Monday, June 27, 2011

MB Tunggu Buku Jawapan UMNO

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia menanti kemunculan buku jawapan daripada UMNO Kedah berhubung ketidakpuasan hati mereka terhadap buku 'Pencapaian Kedah Sejahtera'.
Katanya, sekiranya pemimpin UMNO tidak berpuas hati dengan penjelasan dalam buku berkenaan, mereka boleh menerbitkan buku jawapan untuk menidakkan kesahihan fakta dalam buku terbitan Kerajaan Negeri itu.

"Tidak mengapa jika ada pihak tidak puas hati tentang penjelasan kejayaan manifesto itu, yang penting mesej kepada rakyat sampai. Saya sedia tunggu pemimpin UMNO buat kajian semula terhadap penjelasan buku itu dan jawab semula berdasarkan penilaian mereka," katanya.
           
Azizan mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mempertikai kesahihan fakta buku 'Pencapaian Kedah Sejahtera' yang memperjelas pencapaian Kedah berdasarkan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
           
UMNO Kedah turut bercadang menerbitkan sebuah buku bagi menjawab segala penjelasan dalam buku berkenaan dalam masa terdekat.
           
Azizan berkata, pihaknya pelik dengan sikap pemimpin UMNO yang 'ghairah' sebelum ini mahu kejayaan manifesto PRU12 diedarkan untuk tatapan umum, namun apabila diedarkan, timbul pula persepsi lain.
           
"Dulu mereka juga yang beriya-iya minta pencapaian itu diedarkan pada semua orang, bila kita hebahkan, timbul pula cerita lain dakwa ianya pembohongan. Jika mereka tidak puas hati kemukakan hujah mereka," katanya.
           
Mengulas mengenai hasrat pemimpin UMNO yang akan membangkitkan semula isu manifesto dalam Sidang DUN akan datang, Azizan berkata, pihaknya tiada masalah untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan.
           
"Itu hak mereka untuk bangkitkan apa jua soalan dalam Sidang DUN. Saya tiada masalah untuk buat penjelasan isu berkenaan walaupun ianya telah ditulis secara jelas dalam buku itu," katanya.
           
Azizan berkata, pandangan parti pembangkang mengenai pencapaian manifesto itu seperti yang dipaparkan dalam buku berkenaan tidak penting, kerana penilaian rakyat adalah lebih utama.
           
"Yang penting rakyat tahu apa kita buat di Kedah. Biarlah rakyat buat penilaian, buku itu sekadar jadi rujukan. Malah saya andaikan kebanyakan daripada kejayaan manifesto turut melibatkan rakyat secara tidak langsung," katanya.
           
Secara sinis, Azizan berkata, hanya ahli Pas yang tahu apa janji-janji manifesto dan bukannya pihak luar, terutama parti lawan. Menurutnya, apa yang dipaparkan dalam buku itu semuanya berlandaskan fakta sebenar dan Kerajaan Negeri telus dalam perinciannya, ini dibuktikan apabila beberapa perkara yang belum dicapai dan dalam perancangan turut disertakan.
           
"Kita telus dan nyatakan apa yang telah dicapai termasuk tujuh perkara dalam manifesto yang belum dilaksanakan. Kita tidak berselindung dalam perkara ini," katanya. (Sinar Harian).
Sent via BlackBerry from Maxis

1 comment:

  1. Pakteh harap bashah dapat memberikan jawapan yang baik beserta fakta yang betul untuk dinilai oleh rakyat...

    biarkan kedua2 buku itu dinilai rakyat dan sebagai negara demokrasi....kuasa masih ditangan rakyat...

    Ehh...Tuan...jika pilihanraya tak bersih camna Pas boleh ambik Kedah?...so..apa perlunya BERSIH 2.0???

    pakteh keliru......

    ReplyDelete