Thursday, October 21, 2010

Nobisha Menulis tentang MB Kedah....

20 October 2010
Umno, PAS Dan Menteri MB Kedah


Oleh Nobisha

Sejak PRU12, politik Kedah nampak sejuk. Saya tak kata sejuk, saya kata nampak sejuk. Sekurang-kurangnya itu yang orang nampak. Betul sejuk atau tidak, kena tanya orang politik Kedah.

Sebelum ini, sudah dengar khabar bahawa Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Abd Razak disukai oleh rakyat dan orang UMNO di negeri itu. Apakah sebabnya, saya tak pasti. Namun, tak ramai orang Kedah yang bercakap buruk mengenai beliau.

Bagaimanapun, desas-desus yang sampai ke telinga saya mengatakan beliau tidak disukai oleh sesetengah orang PAS. Akhirnya desas-desus itu terbukti apabila kepimpinan PAS Pendang meletakkan jawatan. Beberapa hari kemudian, bekas-bekas pemimpin Pemuda PAS membuat demonstrasi memprotes kenaikan tarif air di negeri itu. Saya menonton YouTube, melihat bagaimana mereka “berebut” mikrofon untuk bercakap!
Sebelum ini, seorang bekas wakil rakyat PAS menceritakan kepada saya betapa orang PAS melihat pendekatan Azizan tidak cukup Islamik; berbanding Dato’ Nik Aziz Nik Mat.

Kata bekas wakil rakyat ini, ada orang PAS mencadangkan supaya Azizan tidak membenarkan bazar Ramadhan dibuka sebelum jam 3 petang. Katanya, Azizan menjawab, “Hampa dok kira bazar Ramadhan, nu yang tak posa langsung macam mana?”

Orang PAS yang selama ini suka retorik perjuangan dan perlambangan Islam tidak dapat menerima cara Azizan. Selama ini pun, kebanyakan protes PAS kepada kerajaan Barisan Nasional adalah dalam isu-isu sebegini. Maka, apabila Azizan tidak mahu menuruti politik retorik dan perlambangan ini, maka mereka memprotes.

Bagi sesetengah orang PAS, mereka tidak dapat melihat usaha Azizan membina pentadbiran kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. Mereka juga gagal melihat bagaimana Azizan cuba untuk mengambil pendekatan politik muafakat dan memastikan semua orang berasa selesa berada di bawah pentadbiran beliau.

Pendekatan Azizan juga digambarkan oleh sikap Tuanku Sultan Kedah. Sewaktu Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah pada tahun lepas, baginda menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat kepada kedua-dua belah pagar politik. Pemimpin UMNO dan PAS Kedah menerima anugerah-anugerah tersebut. Hubungan di antara Tuanku Sultan Kedah dan Menteri Besar cukup rapat.

Beberapa orang pemimpin PAS Kedah yang saya temui bersetuju dengan pemerhatian ini. Kata mereka, sesetengah orang PAS ingin mengambil pendekatan populis. Ada yang mencadangkan agar Azizan menutup sebuah atau dua buah kedai nombor ekor atau kedai arak untuk melonjakkan namanya di mata sesetengah penyokong PAS. Namun, Azizan tidak berbuat begitu.

Seorang pemimpin PAS Kedah menyebut bagaimana sekiranya diberi pilihan, seorang penceramah popular PAS (saya tak mahu menyebutkan nama) akan memilih Lim Guan Eng; dan bukannya Azizan sebagai Menteri Besar. Analogi ini mungkin agak keterlaluan; namun saya fikir itu menggambarkan sikap sesetengah orang PAS terhadap beliau.

Pendekatan Azizan yang mengamalkan politik muafakat ini menyukarkan UMNO di negeri itu. Sebaik saja Azizan mengambilalih jawatan Menteri Besar Kedah, banyak dewan-dewan orang ramai dicatkan “Dewan UMNO.”

Sebabnya mudah, selama ini Ketua UMNO Cawangan yang juga Pengerusi JKKK memegang kunci dewan tersebut. Mungkin kerana tidak mahu memberikan balik dewan itu kepada kerajaan negeri, maka adalah Hamba Allah yang mengarahkan untuk berbuat demikian.

Azizan buat tak kisah saja. Siapa nak pegang kunci “Dewan UMNO”, peganglah. Dia nak fokus kepada agenda yang lebih besar. Beberapa minggu lalu, saya bertemu dengan salah seorang pemegang kunci “Dewan UMNO” ini, dan bertanya soalan, “Siapakah kita nak ganti sebagai Menteri Besar Kedah selepas pilihanraya umum nanti?”

Dengan cepat dia menjawab, “Hawat, Ustaz Azizan ada masalah ker?”

Saya hanya diam apabila mendengar soalan itu dikemukakan oleh Ketua UMNO Cawangan. Saya tak tahu nak respon macam mana, tetapi saya cukup faham apakah yang dimaksudkannya.

Saya tak pasti berapa lamakah Azizan akan dapat bertahan. Bagaimanapun, sekiranya Azizan jatuh, ia bukan dijatuhkan oleh orang UMNO, tetapi oleh penyokong PAS sendiri!

http://nobisha.com/home

3 comments:

  1. PAS adalah sebuah Harakah Islamyyah yang berjuang untuk menegakkan Islam dan menentang musuh2 Islam. Umno pulak adalah musuh utama PAS (memusuhi PAS bermakna memusuhi Islam - Akhi Sanusi perlu mengesah atau menidak statement ini).

    Nobisha ahli dan penyokong tegar UMNO, malah salah seorang pemikir strategi/ think tank UMNO. Tulisan beliau (fasiqun, mengikut Surah Al-Hujrat yg baru dihadami dlm Ijtimak Tarbawi baru2 ni - Akhi Sanusi turut hadir)) ini berunsur 'strategik & taktikal' dan pasti ada persoalan disebaliknya.

    Akhi Sanusi seolah terdesak apabila copy paste artikel beliau dlm posting ini.

    Redho manusia untuk menjamin kemenangan yang dicari atau Redho Allah swt walaupun terpaksa mengalami kekalahan yg sementara?.

    Biar kalah macam Trengganu asal ada tuntutan Islam yang sempat dilaksanakan daripada berkuasa tetapi Islam terpinggir apalagi kalah tanpa ada apa2 pelaksanaan tuntutan Islam pada kesempatan yg dianugerahkan.(Ketahuilah, kemenangan in adalah satu anugerah, samada ujian atau istidraj - berhati-hatilah)

    Ada asas, Yab Ust. Azizan akan dijatuhkan oleh orang2 PAS sendiri ( orang2 PAS ditarbiah, apa2 tindakan pasti berpandukan roh tarbiah walau sekelumit) jika tidak PAS akan terfitnah.

    Sunnah perjuangan Islam sebenar, pasti akan mendapat pertentangan dari musuh Islam, sekira tidak menerima tentangan, bermakna pejuangan perlu dinilai semula.

    Sekadar pandangan..fikir2 kan lah. Sekiranya tidak berasas, abaikan sahaja. Jika menjelaskan sesuatu, silakan, ana berlapang dada.

    Wallahu'aklam. Laqhaulawalaquwataillabillahi'alilyil'azim.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih billythekid...Terdesak? Untuk apa? Saya tak kata nobisha betul, atau salah, malah saya sedang mengulasnya, tapi belum siap, jadi belum publish...tguuuu!

    ReplyDelete