Tuesday, July 19, 2011

Assalamualaikum wbt…

Khas buat Pak Teh orang Sik yang pandai menulis, profersional dan saya hormat, tapi tidak kali ini.

Dalam posting terbaru Pask Teh tentang Sanusi, ikan keli dan Ramadhan…saya ingin menjawab begini. Bab Ramadhan, besok saja...hari ini bab keli dan kayu...

Saya nampak ada cubaan secara langsung dan tidak langsung dari Pak Teh untuk mengaitkan saya dengan projek ikan keli-k di tapak kolam Sungai Pau dengan tujuan memburukkan nama dan mencalarkan imej saya. Ini kerja yang mengundang murka Allah swt. Lebih baik sepanjang masa, kita bercakap benar, dan hanya bercakap perkara yang benar-benar kita tahu. Bila kita mula mencemar lidah, berbohonglah kita bagi melanjutkan cerita dusta…bahaya buat kita semua.

Ya, saya orang Sungai Pau, dan saya tahu benar lokasi tapak ikan keli-k…masakan tidak, itulah tempat saya berkelah maggi atau nasi berlauk sardin di zaman kanak-kanak kalau sudah masuk gu. Kami memanggilnya KOLAM. Ia tapak tangki air JKR, bekas rumah pam dan kuater tinggal sejak tahun 80-an. Tak pasti kenapa ia tidak dipakai lagi, yang akhirnya tangki itu diruntuhkan oleh pencuri besi buruk.

Ada sejarah panjang untuk saya sekeluarga di sekitarnya. Ia tempat rehat dari lelah memikul petai dari hutan Bukit Behong dan Charok Air Merah atau Bukit Enggang. Pagi-pagi kami dua tiga beradik menapak di balakang ayah menyusur denai di hutan   itu mencari rezeki halal. Masih terbayang ayah memikul dua ribu keping petai dibahunya menyusur lorong dan paya, kami terhoyong hayang di belakang dengan beban 50-100 keping saja.

Masih Nampak jelas kayu pengandar terbenam di kedua belah bahu ayah dek beban berat itu, kakinya kadang kala terbenam separas buku lali…beratnya petai dua ribu keping. Itu waktu rezeki banyak. Kalau kurang, dapatlah 3 -4 ratus keping. Kadang2, sesampai saja di puncak bukit, petai sudah masak hitam. Kita lambat 3 hari saja kata ayah.

Jam 7 pagi sudah membelah bukit, jam 4 petang, belum berjumpa nasi. Kalau tak jumpa buah tampoi, petai padi atau petai papan itulah sarapan dan makan tengahari saya. Rezeki petai hutan di denai dan lorong sekitar kolam itulah membina daging, tulang, kulit belulang saya. Dari duit petai itulah kami 15 orang sekeluarga membesar, belajar dan mencari ilmu. Dari sanalah kami membina kehidupan…darah dari duit petai itulah mengalir di urat jantung saya hari ini pun! 
Sampai di jalan besar, ramai yang tunggu, petai ayah saya selalunya terbaik, dari nama-nama pokok yang dinamakan sendiri di hutan. Hampir semua pokok petai di hutan itu punya nama. Lihat saja buah, dia tahu dari pokok mana ia diturunkan. Ketika melewati pokok yang diberi nama itu, jika bunga petai sudah chemok, dia tahu berapa lama lagi kita boleh memulas tangkainya. Mahirnya Tok Imam Hj Md Nor dengan petai hutan.

Itulah sentimental value saya dengan tanah itu. Itulah KOLAM dan sekitarnya di dalam kehidupan saya…masakan saya tidak tahu. Masakan saya melupakannya. Hal cerita keli-k muncul 25 tahun selepas zaman petai!

Pada suatu hari, saya ditunjukkan sekeping gambar oleh pegawai di MBI. “Hang tau dak tempat ni?” Saya merenungnya… Oh! ini Kolam, jawab saya…ada apa?

Berapa jauh ke jalan besar? Tanya pegawai itu. Saya agak 1.5 – 2.0 kilometer. Nak buat apa pi sana? Ada projek ternak ikan dengan syarikat dari KL, katanya.

