Monday, December 21, 2009

Isu Perkuburan Hindu Batu Pekaka...Tak Payah lah Jadi Hero Kaum!

Maaf lah tuan-tuan, sehari dua ni tak dan nak update blog, kalut macam-macam. Hari ni bila baca si Kalai pi buat report polis pasai pemindahan perkuburan hindu di Bt Pekaka, kena jawab la sikit.

Jumlah kubur yang ada di situ ialah 84 buah, bukan 500 buah seperti kata Kalai. Mula digunakan sekitar tahun 70-an, bukan sejak zaman penjajah. Terdapat 2 kubur kosong dalam jumlah 84 itu, yang saya tak tau nak cerita macam mana kubur tu kosong. Jadi jumlahnya 82 saja.

YB Manikumar telah menulis dengan terang dalam suratnya kepada En Raj yang jadi 'ketua' dalam isu ini. Pampasan RM3 ribu kepada setiap waris, tanah gantian 2 ekar di pinggir kawasan industri Kuala Ketil bernilai 500 ribu, pemindahan ke tanah perkuburan hindu yang diwartakan di Padang Geh, akan ditanggung sepenuhnya oleh BDB. Tetapi surat ini diperam oleh Raj untuk tujuan yang tidak diketahui. Akibatnya waris dan penduduk tidak tahu hal sebenar dan tawaran BDB kepada mereka, lalu mereka membantah!

Hal inilah yang dipersetujui dalam perbincangan antara wakil masyarakat hindu di situ dengan YAB MB dalam bulan puasa lalu di pejabat MB. 7 wakil mereka termasuk YB Gobalakrisnan terlibat dalam perbincangan itu. Saya ada gambarnya dalam telefon lama saya, nanti saya upload untuk tatapan kita.
Dalam kekalutan akibat maklumat terperam itu, muncul hero-hero palsu seperti Kalai, L Maran dan MIC untuk menjuari isu kubur hindu... Gobala juga tidak ketinggalam menjadi hero. Selepas bersetuju pada perbincangan dengan YAB MB, tiba-tiba mereka membuat tuntutan balas, apa mereka mahu?
Tanah 10 ekar di kawasan itu, kuota 10% kaum India dalam KUIN, Dewan Serbaguna yang boleh muat seribu orang pada satu-satu masa, lot-lot parking di sekitar dewan, kawasan berpagar dan kos pemindahan minima 100 ribu, dan macam-macam lagi. Apa ni??
Tanah kubur itu 100% milik BDB, kubur itu dibuat tanpa izin tuan tanah. bila nak dibangunkan dengan kolej universiti untuk ratusan ribu anak-anak kedah berbilang kaum, mereka menuntut yang bukan-bukan untuk satu kaum saja. Apa ni? Gobala mendesak untuk jumpa MB untuk bincang lagi...dia mengugut kerajaan akan jatuh dengan isu kubur ini...saya dan Ismadi di kata macam-macam ... saya jawab ... POOORAHHHH!!!
Saya katakan MB adalah Menteri Besar untuk semua kaum, pintu biliknya terbuka untuk perbincangan... tetapi perbincangan yang munasabah dan masuk akal, bukan bincang untuk batalkan persetujuan akibat dicucuk dengan api perkauman dan jarum hasutan serta ugutan! Jangan ada pihak yang cuba membakar api perkauman, dan jangan ada MP Pakatan Rakyat yang cuba jadi hero untuk kaum tertentu saja.
Hari ini 56 kubur sudah dipindahkan.Waris yang faham langkah kemanusiaan BDB dan Kerajaan Negeri akur dan setuju...tapi dua tiga kerat 'pemimpin palsu' yang berjuang atas nilai dolar dan ringgit... cuba nak jadi hero, cari publisiti murahan. Deyyyy!! Nanti Anda semua akan dilupakan orang!!!

Wednesday, December 9, 2009

Blog MB

Pengumuman!!!
Lawati blog YAB Menteri Besar yang baru diwujudkan hari ini di ... mbkedah.blogspot.com
InsyaAllah, lepas ni ucapan2 rasmi dan aktiviti MB akan dapat di akses di blog beliau.

8 Disember 2009

Hari ini berita di akhbar dan blog tentang Taklimat Dan Diskusi Isu-isu perumahan 6 Disember lalu membuat kesimpulan... Polisi Kuota 50-50 ditangguhkan untuk mencari kaedah lain yang lebih sesuai. Bernama menulis begini...

ALOR SETAR: Pelaksanaan dasar baru perumahan di negeri ini yang menetapkan kuota 50 peratus untuk Bumiputera, ditangguhkan sehingga satu garis panduan baru yang lebih jelas dikeluarkan.Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pelbagai kaum.

"Tangguh dulu pelaksanaan kuota 50 peratus ini sebab nampak ada pihak tak puas hati dengan dasar ini dan kita akan cari kaedah yang lebih munasabah untuk menyelesaikan masalah ini."Kita tak mahu ada yang kata dasar yang dibuat ini, tidak adil dan isu perumahan jadi berlarutan, sebab kuota 50 peratus tu bukan dasar umum, yang beri gambaran seolah-olah semua keadaan tanah mesti ada 50 peratus kuota untuk Bumiputera," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman di sini. - Bernama

Saya mempengerusikan taklimat dan diskusi itu, saya juga mengikuti sidang akhbar selepas itu. Paling jelas kepada saya ialah polisi ini bukan ditangguhkan, tetapi yang ditangguhkan ialah proses meluluskan permohonan untuk membangunkan kawasan perumahan baru yang melibatkan swapping (kerana swapping lah polisi ini diwujudkan) . Penangguhan ini bertujuan untuk kerajaan membuat kajian, semakan, dan meneliti setiap permohonan dalam kategori itu, sejauh mana keperluan untuk melakukan swapping! Maka, dengan sendirinya kuota 50-50 yang ditetapkan dalam tanah-tanah melibatkan swapping, tertangguh! Inilah yang tidak dilaporkan dalam berita hari ini dan semalam.

Setelah sesuatu permohonan kebenaran merancang (pembangunan kawasan perumahan baru ) yang melibatkan tanah swapping diluluskan, maka polisi kuota ini akan tetap terpakai. Hak dan tanggungjawab meluluskan setiap permohonan terletak kepada pihak berkuasa negeri, bukan terletak kepada urutan prosedur yang dipatuhi atau dilanggari oleh pemaju!

Mari kita memahami kandungan taklimat itu, supaya pembetulan dan penambahbaikkan kepada berita-berita hari ini dan semalam dapat dilakukan.

ISU PERTAMA

Matlamat dan tujuan Dasar dan polisi Perumahan:

1. Melaksanakan Keadilan kepada semua lapisan rakyat terhadap hak untuk mendapatkan rumah sebagai keperluan asas (basic necessity), terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah. Matlamat ini dapat dijayakan melalui bantuan perumahan kerajaan (yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi) dan penetapan kuota perumahan kos rendah yang disyaratkan kepada pemaju.

2. Memansuhkan dasar pecah dan perintah (devide and rule) yang diperkenalkan oleh penjajah yang menyebabkan taburan penempatan penduduk berasaskan kaum dan ekonomi (Melayu di kampung, Cina di bandar perlombongan dan India di estet). Masyarakat masa depan mesti mencapai integrasi melaui pergaulan yang harmoni dalam satu komuniti penempatan yang sama. Unjuran JPM pada tahun 2020, 60% penduduk Kedah akan mendiami taman-taman perumahan apabila tanah-tanah tradisi tidak lagi lagi mampu menampung pembinaan kediaman menerusi pinjaman dan gadaian kepada institusi kewangan.

3. Rumah-rumah yang dibina di Kedah mesti mengambilkira kedudukan sosioekonomi rakyat kedah, dimana pembinaan rumah mampu milik (affordable house) mesti diutamakan. Pada masa ini, kerajaan berpandangan rumah sebagai keperluan asas semua rakyat lebih utama daripada pemilikan rumah sebagai aset untuk perniagaan/pelaburan.

Demi mencapai matlamat ini, beberapa kepentingan beberapa pihak mesti dikorbankan (dalam istilah ekonomi di sebut "kos melepas")

ISU KEDUA

Polisi 50-50 bukanlah dasar umum perumahan bagi semua kategori tanah. Ia hanya bagi tanah-tanah yang terlibat dengan proses swapping. Jika tiada swapping, polisi lama (100% kepada kaum melayu untuk Tanah Rizab Melayu dan 30-70 untuk tanah pegangan bebas sedia ada) dikekalkan. Polisi ini tidak pernah dibantah dan tidak pernah dibangkitkan sebagai isu politik sebelum ini. Ia langsung tidak berubah dan tidak diubah!

TRM hanya boleh dimiliki oleh orang melayu bukanlah isu perkauman. Ia terkandung dalam Kanun Tanah Negara (Land Code) yang menjadi intipati Perlembagaan Negara yang diterima semua kaum.

Kerajaan baru juga memperkemaskan dan menjelaskan lagi polisi 30-70 dalam tanah-tanah pegangan bebas (Free hold) yang diteruskan daripada dasar sedia ada, iaitu dengan penambahan perkataan sekurang-kurangnya 30% mesti dijual kepada orang melayu dan pihak yang ditafsirkan sebagai berstatus "melayu", manakala 70% lagi adalah jualan terbuka kepada mana-mana pihak. Manakala bagi kes di Langkawi, kuota 50-50 dalam tanah pegangan bebas kekal dengan dasar lama, tetapi ditambah perkataan "sekurang-kurangnya".

ISU KETIGA

Swapping: Syarat dan Kesannya.

Swapping mesti mematuhi syarat 'same value and similar character'. Ini yang sukar ditentukan dan sering diabaikan. Jika TRM di Alor Setar diganti dengan tanah di Kubang Pasu, nilainya sudah tidak sama lagi. Maka kerajaan menetapkan tanah yang diganti itu mesti lebih luas 0.5% bagi menghampiri nilainya yang sebenar. Itu belum mengambilkira character (ciri-ciri tanah itu). Sering terjadi, TRM di tengah bandar diganti dengan tanah hutan belukar yang terletak nun jauh dihujung benua. Apakah kesannya kepada TRM dan pemilikannya di negara ini seperti yang ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara? Di Kedah, TRM yang belum diganti setelah dicabut keluar menjadi free hold melebihi 1000 ekar (zaman dulu).

Kerajaan sedang mengkaji apakah perlu swapping hanya dilakukan untuk lot-lot yang dijual kepada bukan Melayu. Katakan 40% daripada Tanah Free hold (yang asalnya TRM di Alor Setar) dijual kepada kaum Melayu, maka penggantian (swapping) hanya perlu dilakukan kepada 60% bakinya. Ini bagi memudahkan pemaju mendapatkan tanah yang memenuhi syarat swapping iaitu 'same value and similar character". Ini adalah satu pembaharuan yang sedang dipertimbangkan, yang akan memberi kelebihan kepada pemaju dan insustri perumahan di Kedah.

