Sunday, September 4, 2016

Konsesi AUI dan Taliwork Bercanggah Dengan Dasar Penswastaan Negara

PENSWASTAAN OPERASI RAWATAN AIR DAN BEKALAN AIR LANGKAWI KEPADA AUI DAN TALIWORK BERTENTANGAN DENGAN DASAR PENSWASTAAN NEGARA

Demi kepentingan rakyat dan negeri ini, PAS Kedah telah menegaskan bahawa kerajaan  negeri tidak patut mengulangi  kesilapan lampau dengan menyambung perjanjian penswastaan operasi rawatan air  di lima loji utama kepada Air Utara Indah (AUI) dan pengurusan bekalan air ke Pulau Langkawi kepada Taliwork.

PAS Kedah berharap kerajaan negeri kekal dengan janji YAB Menteri Besar Kedah dalam Dewan Undangan Negeri sebelum 'pertukaran mengejut' bahawa penswastaan ini tidak akan disambung lagi.

Jika pertukaran Menteri Besar dibuat untuk menjayakan usaha menyambung konsesi ini, ia adalah pertukaran yang membawa malapetaka besar kepada rakyat dan negeri.

Pemecatan Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) SADA, Dato' Hj Adzmi Din pada 31 Ogos 2016, empat bulan lebih awal daripada tempoh sebenar kontrak beliau tamat (Disember 2016) dibimbangi  sebagai langkah meruntuhkan tembok penghalang kepada usaha melanjutkan konsesi yang sedang diusahakan sekarang. Ini kerana perjanjian itu nanti bukan lagi antara syarikat konsesi dengan kerajaan negeri, sebaliknya dengan SADA sebagai pemegang lesen operator air.

Dato' Adzmi adalah peneraju SADA sejak kewujudan entiti itu pada 2010 yang konsisten menentang penswastaan kepada AUI dan Taliwork.

Sejak awal lagi, beliau menegaskan penswastaan tersebut adalah beban sejarah lampau yang tidak boleh diulangi jika kerajaan berhasrat memastikan SADA menjadi operator bekalan air yang berkemampuan menjana pendapatan untuk melunaskan hutang-hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.

Perjuangan beliau bukan sekadar memimpin SADA menggalas cabaran besar dalam industri bekalan air, melunaskan hutang RM1.7 bilion, tetapi perjuangan mengekalkan kedaulatan negeri yang kian terhakis dalam isu hak ke atas bekalan dan sumber air selepas penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Tiba-tiba sahaja, rekod cemerlang perkhidmatan beliau dalam pentadbiran negeri (KCS) dan syarikat milik kerajaan selama lebih 36 tahun seolah-oleh diketepikan begitu sahaja dengan diberi notis penamatan kontrak tiga hari, satu tindakan yang sangat janggal dengan kelaziman.

Kami percaya ia berkait rapat dengan pendirian tegas beliau terhadap penswastaan kepada AUI dan Taliwork.

Selain kes pemecatan ini, PAS Kedah telah mengesan beberapa tindakan, ucapan, pertemuan, rundingan dan usaha melobi antara pemimpin BN Kedah dan ahli-ahli perniagaan berkepentingan yang berlaku sepanjang dua bulan terakhir ini, semuanya memberi petunjuk bahawa sejarah hitam 26 tahun lampau Negeri Kedah akan berulang kembali.

Sejarah dan latar belakang Penswastaan Rawatan Air Lima Loji Utama dan Bekalan Air di Langkawi:

Kedua-dua konsesi itu telah dianugerahkan kepada dua syarikat tersebut pada tahun 1990 melalui satu perjanjian penswastaan yang akan tamat pada Oktober 2020, kira-kira empat tahun daripada sekarang.

Sepanjang 26 tahun lalu, penswastaan kedua-dua operasi ini telah menelan sebahagian besar perbelanjaan negeri di sektor bekalan air, yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan perkhidmatan air atau sektor lain dalam negeri ini.

