Tugasan terakhir saya sebelum ke Muktamar PAS yang lalu ialah menyerahkan senaskah teks dan layout yang dimuktamadkan - 'buku kecil yang sangat besar' bertajuk 'Kedah Sejahtera 2008 - Pencapaian Kita' kepada Saudara Zaki di Urusetia Penerangan.
Jawatankuasa Kajian Pelaksanaan Manifesto yang diketuai oleh Al-fadhil Ustaz Ahmad Yahya, Ketua Pemuda PAS Kedah sebelum itu telah bermesyuarat beberapa kali bagi mendetailkan segenap tajuk Manifesto PAS pada Pilihanraya Umum Ke- 12 - apa yang sudah dan apa yang belum dilaksanakan. Ia bermula pada tahun 2009 lagi, berlanjutan mengikut arahan pimpinan. Setelah tertangguh agak lama selepas mesyuarat terakhir, saya mengadap YAB Ustaz Azizan membawa hasil kajian untuk 'direbus empuk' olehnya.
Bermula dari detik itu, saya benar-benar mengenali betapa telitinya Ustaz Azizan dalam hal penerbitan dan pentadbiran. Tidak kurang dari 12 kali, seperti murid mengadap guru, setiap kali memakan masa berjam-jam lamanya teks itu diperhalusi. Kami lalui setiap huruf dan ayat, setiap tajuk dan isi, dari huruf mula hingga huruf akhir teks. Ketelitian YAB Menteri Besar sangat meletihkan tetapi terlalu berharga untuk bekal kehidupan. Setiap patah perkataan diulang-ulang untuk melihat ketepatan maksud, pembaziran- walaupun membazirkan sepatah perkataan - dielak sejauh-jauhnya. Cepat dan pantas adalah kemestian, tapi jangan beri ruang sama sekali kepada kesilapan!
Saya bebas memberi cadangan dan pendapat, tapi awas! mesti ada hujah, mesti bersedia untuk diasak, walau hanya dalam bab penggunaan perkataan dan susunan ayat. Apatah lagi dalam hal-hal yang lebih besar dan berat dalam pentadbiran negeri. Beliau juga ada cadangan, lepas dibandingkan, dibuat hujahan dari semua sudut, kekadang ayat saya, kekadang ayat beliau. Setiap kali mengadap, setiap ayat diubahsuai, ditambah dibuang, dibuat jangkaan pemahaman dan reaksi pembaca... helaian demi helaian...hingga beliau terlelap keletihan. Saya pun pulang diam-diam.
Barangkali ketelitian inilah yang membuatkan sesetengah orang berpendapat beliau payah diajak berunding...? Pada saya, ketelitian itulah resipi paling ampuh mengemudi Kerajaan Kedah yang makin hari makin tenang dan aman.
Hari ini, perkara yang sudah diterima sebagai menifesto yang sudah dilaksanakan, esok belum tentu ia kekal di sana. Jangan ada ruang sama sekali untuk musuh kutip sebagai bahan ketawa mereka....kalau mereka ketawa juga, itu atas kejahilan mereka...bukan atas silap kita. Ustaz Azizan hanya mahu kita mencetak perkara yang benar untuk rujukan sepanjang hayat. Semakin hari saya merasakan buku kecil itu semakin besar dan semakin berat 'bebanannya'. Hampir sebulan lamanya proses penelitian itu dilaksanakan berdua dengannya. Hal terakhir ialah Ustaz Azizan memberikan tajuknya!
Sehingga pada hari terakhir sebelum ke muktamar, saya berikan teks dan layout yang diperhalusi itu kepada Saudara Zaki di Urusetia Penerangan untuk urusan cetak dan edar. Alhamdulillah, 'buku kecil yang besar' setebal 44 halaman itu sudah berada ditengah-tengah orang ramai. Belum ada komen serius setakat ini!
Muktamar telah lama selesai... kabinet di peringkat PAS Pusat sudah siap untuk bekerja. Isnin lalu hingga semalam, saya menerima beberapa ucapan tahniah, kritikan dan cemuhan, kerana diberi amanah lagi sebagai Ketua Penerangan PAS Kedah. Saya tidak pernah mimpikan sebarang jawatan dalam PAS, saya tidak pernah bertanding dalam mana-mana pemilihan parti sejak 1998 hingga 2010. Sebelum ini, semua posisi saya dalam parti adalah atas asas lantikan atau laluan tanpa pertandingan.
Tahun ini saja saya memecah tradisi diri, dari cadangan, desakan dan permintaan kawan-kawan dan orang-orang lama. Ah! pertandingan mencetuskan kesan besar yang menakutkan. Saya sangat tidak selesa dengan bertanding dalam parti...biarlah kita berada di mana posisi pun, atas asas merit dan keupayaan diri...bukan kecekapan memenangi pertandingan. Kita boleh menyumbang untuk jemaah dan parti dari posisi mana sekalipun...kalau bawah, bawahlah....kalau atas ataslah! Tiada masalah. Tugasan diberi, laksanakan saja seupaya yang ada...yang penting teliti dan sabar!
Demikianlah bekerja dibawah bimbingan dan arahan langsung Ustaz Azizan sejak 12 Mac 2008. Dalam hal-hal bersabit tugasan Setiausaha Politik, ketelitian dalam semua hal adalah ramuan utama. Perbincangan, pemakluman, pelaporan, cepat, peka, siap siaga adalah ramuan lain yang memandu kata pemutus daripada beliau. Untuk menyempurnakan setiap 'hidangan' dari dapur Ustaz Azizan, perkara paling asas ialah ketahanan pancaindera, fizikal dan mental...tanpa ketahanan, bersiaplah untuk bertemu kegagalan dan keciciran. Ramai yang sudah merasainya. Ramai juga yang hilang sabar.
Merasakan tugasan baru ini terlalu berat, diwaktu beban tugas sedia ada sangat memeritkan, saya mohon sahabat dan taulan memahami untuk sedia membantu menggalasnya. Saya maafkan sebarang cemuhan dari yang kurang mengerti situasi, tidak memahami bidang tugasan dan terlalu mengharapkan hasil yang lebih dari keupayaan yang terhad. Saya alu-alukan sebarang cadangan dan sumbangan untuk mendepani cabaran melonjakkan fungsi dan kesan Penerangan PAS Kedah.
My name is Yahya Hayatu Sanusi I want to know how your website was concern in the global attributes may I have it?
ReplyDelete