Sunday, June 12, 2011

Kalau PAS Tak Ambil, UMNO Akan Ambil- Satu Pencerahan Dari Kedah

Saya terpanggil memberi komentar terhadap kenyataan Yang Berbahagia Tuan Haji Mohamad Bin Sabu (Bang Mat), Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih, dalam interview beliau dengan Malaysiakini bertarikh 10 Jun 2011. Nasihat terus terang beliau sebagai Timbalan Presiden dan pemimpin lama PAS yang telah teruji, wajar dilihat dengan positif demi kebaikan parti dan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS.



Menurut Bang Mat dalam bab harta dan pangkat - 'Kalau PAS tak ambil, UMNO akan ambil' - adalah satu pegangan atau tanggapan yang menyalahi matlamat perjuangan PAS , dan ini wajib diubah, dengan perubahan yang lebih besar. Tanggapan ini wujud terpahat dalam kepala orang PAS di mana-mana, dan bagi Kedah dan Kelantan, yang dipimpin oleh PAS, perubahan yang berlaku dalam hal ini tidak mencukupi. Contohi Pulau Pinang yang dipimpin DAP, kata Bang Mat.



Saya setuju dan akur, tetapi (maafkan saya!) kalau kenyataan ini dibuat sebelum muktamar, saya percaya Timbalan Presiden PAS yang baru mungkin bukannya Bang Mat. Apa telah berlaku di Kedah dan Kelantan dan ada apa di Pulau Pinang dan hingga Bang Mat membuat seruan mencontohi negeri itu?


Gelaran Dato'


Saya tidak melihat kewujudan pemikiran itu ataupun natijah 'pegangan salah' itu di kalangan pemimpin PAS di Kedah, malah tidak berlaku sebarang perlumbaan di kalangan pimpinan PAS Kedah untuk mengejar harta atau pingat, jauh sekali memohon tanah di kalangan wakil rakyat atau Exco. Gelaran Dato' misalnya, adalah hak mutlak KDYMM Tuanku Sultan, tiada Exco atau wakil rakyat daripada PAS yang mengisi borang bagi pihak diri sendiri untuk memohon gelaran itu.



YAB Menteri Besar ada mencalonkan beberapa nama dari kalangan ahli politik, termasuk daripada PAS, yang mana tuan tubuhnya pun tidak dimaklumkan sehingga surat perkenan dari pejabat KDYMM Tuanku Sultan sampai ke tangan, barulah individu tersebut tahu. Dalam bab Pengurniaan Bintang dan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato' dalam mana-mana kategori, terdapat cadangan yang ditolak di peringkat Jawatankuasa Jemaah Dato'-Dato' Kedah, dan ada yang belum diperkenankan oleh KDYMM Tuanku Sultan sendiri. Ada juga calon yang dicadangkan pingat lain, tetapi KDYMM Tuanku Sultan memperkenankan calon itu diberikan Dato'.



Di Pejabat Menteri Besar, sayalah yang menguruskan borang pencalonan dan menapis semua permohonan Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran bagi kategori ahli politik dan aktivis masyarakat bagi pihak Menteri Besar, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganugerahan Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran. Bagi pencalonan dalam kategori lain, ada jawatankuasa lain yang bertanggungjawab. Semua pencalonan akan diangkat untuk perkenan KDYMM Tuanku Sultan setelah melalui tahap-tahap tapisan beberapa jawatankuasa. Ia tidak semudah sangkaan tidak tepat sesetengah pihak. Dalam tempoh tiga tahun ini, saya telah melihat trend yang jelas dalam hal ini, iaitu, tiada pemimpin PAS yang menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapat gelaran Dato' - sehingga perlu ditegur oleh Bang Mat.



Dalam hal ini, saya akui ada di kalangan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi yang tidak berpuas hati dan merungut kenapa waktu kita menjadi kerajaanpun, penerima pingat, bintang dan darjah kebesaran masih ramai dari kalangan UMNO dan BN. Pada saya, teguran bang Mat itu wajar ditujukan kepada mereka, bukan kepada pimpinan. Pun begitu, saya memahami bahawa itulah budaya nilai yang diwarisi daripada sejarah kerana kita lahir dan hidup membesar di Malaysia, sebuah negara dengan sistem Raja Berperlembagaan. Mereka tidak mengenal budaya Cuba, China, Russia maupun Libya atau Iran. Negeri Pulau Pinang dan DAP yang Bang Mat jadikan contoh dalam hal ini, tidak mempunyai Sultan, Raja maupun Istana yang memayungi pembentukan adat, nilai dan budaya hidup rakyatnya.

Balak dan Pencapaian Kedah.

Dalam bab balak yang juga disebut oleh Bang Mat, tidak ada kalangan pemimpin PAS Kedah yang pernah atau cuba memohon kawasan. Walaupun ruang dan peluang terbuka luas kepada sesiapa sahaja, kerana Kedah mengamalkan sistem tender terbuka, belum ada seorangpun wakil rakyat, exco atau pemimpin PAS yang pernah memohon, masuk tender atau meminta balak daripada kerajaan. Apatah lagi mendapat kawasan. Memang ada ahli dan penyokong PAS yang menerima konsesi balak hasil sistem tender terbuka, tetapi mereka bergiat dalam bidang ini sejak bertahun-tahun dulu, sebelum kerajaan bertukar tangan, kerana mereka menawarkan harga yang terbaik.



