MEDIA masa pro kerajaan yang kempunan sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lalu, esok akan dapat mengembangkan senyum hingga ke pipi. Akhbar-akhbar arus perdana dan media eletronik perdana juga boleh menambahkan muka surat atau memanjang siaran untuk melaporkan kemenangan bergaya UBN di Bagan Pinang sekejap tadi. Kemenangan itu perlu diuar-uarkan.
Seperti selalunya bila UBN menang akhbar dan tv akan menyiarkan secara besar-besaran. Akhbar penjilat buntut UBN dan segala macam kroninya esok akan meletakkan gambar Mohd Isa Samad yang sedang angkat telunjuk simbol 1 Malaysia dimuka depan. Najib dan Rosmah juga turut gembira.
Maka akan diulas dan dicincanglah Pas selumat-lumatnya dengan apa yang berlaku dan ternatijah dalam pilihan raya itu. Diceritakan kemenangan itu menunjukkan Pas dan Pakatan Rakyat ditolak oleh rakyat. Bahawa UBN sudah mula mendapat kepercayaan rakyat semula. Bahawa 1 Malaysia diterima oleh semua lapisan rakyat.
Maka bersedialah Pas dan rakan Pakatan serta penyokongnya untuk menghadapi hari esok, menerima ulasan penuh emosi dan keegoaan, sombong dan tinggi hidung dipihak UBN dalam media arus perdananya.
Memang untuk bergembira itu adalah hak UBN. UBN yang sudah kesekian lama haus dan malu dengan kemenangan wajar merasa gembira ataupun melompat-lompat di padang luas beramai-ramai untuk meraikan kemenangan Mohd Isa itu.
Majoriti 5,435 undi yang dicapai calon mereka Mohd Isa Abdul Samad itu memang besar, lebih besar daripada bukit Qaf di tanah Arab. Lagipun dalam demokrasi tidak akan menghitung apakah kemenangan itu cara baik atau sebaliknya. Yang penting ia menang hatta dengan satu undi dan tidak perlu kita bagaimana kaedah mencapai kemenangan itu. Kitab politik sekular dari kulit berwarna apa saja menerimanya.
Tetapi hanya UBN berhak merayakan kemenangan itu. Bagi mereka yang sihat akal dan waras merasa malu untuk menerima kemenangan itu. Majoriti diraih oleh Mohd Isa itu sesuatu yang tidak rasional. Biasanya mereka yang tidak rasional sahaja yang menerima hal-hal yang tidak rasional.
Bagi saya, majoriti sebanyak itu tidak rasional dan masuk akal. Makanya sukar untuk diterima kemenangan itu seperti mana orang UBN merasainya sekarang. Untuk apa kita berseronok dengan kemenangan palsu! Perbuatan itu samalah dengan menipu diri sendiri. Persis kita mengakui kaya tetapi poket kosong. Bukankah keadaan itu menyusahkan kita bila mana kita berhadapan dengan hakikat.
Hakikat untuk menentukan apakah UBN atau Pakatan akan mendapat sokongan bukan dalam pilihan raya kecil. Tetapi dalam pilihan raya umum. Kalaupun Pakatan menang, mereka juga tidak boleh mendabik dada dan tinggi hidung mengatakan mereka sudah lebih hebat dari UBN. Justeru kemenangan yang dicapai sebelum ini bukan merupakan kayu ukur tepat untuk menilai kekuatan pengaruh melainkan boleh dijadikan pemandu semangat saja.
Disebabkan kemenangan dengan majoriti tidak rasional maka ramai orang terkejut dengan pencapaian Mohd Isa itu. Mahathir juga mungkin termenung panjang berfikir bagaimana Mohd Isa boleh menang besar.
Mereka yang tidak boleh berfikir secara rasional, mungkin lemah gemalai dan tidak lalu makan menerima keputusan pilihan raya berkenaan. Muhyiddin Yassin sendiri ketika mengulas kemenangan itu mengatakan ianya sesuatu yang terduga. Apakah maksudnya itu? Apakah orang ada menipu untuk mencapai kemenangan bagi pihaknya.
Kenapa tidak rasional? Jawabnya mudah, kerana pengundi yang berlaku bukan atas kerelaan kesemua pengundi di Bagan Pinang. Mohd Isa menang kerana berlaku undi yang sudah dipenjara oleh UBN. Maksud undi yang dipenjarakan atau ditawan itu ialah undi pos di kalangan tentera dan polis sebanyak 4,221.