Pemohonan membuat swapping di Kedah tidak lebih 20% daripada keseluruhan permohonan membangunkan kawasan perumahan dan bandar-bandar baru. Tetapi 20% ini dicanang oleh media dan pihak –pihak tertentu seolah-seolah kerajaan menekan pemaju dan mengamalkan perkauman melalui polisi 50-50 dalam keseluruhan sektor itu.
Untuk memberi ruang isu-isu swapping ini dihalusi, maka semua permohonan yang terbabit dengan swapping ditangguhkan dulu. Setelah satu kaedah - yang lebih efisyen, kemas, teratur, konsisten, dan boleh dipertahankan - diputuskan oleh pihak berkuasa negeri, barulah permohonan itu akan diproses, dan polisi 50-50 akan terpakai. Apakah ini juga ‘tidak dapat dikesan (?)’ oleh media.

Kesimpulan daripada penjelasan dalam taklimat itu ialah:

a) Semua dasar dan polisi kerajaan dalam perumahan di Kedah adalah kekal seperti dasar lama, kecuali polisi bagi tanah-tanah yang melibatkan swapping.

b) Permohonan dan proses kelulusan yang melibatkan swapping ditangguhkan untuk memberi peluang kepada kerajaan mengkaji keperluan dilakukan swapping dan kesan-kesan daripadanya.

c) Swapping harus memenuhi syarat 'same value and similar character' supaya di masa hadapan TRM ‘tidak tersisih ke hujung benua’.

d) Keutamaan sebuah kerajaan ialah melaksanakan keadilan kepada semua kaum, menjamin hak dan keperluan seluruh rakyat, merancang masa kini untuk kepentingan masa depan serta memastikan ekonomi dapat berkembang. Dalam mencapai hasrat ini, ada 'kos melepas' yang terpaksa ditanggung.

e) Kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan sector perniagaan (kapitalis) berbanding komitmen kerajaan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyt negeri ini.

Sekian

Thursday, December 3, 2009

Taklimat Kuota 50-50 dan Isu-isu Perumahan Di Kedah

Tarikh : 6 Dis 09
Tempat : Bilik Grakan Tingkat 4, Blok B, Wisma Darul Aman
Masa : 3:00 petang

Jemputan
: Dato' Hj Ir Phahrolrazi Hj Zawawi
: Dato' Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah
: Pengarah Jabatan Perancang Bandar & Desa
: Ketua-ketua Jabatan yang terlibat

Peserta
: Wakil Parti Politik
: Wakil NGO semua Kaum
: Pemaju Perumahan
: Dewan-dewan Peniagaan
: Dewan Perhimpunan semua kaum
: NGO-NGO yang berminat.

Hubungi
: 012-5969220
: 019-3356724

Tempat Terhad.

Tuesday, December 1, 2009

Apa Khabar kota Siputeh??

Kota Siputeh (KS) sunyi sepi sementara waktu ni... dalam kesunyian yang diusahakan oleh SPR dan UMNO melalui mahkamah, depa sebenarnya sedang membuat persiapan untuk mempertahankan kerusi itu dalam PRK akan datang. Beberapa pimpinan UMNO negeri dan Pusat membayangkan PRK akan berlaku pada bulan Januari atau Febuari 2010.
Dalam deretan bakal-bakal calon yang saya pernah sebutkan sebelum ini, ada penafian segera dari TPM perihal Mukhriz yang disebut-sebut bakal mengisi tempat itu. Ini bagi meredakan gelora politik UMNO Kedah yang sedang mengganas sesama sendiri. Masalah dalaman depa tidak berupaya diubati oleh yang 'afdhal dan semporna', malah kehadiran tokoh itu mendatangkan malu dan rendah diri di kalangan pimpinan sedia ada.
KS rupanya panas dari dalam. Mungkin kerana marah dan geram gara-gara YB depa terlucut melalui mahkamah, beberapa papan tanda cawangan PAS di sembur cat merah... dan gambar-gambar MB di billboard dikoyak puak-puak 3 suku. Kata seorang pemimpin UMNO, mungkin depa tu diupah, atau depa memang tak dak akai. Saya meminta KCE yang bertanggungjawab memasang billboard itu segera membuat laporan polis dalam kes menyoyak gambar MB. DPPNK juga aka membuat laporan.
Ada lagi puak yang macam tu dalam politik masa la ni. Kenapa marahkan MB dan PAS sedangkan yang menghukum depa hilang kerusi itu ialah mahkamah... dan yang menyebabkab kerusi itu hilang ialah penyandang kerusi yang tidak hadir ke sidang DUN?
KS ada 19,000 pengundi, 17 ribu melayu, 1500 cina, selebihnya siam dan india (angka lebih kurang). Pilihanraya 2004, PAS kalah dengan majoriti 2200, dan 2008 berkurang menjadi 495. Dalam sejarah, PAS tidak asing di Kawasan Jerlun. Dato Abu Bakar Hamzah pernah menang kerusi Parlimen Jerlun 2 kali, dan Ustaz Abu Bakar Othman sekali. Ust Abd Ghani Ahmad menang di DUN Air Hitam 2 kali juga. KS saja belum menang.
Kalau tengok angka yang semakin berkurang tu... PAS boleh menang, tapi dengan jalan yang sukar, tambahan pula dalam pilihanraya kecil. Agensi yang buat kerja untuk UMNO macam JASA dan Seranta sedang ligat di sana, termasuklah MIO dan SB, dan dah keluarkan cula depa...UMNO menang dengan majoriti melebih 1000 undi. Betoika???

Monday, November 30, 2009

IKHLASKAH BTN???

Pada tahun 1992, saya di tingkatan 6 (bawah) di Sek Men Derma Kangar, Perlis. Saya terpilih mengikuti Kursus BTN di Kem Bina Insan, Bukit Cerakah, Meru, Kelang bersama 5 pelajar lain. Kursus itu dianjurkan oleh BTN dengan kerjasama GPMS, melibatkan pelajar dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Saya sangat mengenangkan kursus itu kerana 'awek yang saya minati' si Azliza, turut terpilih, dan selepas kursus itu, dia memang menjadi awek saya selama 2 tahun.


Antara yang saya ingat sampai sekarang ialah lagu yang kena hafal isitu 'seroja' dan 'bumi dipijak milik orang'. Lagu GPMS saya sudah lupa. Jurulatih yang melatih kami ialah bekas-bekas tentera yang garang dan suka maki hamun. Ramai yang menangis bukan kerana insaf tapi kerana geram dan takut.


Episod 'keinsafan' yang paling berkesan ialah sewaktu kami diarahkan mencantumkan keratan kad yang dipotong-potong dengan arahan yang mengelirukan semua orang. Kami dilarang berhubung dan berbincang dengan kumpulan lain yang masing-masing mendapat sebahagian daripada kad yang dipotong-potong itu dan diarahkan menjaga kerahsiaan kumpulan. Akibat tidak dapat berkomunikasi antara kumpulan, kami dimaki hamun sebagai tidak sayang bangsa, tidak bersatu padu, pentingkan diri, bodoh, tidak kreatif, dan macam-macam lagi tekanan yang diberi oleh fasilitator supaya kami menjadi emosional. Semua peserta menangis (dalam kebodohan orang lain yang disengajakan).


Akhirnya muncul saudara Hafiz Mat Taib dari Kedah merampas mikrofon dan mengarahkan semua ketua kumpulan mengengkari arahan fasilitator dan berkumpul untuk mencantumkan kad itu. Akhirnya ia berjaya dicantumkan dan ayat yang tertulis di kad itu saya sudah lupa. Peserta-peserta lain terutama yang perempuan menangis dan berpelukan, tetapi saya ketawa besar hingga dimarahi. Saya ketawa kerana tangisan 'keinsafan' itu atas sebab yang tidak bersangkut paut dengan bodoh, tidak sayang bangsa, tidak bersatu padu dan sebagainya, tetapi kerana arahan yang diberikan itu memperbodohkan orang hingga memaksa orang meraung tiada punca. (Sekarang baru saya tahu, arahan bodoh untuk memperbodohkan orang perlu dilawan untuk menyelesaikan masalah. Begitu juga tindakan-tindakan bodoh BN sekarang, mesti ditentang, kerana tindakan mereka hampir sama dengan arahan fasilitator BTN 17 tahun dulu)


Saudara Hafiz diambil bertugas dengan GPMS dan menjadi penceramah dalam kursus-kursus BTN selepas itu, (saya tidak pasti berapa lama dia di sana) dan mengulangi modul arahan bodoh untuk membodohkan orang sehingga menangis tanpa sebab yang benar. - (Wajah Hafiz mirip DS Anwar Ibrahim waktu itu - kali terakhir saya jumpa Hafiz kerja di kilang elektronik di Bakar Arang).


