Monday, October 5, 2009

Petikan dari Penyapulidi09: Khutbah Jumaat Bab Zakat.


ZAKAT TIDAK SAH ATAU KHUTBAH YANG ‘CELARU’.
Oleh: Penyapulidi 09

Khutbah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan tahun ini menjadikan solat Jumaat saya tidak khusyuk, fikiran saya berlegar-legar mencari kedudukan ibadah zakat saya sejak saya mula membayar zakat. Apa makna zakat saya, terutama zakat Fitrah saya dan keluarga yang saya bayar kepada janda anak ramai dan anak yatim yang sangat dhaif di kampung saya. Kadang-kadang saya beri kepada Pak Long Mud yang mengambil upah menorah di kebun milik orang dengan bilangan anak 11 orang. Saya kenal sangat Pak Long Mud termasuk dalam asnaf zakat kerana dia miskin.

Kepala saya berputar ligat mencari apakah maksud dan agenda khutbah yang dibaca khatib hari ini yang menyatakan zakat mestilah dibayar melalui Amil yang dilantik oleh Pejabat Zakat Negeri. Jangan dibayar terus kepada mana-mana individu atau kepada amil yang dilantik oleh pertubuhan/organisasi atau parti politik tertentu, dibimbangi zakat itu tidak sah! Itu macam satu amaran.

Maknanya zakat saya selama ini sangat meragukan, mungkin tidak sah,(?) Demikian juga zakat orang lain yang dibayar terus kepada asnaf (Anak yatim, orang miskin, orang berhutang, muallaf, pejuang fisabilillah, musafir, hamba dan amil yang dilantik) juga tidak sah. Ibadat zakat yang tidak sah, adalah kerana tidak mengikut rukun (syarat sah) ataupun tidak cukup syarat wajib zakat. Saya mengira semula semua faktor itu, saya patuhi dengan cermat dan lengkap.

Imam rukuk, saya pun rukuk, surah apa yang dibaca imam saya tak perasan. Hingga imam memberi salam, saya tidak pasti adakah saya menghabiskan tahiyyat akhir saya, saya pun menyapu muka dan bersila. Selepas berdoa, saya membuat kesimpulan muktamad! Zakat saya sah dan khutbah hari ini salah - dikarang dan diluluskan oleh orang yang jahil, lebih jahil daripada saya.

Balik ke rumah saya telefon beberapa rakan dan mereka mendengar khatib di tempat mereka membaca khutbah yang sama. Tidak ada yang salah dalam ibadat zakat saya. Yang salah ialah khutbah yang dikarang oleh Ustaz Mohd Noor Mahang, seorang pengkursus haji dan umrah dari Mahang, Kedah. Dia mengarng atas arahan siapa? Kenapa tidak Pegawai Jabatan Agama atau Pegawai-pegawai agama Daerah yang semuanya bergelar Sheikh mengarang khutbah bab zakat? Apa dibuat Pengarah Unit Dakwah, dan ulama’ besar dari MAIK, JAHEIK dan Jabatan Mufti? Apa pendapat mereka dalam bab ini?

Seorang sahabat menceritakan dalam satu majlis yang disertai Pengarah Jabatan Zakat Kedah, Sheikh Ghazali dan beberapa Ustaz lain di Menara Zakat, seorang peserta bertanya adakah sah zakat yang dibayar terus kepada asnaf tanpa melalui Pejabat Zakat Negeri? Sheikh Abd Hamid Tahir yang terkenal dengan kelantangan atas kebenaran, menjawab sambil memohon maaf dua tiga kali kepada Pengarah Jabatan Zakat bahawa dalam Mazhab Shafie, membayar terus kepada asnaf adalah lebih afdhal. Maknanya sah zakat itu dan cara itulah yang lebih baik. Khalas!

Kenapa diminta orang pencen menjalankan tugas pegawai agama. Sedangkan Pegawai Agama kita sekarang hebat-hebat di radio dan TV. Gred mereka juga hebat-hebat, N48, N52, N54 dan ada JUSA. Dato’ Sheikh Uzir Baharom, Sheikh Fesol Omar, Sheikh Abdullah Awang Sa, Sheikh Marwazi, dan lain-lain sheikh lagi hebat di pejabat dan pentas forum. Apakah kerja mereka berceramah dan buat lawak bagi orang ketawa saja kah? Ataupun di Forum Perdana mereka dibayar saguhati, mengarang khutbah atau tidak, gaji masuk tiap-tiap bulan. Saya cadangkan permohonan Jabatan Agama untuk menambahkan kakitangan ditangguhkan dulu sehingga para Sheikh itu benar-benar bekerja atas ilmu dan keupayaan mereka.

Kalau dalam bab zakat fitrah yang wajib atas setiap kepala pun dia tak lulus, tak betul dan celaru, macam mana ustaz itu mengajar bab haji yang wajib bagi yang berkemampuan sahaja? Bukankah lebih utama bab zakat dari bab haji. Siapa yang suruh dia menulis dan apa agendanya?


Saya percaya parti politik tertentu itu ditujukan kepada PAS! Kenapa selepas PAS membentuk kerajaan negeri baru hal ini dibangkitkan? Kenapa waktu BN memerintah perkara ini tak pernah disebut? Walau apa pun alasan pengarang khutbah itu, Saya tetap beri’tiqad bahawa pejuang-pejuang Islam dalam PAS adalah tergolong dalam asnaf Fisabilillah yang layak diberi zakat, walau mereka menerimanya ataupun tidak. Malah ustaz Mat Noor Mahang yang mengajar di merata masjid juga adalah asnaf dalam ketegori ini, tetapi dengan karangan khutbah beliau yang ‘celaru’ itu, beliau terkeluar dari fisabilillah, dan masuk kumpulan ‘fisabili cari makan’ !


posted by PENYAPU LIDI at

1 comment:

  1. Hari ni genab seminggu sampah kat depan rumah saya tak dikutip. Sebelum ni 3 atau 4 hari ada dikutip oleh pihak bertanggungjawab. selepas keluar berita kat tv kata syarikat tu memulakan kutipan sebulan lebih awal, langsung tak dikutipnya sampah di taman PKNK ni.

    Lalat dah mula kelihatan di gerai-gerai jualan kat taman ni.

    ReplyDelete