Tuesday, March 8, 2011

Pesanan Pemimpin.

1. Rahib yang tekun beribadah di waktu malam dan Kuda yang tangkas berlari di waktu siang adalah modul pengkaderan yang gigih dilaksanakan oleh para ulamak Gerakan Islam untuk melahirkan para pejuang yang hebat sekaligus berkeupayaan tinggi untuk thabat  [ tetap pendirian ] di medan perjuangan meskipun berdepan dengan cabaran dan halangan yang getir.

2. Pengkaderan ini mesti melalui proses pentarbiyahan yang istiqamah [ pro aktif ] dan munazzamah [ sistematik ] agar ia benar - benar berkesan untuk melahirkan susuk seorang pejuang yang mampu melazimi tahajjud, zikir al Ma'thuurat, bacaan al Quran, munajat, solat sunat, puasa sunat, solat berjamaah, kuliah agama dan pelbagai aktiviti amal fardi  [ibadah persendirian] serta dalam masa yang sama aktif  dan lincah di medan siasah [ politik ] jua dakwah [ penerangan ].

3. Pejuang atau anggota parti yang mampu mengadun ketiga - tiga elemen ini [ tarbiyah, siasah dan dakwah ] dengan baik dan seimbang, maka ia adalah pejuang yang melengkapi piawaian  yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Se Malaysia [PAS].

4. Saya sangat mengharapkan agar Dewan Pemuda PAS Malaysia memulakannya dengan serius untuk melahirkan kualiti pejuang seperti ini memandangkan Dewan Pemuda PAS adalah kilang untuk melahirkan anggota dan pemimpin parti yang berkualiti di semua peringkat.

5. Tegasnya kita tidak mahu melahirkan hanya kumpulan pemimpin yang lincah di medan politik dan petah dipentas pidato  semata - mata [ tidak perlu saya ulas panjang mengenai aktiviti politik dan penerangan kerana ia sememangnya telah mengambil sebahagian besar dari masa kita ], tetapi jua seorang anggota dan pemimpin parti itu mestilah
akrab [ dekat ] dengan Allah swt. Menjadi orang - orang Allah [ Rabbaaniyyun ] yang gigih berjuang [ Ansoorullah ] untuk menegakkan syariat Allah swt.

6. Saya telah tegaskan dalam ucaptama saya sewaktu berlangsungnya muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia tahun 2010  yang lalu, betapa pemuda mesti melayakkan diri untuk mencapai piawaian Ansoorullah [ pejuang agama Allah ].

Ansoorullah tidak sekadar politikus tetapi ia adalah pejuang dan politik adalah sebahagian dari tugas wajib yang mesti dilaksanakannya.

7. Semua dari kita sangat menginsafi bahawa kemenangan buat perjuangan yang kita dokong ini hanyalah datang dari Allah swt. Sebagaimana Allah swt yang mewajibkan kita berjuang untuk menegakkan agamaNya, maka Allah jualah yang menentukan jadual dan tarikh kemenangan. Justeru itu,

selaku pejuang agama Allah swt, kita semua mestilah erat hubungan dengan Allah swt dan dekat kedudukan kita di sisi Allah swt. Semakin jauh kita dengan Allah swt. ertinya semakin sukar kita menggapai kemenangan buat perjuangan ini.

8. Mungkin ramai orang tidak berminat dengan kaedah ini kerana ia bukanlah kaedah yang popular dengan pendekatan politik moden hari ini. Hari ini populariti memberi saham besar untuk menang. Malah budaya dan tindakan populis ini kian meluas untuk gapai kemenangan.  Tanpa menafikan peranan tindakan populis dalam politik moden hari ini, kemenangan masih ditangan Allah swt.

Maka seorang anggota dan pimpinan parti mesti peruntukan masa yang secukupnya untuk ia berada dekat dengan Allah swt dan jangan sekali - kali lupakan Allah swt kelak Allah swt pula tidak ada masa untuk kita dan Allah swt pula melupakan kita.

9. Setelah kita lalui 16 kali pilihanraya kecil, saya percaya mantap benar pengalaman dan persediaan kita menghadapi pilihanraya. Segala ilmu mengenainya tersarang di dalam

feqh siasah dan ia adalah sebahagian dari tarbiyah yang perlu kita miliki.

Namun kesibukan dan kesungguhan kita menghadapi 16 kali pilihanraya itu, saya lihat kita kurang al Ma'thuurat, kurang munajat, kurang tahajjud, kurang baca al Quran, kurang solat berjamaah, kurang berzikir, kurang muhasabah diri dan kurang mujahadah kerana lebih tertumpu  kepada teknikal dan taktikal dalam pengendalian strategi dan operasi pilihanraya.

10. Ayuh pemudaku ! kita semarakkan kembali tarbiyah ruuhiyah  [ spiritual ] sekalipun dimusim pilihanraya  secara berjamaah, agar ia seimbang dengan politik [ siasah ] dan penerangan [ dakwah ] kita di semua peringkat [ pusat, negeri dan kawasan malah cawangan ] dengan aktiviti seperti berikut [ antaranya ] :

• Solat berjamaah
• Kelas pengajian agama
• Usrah mingguan
• Ijtima' Tarbawi secara bulanan atau dwi bulanan [ beserta qiamulail ]
• Liqa Fikri
• Mujaalasah Ulama'. [ mendampingi ulama' secara berkala ]
• Melazimi al Ma'thuurat supaya lahir pejuang yang gigih dan tekun mengabdikan diri kepada Allah swt di waktu malamnya serta tangkas dan cergas laksana seekor kuda di waktu siang untuk menjalankan tugas sebagai seorang anggota dan pemimpin parti.

Kita tidak mahu anggota atau pemimpin parti yang banyak menghabiskan masa dengan tidur, berbual kosong, khayal, bertelingkah dalam soal khilaf, mencari salah orang lain, menonton filem yang melekakan, mendengar muzik yang melalaikan dan pelbagai aktiviti yang tidak mendatangkan manafaat kepada agama, diri dan jamaah [parti].

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sent via BlackBerry from Maxis

No comments:

Post a Comment