Perasaan dan emosi saya seperti papan utama bursa saham yang ditutup bercampur-campur* , bila membaca akhbar Berita Harian hari ini 13 Oktober 09. Ada empat berita dan laporan yang menyentuh papan hati dan minda saya, hingga tidak mampu menutup mata.
SIK
Berita pertama berlaku ditanah tumpah darahku, Daerah Sik. Penduduk Kg Selamat (dulu dikenali sebagai Kg Joget) yang terputus bekalan air selama 3 minggu dan terpaksa berulang alik 3 kilometer setiap hari untuk mengangkut air. Kenapa angka ‘3’ ( tiga minggu, tiga kilometer, tiga orang yang ditemu bual dan 13 haribulan) menjadi angka terpopular berita ini? Kampung Selamat bersebelahan Kg Teloi Tua dan Kg Kerawai (tiga serangkai). Di sana ada Sungai Chepir yang mengalir deras yang menjadi sumber air utama rumah pam Batu Lima.
Sungai itulah tempat saya mandi dan ‘melepas’ bila bermalam di rumah Chu (Mak Su) di Kg Teloi Tua di zaman kanak-kanak tahun 80-an. Bekalan air paip belum ada. Hanya ada telaga dan sungai itu sebagai. Airnya jernih, separas lutut. Dari Kg Selamat, walau agak jauh, tetapi tidak sampai tiga kilometer jaraknya. Mungkin jarak itu diambil dari kg Padang Toi.
Ada yang lebih suka air bukit, yang menjadi alternative paip JBA. Kalau air bukit disalur ke rumah dipanggil ‘air paip masyarakat’, yang jarang ditutup pilinya, mengalir 24 jam dengan bayaran senggaraan takungan RM1 – RM3 sebulan (tiga lagi!). Khazanah bukit bukau ini berjasa puluhan tahun lamanya hingga sebahagian ‘skim’ ini tertimbus dan dilupakan. Telaga juga ditimbus, gara-gara paip JKR (JBA). Saya bersimpati di atas kesulitan yang sedang menimpa penduduk di beberapa daerah di Kedah, khususnya di Kg Selamat (Joget). Bersabarlah...ia akan diatasi segera!
Harapan saya JBA cepat mengatasi kerosakan paip utama. Tapi jangan angka ‘3’ dalam berita ini macam filem Tan Sri P Ramli yang juga sering menggunakannya dalam skrip filem seperti Madu Tiga, Tiga Abdul, 'jam tiga pagi' dan Tiga Pendekar Bujang Lapok. Semuanya untuk menyedapkan cerita.
BALING
Ada 3 berita dari Baling di muka surat 7. Najwa Nazilah memerlukan RM75 ribu untuk pembedahan jantung terbalik. Saudara baru, Mohd Salim Koo Kim, perlu bantuan beli lampin pakai buang, dan warga emas, Ahmad Jusof, yang sebatang kara tanpa dokumen diri tinggal di bangsal kambing. Ini semua cerita sedih dan menyentap jantung hati kita. Kenapa semua ini berlaku di Daerah Baling yang kaya dengan dermawan dan aktivis masyarakat.
Masyarakat daerah ini bersikap mulia, berakhlak tinggi, terdidik dengan banyak pusat pengajian pondok dan melahirkan ramai pemimpin masyarakat. Ada 3 Adun, seorang Ahli Parlimen, seorang Timbalan Menteri yang pernah mewakili Baling, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang kerap muncul di akhbar kerana memberi sumbangan dan derma (menjadi jutawan kereta terpakai pada usia 20an – baru-baru ini lebam seluruh badan dipukul orang), ada seorang Ketua Setiusaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), ada Pengarah JAKIM, ada Pengarah YADIM, ada hartawan automobile, dan ribuan lagi orang hartawan dan ternama berasal dari Daerah ini.
YA! Hal sebegini berlaku di mana-mana di seluruh dunia, negeri miskin atau kaya. Bukan isu Kedah, Kelantan, di Pahang dan Terengganu pun ada. Hatta di Amerika negeri terkaya dunia pun berlaku. Ini semua sebagai ujian buat hambaNya manusia, apa reaksi kita terhadapnya?
Jika jabatan dan agensi kerajaan negeri dan kerajaan pusat terlepas pandang, tidak menerima laporan, belum ambil tindakan, sedang memproses bantuan, dan apa-apa lagi sebab musabab yang memungkinkan hal ini terjadi, saya menyeru satu tindakan.
Suburkan budaya peduli dan cakna di kalangan anak Baling di seluruh daerah dan seluruh Negara untuk meringankan derita. Janganlah “membalingkan diri” dari tanah tumpah darah dan nasib warganya. Tolehlah sejenak nasib jiran sekampung. Hulurkan tangan, ringankan beban. Agensi kerajaan Negeri, bertindaklah segera, kita kini dalam Slogan Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua. Salam buat semua, kita bersaudara. 'Bursa saham akhirat kita nanti 'ditutup lega".
* - sampai sekarang saya belum faham apa maknanya istilah ini.... barangkali untung rugilah agaknya...
No comments:
Post a Comment