Episod lain yang saya ingat ialah merentasi hutan rimba Bukit Cerakah dalam kegelapan malam jam 3 pagi. Sampai waktu subuh, baru separuh jalan, subuh pagi itu ramai yang tumbang sebelum tahiyyat akhir, dan saya beri salam lepas doa qunut. Semua ini kerana keletihan yan teramat sangat.
Sepanjang perjalanan setiap kumpulan diuji dengan macam macam perangkap. Kami juga disuruh menangkap belalang! Satu sampul surat yang ada pada ketua kumpulan cuba dirampas oleh fasilitator dengan berbagai cara. Di akhir perjalanan kami disuruh membentangkan pengalaman dan pengajaran yang ditempuhi. Saya sebagai pembentang membuka bungkusan saya dan mengeluarkan beberapa jenis pucuk kayu dan daun yang saya kutip sepanjang jalan. Ini daun cemumaq, orang kampung saya panggil daun seneru, boleh buat ulam dan menghalau hantu....ini terung ceweng, buat peluru senapang main kombat dan buat tambah cacing kerawit... ini umbut tepus, boleg buat ulam buat buang angin... semua orang ketawa!
Penceramah dalam kursus itu mengasak sentimen bangsa dan tanah air, seolah-olah bangsa saya dan tanah air saya hendak dirampas orang. Saya bertanya bukankah ada pemimpin politik yang diamanahkan menjaga bangsa dan tanahair, apa dibuat hingga tanah ini hendak dirampas. Itu sajalah fikiran budak tingkatan enam. Soalan saya tidak dijawab.
Semua yang saya dapat dalam kursus BTN itu cuma bertahan dalam kepala dan minda saya selama 2 bulan...lepas itu semua hilang...yang bertahan agak lama ialah si Azliza saja...2 tahun!
*************************************************************************
Saya ke BTN lagi semasa di tahun 1 di USM. Kali ini ke sebuah kem di Rawang. Penekanan kursus kali ini ialah pemilikan harta dan kenapa orang melayu perlu menguasai ekonomi. Diceritakan ada orang melayu yang ada harta di Australia, dan kita semua perlu mengikut jejak langkahnya....tidak lama selepas itu, MB Selangor ditahan kerana bawa wang tunai berpeti-peti ke Australia...itu yang disuruh contohi?!!
Kali ini pun saya pergi dengan awek yang baru dipikat sekitar 2 bulan rasanya, si Rozi (bukan nama penuh). Saya dilantik menjadi imam di surau. Kerana jadi imam itu, ada makmum yang menegur saya kerana 'couple'. Teguran itu dibuat dengan surat layang melalui saudara Nazri, pelajar HBP.
Surat itu tertulis... "Saudara menjadi imam kepada kami, tetapi saudara berpegangan tangan dengan kekasih... ingatlah saudara! Tangan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim yang bersentuhan akan dibakar oleh bara api neraka yang sangat panas. Ingatlah firman Allah... wala taqrabuzzina..... "dan jauhilah kamu daripada perbuatan yang membawa kepada zina". Ayat ini menikam lubuk hati dan menyalakan semula nur keimanan dan membangkitkan keinsafan yang semerta.
Dunia di depan saya menjadi terang dan lorong yang saya telah lalui terasa gelap gelita.
Terima kasih tidak terhingga kepada penulis dua tiga potong ayat yang tulus ikhlas, telah mengubah haluan hidup saya 360 darjah.
Saya segera mencari buah hati untuk membuat keputusan yang besar...kita putus di sini saja... saya sudah menemui jalan hidup saya, yang saya tahu kamu tak akan mengikutinya. Dia menekup muka dengan tapak tangan dan menangis kebingungan, kenapa ini terjadi??? Setelah diterangkan (saya tidak lagi merenung matanya), dia faham dan redha....
Kerana teguran yang menusuk hati itu, saya memaksa Nazri menunjukkan kepada saya siapa pengirimnya.... selepas diugut untuk dibelasah, Nazri pun memecahkan rahsianya.... penulis surat itu bertudung labuh, dan Dia menulis surat itu kerana meluat dengan gelagat tok imam yang menyeleweng.
Hanya dengan sehelai kertas dengan 3 potong ayat, yang ditulis dengan niat yang mulia, telah merobah hidup seorang manusia seperti saya... kursus 4 hari 5 malam dengan belanja ribuan ringgit itu, tidak memberi apa-apa makna!!! Apatah lagi niat sebenar disebalik kursus itu sekarang menjadi pertikaian besar. Ikhlaskah BTN selama ini untuk mengubah dan membina seorang manusia???
Saya meminta bantuan Kakak Tahun 4 untuk mengenalinya selepas kursus itu. Setelah 3 tahun mencuba, akhirnya dia memberi jawapan....sekarang dia menjadi isteriku!!! Khalas...

Perkasakan Tarbiyyah - Perkukuhkan Parti

1. Parti Islam Se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam [ Harakah Islamiyyah ] yang mengambil pendekatan menyertai pilihanraya sebagai sebuah parti politik yang berdaftar .

2. Politik adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangan Islam yang wajib dilunas sebaik mungkin . Ianya menjadi alat atau wasilah untuk mendapatkan kuasa bagi mendaulatkan syariat Islam sebagai satu perundangan atau peraturan yang adil , telus , saksama dan bestari .

3. Namun begitu menang dan kuasa hanyalah wasilah perjuangan bagi mencapai matlamatnya iaitu redha Allah swt . [ الله غايتنا ] . Mutaakhir ini saya lihat ada beberapa perkara yang memerlukan allignment dan balancing di dalam PAS agar perjalanan atau pergerakkan PAS menuju destinasi [ matlamat ] tidak makan sebelah dan bergegar sepanjang jalan .

4. Ucapan dasar Presiden PAS telah menegaskan bahawa PAS mesti bergerak seimbang [ tidak makan sebelah ] dan tenang [ tidak bergegar ] dengan 3 fungsi utamanya iaitu :

a] Harakatut Tarbiyyah ,
b] Harakatud Dakwah dan
c] Harakatus Siyasiah .

5. Pada pengamatan saya , kini ramai [ sebahagian ] pimpinan dan anggota PAS agak berlebihan dalam menumpukan gerakkerja politik [ harakatus siyasiah ] sementara sangat tidak mengambil berat terhadap gerakkerja tarbiyyah . Mereka sanggup bersengkang mata untuk memastikan kemenangan kerusi mereka bahkan sanggup jua bertegang leher sesama sendiri demi sebuah strategi politik . Terlalu ghairah untuk menang besar dan menang cepat dalam pilihanraya sehingga mengorbankan sahabat seperjuangan dalam PAS .

6. Amal tarbawi seperti tiada lagi tempat dan ruang . Ukhuwwah sesama pimpinan dan anggota parti dilihat sinis . Mudah bertengkar dan bermasam muka . Sering dipengaruhi rasa curiga antara satu sama lain . Memandang sahabat seperjuangan seperti musuh yang dilapah dan disiat seluruh maruah dan aibnya di dada akhbar dan blog . Sukar bertolak ansur sebaliknya mudah bersengketa . Berbicara sesama sendiri seperti bicara dengan musuh .

7. Bukan sahaja parti bergerak secara tidak seimbang [ makan sebelah ] tetapi juga tidak tenang [ bergegar ] sepanjang jalan . Suara luar boleh masuk dan mempengaruhi sebahagian pimpinan PAS dengan mudah . Tahap thiqah [ kepercayaan ] kepada pucuk pimpinan parti semakin berkurangan . Budaya menghentam pimpinan secara terbuka semakin menjadi trend . Rahsia parti dan minit mesyuarat dibongkar tanpa rasa bersalah . Mereka berpolitik bukan hanya dengan musuh tetapi lebih hebat sesama sendiri .

8. Saya lihat perlunya kedudukan dan perjalanan parti kita ditimbang dan dibetulkan semula . Semua pihak sewajarnya ambil peranan ini dengan penuh insaf dan sedar . Kembalikan izzah berjamaah dengan semarak amal tarbawi . Bina semula wehdatul fikri dan wehdatul amal . Jaga kerahsiaan jamaah dengan mengenal pasti apa yang patut rahsia dan apa yang patut dedah . Fikrah Islam mesti jelas ! jangan biarkan ia kabur disebalik jerebu kemenangan .

9. Semua pihak mesti merendahkan sayap . Kembalikan suasana lazat dan seronok bekerja dalam jamaah . Pastikan berjuang untuk menambah pahala bukan berjuang untuk memperbanyakkan dosa dek kerana fitnah dan pertelingkahan sesama sendiri . Berlapang dada dan bersedia untuk dinasihati dan ditegur . Hidupkan semula amal tarbawi biarpun dengan gaya moden atau paling tidak , kekalkan warisan tradisi yang soleh seperti usrah , tamrin qiadi , mukhayyam tarbawi , liqa fikri , ijtima' tarbawi dan lain - lain .

10. Perkukuhkan parti kita [ PAS ] sebelum kita nak perkukuhkan parti orang lain . Fokus pada potfolio yang diamanahkan kepada kita . Usahlah kita ambil kerja orang lain atau dalam bahasa lain menggali tanah kebun orang lain . Menuding dan menilai kerja orang lain bagaikan nak rak tetapi malang kerja sendiri entah kemana failnya . Pada masa yang sama , perkasakan amal tarbawi . Jangan culas untuk hadhir program yang membina diri , aqidah dan fikrah . Usah berlagak pandai dan bijak . Rendahkan sayap demi amal jamaei . Kurangkan alasan atau jangan banyak sangat bermain alasan untuk tidak melibatkan diri dengan program amal tarbawi , kerana kelak menjadikan kita tidak seimbang [ makan sebelah ] .

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi

Dari Blog Ketua Pemuda PAS Pusat

Sunday, 29 November 2009

Takutlah Doa Mangsa Kezaliman

1. Ameen Ya Rabbal A'lamin . Saya dan seluruh pemuda Islam insyaallah mengaminkan doa Tok Guru sebagai seorang ulama' dan pemimpin yang dizalimi tanpa sebarang belas simpati .

2. Sabda Rasulullah saw :

اتقوا دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجاب

[ Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab - halangan - ]
ibnu Hibban

3. Rakyat dan pemimpin negeri Kelantan telah dizalimi apabila Kerajaan UMNO dan BN gagal memberikan hak mereka berupa royalti hasil minyak petroleum kurniaan Allah swt kepada bumi Kelantan . Kegagalan Kerajaan UMNO dan BN menunaikan tanggungjawab mereka memulangkan hak rakyat negeri kelantan sebenarnya adalah sikap yang dicela oleh Allah swt .

4. Belumpun sempat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berdoa , terlebih dahulu kutukan laknat dari Allah swt telah mengenai orang yang berlaku zalim biarpun ia mengaku muslim malah mendirikan sembahyang . Lihat sahaja bagaimana firman Allah swt di dalam surah al Maa'un ayat 4 hingga ayat 7 :

فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون و يمنعون الماعون

[ Maka celakalah bagi orang yang mendirikan sembahyang namun lalai di dalam sembahyangnya , orang - orang yang riya' dalam amalannya dan mereka yang menghalang rezeki - barang bermanafaat dari sampai kepada pihak yang selayaknya - .]

5. Antara rezeki dan harta atau barang yang bermanafaat untuk rakyat Kelantan ialah royalti justeru royalti adalah hak mereka . Malangnya kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib termasuk dalam golongan mereka yang menghalang rezeki tersebut . Tuan Guru selaku pemimpin kerajaan negeri sudah jenuh berikhtiar dengan penuh diplomasi sebelum ini , nampaknya Datuk Najib dan kerajaan UMNO dan BN yang dipimpinnya tidak memahami bahasa diplomasi .

6. Bahasa apa lagi yang boleh digunakan oleh golongan tertindas melainkan hanyalah mengadu kepada Tuhannya yang Maha Adil lagi Maha Mendengar doa hambaNya yang terainaya . Doa adalah senjata orang yang beriman terutama saat mereka kehabisan ikhtiar dan tiada pilihan lagi .
[ الدعاء سلاح المؤمن ]

7. Adapun langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut nama di dalam doa beliau sebenarnya tidaklah bercanggah dengan sunnah bahkan Nabi saw pernah menyebut nama - nama mereka yang menentang dan menzalimi baginda saw dan ummat Islam . Nabi saw saat hiba mengenang perbuatan Quraisy [ Uqbah bin Abi Mu'it ] yang meletakkan najis di atas belakangnya sewaktu sujud dihadapan Kaabah , sejurus dibersihkan jasad Baginda saw oleh Fatimah radhiallahuanha , Rasulullah saw berdoa :

اللهم عليك بقريش

Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Quraisy . [ sebanyak 3 kali ]

8. Sebaik mendengar doa ini , penduduk Quraisy yang tadinya ketawa besar melihat keadaan Muhamad saw tiba - tiba terdiam kerana takutkan doa tersebut . lalu Nabi saw menyambung doanya :

اللهم عليك بأبي جهل بن هشام و عتبة بن ربيعة و شيبة ين ربيعة و الوبيد بن عتبة و أمية بن خلف و عقبة بن أبي معيط

Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMU urusan untuk membinasakan Abi jahal bin Hisyam , Utbah bin Rabia'h , Syaibah bin Rabia'h , al Walid bin Utbah , Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't .

