Wednesday, December 9, 2009


8 Disember 2009

Hari ini berita di akhbar dan blog tentang Taklimat Dan Diskusi Isu-isu perumahan 6 Disember lalu membuat kesimpulan... Polisi Kuota 50-50 ditangguhkan untuk mencari kaedah lain yang lebih sesuai. Bernama menulis begini...

ALOR SETAR: Pelaksanaan dasar baru perumahan di negeri ini yang menetapkan kuota 50 peratus untuk Bumiputera, ditangguhkan sehingga satu garis panduan baru yang lebih jelas dikeluarkan.Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pelbagai kaum.

"Tangguh dulu pelaksanaan kuota 50 peratus ini sebab nampak ada pihak tak puas hati dengan dasar ini dan kita akan cari kaedah yang lebih munasabah untuk menyelesaikan masalah ini."Kita tak mahu ada yang kata dasar yang dibuat ini, tidak adil dan isu perumahan jadi berlarutan, sebab kuota 50 peratus tu bukan dasar umum, yang beri gambaran seolah-olah semua keadaan tanah mesti ada 50 peratus kuota untuk Bumiputera," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman di sini. - Bernama

Saya mempengerusikan taklimat dan diskusi itu, saya juga mengikuti sidang akhbar selepas itu. Paling jelas kepada saya ialah polisi ini bukan ditangguhkan, tetapi yang ditangguhkan ialah proses meluluskan permohonan untuk membangunkan kawasan perumahan baru yang melibatkan swapping (kerana swapping lah polisi ini diwujudkan) . Penangguhan ini bertujuan untuk kerajaan membuat kajian, semakan, dan meneliti setiap permohonan dalam kategori itu, sejauh mana keperluan untuk melakukan swapping! Maka, dengan sendirinya kuota 50-50 yang ditetapkan dalam tanah-tanah melibatkan swapping, tertangguh! Inilah yang tidak dilaporkan dalam berita hari ini dan semalam.

Setelah sesuatu permohonan kebenaran merancang (pembangunan kawasan perumahan baru ) yang melibatkan tanah swapping diluluskan, maka polisi kuota ini akan tetap terpakai. Hak dan tanggungjawab meluluskan setiap permohonan terletak kepada pihak berkuasa negeri, bukan terletak kepada urutan prosedur yang dipatuhi atau dilanggari oleh pemaju!

Mari kita memahami kandungan taklimat itu, supaya pembetulan dan penambahbaikkan kepada berita-berita hari ini dan semalam dapat dilakukan.

ISU PERTAMA

Matlamat dan tujuan Dasar dan polisi Perumahan:

1. Melaksanakan Keadilan kepada semua lapisan rakyat terhadap hak untuk mendapatkan rumah sebagai keperluan asas (basic necessity), terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah. Matlamat ini dapat dijayakan melalui bantuan perumahan kerajaan (yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi) dan penetapan kuota perumahan kos rendah yang disyaratkan kepada pemaju.

2. Memansuhkan dasar pecah dan perintah (devide and rule) yang diperkenalkan oleh penjajah yang menyebabkan taburan penempatan penduduk berasaskan kaum dan ekonomi (Melayu di kampung, Cina di bandar perlombongan dan India di estet). Masyarakat masa depan mesti mencapai integrasi melaui pergaulan yang harmoni dalam satu komuniti penempatan yang sama. Unjuran JPM pada tahun 2020, 60% penduduk Kedah akan mendiami taman-taman perumahan apabila tanah-tanah tradisi tidak lagi lagi mampu menampung pembinaan kediaman menerusi pinjaman dan gadaian kepada institusi kewangan.

3. Rumah-rumah yang dibina di Kedah mesti mengambilkira kedudukan sosioekonomi rakyat kedah, dimana pembinaan rumah mampu milik (affordable house) mesti diutamakan. Pada masa ini, kerajaan berpandangan rumah sebagai keperluan asas semua rakyat lebih utama daripada pemilikan rumah sebagai aset untuk perniagaan/pelaburan.

Demi mencapai matlamat ini, beberapa kepentingan beberapa pihak mesti dikorbankan (dalam istilah ekonomi di sebut "kos melepas")

ISU KEDUA

Polisi 50-50 bukanlah dasar umum perumahan bagi semua kategori tanah. Ia hanya bagi tanah-tanah yang terlibat dengan proses swapping. Jika tiada swapping, polisi lama (100% kepada kaum melayu untuk Tanah Rizab Melayu dan 30-70 untuk tanah pegangan bebas sedia ada) dikekalkan. Polisi ini tidak pernah dibantah dan tidak pernah dibangkitkan sebagai isu politik sebelum ini. Ia langsung tidak berubah dan tidak diubah!