Sekiranya tanpa undi penjara ini, atau undi diikatkan ini, atau undi telah digari ini, majoriti yang rasional ialah sekitar 1,500 atau 2,000 sahaja. Semua orang beranggapan demikian. Apabila Isa memperolehi undi diluar dugaan maka peninglah dan terkejut beruklah segala orang. Apa lagi sebelum ini pun banyak yang tidak kena dalam proses pengundian dengan berlakunya peraturan-peraturan dan teknik yang tidak rasional.
Cuba bayangkan secara logik jika undi pos itu tidak digari, apakah ia mungkin kesemua undi pos sebanyak 4,122 akan mengalir kepada Mohd Isa. Apakah tentera semuanya tidak tahu menilai antara intan dengan pertama. Ada juga askar atau polis yang membaca berita dan mengetahui kisah Isa. Tetapi kerana undi mereka telah digari apalah yang mereka lakukan, kecuali akur saja. Undi mereka mengalir ke dalam peti undi Isa tanpa diizinkan.
Saya percaya berdasarkan pencapaian pilihan raya lalu, undi tentera akan turut mengalir ke dalam peti undi Pas. Kalaupun tidak mencecah sampai 50 peratus tetapi 30 peratus mungkin ada. Seperti mana diketahui dan didakwa Pas, tentera yang berhak mengundi dan berada dalam kem hanya sekitar 1,200 sahaja. Manakala selebihnya tiak diketahui ke mana mereka dan undi mereka misteri.
Ini bermakna undi tentera yang benar-benar bebas dan terbuka sebanyak 1,200 undi itu saja, manakala selebihnya yang sudah digari untuk UBN. Daripada undi pos Pas hanya mendapat 601. Kemungkinan undi itu ialah daripada 1,200 tentera yang mengundi sendiri itu. Manakala undi tentera yang selebihnya sebanyak 3,000 lagi semuanya melayang tanpa isi ke dalam peti undi UBN.
Seandainya undi sebanyak 3,000 lagi diberikan kebebasan, mungkin Pakatan dapat meraih sekurang-kurang 30% daripada jumlah itu. Kalau Pas dapat undi itu ini bermakna Pas mendapat 1,000 undi lagi. Jika dicampurkan undi ini dengan undi yang Pas perolehi hari ini, 2,578 bermakna undi Pas ialah sebanyak 3,578.
Kalau ini berlaku bermakna Isa tidak akan dapat undi sebanyak 8,013. Paling-paling Isa hanya mampu meraih undi sebanyak 6,500 saja. Jadi undi yang boleh dianggap relevan dan rasional untuk kedua calon hari ialah, Isa sekitar 6,500 undi manakala Pas disekitar 3,500 undi. Dengan angka ini majoriti yang berhak diraih Isa sekitar 3,500 saja.
Pencapaian ini pun dikira tinggi, tetapi ia masih lagi dalam lingkungan logik.
Justeru kepada penyokong UBN jangan terpengaruh dengan majoriti tidak rasional itu. Dalam perkiraan politik, kalau UBN dapat 3,000 undi, ini bermakna mereka memerlukan kira-kira 1,500 undi sahaja lagi untuk mengatasi UBN. Kelebihan 1,500 di pihak UBN itu bolehlah disimpulkan undi peribadi Mohd Isa di Bagan Pinang dan bukan undi untuk UBN.
Kesimpulannya kalau undi pos bebas dan bukan Mohd Isa yang menjadi calon, UBN mungkin akan terus menangis dan pilihan raya itu akan dimenangi oleh Pakatan.
Apapun ulasan dan tanggapan berhubung pilihan raya kecil itu, semua pihak hendaklah menerima hakikat bahawa keputusan adalah muktamad. Soal kemenangan itu dicapai secara adil, halal atau kotor itu soal lain. Apapun sifatnya ia harus diterima kerana ia dihalalkan oleh demokrasi yang kita dokongi bersama hari ini.Kepada Mohd Isa diucapkan tahniah, dan kepada Pas jangan tangisi kekalahan ini kerana majoriti besar itu bukan menandakan hakikat rakyat menolak Pakatan dan Pas.
No comments:
Post a Comment