Ibnu Masu'd bersumpah : Demi Allah yang diriku berada didalam genggamanNya , kesemua nama yang disebut itu terbunuh didalam peperangan Badar .Sirah Ibnu Ishaq.

9. Zambry [ Menteri besar Perak yang tidak sah ] menunjukkan kejahilannya apabila mengeluarkan kenyataan kononnya Nabi saw tidak pernah mendoakan kecelakaan Abu Lahab . Mungkin Zambry juga tidak membaca al Quran Surah al Lahab . Bukankah Allah swt telah berfirman maksudnya :

Celakalah Kedua - dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia akan binasa . Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan . kelak dia akan masuk ke dalam api yang membara . Dan begitu pula isterinya , pembawa kayu api yang dilehernya ada tali dari sabut .

Jika Allah telah melaknatnya dan ayat itu dibaca sepanjang zaman . Apakah Zambry memerlukan ayat lain untuk melaknat Abu Lahab ? Ayat ini dibaca oleh Nabi saw dan seluruh ummatnya disepanjang zaman .

10. Selayaknya orang yang dizalimi bersabar dan bermunajat kepada Allah swt . Allah adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui . Allah tidak akan mensia - siakan doa hambaNya yang menderita dan sengsara angkara kezaliman .

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi at 12:06 1 comments Links to this post

Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA UNTUK SELURUH UMAT ISLAM DI MANA JUA BERADA. HAYATILAH TUNTUTAN IBADAH KORBAN DAN IBADAH HAJI UNTUK PANDUAN MENERUSKAN KEHIDUPAN. SELAMAT BERJUANG!!!

Tuesday, November 24, 2009

Mukhriz Jadi Calon BN Di Kota Siputeh??

Surat khabar hari ni dah mencanangkan anak bekas PM ni untuk bertanding di Kota Siputeh. Dia paling top sekarang ni. Ada 6 nama yang disebut-sebut untuk bertanding di pihak BN, selain Mukhriz yang sekarang ini jadi Timbalan Menteri, Man Pin, Pak Abu, Man Aziz, wanita besi dan ketua pemuda ada dalam senarai pendek depa. Pemuda UMNO dan pun mengarahkan pemuda seluruh negara mengerahkan 4 petugas dari setiap bahagian turun bertugas di Kota Siputeh (KS). Ada yang sudah bertanya-tanya jauh mana KS dari Danok dan Hatnyai? Tidoq sana boleh jimat duit dan......
Hujung belah ni Kodiang, hujung sana Sanglang...tu lah KS...tak dah pun pagaq sempadan dengan siam... tapi kalau nak gagah juga dok belah sana...silakan!
Ramai juga Penganalisa politik tempatan, khususnya yang masak dengan gelora UMNO Kedah setuju kalau Mukhriz jadi calon. Dia duit banyak depa kata. Di belakang dia gergasi besaq yang kaya raya di zaman pak dia jadi PM, macam tokey Maxis dan tokey garam yang juga bekas Menteri Kewangan. Dia nak ditonjolkan sebagai 'bakal MB Kedah' macam Awang Adek hari tu di Kelantan.
Dato' Jo di Kubang Pasu pun tentu setuju sebab lepas ni anak bekas Ketua Bahagian itu (yang juga bekas PM) yang kalah pertandingan untuk jadi perwakilan akan berpindah ke Jerlun. Selamatlah beliau di Kubang Pasu. Kalau tidak, lepas ni mungkin dia mintak Jitra.... Adun lani yang rajin melawat kedai 24 jam tengah malam tu takkan nak dok diam, kan?
KS adalah kubu UMNO sejak 'tuhan buat dunia ni lagi'.... kata MB. PAS tak pernah menang kerusi DUN itu tetapi pernah menang kerusi Parlimen Jerlun 2 kali, tahun 1969 dan 1999. Mungkin tahun 2009 ni, (kalau jadi PRK tahun ni.....) kubu tu boleh diruntuhkan. MB awal-awal lagi sudah membayangkan kesukarannya, tapi akan tetap bertanding... tidak mustahil tapi sangat sukar untuk menang.
Masa wartawan tanya hari selasa lalu, MB kata PAS dah lama bersedia dan sudah ada calon-calon yang akan dipertimbangkan. Pokoknya, calon PAS nanti adalah calon yang pengundi KS mau, yang boleh membawa kemenangan. Kita tunggu la tengok sapa dia....
BN menang pada Mac 2008 dengan majoriti 495 undi.Tak la besaq sangat. Kalau dengan keadaan semasa prestasi kerajaan PR di Kedah.... tak pelik kalau pengundi terus memberi isyarat supaya kerajaan ini di kekalkan, dan isyarat awal tu mai dari KS.

Ke Garisan! Sedia! Baaaannnggg!

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) petang tadi menolak permohonan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman kes Kota Siputeh yang telah dibuat pada 16 November lalu. Maknanya... responden-responden dalam kes Kota Siputeh (SPR dan Bekas Adun) hanya ada satu talian hayat saja lagi untuk menafikan pilihanraya kecil di DUN itu....yakni Mahkamah Rayuan. Siapakah yang akan bersidang di meja Hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar kes ini?
Hakim-hakim sekarang ramai yang sudah berubah, memperbaiki persepsi rakyat terhadap mereka dan institusi kehakiman. Sejak 1988 hinggalah mutakhir ini dalam kes Linggam, hakim-hakim dicurigai. Kecuali hakim-hakim yang pernah terpalit dengan dosa mempertahankan pemimpin BN yang korup, hakim sekarang sudah mula menilai pandangan orang terhadap mereka....saya harap pandangan ini betul!
Dalam kes Kedah, ramai Hakim yang menghormati kredibiliti dan integriti YAB MB. Lebih separuh daripada mereka yang mengenal hati budi MB sewaktu belajar di England dan sewaktu menjadi pensyarah di UKM. UIA dan Mindanao University. Dia adalah antara pengasas Kuliyyah Of Law di UIA bersama Alayarham Tan Sri Ahmad Ibrahim. Saya pernah melihat gambarnya bersama tokoh itu dalam satu persidangan melibatkan pensyarah dan pengamal undang-undang peringkat antarabangsa.
Tidak ramai yang menguasai undang-undang syariah dan sivil dan boleh menyampaikan kuliah dalam bahasa Inggeris dan Arab di Malaysia. Ust Azizan adalah salah seorang daripadanya. Dia lulusan Al-Azhar dan University Of Kent, England. Dia juga mengasaskan fakulti syariah dan undang-undang di Mindanao University.
Menurut salah seorang bekas pelajarnya, hanya dua orang pensyarah yang memberi kuliah undang-undang tanpa membawa nota sewaktu dia di UKM, TS Ahmad Ibrahim dan Ust Azizan. Ada gudang besar dalam bidang perundangan dalam kepalanya.Kredibiliti dan integriti itu terserlah dalam tempoh 20 bulan sebagai MB Kedah.
Speaker DUN Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail juga bukan calang-calang. Orangnya nampak lembut dan low profile. Tapi dia membuktikan ketinggian intelektualnya dalam mengendalikan DUN Kedah. Dia lulusan PhD di bidang-bidang ekonomi dan pengurusan. Dia menguasai sepenuhnya tugasannya. Peristiwa dalam sidang kelmarin membuktikan bahawa dia tahu apayang dia buat sewaktu memanggil YB Yahya Abdullah menggantikannya untuk beliau menunaikan solat.
Bekas MB dan bekas Exco kanan (Adun Bakar Bata) bingkas membuat bantahan dan meminta usul dibuat oleh MB supaya penggantian tersebut 'sah'. Rupa-rupanya kedua-duanya tidak merujuk buku peraturan dewan yang mengizikan speaker meminta diganti tanpa memaklumkan kepada dewan. Mujur Adun Kubang Rotan bangun membaca peraturan dewan, yang sekaligus mengesahkan kedua-duanya (walaupun pernah jadi MB dan Exco Kanan) tak berpengetahuan dalam hal yang mereka bangkitkan. Terduduk dan terngangalah keduanya. Semua yang hadir di sidang kelmarin mendapat satu ilmu dengan peristiwa itu.
Dua tokoh dari Kedah yang sedang memimpin Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri adalah pemimpin terbaik waktu ini. Mereka tidak mungkin 'mencari pasal' dengan mengemukakan satu 'pengajaran' kepada demokrasi dan undang-undang di negara kita. SPR yang selama ini kebal dengan tafsiran dan tindakan yang sentiasa dilihat memihak kepada BN 'terantuk dan terngadah' dengan kes dari Kedah. Saya berpendapat tidak ada hujah lagi untuk undang-undang ditafsirkan selain dari tafsiran mahkamah tinggi 16 dan 23 November 2009.Ia akan jadi kes rujukan dalam kes-kes seumpamanya selepas ini. Bukankah ini satu sejarah kepada demokrasidi Malaysia?
Kepada petugas-petugas parti, 'warm-up' sudah, panggilan 'Ke Garisan' pun sudah, 'Sedia' pun dah dengar petang tadi......pasang telinga elok-elok untuk 'kenjoi' bila dengaq bunyi tembakan.....baaanggg! Ha...tunggu lagi?

Wednesday, November 18, 2009

Salam Satu Malaysia YB Lunas

Salam Satu Malaysia tak sama dengan ucapan Salam (Assalamualaikum) yang disunatkan, dan tak dak jawapan yang diajar oleh Nabi maupun pemimpin Negara untuk menjawab salam itu....setakat senyum aja lah... Kalau nak jawab juga..jawablah Salam Reformasi!.
Petang ini, YB terakhir yang berucap dalam sidang DUN ialah YB Lunas..dan dia mulakan dengan Salam Satu Malaysia... banyak intepretasi yang boleh dibuat dengan ungkapan itu. Bagi saya dia sudah dibaluti aliran politik pembawa salam itu, DS Mohd Najib Tun Razak.
YB Lunas ni pada satu pandangan, 'persepsi' lah kata Zol Tolang sejak balik dari seminar hari tu, berani berhadapan dengan Ahli Dewan yang pernah menjadi rakan satu parti dan satu pakatan, walaupun sudah lompat ke sebelah sana. Macam tak ada apa-apa... Dia memang pandai buat selamba macam tak dak apa-apa.
Dari satu persepsi yang lain, dia cuba menggambarkan dia tetap macam biasa aja walaupun melompat, tak ada yang ganggu, tak ada ancaman, masih hidup dan masih jadi wakil rakyat. Oleh yang demikian, dia cuba buktikan melompat adalah langkah yang selamat dan normal. Jadi mana-mana YB lain yang ada hasrat berbuat demikian, bolehlah meneruskan hasrat itu, kerana tak ada apa-apa yang berlaku.
Jika ada orang yang menuruti jejaknya, di saat PAS dan PR sedang bersiap menghadapi Pilihanraya Kecil Kota Siputeh, maka, mungkin habuan yang dijanjikan kepadanya akan luruh... dan dia bolehlah menyawa sikit.
Maaflah YB Lunas!!!
Alhamduluillah, round pertama kita menang. Mahkamah dah putuskan SPR silap kerana tak istihar pilihanraya kecil Kota siputeh tempohari. Kata Hakim, SPR tidak boleh melampaui kuasa yang diperuntukkan di bawah bidang kuasa Speaker mengikut perkara 51, Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri kedah.
Bukankah sudahku katakan!!! Jangan buat kerja orang lain!
Apapun, kedua-dua responden (SPR dan Bekas ADUN) sudah mengemukakan rayuan di mahkamah rayuan. Kita dengar la pula Mahkamah Rayuan nak kata apa...
Hari ini hari kedua sidang bajet DUN Kedah. Ramai yang berucap. Ada siaran Langsung di TV Internet. Lawati wartadaily.com. Semua ADUN yang bangun berucap menyokong bajet yang dibentang oleh YAB MB. Apa lagi nak kata kan???