TRM hanya boleh dimiliki oleh orang melayu bukanlah isu perkauman. Ia terkandung dalam Kanun Tanah Negara (Land Code) yang menjadi intipati Perlembagaan Negara yang diterima semua kaum.

Kerajaan baru juga memperkemaskan dan menjelaskan lagi polisi 30-70 dalam tanah-tanah pegangan bebas (Free hold) yang diteruskan daripada dasar sedia ada, iaitu dengan penambahan perkataan sekurang-kurangnya 30% mesti dijual kepada orang melayu dan pihak yang ditafsirkan sebagai berstatus "melayu", manakala 70% lagi adalah jualan terbuka kepada mana-mana pihak. Manakala bagi kes di Langkawi, kuota 50-50 dalam tanah pegangan bebas kekal dengan dasar lama, tetapi ditambah perkataan "sekurang-kurangnya".

ISU KETIGA

Swapping: Syarat dan Kesannya.

Swapping mesti mematuhi syarat 'same value and similar character'. Ini yang sukar ditentukan dan sering diabaikan. Jika TRM di Alor Setar diganti dengan tanah di Kubang Pasu, nilainya sudah tidak sama lagi. Maka kerajaan menetapkan tanah yang diganti itu mesti lebih luas 0.5% bagi menghampiri nilainya yang sebenar. Itu belum mengambilkira character (ciri-ciri tanah itu). Sering terjadi, TRM di tengah bandar diganti dengan tanah hutan belukar yang terletak nun jauh dihujung benua. Apakah kesannya kepada TRM dan pemilikannya di negara ini seperti yang ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara? Di Kedah, TRM yang belum diganti setelah dicabut keluar menjadi free hold melebihi 1000 ekar (zaman dulu).

Kerajaan sedang mengkaji apakah perlu swapping hanya dilakukan untuk lot-lot yang dijual kepada bukan Melayu. Katakan 40% daripada Tanah Free hold (yang asalnya TRM di Alor Setar) dijual kepada kaum Melayu, maka penggantian (swapping) hanya perlu dilakukan kepada 60% bakinya. Ini bagi memudahkan pemaju mendapatkan tanah yang memenuhi syarat swapping iaitu 'same value and similar character". Ini adalah satu pembaharuan yang sedang dipertimbangkan, yang akan memberi kelebihan kepada pemaju dan insustri perumahan di Kedah.

Pemohonan membuat swapping di Kedah tidak lebih 20% daripada keseluruhan permohonan membangunkan kawasan perumahan dan bandar-bandar baru. Tetapi 20% ini dicanang oleh media dan pihak –pihak tertentu seolah-seolah kerajaan menekan pemaju dan mengamalkan perkauman melalui polisi 50-50 dalam keseluruhan sektor itu.
Untuk memberi ruang isu-isu swapping ini dihalusi, maka semua permohonan yang terbabit dengan swapping ditangguhkan dulu. Setelah satu kaedah - yang lebih efisyen, kemas, teratur, konsisten, dan boleh dipertahankan - diputuskan oleh pihak berkuasa negeri, barulah permohonan itu akan diproses, dan polisi 50-50 akan terpakai. Apakah ini juga ‘tidak dapat dikesan (?)’ oleh media.

Kesimpulan daripada penjelasan dalam taklimat itu ialah:

a) Semua dasar dan polisi kerajaan dalam perumahan di Kedah adalah kekal seperti dasar lama, kecuali polisi bagi tanah-tanah yang melibatkan swapping.

b) Permohonan dan proses kelulusan yang melibatkan swapping ditangguhkan untuk memberi peluang kepada kerajaan mengkaji keperluan dilakukan swapping dan kesan-kesan daripadanya.

c) Swapping harus memenuhi syarat 'same value and similar character' supaya di masa hadapan TRM ‘tidak tersisih ke hujung benua’.

d) Keutamaan sebuah kerajaan ialah melaksanakan keadilan kepada semua kaum, menjamin hak dan keperluan seluruh rakyat, merancang masa kini untuk kepentingan masa depan serta memastikan ekonomi dapat berkembang. Dalam mencapai hasrat ini, ada 'kos melepas' yang terpaksa ditanggung.

e) Kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan sector perniagaan (kapitalis) berbanding komitmen kerajaan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyt negeri ini.

Sekian

No comments:

Post a Comment