Oleh: Al-Baqistani (g-82.blogspot.com)
Hak kebebasan merupakan fitrah insani. Ekoran itu, hak kebebasan ini diberikan oleh Islam. Dalam kitab maqasid as-syariah al-islamiyyah karangan Ibnu Asyur, dinyatakan bahawa, kebebasan [al-hurriyyah] mempunyai dua maksud, iaitu; Pertama, tunduk kepada makhluk. dan kedua, manusia itu boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu.
Menurut Ibnu Asyur, kedua-dua maksud ini merupakan kandungan syariah itu sendiri, kerana kedua-duanya terbit dari kehendak fitrah. bagi mengukuhkan pendapat ini, Ibnu asyur mengungkap perkataan Umar bin Al-Khattab yang pernah berkata, "kenapa kamu mengabdikan diri kepada manusia, walhal ibu kamu melahirkan kamu dalam keadaan merdeka [bebas]" [Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah : 390 - 391].
Lebih menarik, apabila Ibnu Asyur menyatakan bahawa kandungan syarak itu sendiri membatalkan pengabdian [sesama makhluk] kepada menyebarkan kebebasan. Pun begitu, kebebasan yang ditawarkan oleh Islam itu tertakluk kepada penyusunan sistem. [Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah : 392]
Perkataan Ibnu asyur ini, selari dengan perkataan friedrich August Von Hayek yang menyatakan kebebasan itu perlu diikat dengan tanggungjawab [liberalisme : esei-esei terpilih F.A Hayek : 69 - 90]
KEBEBASAN BUKAN LESEN BUAT ZALIM
Kita mengetahui bahawa Nabi Musa dibesarkan dalam rumah Firaun. Juga diketahui bahawa ketika itu Firaun sudah kufur. Namun, ketika itu tidak kita ketahui bahawa ada usaha melawan firaun yang dilancarkan oleh Musa, sebaliknya ia dilakukan setelah Nabi Musa berada bersama-sama dengan bapa mertuanya, Nabi Syuib.
Dalam mengulas perkara ini, Ibnu Asyur ada menyatakan, "sesungguhnya perlantikan Musa adalah untuk menyelamatkan Bani Israel dari kefasadan yang dilakukan oleh Firaun. difahami disini bahawa maksud kefasadan itu, bukan kekufuran, tetapi kefasadan berbentuk perbuatan yang dilakukan dibumi, kerana Bani Israel tidak mengikut firaun dari sudut kekufurannya" [Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah : 273].
Jelas, bahawa kebebasan dalam Islam bukan bermakna kebebasan itu dengan maksud boleh melakukan pengkhianatan kepada manusia lain, tetapi kebebasan dalam Islam adalah memberikan hak kebebasan disamping menyediakan sistem hidup yang mampu mengawal manusia dari terjebak kepada kezaliman dan kerosakan pada diri sendiri dan pada orang lain.
JAGA MARUAH
Memahami bahawa islam tidak mengizinkan berlaku kerosakan atau kefasadan, menyebabkan Islam telah mengharamkan tindakan yang boleh mencacatkan lima perkara tonggak, iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.
Namun begitu, ada sebilangan ulama telah menambah lagi satu, iaitu menjaga maruah. Menurut Ibnu asyur, ulama yang menambah itu adalah Al-Qurafi [Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah : 301]
Perkara ini dikukuhkan lagi dengan beberapa kenyataan dari ulama-ulama maqasid yang lain. Antaranya adalah az-zarkashi yang berkata, "setengah ulama mutaakhirin telah menambah yang keenam, iaitu menjaga maruah" [Maqasid as-syariah al-Islamiyyah, tesis Phd Dr Ziyad Muhammad Ihmidan : 199]. Juga imam maqasid, iaitu Al-Imam As-syatibi berkata, "hendaklah dihubungkan dengan perkara dharuriyyat [kepentingan utama] adalah menjaga maruah. Ia termaktub dalam al-quran, dan sunnah mensyarahkannya dalam perkara li'an dan Qazaf" [al-Muwafaqat : 4/29]
Dan lagi, Dr Said Ramadhan al-Buti berkata, "menjaga maruah termasuk dibawah hakikat bagi kandungan kulliyyat al-Khams dalam pengadaptasiannya" [dhowabit al-Maslahah : 111].