Monday, November 16, 2009

Ish!!! Tangguh Lagi

Dok tunggu keputusan mahkamah...mula kata nak mula sidang jam 2.30... pukul 3 boleh tau laaa...tup-tup Dato' Speaker kata mahkamah tangguh sidang, pukul 4 baru nak mulaaaa....letih dan berdebar juga.
Geng belah sana pun dok bedebaq jugaaa..takkkan dah tukaq hakim pun kes nak kalah jugaaa... waktu aku dok tulih ni, jam dah 4.02... tunggu sat lagi laaaa kot...
Dengaq kata depa nak buat heboh dalam dewan macam jadi kat Perak...betoi ka? Kita tunggu esok pula la yang tu...

Sunday, November 15, 2009

KOTA SIPUTEH...MENANTI HARI ESOK

Salam semua, lama tak posting...line di rumah ada problem sikit...sikit sajaaaa..bil lupa bayaq..line kena potong..sampai lani lahhh tak bayaq-bayaq lagi.
Esok ada peristiwa penting dalam Negeri kita ni...penting mencakupi isu perundangan dan politik. Dalam dua tahun ni, macam-macam benchmark yang kerajaan negeri pasakkan. Setiap satu diamati dengan teliti dan detail..apa nak berlaku esok?
Esok, keputusan mahkamah berkaitan semakan kehakiman keputusan SPR tidak mengosongkan kerusi Kota Siputeh! Percicaraan dibuat dihadapan hakim Yang Arif Dato Affendi Ali yang ditugaskan (ditukarkan) untuk kes itu pada 1 Nov 09.
Hari ini Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan pertukaran itu, tapi itu sudah 'terlepas keretapi'. Kata DPPP Hakim itu adalah bekas Bendahari Umno Kelantan! Isunya pada saat ini ialah apa keputusannya esok! Bukan lagi siapa Hakim yang dengar kes, kenapa ditukarkan hakim (asalnya Hakim lain). Perbicaraan bermula 12 Nov lalu, esok (16 Nov 09) adalah penghakimannya. Kita tunggulah keputusannya.
Kalau mengikut hujah peguam, kes yang dibawa oleh Dato' Dr Abdul Isa (Speaker kedah) sangat kuat. Satu-satunya hujah SPR yang boleh diterima telinga ialah SPR tidak boleh mengadakan pilihanraya terlalu kerap kerana kosnya tinggi. Sedaif-daif kita dalam bab undang-undang, kos pilihanraya kecil dan peraturan yang termaktub dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah adalah dua isu yang tidak berkaitan. Takkanlah kerana kos pilihanraya tinggi, undang-undang tubuh kerajaan boleh diabaikan?
Kes esok akan jadi rujukan (precedent) kepada kes-kes akan datang. Mana-mana wakil rakyat boleh 'tuang' sidang DUN atau Parlimen ikut suka dia kalau kes esok memihak kepada Abu Hasan Sharif. Kalau keputusan memihak kepada Speaker, maka penafsiran undang-undang masih memberi ruang kepada Speaker menjalankan kuasa yang diserahkan kepadanya oleh DUN.
Saya berpendapat, masih ramai pengamal undang-undang dan penegak hukum maupun orang yang memberi tempat kepada peraturan menguruskan pertikaian akan memberi sokongan kepada Speaker. Biar hukum memutuskan kes-kes seperti ini, bukan diserahkan kepada sebuah suruhanjaya yang kerjanya mengadakan pilihanraya, membuat keputusan berasaskan malas berbelanja untuk buat pilihanraya.
Esok, generasi akan datang akan tetap bertegas mematuhi undang-undang tubuh kerajaan, terus merujuk kepadanya, dan tidak memandai-mandai patuh kepada sebuah badan lain yang kerjanya lain!! Macam-macam terjadi dalam tempoh singkat ini.... Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Monday, November 9, 2009

Alhamdulillah...dan terima kasih kpd semua sahabat yang email memaklumkan perihal Ahli Majlis yang akan dilantik semula Disember ini. Banyak email masuk, 70% adalah komen negatif tentang prestasi individu yang telah diamanahkan ke jawatan itu. Ada beberapa jawatan dan jabatan yang dilantik sebagai Ahli PBT selaras dengan Akta PBT. Keanggotaan maksimum ialah 24 orang termasuk wakil jabatan yang wajib tadi. Selainnya adalah lantikan politik dan NGO.
Ahli PBT membawa imej pertubuhan dan jabatan yang diwakili. Mereka paling dekat dan hampir dengan kehidupan rakyat. Mereka ada kuasa tertentu selaras dengan undang-undang PBT, merekajuga punya batasan selaras dengan undang-undang. Mereka adalah cerminan Kerajaan Negeri.

Kita tidak mengadakan pilihanraya PBT seperti di sesetengah negara. Ada beberapa alasan yang munasabah untuk tidak mengadakan pemilihan melalui pilihanraya. Saya akan terangkan pada artikel lain. Setakat ini, Ahli Majlis PBT dilantik berdasarkan pencalonan Parti dan NGO. Selepas melalui beberapa proses seperti mesyuarat peringkat kawasan, interview dan penilaian jawatankuasa kawasan/cabang, nama-nama ini akan diangkat untuk kelulusan Mesyuarat EXCO. Lepas diluluskan, mereka akan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia sebagai Ahli PBT.
Tahun kedua ini beri kita peluang menilai prestasi Ahli Majlis yang telah dilantik sebelum ini. Kalau lantikan dulu kurang memuaskan, kita ada ruang untuk membuat pembetulan.
Saya akan foward email tuan-tuan untuk perhatian pihak yang membuat cadangan di setiap kawasan/cabang dan Negeri, supaya perhatian serius diambil untuk memastikan calon-calon adalah personel yang paling tepat dan berprestasi tinggi.
Apa pun, hak untuk membuat cadangan nama-nama calon mesti datang dari Parti peringkat kawasan dan Negeri, bukan oleh saya, ADUN maupun MP. Cuma email dan pandangan saudara pastidapat membantu. Saya ucapkan terima kasih sekali lagi. Masa masih ada hingga 15 Nov 09. Teruskan memberi pandangan saudara, insyaAllah ia dapat membantu kita mara ketahap lebih baik untuk tahun-tahun mendatang. Sekian.

Monday, November 2, 2009

Esok MB Pi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu...sampai 8 Nov..

Adalah dimaklumkan bahawa MB tak dak di pejabat sepanjang 2 - 8 Nov 09 kerana berada di Kuala Lumpur mengiringi KDYMM Tuanku Sultan Ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu....Anapun tak dak juga laaaa.

Bicara Kes Kota Seputeh 6 Nov ni...

Mahkamah telah membenarkan Speaker Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail membuat semakan kehakiman ke atas keputusan SPR mengistiharkan kerusi DUN Kota Seputeh tidak kosong.
Kes ini akan didengar pada 6 Nov 09 dan akan diselesaikan sebelum 17 Nov 09. Pada 17 - 20 Nov ada sidang dewan untuk pembentangan belanjawan 2010.
Sapa nak mai kena pakai baju melayu bersongkok atau long suit lepas perasmian dewan oleh Tuanku Sultan, lebih kurang jam 11 pagi laaa...

Ada Komplain Ahli majlis Sedia Ada, email sebelum 15 Nov09

Tadi ada meeting Sekretariat PR Kedah... memuktamadkan pembahagian kuota Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Dah dua kali mesyuarat.... saya jadi Setiausaha Sekretariat.
Alhamdulillah ada tolak ansur dari semua parti supaya pelantikan baru Januari ni dapat menggambarkan kerajaan tempatan PR. Ahli Majlis sedia ada tamat pada 31 Disember... Kalau sapa sapa ada komplain pasai ahli majlis sedia ada buleh la email...mana tau kot-kot dilantik semula, bising kemudian tak guna dah. Email sebelum 15 Nov 09.

Saturday, October 31, 2009

Semua nak tau??? Mana bulehhh!!

Ada banyak hal boleh cerita, tapi belum siap tulis, kerana ada tugasan lain...surat khabaq dan blog lain dah keluaq...tapi ada lagiii banyak hal yang takleh nak cerita...kategori rahsia!!! Tak kan tak dak rahsia apa kot kan...semua nak terbuka... pecah teraboq la negeri dan negara. Telus dan terbuka bukan bermakna tak dak rahsia pulak kan.... kebelakangan ini banyak tugasan berkaitan dengan maklumat dan berita dalam kategori itu, saya pun angkat sumpah simpan rahsia depan MB dan Semua Exco...jadi kena simpan lah.
Kalau ada yang keluaq di media lain hal yang tidak benar, saya akan segera perbetulkan...jangan risau kena kona sahaq..

Sapa nak piboleh laaa

Speaker: Datuk Zaid Ibrahim Topic: 2-Party System For Malaysia
Date: 2 Nov 2009Time: 8.30- 11.00pm
Venue: Penang Caring Society Complex
(next to Governor's Residence) Jalan Utama, Pulau Pinang.

Upcoming Forum

Title: Survey Results On Najib's Approval Rating
Speaker: Ibrahim Suffian
Director Merdeka Center for Opinion Research
When: 15 Nov 2009

From Malaysiakini at Sembang-sembang Forum

Minggu Ini Adalah Minggu Memperteguhkan Pendirian Dan Mempertegaskan Prinsip

Hindari Politiking dalam Jamaah

PAS adalah Gerakan Islam
Bukan semata - mata Parti Politik


1. Parti Islam se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam yang melaksanakan aktiviti Amal Islami ke arah mencapai cita - cita perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia .

2. Penyertaan PAS dalam medan siasah [ politik ] adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

3. Siasah [ politik ] PAS adalah siasah Islamiyyah yang kaya dengan adab , akhlak dan prinsip Islami yang dipandu oleh wahyu dan sunnah . Semua pemimpin dan anggotanya terikat dengan tatacara yang telah dimaktubkan . Pelanggarannya dianggap satu kesalahan yang tidak wajar dilakukan oleh pemimpin dan anggota PAS .

4. Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik . Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami , PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah [ pemikiran ] , syakhsiyyah [ peribadi ] dan ruuhiyyah [ spiritual ] masyarakat .

5. Justeru itu , kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah .

6. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerakkerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan . Tidak hanya menumpukan isu - isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerakkerja dan aktiviti Amal Islami yang lain seperti pemantapan Aqidah dan Fikrah .

7. Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan . Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam .

8. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang telah mengabaikan solat berjamaah , menjauhkan diri dari majlis - majlis ilmu , tidak lagi melazimi usrah . Ucapannya pula tiada lagi hikmah sebaliknya kasar dan keras . Tindakannya gelojoh , egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai . Gemar bertelingkah dan suka memfitnah . Melakukan dosa tanpa sedar ianya berdepan murka dan kutukan Allah swt . Sebagai contoh mudah , apabila jamaah dan anggotanya dilanda badai dan kemelut , tiada lagi usaha untuk bermunajat dan solat hajat agar keadaan tenang dan terkawal . Sebaliknya berlumba - lumba nak menyalakan lagi isu yang sedia membara .

9. Saban ketika dan waktu hanya merancang bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu [ saingan politiknya ] kerana ia tidak sependapat dengan aku [ atau mereka memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi " demi kebaikan jamaah ...." @ " demi masa depan jamaah ..." dan lainnya sebagai melindungi perkataan sebenar " demi kebaikan aku ..." @ " demi masa depan politik aku ......." ]

10. Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak . Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana nak menang ! bagaimana nak dapatkan undi melayu dan non malay ! tetapi malang , sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka , bagaimana nak pertahankan Islam dan memenangkan Islam ! Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap Islam kerana nanti kita kurang popular dan non muslim akan menjauhi kita .

11. Sebagai anggota Gerakan Islam , kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam . Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani semua ummat , justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia . Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam . Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam .

12. Jangan hanya kita berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sedang kita tidak berusaha untuk jadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka . Bangga meriwayatkan kesederhanaan 2 tokoh pemimpin kita tetapi kita hidup tenggelam dalam kemewahan yang keterlaluan . Bangga dengan tawadhu' dan wara'nya mereka tetapi kita gopoh , liar dan tidak cermat . Bangga dengan karisma dan wibawa mereka sementara kita sering culas dan nakal .

13. Binalah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita membinanya . Pagarilah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita memagarinya . Kalau kita tidak mampu menjadi seperti mereka berdua , ambillah contoh dan ikutlah qudwah mereka bukan menjatuh dan melemahkan mereka serta melaga - lagakan mereka . Kerana itu perbuatan insan yang nakal lagi liar .

14. Berjuang biarlah dapat pahala , jangan berjuang untuk menambah dosa . Berjuang biarlah ramai sahabat , jangan berjuang meramaikan musuh . Berjuang biarlah tenang , jangan berjuang menambah serabut . Berjuang biarlah damai , jangan berjuang untuk bergaduh . Berjuang lah jangan tidak berjuang ....

15. Kita berjamaah untuk Islam bahkan kita menyertai PAS adalah untuk mendaulatkan Islam . Bukan membina empayar individu jauh sekali memburu kekayaan material . Lantaran itu , tidak sukar untuk kita memahami apa yang saya bangkitkan di sini . jangan tukar PAS sebagai Gerakan Islam kepada PAS hanya sebuah Parti Politik .

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi


Ahli PAS Kena Bijak Menghadapi Fitnah Media


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.

Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.

Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PIMPINANKU.....................
Rapatkan Saff
Mantapkan Ukhuwwah
Melandasi Etika
Memacu Gerakkerja

1. Kewajipan ternyata lebih banyak dari masa yang ada pada kita . Justeru itu , jangan lengah , alpa dan bersahaja . Sebaliknya tangkas , tuntas dan cergas .

2. Jangan buka terlalu luas ruang untuk berkhilaf kerana disana terlalu banyak sudut yang boleh kita bersama .

3. Padam secepat mungkin api fitnah yang semakin merebak dan membinasakan jamaah . Sebaliknya , segeralah nyalakan obor persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dan sematkan jiwa berjuang untuk menjulang panji perjuangan ke arah membina negara Toiyyibah [ sejahtera ] dan mengharapkan curahan Maghfirah [ keampunan ]

4. Peliharalah wadah perjuangan suci ini daripada panahan syaithan dan racun iblis agar ia tidak musnah binasa . Korbankanlah perasaan dan apa jua kepentingan diri dan dunia kita andai ia membuatkan jamaah terpelihara , lantaran pengorbanan adalah syarat kemenangan bagi perjuangan suci ini .

5. Mengorbankan tenaga , masa dan wang ringgit barangkali mudah bahkan jauh lebih mudah berbanding korban perasaan terutama saat berdepan keputusan yang tidak memihak kepada kemahuan dan keinginan kita . Sungguhpun demikian , mengorbankan perasaan untuk menerima keputusan mesyuarat [ syura ] sebagai contoh , adalah sebahagian dari ketaatan yang dituntut oleh syara' biar dikala sukar dan getir .

6. Suatu yang paling bernilai dan penting dalam jamaah kita ialah persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dikalangan kita . Ukhuwwah yang diperkaya dengan nilai mahabbah [ kasih sayang ] dan tasaamuh [ tolak ansur ] yang tinggi . Jauh dari bayangan hasad dengki , dendam dan khianat .

7. Seketika jamaah kita terpaksa mengharungi zon sukar . Badai yang mampu menghancurkan seluruh struktur utama jamaah , jika pemimpin dan anggota tidak benar - benar mempertahankannya dengan semangat cintakan Islam dan jamaahnya .

8. Jamaah yang benar dan suci ini mengundang dendam dan cemburu yang sungguh dahsyat dari musuh durjana . Inilah yang telah didedahkan oleh Allah swt di dalam kitab suciNya . Kelicikan mereka dengan bara dendam yang tidak kunjung padam terhadap cita - cita perjuangan Islam ini bisa sahaja membuatkan mereka berani dan nekad menyusup masuk , menyelinap dari celah saf pejuang - pejuang kita lalu membisikkan sejuta fitnah yang menjarakkan mereka malah mencetus sengketa .

9. Sejarah semalam memang masih membekas bahkan pedihnya masih terasa angkara panahan fitnah . Namun bukankah kita selalu dituntut agar berkorban demi perjuangan ? lalu , lupakan lah sengketa lama dan padamkan lah api kebencian . Kita tautkan kembali ikatan ukhuwwah yang longgar akibat gegaran semasa melintasi zon sukar tersebut . Kini kita fokus tanggungjawab dan amanah perjuangan yang belum selesai ditunaikan . Mentari esok masih sedia menyinar . Terpulang kepada kita , apakah mahu terus melangkah atau kita masih tidak mahu mengalah .

10. Fikirkan masa depan perjuangan ini buat generasi akan datang . Janganlah kita rosakkan segalanya kerana mengidam sebuah kepuasan yang belum pasti . Hulurkan tangan kalian , kita bersilang menderap langkah tanpa menoleh lagi mengenang tragedi silam demi masa depan Islam yang gemilang . Ayuh , kita hadapi musuh tanpa ragu !
Nasrudin Hassan at Tantawi

KENYATAAN MEDIA27 OKTOBER 2009DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)

MENYANGGAH PERISTIWA MEMALI SEBAGAI AJARAN SESAT

Dewan Pemuda PAS Pusat menyanggah sekeras-kerasnya tulisan di dalam akhbar KOSMO bertarikh 26 Oktober 2009 bertajuk Jangan Pandang Rendah Ajaran Sesat yang mengaitkan Peristiwa Memali dengan ajaran sesat di musa surat 11.

Pemuda PAS Pusat sangat kesal kerana artikel tersebut yang jelas berunsur fitnah yang melampau dan berniat jahat terhadap PAS dan perjuangan murni rakyat yang menolak undang-undang zalim ISA. Tulisan tersebut jelas bertujuan menghasut dan dengan niat menanam kebencian terhadap perjuangan PAS kepada masyarakat umum. Maklumat yang disampaikan juga tidak tepat bahkan jauh tersasar daripada fakta kejadian sebenar yang berlaku.

Peristiwa Memali tahun 1985 adalah suatu peristiwa hitam yang sangat bersejarah, apabila kerajaan telah menggunakan kekerasan ketenteraan melampau terhadap rakyat yang tidak bersenjata. Rakyat biasa yang mempertahankan hak mereka untuk menentang penggunaan undang-undang zalim ISA sehingga sanggup syahid.

Artikel ini juga telah turut menghina Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam shah yang telah mencemar Duli menyiram air mawar di pusara para syuhada. Al Marhum Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Pondok Lanai Kedah telah mengeluarkan fatwa bahawa Al Marhum Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya adalam syahid.

Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak supaya KOSMO menarik balik artikel yang telah disiarkan pada 26 Oktober 2009 serta memohon maaf secara terbuka kepada keluarga dan waris yang terlibat dalam peristiwa Memali serta PAS. Pemuda PAS Pusat juga akan mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya KOSMO gagal untuk berbuat demikian.



KAMARUZAMAN MOHAMAD
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Pusat

Friday, October 30, 2009

Pemimpin Yang Baik Akan Melahirkan Pengikut Yang Baik

Demikian juga sebaliknya...di zaman Khalifah Syaidina Ali r.a, ada sahabat yang datang bertanya kenapa berlaku kacau bilau di zaman pemerintahan beliau, sedangkan di zaman Syaidina Abu Bakar r.a, Umar dan Uthman, Islam kuat dan tiada kacau bilau. Sy Ali menjawab di zaman kepimpinan mereka, pengikutnya seperti aku, di zaman aku, pengikutku adalah orang seperti engkau...
DalamUMNO di zaman Tun Mahadhir, UMNO kuat kerana ada pengikut seperti Anwar dan Pak Lah..di zaman Pak Lah, UMNO dikatakan menjunam kerana pengikutnya adalah seperti Najib dan Muhyiddin.
Sekarang pengikut yang menjunamkan Pak Lah sedang melagukan tema barunya 1Malaysia. Kita tengoklah siapa pula pengikut-pengikut mereka...
Hubungan pemimpin-pengikut juga boleh berlaku secara terbalik daripada jawapan Sy Ali r.a. Dikatakan jawapan Sy Ali itu adalah kerana si yang bertanya itu hanya layak untuk menerima jawapan itu.
Pemimpin yang baik perlukan sokongan dari pengikut yang baik juga, barulah semua dasar yang diputuskan dapat dilaksanakan dengan wajar. Tak mungkin pemimpin yang baik sepanjang pemerintahannya melahirkan pengikut yang jahat, melainkan mereka sudah jahat sebelum itu lagi. Tugas pemimpin yang baik ialah menunjukkan contoh dan teladan, menutup ruang untuk pengikut melakukan sebaliknya. Kebaikan yang lahir di kalangan pengikut harus dipastikan tulen, ikhlas dan sucihati... dan pemimpin akan menghadapi masalah besar bila menyedari kebaikan di depan matanya adalah lakonan dan sandiwara. Untunglah jika masa yang diambil untuk mengesan ketulenan itu tidak panjang, jika lambat....nahaslah.