Sejak tahun 1990, PAS Kedah konsisten menentang langkah penswastaan ini, melalui perlbagai kaedah, termasuk usaha-usaha menyemak semula untuk menamatkan perjanjian ketika menerajui kerajaan pada 2008-2013.

Oleh kerana ikatan perjanjian  penswastaan itu tidak menyediakan jalan keluar untuk sampai ke tahap itu, kerajaan terpaksa menunggu konsesi tamat pada 2020.

Bercanggah dengan Dasar Penswastaan Negara:

Jika diamati dengan cermat, langkah kerajaan negeri dalam penswastaan tersebut sejak tahun 1990 adalah bertentangan dengan lima objektif utama dasar penswastaan negara.

Matlamat utama dasar penswastaan ialah mengurangkan bebanan kewangan kerajaan. Terbukti, selama 26 tahun ini, beban kerajaan tidak berkurang, malah makin bertambah.

Dalam tempoh 10 tahun terakhir, kerajaan negeri terpaksa membelanjakan sehingga RM140 juta setahun daripada pendapatan kerajaan kepada syarikat konsesi, sedangkan beban ini dapat dikurangkan sekiranya ia dilakukan sendiri oleh syarikat milik kerajaan (SADA).

Kos rawatan air di loji-loji yang diswastakan kepada AUI (5 buah) dan Taliwork (5 buah) boleh dikurangkan sebanyak 10 sen setiap meter padu daripada harga yang dikenakan oleh pemegang konsesi.

10 sen itu mewakili RM63,600 sehari atau RM1.9 juta sebulan atau RM22.8 juta setahun berdasarkan kapasiti pengeluaran 5 buah loji kendalian AUI sahaja. Tidak termasuk loji lain.

Kos membeli air terawat sahaja daripada loji kendalian AUI dan Taliwork pada tahun 2012 sahaja berjumlah RM102,388,857. Ia semakin meningkat setiap tahun.

Pada waktu ini, loji-loji yang diswastakan menguasai lebih 52% bekalan air terawat negeri Kedah dengan kos tahunan yang dikenakan kepada kerajaan (SADA) sekitar RM105 juta setahun.

Beban kerajaan bertambah apabila terpaksa mensubsidi antara RM0.70-80 sen setiap meter padu air yang dibekalkan kepada pengguna di Langkawi akibat perjanjian penswastaan operasi bekalan air kepada Taliwork.

Harga yang dikenakan kepada pengguna domestik di Langkawi ialah RM0.50 semeter padu, tetapi kerajaan terpaksa membayar kepada Taliwork RM1.30 setiap meter padu. Pendapatan daripada operasi di tanah besar terpaksa digunakan untuk menampung kerugian akibat perjanjian ini di Langkawi sehingga RM35 juta setahun.

Matlamat kedua ialah meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja.

Operasi rawatan air di 26 loji dibawah kendalian SADA ternyata lebih murah sepanjang sepanjang 6 tahun operasinya sebagai sebuah syarikat korporat milik kerajaan.

Keupayaan SADA membekalkan air terawat mengikut standard WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia pada kadar yang lebih murah membuktikan langkah menswastakan rawatan air kepada AUI dan Taliwork adalah bertentangan dengan objektif kedua Dasar Penswastaan Negara.

Berdasarkan kedudukan ini, setiap sen lebihan kos yang dibelanjakan oleh kerajaan kerana penswastaan ini, bukanlah berasaskan meninggikan kecekapan, sebaliknya merupakan pembaziran dan siri pengkhianatan BN kepada rakyat Kedah.

Matlamat ketiga dasar penswastaan iaitu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kekesanan negara, juga hakikatnya tidak tercapai. Pertumbuhan sepatutnya menghasilkan nilai tambah dan agihan limpahan nikmat secara saksama, tetapi penswastaan kepada AUI dan Taliwork mendatangkan liabiliti (beban) kepada kerajaan dan rakyat apabila ia akan melibatkan peningkatan tarif untuk menampung kos.