Keadaan ini amat bertepatan dengan sabda Nabi SAW;
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ
Maksudnya;
"sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan maruah kamu haram dikalangan kamu" [al-Bukhari : 67].
Juga sabda Nabi SAW;
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya;
"orang Islam adalah orang Islam lain merasa selamat, sama ada lidahnya dan tangannya" [Al-Bukhari : 9]
Dari kedua-dua hadis ini, kita dapat lihat betapa Islam menjaga soal maruah manusia ini. Ekoran itu, lahirlah perbincangan yang berkaitan dengannya seperti pengharaman dan hukuman berkenaan dengan zina, dan hukuman qazaf.
QAZAF
Memandangkan Islam memelihara manusia dari melakukan pencerobohan pada maruah manusia, maka telah disyariatkan beberapa hukum yang berkaitan dengannya. Antara lainnya adalah hukum qazaf.
Dalam surah an-Nur, Allah ada berfirman;
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا
Maksudnya;
"mereka yang melontarkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik, kemudian tidak mampu mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka sebanyak 80 kali sebatan, dan jangan kamu menerima penyaksian mereka sampai bila-bila"
[an-Nur : 4].
Juga sabda Nabi SAW;
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ
Maksudnya;
“"jauhilah tujuh perkara dosa"
Sahabat bertanya, "wahai rasulullah, apakah tujuh dosa itu?".
Jawab Nabi SAW, "syirik kepada Allah, sihir, bunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan kebenaran, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan tuduhan zina kepada perempuan yang baik yang mukmin" [al-Bukhari : 6465].
Dari perbahasan fiqh, dari nas-nas yang dikemukakan bahawa ulama sepakat [Ijmak] bahawa hukuman sebat sebanyak 80 rotan dikenakan kepada yang melakukan amalan qazaf. Ia dibawah hukuman hudud.
Namun begitu, ulama ada berselisih pendapat dalam menentukan hukuman qazaf liwat, apakah ia dibawah hudud atau dibawah ta'zir.
Dalam kitab at-Tasyrik al-jinaie, dinyatakan bahawa tuduhan zina dibawah ketagori hukum hudud [qazaf]. Adapun dalam tuduhan liwat, ada ulama menyatakan ia dibawah hudud, dan ada menyatakan ia dibawah ta'zir. [2/464].
Menurut Bekas Mufti Sabah, Haji Said bin Ibrahim dalam kitab Qanun Jinayah syariah, beliau menyatakan ulama syafie meletakkan tuduhan liwat sama seperti tuduhan zina. Dengan maksud, ia dibawah hukum hudud. atau dalam perkataan lain, qazaf liwat akan dikenakan sebatan sebanyak 80 kali rotan. [59]
pun begitu, disana ada beberapa pendapat ulama mazhab yang mengatakan qazaf liwat tidak dibawah hudud, sebaliknya dibawah ta'zir. Makanya, mereka berselisih pendapat dalam menentukan bilangan yang dikenakan kepada pengqazaf liwat.
Dalam kitab qawanin fiqhiyyah, dinyatakan satu pendapat dalam mazhab syafie menetapkan bilangan sebatan kepada pengqazaf liwat sebanyak 20 sebatan. Ini kerana mereka bersandarkan kepada hadis, dari abu Burdah al-ansari berkata, aku dengar Nabi SAW bersabda, "jangan kamu sebat lebih dari 20 sebatan kecuali ia salah satu hudud dari hudud-hudud Allah" [al-Bukhari : 6458].
Pun begitu, imam hanafi menetapkan sebatan itu sebanyak 40 kali sebatan. [qawanin fiqhiyyah : 363].