Untuk pengetahuan Bang Mat, sejak Kedah ditadbir oleh PR yang diterajui oleh PAS, dengan kuota keluasan tebangan yang sama yang ditetapkan oleh kementerian yang bertanggungjawab (2,340 hektar setahun bagi Negeri Kedah), hasil balak untuk negeri Kedah telah meningkat berlipat kali ganda setiap tahun. Daripada purata RM9.5 juta di zaman BN, mencapai kepada RM53 juta pada tahun 2010. (RM35 juta pada 2008, RM38 juta pada 2009). Dalam hal meningkatkan hasil dari industri pembalakan, kerajaan negeri pimpinan PAS tidak melihat kepada latar belakang parti pemohon/pembida, tetapi berapa harga yang ditawarkan.



Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 memperakukan Kerajaan Negeri telah berupaya meningkat pendapatan melalui industri pembalakan pada kadar 205% pada tahun 2008 dari tahun sebelumnya. Pencapaian ini sudah semestinya melalui perancangan yang rapi yang disusun oleh kepimpinan YAB Menteri Besar untuk membuktikan pentadbiran PAS dan PR jauh lebih baik daripada era UMNO/BN. Negeri Pulau Pinang dan DAP yang Bang Mat jadikan contoh dalam bab ini sudah tidak mempunyai hutan dan balak untuk ditender dan ditebang, kerana negerinya sudah dipenuhi hutan batu.



Permohonan Tanah.



Dalam bab memohon tanah, sepanjang pengetahuan saya, belum ada kes Exco atau wakil rakyat PAS di Kedah yang memohon tanah untuk diri sendiri maupun kaum keluarga. Memang telah menjadi dasar yang tidak bertulis di Kedah, dan difahami dan dihayati dengan sebaik-baiknya oleh sekelian Exco dan Wakil rakyat PAS bahawa mereka tidak mungkin boleh melakukan hal itu. Kalau ada permohonan tanah sebelum menjadi Exco atau wakil rakyat yang masih belum selesai prosesnya, saya tidak tahu. Negeri yang Bang Mat jadikan contoh itu sudah tidak ada tanah yang luas untuk dipohon, bukan sahaja oleh exco atau wakil rakyat, malah rakyatnya juga telah ramai berhijrah ke Kulim, Sungai Petani dan utara Perak gara-gara harga hartanah yang terlalu tinggi dan sebahagian penduduknya sudah tidak mampu memilikinya lagi.



Saya akur dan berterima kasih di atas ingatan dan nasihat daripada Bang Mat yang berterus terang dalam hal ini, yang saya percaya bertujuan memelihara kepentingan dan matlamat perjuangan parti. PAS tidak boleh dan tidak mungkin bergerak menyamai apa yang telah dibuat oleh UMNO/BN yang membawa kebencian rakyat ketika menjadi kerajaan. Saya menghormati dan menyanjung tinggi keberanian dan 'drive' Bang Mat menerajui kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden PAS yang inginkan parti kita terus maju dan disenangi dan disayangi oleh rakyat, dalam hal-hal yang bersangkut dengan keperluan dan kemahuan dalam hidup sebagai manusia yang diberi amanah kuasa.



Untuk melaksanakan hasrat yang mulia Bang Mat itu, alangkah baiknya jika Bang Mat mendapatkan maklumat dan gambaran yang jelas dari kepimpinan PAS di Kedah maupun di Kelantan melalui hubungan dan persahabatan yang baik lagi mesra, sebagaimana Bang Mat berjaya lakukan dengan kepimpinan kerajaan di Pulau Pinang. Maklumat dari pinggiran yang (jika) menjadi asas penilaian Bang Mat, saya khuatiri akan menyebabkan teguran Bang Mat menjadi tidak bermakna dan tidak menguntungkan sesiapa. Teguran terbuka seperti ini juga lebih manis dibuat dulu dalam mesyuarat di peringkat PAS Pusat yang dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS negeri-negeri terbabit. Saya mohon ampun dan maaf daripada Bang Mat jika terkasar bahasa dan terlajak bicara.

Sekian.



Saya yang menjalankan amanah,


Muhammad Sanusi bin Md Nor
Setiausaha Politik
YAB Menteri Besar Kedah D.A

3 comments:

  1. Nusi, abang Mat dah cakap lama benda ini, dah banyak kali harakahdaily siarkan. Cumanya , dia ulang semula apa yang dia cakap, berdasarkan pengetahuannya dalam parti.

    Mungkin tak berlaku di kedah , baguslah. Peringatan abang Mat ini penting sebagai persiapan masa depan.

    Mungkin abang Mat dengar dan tahu apa yang berlaku di Perak masa PR perintah.

    Setuju, jika abang Mat bongkar dalam mesy pas pusat.

    ReplyDelete
  2. Tuan sanusi,

    apa yg abg mat cakap tu mmg tlh byk kali abg mat sebut pun..cumanya baru nilah di beri perhatian mangkala status abg mat sebagai tim presiden..

    tapi saya rasa abg mat tujukan pada kes di perak tu..mustahil sgt abg mat ni loose dalam informasi...dia beri kita semua peringatan ttg kejadian yg berlaku ketika perak di perintah oleh pakatan rakyat sebelumkene guling kuasa...

    apapun,tahniah kerana menjawab dgn baik dan terususn serta berhemah.....teruskan kerja baik utk masyarakat...

    ReplyDelete
  3. Tuan,
    Tahniah kerana berani menegur atau memperbetulkan tanggapan pemimpian atasan. Biasanya amalan menegur pemimpin atasan sebegini dilakukan oleh UMNO namun jika amalan sebegini dilaksanakan dalam PAS, Pakteh percaya PAS akan menjadi lebih kuat dan mampu berdiri lebih kukuh pada masa akan datang.
    Dalam beberapa isu, Pakteh menilai Tuan sebagai seorang yang bercakap berasaskan fakta dan berani kerana benar...teruskan usaha sebegini walaupun terdapat dikalangan ahli PAS sendiri tidak menyukainya.

    ReplyDelete