Berdasarkan kehendak Akta 655 yang perlu dipatuhi secara mandatori selepas proses migrasi disempurnakan, yang menetapkan semua kontrak dalam operasi bekalan air memerlukan kelulusan SPAN dan tempoh masa tidak melebihi dua tahun, PAS Kedah bimbang pihak terlibat sedang memecahkan pintu belakang demi menjayakan matlamat mereka.

Sekiranya syarikat terbabit diberikan hak penguasaan yang lebih luas termasuk membangunkan infrastruktur bekalan air yang sangat diperlukan sekarang melalui kaedah private initiative fund (PFI), maka seluruh senario dan kehendak Akta 655 akan berjaya dibolosi.

Kesan langsung pada masa depan akibat menggunakan kaedah PFI berbanding peruntukan geran persekutuan ialah kenaikan kadar tarif yang akan menembusi poket rakyat secara langsung. Jika ini terjadi, ia tiada lagi kaitan dengan dasar penswastaan, tetapi satu rancangan menjual rakyat dan negeri kepada saudagar.

Objektif keempat ialah pembahagian sumber serta kecekapan. Hakikat selama ini ialah kedua-dua konsesi itu adalah operasi yang bebas daripada risiko kerugian dalam sektor bekalan air. 100% air terawat akan dibeli oleh kerajaan melalui SADA, tanpa sebarang risiko NRW yang bergantung kepada rangkaian infrastruktur bekalan air di luar loji.

Sektor berisiko diletakkan sepenuhnya keatas SADA yang bergelut dengan keuzuran jajaran paip sepanjang 12 ribu kilometer, kerosakan pam, kenaikan tarif elektrik, kerosakan meter dan bencana alam.

Ini bukan petunjuk pencapaian pembahagian sumber serta kecekapan, tetapi menjadi bukti 'penswastaan ala pak kadok', keuntungan dibagi kepada orang, kerugian ditanggung seorang diri,  kerajaan makan kuah, swasta makan isi.

Matlamat terakhir ialah mempercepatkan pencapaian matlamat dasar ekonomi baru (DEB).

Penyusunan semula masyarakat dan meningkatkan penguasaan bumiputra dalam ekonomi adalah dua matlamat DEB. Jika diteliti, kedua-dua matlamat ini tidak mungkin tercapai dengan melalui AUI dan Taliwork.

Kedua-duanya bukan syarikat milik bumiputra, malah tokoh-tokoh besar yang memiliki syarikat ini adalah taikon dalam industri perjudian, hiburan, hartanah perhotelan, perladangan dan lain-lain.

Diketahui umum, mereka adalah 'superkaya' dalam negara yang mengawal banyak sumber ekonomi, malah menjadi lubuk dana politik Barisan Nasional.

Memberikan konsesi sebesar itu dalam kek ekonomi Negeri Kedah yang kecil adalah satu langkah memusatkan kekayaan negara di kalangan orang tertentu sahaja. Dalam pengajian ekonomi Islam, Pemusatan ini termasuk dalam konsep Duulatan Baina Al-Aghnia' (DBA) yang diharamkan oleh Islam. Amalan ini mengundang kehancuran dan kemurkaan Allah swt.

Berdasarkan fakta-fakta ini, langkah melanjutkan lagi penswastaan ini selepas tamat pada 2020 adalah satu tindakan yang tidak boleh dibiarkan. Seluruh rakyat Kedah perlu menyedari hal ini, dan kerajaan pimpinan BN Kedah perlu dihalang daripada mengulangi lagi kesilapan mereka 26 tahun lalu itu.

Masa yang tinggal sangat genting untuk semua orang, bagi mereka ataupun kita sebagai rakyat. Mereka boleh menjual diri dan negeri untuk raih dana pilihanraya demi menjamin kuasa. Kita rakyat Kedah ada kewajipan  mempertahankan masa depan dan maruah untuk kekal merdeka. Sampai bila kita perlu menundukkan muka?

#SelamatkanKedahTercinta
#TumbangkanBN

Muhammad Sanusi Md Nor
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah
2 September 2016