BENTUK TUDUHAN
dalam kitab qanun jinayah syariyyah menyatakan bahawa, bentuk tuduhan yang boleh dikenakan hudud qazaf terbahagi kepada tiga cara, iaitu;
[1] tuduhan itu dibuat secara nyata dan terang. Ia sama ada dengan lontaran tuduhan secara terus seperti berkata, "Wahai penzina", atau menerusi penafian keturunan, seperti berkata, "wahai anak zina".
[2] tuduhan dibuat berbentuk kinayah [qiasan]. Iaitu menggunakaan perkataan yang tidak jelas, tetapi boleh membawa erti zina. keadaan ini, tertakluk kepada tafsiran kalimah berdasarkan uruf setempat dan masa. Seperti berkata, "wahai orang yang melakukan perbuatan terkeji"
[3] Tuduhan itu berbentuk "Ta'ridh" [sindiran]. Iaitu menggunakan perkataan yang tidak jelas, yang ia boleh diertikan selain zina. Seperti seseorang itu berkata, "isterimu sudah dikacau orang".
Menurut Said ibrahim, tuduhan qazaf yang menggunakan perkataan yang jelas, akan dikenakan hukuman qazaf. Adapun dengan lafaz kinayah dan ta'ridh, ia tertakluk kepada niat. jika diniatkan qazaf, maka ia dikenakan hukuman qazaf. Jika ia tidak diniatkan qazaf, mereka tidak dikenakan hudud, tetapi tetap dihukum atas hukuman ta'zir. [Qanun Jinayah Syariyyah : 60 - 61]
QARINAH
Dalam kitab al-fiqh al-Islami wa adillatuh, karangan Dr Wahbah az-Zuhaili, qarinah didefinisikan sebagai, "setiap tanda-tanda yang zahir. Ia menyertai sesuatu yangkabur, maka ia menjadi sebagai sandaran. Juga ia bersifat bertembung antara kuat atau lemah" [Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 6/782].
Qarinah ini digunakan dalam beberapa keadaan. Antaranya adalah, mengukuhkan bukti sedia ada. Jadi, dalam kes tuduhan liwat atau zina, ia hendaklah dilihat dengan mata kepala. Ia dilihat seperti kayu celak masuk ke dalam botol celak. Saksian dari 4 orang yang adil itu, hendaklah dalam keadaan mereka melihat dalam keadaan tersebut.
Adapun dengan menggunakan video atau DNA. kedua-dua perkara ini, ia tidak boleh dikira sebagai bukti tuduhan bagi orang yang melakukan qazaf, tetapi sekadar qarinah sahaja. Sekiranya ia menggunakan dua cara ini untuk membuktikan tuduhannya, maka itu tidak diambil kira, sebaliknya penuduh akan dikenakan hukuman.
Dengan perkataan lain, Ia tidak boleh dijadikan bukti kerana, kedua-dua perkara ini memungkinkan berlaku penyelewengan. Ia sudah pasti akan melahirkan kesamaran, yang seterusnya memungkinkan berlaku hukuman kepada mereka yang tidak bersalah.
Umar bin Al-Khattab juga pernah berkata;
لئن أعطل الحدود بالشبهات أحب إلي من أن أقيمها بالشبهات.
Maksudnya;
“tidak melaksanakan hudud dengan adanya syubhat lebih aku suka berbanding melaksanakan hudud dengan adanya syubhat” [Ibnu Abi Syaibah : 71]
Ekoran itu, Dr Wahbah az-Zuhaili ada berkata, "di sisi jumhur fuqaha, tidak boleh dijatuhkan hukuman dengan qarinah-qarinah pada hudud, kerana ia ditolak kerana wujudnya syubhat [kesamaran]". [al-Fiqh al-Islami wa adillatuh : 6/645]
Jadi, kedua-dua ini tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk dilakukan tuduhan kepada seseorang, malahan ia tersasar dari kehendak syariah yang indah ini.
Sekian
Wallahu 'Alam.
Sg Buloh
24 mac 2011 * 1:30 pagi
Dicatat oleh Al-Bakistani di 10:57 AM
No comments:
Post a Comment