Selang beberapa minggu, pegawai itu datang bertanya lagi…siapa boleh kami jumpa untuk tunjukkan jalan masuk ke tapak kolam itu? Oh senang…Tanya Pak Ndak Id, Cher Ding, Pak Lang Mat, atau Tok Imam Sg Pau… depa semua tau..atau jumpa siapa saja orang Sg Pau, depa akan tunjukkan.

Selang beberapa lama, orang kampung mula bertanya kalau saya balik kampung…Si, dema nak buat pa di kolam? Kami tak kenai seko pong yang dok sodok tanah tu…. Siam banyak, hanying pong ada. Ah! Dema nak bela ikan, orang kolupo pakat dengan anak syarikat kerajaan negeri, itu saja saya tahu. Oh Kalu lagu tu, siap esok buleh kami tupang kerja? Ha! buleh la kot…mu gi lah tanya dema…aku pong tak kenai. Tak terlintas sikit pun di benak saya untuk menyusur jalan ke kolam, untuk lihat apa yang berlaku. Tak sampai seru! Tapi dalam hati ada sikit marah sebab orang yang sedang buat kerja di kolam tak jumpa dulu orang kampong, ambil orang kampong bekerja, atau bergaul dengan mereka. Depa ni mai dari mana?

Sehingga pada satu hari, melalui telefon Ismadi, saya bercakap dengan pegawai perhutanan Batu 10…Bosss, saya Nordin!! Apa nak buat ni? Depa yang dok buka tapak keli tu bukak jalan luas sangat, masuk kawasan yang tak ada permit penggunaan. Kata Tok Renjer. Oh! Aku tak tau la pulak…orang mana buat keja tu? Tanya saya. Dia jawab..Siam! Saya tanya lagi...Kesalahan macam tu biasanya hampa buat macam mana.? Kami kena rampas mesin la bos! Kata Nordin. Oh! kalau macam tu, sila jalankan tugas Hampa! Jangan dok kira depa tu sapa... Selepas itu saya dengar, memang mesin kontraktor itu disita. Saya pun tak ambil kisah lagi. Padanlah masuk kampong orang tak jumpa tuan rumah dulu, masok hutan tak jumpa renjer…terimalah nasib!

Sehinggalah tapak itu dirasmikan oleh YAB MB, hati saya tidak terpanggil langsung untuk menjengok KOLAM dan sejarahnya! Pada hari perasmian, saya ada tugas di Kuala Lumpur. Beberapa bulan selepas itu, satu petang saya menziarahi tapak itu. MasyaAllah! Sudah tak ada rupa kolam lagi…. Semua nostalgia saya tergamit menerjah… kelopak mata bergenang. Kenapa sekali pun aku tak menjengok sebelum ini? Selang beberapa hari sepupu saya datang bertanya, kepada siapa nak diminta wang kerana sign board keli-k di pacak ditanahnya...tanpa bayaran...?? Saya berikan nombor pegawai MBI kepadanya...mintalah dari orang ini... Geram juga saya, kenapa orang luar masuk kampung aku begini pulak kelakunya?

Membaca posting Pak Teh Sik bagai meyiat kulit dan belulang saya. Saya bagai dihiris dua kali…kali pertama tentang kolam, kali kedua tentang balak yang seolah-olah digambarkan oleh Pak Teh sayalah yang merancang dan mengaut wang haram atas nama projek keli. Apa dosa saya kepada Pak Teh atau dosa saya pada kolam? Kenapa ada kaitan dengan kerja buat saya membuat tembok menahan tebing di rumah yang saya tinggalkan di kampong dengan keli itu? Tembok itupun belum siap…terbengkalai…tak apa, asal tebing tak runtuh, tanah di laman tak hanyut!

Kepada Pak Teh! Saya pernah susah, miskin, bernasi garam, berteh daun kopi salai….tapi saya sekeluarga tak jemba duit curi dan menyamun! Demikianlah dulu, demikian lah sekarang. Waalahi-Wabillahi-Watallahi…saya tak terlibat sama sekali dalam apa juga urusan bersabit projek ikan keli, sangkarnya, jalannya, ternaknya, jualnya…. Tanahnya, rimbun pokoknya dan airnyaaaa…. Saya tak terlibat atau terbabit. Mengapa manusia seringkali bersikap begini dan begitu???...... Inilah perjuangan - sejukkanlah hati aku...

No comments:

Post a Comment