Friday, October 23, 2009

Salam semua. Payah juga nak dapatkan firsthand info dalam isu balak dan SPRM ni... Tahniah SPRM yang cepat mengambil tindakan di zaman PR memerintah Kedah ni. Mungkin 3-4 tahun dulu ada dinding tebal antara SPRM dengan 'orang-orang' balak, baik penjaga balak, taukey balak atau orang yang meluluskan balak, tapi sekarang dinding itu sudah dirobohkan.

Kata MB, Kerajaan akan bantu SPRM untuk membersihkan industri pembalakan di Kedah dari gejala rasuah dan duit bawah meja. Marilah kita pakat-pakat sokong langkah ke depan ini. Tak kira sapa pun kita, penyokong kerajaan, pembangkang dan orang bisness, kena mulakan budaya bersih ini sekarang juga.

Lanjutan tulisan semalam, alkisah diceritakan.....

Pada 14hb Oktober, SPRM dan Kementerian Sumber Asli menganjurkan satu seminar. Dijemputlah pembalak dan pelombong dari seluruh negara untuk berseminar tentang rasuah dan orang-orang yang terlibat menggali khazanah sumber asli dalam Negara ini. Setiap negeri dijemput 10 orang. Orang yang menguruskan jemputan pembalak di Kedah ialah Pengarah Jabatan Hutan.
Dalam seminar tersebut ada sesi dialog. Apa masalah yang dihadapi oleh pelombong dan pembalak, hingga begitu banyak khazanah bumi Malaysia di keluarkan, tapi hasilnya tak berbaloi.

Maka termuntahlah taukey-taukey balak dan pelombong akan hal sebenar… sejak sekian lama banyak sangat tol yang terpaksa dilalui hingga taukey balak terpaksa lajak luar kawasan dan lari cukai. Adapun tol-tol itu ialah orang-orang politik dan penjaga-penjaga khazanah bumi.

Maka, penjaga hutan di Kedah (yang sejak Mac 2008 membuka pintu dan dinding kepada SPRM) pun diburu atas kes baru dan kes lamanya. Inilah rahmat dasar sifar rasuah di Kedah…yang gatal tangan nak ambil duit orang dengan cara tak betul, di celah-celah dasar dan seruan untuk menghindari rasuah oleh pimpinan kerajaan, terpaksa menerima akibatnya.

Dari mana duit banyak tu, di rumah dan di pejabatnya??? Saya tulis esok saja…

Ini Intro Cerita SPRM Cekup penjaga balak...esok saya sambung lagiii....

Apa pun terjadi dalam kes tangkapan Pengarah Jabatan Hutan, Pegawai Hutan Daerah dan 2 orang Renjer 2 hari lepas..banyak persoalan tenggelam dan timbul .

**************************************************************************

Saya sangat terkejut dengan tangkapan itu, kerana mengenali mereka dalam urusan kerja dan pergaulan saya. YAB MB paling terkejut bila saya maklumkan berita ini jam 7.15 petang 20hb Oktober. Terus dia arahkan saya ke rumahnya untuk mengetahui lebih lanjut. Tapi malam itu, berita itu keluar di Buletin Utama dan beliau menontonnya. Jadi tak payahlah saya nak cerita panjang.
***************************************************************************
Komen MB sangat jelas pada malam itu ..."Kita kena ikhlas mentadbir harta rakyat, memastikan setiap inci hak negeri ini dapat dinikmati oleh rakyat, sebab itu kita buat tender terbuka dan dapat hasil yang besar untuk negeri dan rakyat, itu yang aku pesan pada semua pegawai dan kakitangan kita...tapi bila ada orang yang tak ikhlas dicelah-celah kerja kita, Allah akan tunjukkan..itulah yang menimpa mereka...tunggulah hasil siasatan SPRM, apa nasib mereka. Itu baru hisab dunia..di akhirat lagu mana?".
**************************************************************************
Tahun ini (setakat bulan Oktober), premium balak sahaja, menghasilkan pulangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM40 juta, melepasi unjuran dalam belanjawan negeri(RM35 juta). Itu belum masuk cukai kayu setelah kayu itu ditebang dan diangkut ke kilang. Sebelum ini, sejak 2005 - 2007, hasil maksimum sektor balak setahun kepada kerajaan negeri ialah 10.9 juta sahaja.
*************************************************************************
Sekarang ini, sehektar kawasan pembalakan (hutan dara) ditender sehingga mencecah RM16 ribu hingga RM19 ribu berbanding RM1 ribu sehektar melalui cara anugerah di zaman BN. Kalau di zaman balak mahal (sekarang ini, dikatakan harga balak Kedah paling mahal di dunia!??) mereka masih boleh buat duit haram tu, bayangkan di masa premium balak berharga RM1 ribu sehektar. Kalau hutan KSK, cuma RM500 di zaman BN.
*************************************************************************
Kedah masih ada 48,ooo hektar kawasan hutan produktif untuk diubahhasil dalam sektor pembalakan. Kuota penebangan balak di hutan simpan Kedah ialah 2,340 hektar setahun. Kawasan-kawasan yang telah diusahakan akan pulih dan kembali produktif dalam tempoh 30 - 40 tahun...kawasan ini akan berganti-ganti. Kedah Sejahtera- Nikmat Untuk Semua. (Bersambung...)

Wednesday, October 14, 2009

Indeks Dipapan Sejahtera - Budaya Peduli dan Cakna

Perasaan dan emosi saya seperti papan utama bursa saham yang ditutup bercampur-campur* , bila membaca akhbar Berita Harian hari ini 13 Oktober 09. Ada empat berita dan laporan yang menyentuh papan hati dan minda saya, hingga tidak mampu menutup mata.

SIK

Berita pertama berlaku ditanah tumpah darahku, Daerah Sik. Penduduk Kg Selamat (dulu dikenali sebagai Kg Joget) yang terputus bekalan air selama 3 minggu dan terpaksa berulang alik 3 kilometer setiap hari untuk mengangkut air. Kenapa angka ‘3’ ( tiga minggu, tiga kilometer, tiga orang yang ditemu bual dan 13 haribulan) menjadi angka terpopular berita ini? Kampung Selamat bersebelahan Kg Teloi Tua dan Kg Kerawai (tiga serangkai). Di sana ada Sungai Chepir yang mengalir deras yang menjadi sumber air utama rumah pam Batu Lima.

Sungai itulah tempat saya mandi dan ‘melepas’ bila bermalam di rumah Chu (Mak Su) di Kg Teloi Tua di zaman kanak-kanak tahun 80-an. Bekalan air paip belum ada. Hanya ada telaga dan sungai itu sebagai. Airnya jernih, separas lutut. Dari Kg Selamat, walau agak jauh, tetapi tidak sampai tiga kilometer jaraknya. Mungkin jarak itu diambil dari kg Padang Toi.

Ada yang lebih suka air bukit, yang menjadi alternative paip JBA. Kalau air bukit disalur ke rumah dipanggil ‘air paip masyarakat’, yang jarang ditutup pilinya, mengalir 24 jam dengan bayaran senggaraan takungan RM1 – RM3 sebulan (tiga lagi!). Khazanah bukit bukau ini berjasa puluhan tahun lamanya hingga sebahagian ‘skim’ ini tertimbus dan dilupakan. Telaga juga ditimbus, gara-gara paip JKR (JBA). Saya bersimpati di atas kesulitan yang sedang menimpa penduduk di beberapa daerah di Kedah, khususnya di Kg Selamat (Joget). Bersabarlah...ia akan diatasi segera!

Harapan saya JBA cepat mengatasi kerosakan paip utama. Tapi jangan angka ‘3’ dalam berita ini macam filem Tan Sri P Ramli yang juga sering menggunakannya dalam skrip filem seperti Madu Tiga, Tiga Abdul, 'jam tiga pagi' dan Tiga Pendekar Bujang Lapok. Semuanya untuk menyedapkan cerita.

BALING

Ada 3 berita dari Baling di muka surat 7. Najwa Nazilah memerlukan RM75 ribu untuk pembedahan jantung terbalik. Saudara baru, Mohd Salim Koo Kim, perlu bantuan beli lampin pakai buang, dan warga emas, Ahmad Jusof, yang sebatang kara tanpa dokumen diri tinggal di bangsal kambing. Ini semua cerita sedih dan menyentap jantung hati kita. Kenapa semua ini berlaku di Daerah Baling yang kaya dengan dermawan dan aktivis masyarakat.
Masyarakat daerah ini bersikap mulia, berakhlak tinggi, terdidik dengan banyak pusat pengajian pondok dan melahirkan ramai pemimpin masyarakat. Ada 3 Adun, seorang Ahli Parlimen, seorang Timbalan Menteri yang pernah mewakili Baling, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang kerap muncul di akhbar kerana memberi sumbangan dan derma (menjadi jutawan kereta terpakai pada usia 20an – baru-baru ini lebam seluruh badan dipukul orang), ada seorang Ketua Setiusaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), ada Pengarah JAKIM, ada Pengarah YADIM, ada hartawan automobile, dan ribuan lagi orang hartawan dan ternama berasal dari Daerah ini.
YA! Hal sebegini berlaku di mana-mana di seluruh dunia, negeri miskin atau kaya. Bukan isu Kedah, Kelantan, di Pahang dan Terengganu pun ada. Hatta di Amerika negeri terkaya dunia pun berlaku. Ini semua sebagai ujian buat hambaNya manusia, apa reaksi kita terhadapnya?

Jika jabatan dan agensi kerajaan negeri dan kerajaan pusat terlepas pandang, tidak menerima laporan, belum ambil tindakan, sedang memproses bantuan, dan apa-apa lagi sebab musabab yang memungkinkan hal ini terjadi, saya menyeru satu tindakan.
Suburkan budaya peduli dan cakna di kalangan anak Baling di seluruh daerah dan seluruh Negara untuk meringankan derita. Janganlah “membalingkan diri” dari tanah tumpah darah dan nasib warganya. Tolehlah sejenak nasib jiran sekampung. Hulurkan tangan, ringankan beban. Agensi kerajaan Negeri, bertindaklah segera, kita kini dalam Slogan Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua. Salam buat semua, kita bersaudara. 'Bursa saham akhirat kita nanti 'ditutup lega".
* - sampai sekarang saya belum faham apa maknanya istilah ini.... barangkali untung rugilah agaknya...

Monday, October 12, 2009

Kita Jumpa Di Kota Siputeh!!!

