP, Jalan Macalister. Isteri mengajar di Sekolah Cina di Bagan Ajam.
.
Masa ni umur 36, menyewa rumah di Taman Lumba Kuda, Alor Setaq. Kerja dengan YAB MB. Rumah di kampung terbiar kosong. Adik beradik bertebaran dengan kerjaya masing-masing. Semuanya sudah 'kaya' banyak berbanding 30 tahun dulu. Pak aku umur 70 tahun, dah 15 tahun jadi imam di Sg Pau, Mak sakit-sakit lutut di usia 60 tahun, ada cucu 42 orang. Adik beradik semua dah kerja, yang bongsu saja belum kawin kerja jururawat pegigian di Puchong. Kakak sulong umur 46, yang bongsu 22. Aku no 7, enam di atas, enam dibawah. Miskin dan susah tetap jadi hal paling menyentuh hati sanubari, menghilangkan rasa sayang pada duit dan harta, sering menumpahkan air mata...memberi apa yang ada, dibina dari sejarah silam yang sengsara.
.
Seingat aku, aku masih boleh bayangkan wajah tok chair Mat yang sedang sakit atas rumahnya, perutnya berkedut-kedut, tak kurus tak gemok....dia meninggal tahun 76, umur aku dua tahun. Itulah bermulanya memori, terpahat sampai kini... sepanjang jalan menuju hari-hari untuk mengadap Allah s.w.t. Semoga bertemu di usia 46.
.

Monday, August 2, 2010

Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah

Salam... sat lagi, Sidang Dewan Undangan Negeri akan berlangsung. Sidang terakhir sebelum pembentangan Bajet 2011. Lepas MB kemuka usul kertas-kertas yang akan dibentangkan, soalan lisan Ahli Dewan akan dijawab oleh kerajaan. Biasanya sejam pertama bab soal-jawab ni. Barangkali sempatlah sampai soalan ke tujuh atau lapan daripada 60 soalan yang dikemukakan lebih awal. Tiap-tiap soalan yang dijawab, diberikan peluang untuk mengemukakan soalan tambahan berkaitan soalan asal, biasanya dua soalan dibenarkan. Kita tunggu tengoklah soalan apa dan siapa yang bertanya... siapa pula yang menjawab.
.
Tak tau apa pulak yang nak jadi soalan hangat kali ni. Kita tunggu sat lagi!! Mana-mana soalan lisan yang tak sempat dijawab, maka jawapan bertulis mesti diberikan pada hari yan lain. Tanya senang, jawabnya susah.
.
Siapa nak mai dewan hari ni, jam 9 boleh mai ramai-ramai. Pakaian baju melayu ataupun long suit.
.