Lepas dapat keyakinan baru di Bagan Pinang, saya percaya takkan ada apa lagi yang ingin dibuat oleh UMNO/BN untuk menghalang kekosongan kerusi Kota Siputeh. Ia akan jadi lokasi kedua mereka untuk membuktikan UMNO/BN sudah mendapat kembali kepercayaan rakyat. Ayuh, kita jumpa di sana!

Hanya 'Luar Biasa' Mampu Selamatkan UMNO/BN

Bagaimana meyakinkan diri untuk menerima keputusan PRK Bagan Pinang dengan rasional, jika kewarasan kita menolaknya. Tentulah melengung kita dibuatnya bila ditinggalkan jauh sebegitu. Sebelum ini, hasil maklumat yang dikumpul dari kawan-kawan, saya membuat ramalan BN akan menang dengan faktor berikut:
1. Isu rasuah Isa Samad sudah basi dan dimaafkan pengundinya. Lagipun, Isa Samad mungkin dianggap 'Robin Hood'.
2. Isu rasuah Isa Samad adalah isu nasional, bukan isu tempatan. Isa juga dianggap dikhianati kerana ada yang rasuah tapi tidak diambil tindakan, maka, Isa mesti diangkat semula untuk membersihkan dirinya.
3. Isa Samad jadi MB Negeri 9 selama 22 tahun, dia faham benar feel rakyat Negeri 9, lebih-lebih lagi orang kampung lamannya. Kempennya akan fokus kepada hal ini sahaja, tiada yang lain.
Tapi, dengan kemenangan yang terlalu besar hari ini, saya berkongsi pandangan dengan Mohd Sayuti Omar, yang saya petik dari Kedahlanie. Kewarasan saya menolak sesuatu yang luar biasa seperti keputusan PRK Bagan Pinang. Tentu ada sesuatu yang dilakukan oleh Isa Samad dan BN dengan pengalaman dan kekuasaan yang dimiliki untuk mencipta sesuatu yang luar biasa. Kaedah biasa tidak lagi mampu menyelamatkan kapal UMNO/BN yang sedang karam. Itulah yang dicipta di Bagan Pinang. Ramai akan termuntah dengan ulasan media pro BN esok hingga berminggu-minggu lamanya. Apa boleh buat?? Pakat-pakat cari ubat tahan muntah laa esok.
Apapun tahniah kepada YB Tan Sri Isa Samad, teruskan perjuangan kepada sahabatku Sdr Zulkifli Mohamad Omar.

Keputusan Penuh




Kemenangan Yang Tidak Rasional

MEDIA masa pro kerajaan yang kempunan sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lalu, esok akan dapat mengembangkan senyum hingga ke pipi. Akhbar-akhbar arus perdana dan media eletronik perdana juga boleh menambahkan muka surat atau memanjang siaran untuk melaporkan kemenangan bergaya UBN di Bagan Pinang sekejap tadi. Kemenangan itu perlu diuar-uarkan.

Seperti selalunya bila UBN menang akhbar dan tv akan menyiarkan secara besar-besaran. Akhbar penjilat buntut UBN dan segala macam kroninya esok akan meletakkan gambar Mohd Isa Samad yang sedang angkat telunjuk simbol 1 Malaysia dimuka depan. Najib dan Rosmah juga turut gembira.

Maka akan diulas dan dicincanglah Pas selumat-lumatnya dengan apa yang berlaku dan ternatijah dalam pilihan raya itu. Diceritakan kemenangan itu menunjukkan Pas dan Pakatan Rakyat ditolak oleh rakyat. Bahawa UBN sudah mula mendapat kepercayaan rakyat semula. Bahawa 1 Malaysia diterima oleh semua lapisan rakyat.

Maka bersedialah Pas dan rakan Pakatan serta penyokongnya untuk menghadapi hari esok, menerima ulasan penuh emosi dan keegoaan, sombong dan tinggi hidung dipihak UBN dalam media arus perdananya.

Memang untuk bergembira itu adalah hak UBN. UBN yang sudah kesekian lama haus dan malu dengan kemenangan wajar merasa gembira ataupun melompat-lompat di padang luas beramai-ramai untuk meraikan kemenangan Mohd Isa itu.

Majoriti 5,435 undi yang dicapai calon mereka Mohd Isa Abdul Samad itu memang besar, lebih besar daripada bukit Qaf di tanah Arab. Lagipun dalam demokrasi tidak akan menghitung apakah kemenangan itu cara baik atau sebaliknya. Yang penting ia menang hatta dengan satu undi dan tidak perlu kita bagaimana kaedah mencapai kemenangan itu. Kitab politik sekular dari kulit berwarna apa saja menerimanya.

Tetapi hanya UBN berhak merayakan kemenangan itu. Bagi mereka yang sihat akal dan waras merasa malu untuk menerima kemenangan itu. Majoriti diraih oleh Mohd Isa itu sesuatu yang tidak rasional. Biasanya mereka yang tidak rasional sahaja yang menerima hal-hal yang tidak rasional.

Bagi saya, majoriti sebanyak itu tidak rasional dan masuk akal. Makanya sukar untuk diterima kemenangan itu seperti mana orang UBN merasainya sekarang. Untuk apa kita berseronok dengan kemenangan palsu! Perbuatan itu samalah dengan menipu diri sendiri. Persis kita mengakui kaya tetapi poket kosong. Bukankah keadaan itu menyusahkan kita bila mana kita berhadapan dengan hakikat.

Hakikat untuk menentukan apakah UBN atau Pakatan akan mendapat sokongan bukan dalam pilihan raya kecil. Tetapi dalam pilihan raya umum. Kalaupun Pakatan menang, mereka juga tidak boleh mendabik dada dan tinggi hidung mengatakan mereka sudah lebih hebat dari UBN. Justeru kemenangan yang dicapai sebelum ini bukan merupakan kayu ukur tepat untuk menilai kekuatan pengaruh melainkan boleh dijadikan pemandu semangat saja.

Disebabkan kemenangan dengan majoriti tidak rasional maka ramai orang terkejut dengan pencapaian Mohd Isa itu. Mahathir juga mungkin termenung panjang berfikir bagaimana Mohd Isa boleh menang besar.

Mereka yang tidak boleh berfikir secara rasional, mungkin lemah gemalai dan tidak lalu makan menerima keputusan pilihan raya berkenaan. Muhyiddin Yassin sendiri ketika mengulas kemenangan itu mengatakan ianya sesuatu yang terduga. Apakah maksudnya itu? Apakah orang ada menipu untuk mencapai kemenangan bagi pihaknya.

Kenapa tidak rasional? Jawabnya mudah, kerana pengundi yang berlaku bukan atas kerelaan kesemua pengundi di Bagan Pinang. Mohd Isa menang kerana berlaku undi yang sudah dipenjara oleh UBN. Maksud undi yang dipenjarakan atau ditawan itu ialah undi pos di kalangan tentera dan polis sebanyak 4,221.

Sekiranya tanpa undi penjara ini, atau undi diikatkan ini, atau undi telah digari ini, majoriti yang rasional ialah sekitar 1,500 atau 2,000 sahaja. Semua orang beranggapan demikian. Apabila Isa memperolehi undi diluar dugaan maka peninglah dan terkejut beruklah segala orang. Apa lagi sebelum ini pun banyak yang tidak kena dalam proses pengundian dengan berlakunya peraturan-peraturan dan teknik yang tidak rasional.

Cuba bayangkan secara logik jika undi pos itu tidak digari, apakah ia mungkin kesemua undi pos sebanyak 4,122 akan mengalir kepada Mohd Isa. Apakah tentera semuanya tidak tahu menilai antara intan dengan pertama. Ada juga askar atau polis yang membaca berita dan mengetahui kisah Isa. Tetapi kerana undi mereka telah digari apalah yang mereka lakukan, kecuali akur saja. Undi mereka mengalir ke dalam peti undi Isa tanpa diizinkan.
Saya percaya berdasarkan pencapaian pilihan raya lalu, undi tentera akan turut mengalir ke dalam peti undi Pas. Kalaupun tidak mencecah sampai 50 peratus tetapi 30 peratus mungkin ada. Seperti mana diketahui dan didakwa Pas, tentera yang berhak mengundi dan berada dalam kem hanya sekitar 1,200 sahaja. Manakala selebihnya tiak diketahui ke mana mereka dan undi mereka misteri.
Ini bermakna undi tentera yang benar-benar bebas dan terbuka sebanyak 1,200 undi itu saja, manakala selebihnya yang sudah digari untuk UBN. Daripada undi pos Pas hanya mendapat 601. Kemungkinan undi itu ialah daripada 1,200 tentera yang mengundi sendiri itu. Manakala undi tentera yang selebihnya sebanyak 3,000 lagi semuanya melayang tanpa isi ke dalam peti undi UBN.
Seandainya undi sebanyak 3,000 lagi diberikan kebebasan, mungkin Pakatan dapat meraih sekurang-kurang 30% daripada jumlah itu. Kalau Pas dapat undi itu ini bermakna Pas mendapat 1,000 undi lagi. Jika dicampurkan undi ini dengan undi yang Pas perolehi hari ini, 2,578 bermakna undi Pas ialah sebanyak 3,578.

Kalau ini berlaku bermakna Isa tidak akan dapat undi sebanyak 8,013. Paling-paling Isa hanya mampu meraih undi sebanyak 6,500 saja. Jadi undi yang boleh dianggap relevan dan rasional untuk kedua calon hari ialah, Isa sekitar 6,500 undi manakala Pas disekitar 3,500 undi. Dengan angka ini majoriti yang berhak diraih Isa sekitar 3,500 saja.

Pencapaian ini pun dikira tinggi, tetapi ia masih lagi dalam lingkungan logik.
Justeru kepada penyokong UBN jangan terpengaruh dengan majoriti tidak rasional itu. Dalam perkiraan politik, kalau UBN dapat 3,000 undi, ini bermakna mereka memerlukan kira-kira 1,500 undi sahaja lagi untuk mengatasi UBN. Kelebihan 1,500 di pihak UBN itu bolehlah disimpulkan undi peribadi Mohd Isa di Bagan Pinang dan bukan undi untuk UBN.

Kesimpulannya kalau undi pos bebas dan bukan Mohd Isa yang menjadi calon, UBN mungkin akan terus menangis dan pilihan raya itu akan dimenangi oleh Pakatan.

Apapun ulasan dan tanggapan berhubung pilihan raya kecil itu, semua pihak hendaklah menerima hakikat bahawa keputusan adalah muktamad. Soal kemenangan itu dicapai secara adil, halal atau kotor itu soal lain. Apapun sifatnya ia harus diterima kerana ia dihalalkan oleh demokrasi yang kita dokongi bersama hari ini.Kepada Mohd Isa diucapkan tahniah, dan kepada Pas jangan tangisi kekalahan ini kerana majoriti besar itu bukan menandakan hakikat rakyat menolak Pakatan dan Pas.
[wm.kl. 9:00 pm 11/10/09] - Mohd Sayuti Omar