Saturday, January 23, 2010

Serangan Terancang di Semua Negeri PR melalui Perkakas Negara

Apakah entity yang membentuk sebuah Negara? Negara yang berdaulat dibentuk oleh 4 entiti: Sempadan geografi tanah air, kerajaan yang sah dengan segala agensinya, undang-undang yang berkuatkuasa dan rakyat yang merdeka. Kalau tempang, hilang, cacat, ragu atau kabur salah satu entiti ini, maka kedaulatan negara juga hilang maknanya.
Sejak Mac 08, BN sedaya upaya cuba bangun semula dengan berpaut kepada agensi-agensi kerajaan, entity dan perkakas Negara dan agensi yang sengaja ditubuhkan untuk menjaga survival parti menggunakan harta Negara. Kalau dengan upaya kudrat batang tubuh BN sendiri, mereka sudah dalam kategori reput dan basi. Lihat saja komponen besar BN seperti MIC dan MCA yang nazak, Gerakan pun lumpuh, ditubuh pula parti seperti Makhal Sakthi yang memecat Presidennya minggu lepas. Pendek kata, yang bersangkut paut dengan BN, di alaf baru ini sudah sampai tarikh luput, walaupun baru seusia bayi.

Komponen BN yang paling banyak bergantungpaut kepada agensi kerajaan dan perkakas Negara ialah UMNO. Maka parti itu nampak seperti sedang bernafas semula, cuba membangkitkan juga MIC dan MCA yang terbaring di sana sini. UMNO berpaut kepada Felda, MARA, Felcra, dan 40 lagi agensi yang kononnya ditubuhkan untuk membantu orang melayu.

Agensi yang sedang diperkudakan sepenuhnya sekarang ialah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri menegaskan keperluan pegawai-pegawai JASA di semua DUN dan Parlimen mengerah keringat untuk memenangkan BN dalam pilihanraya akan datang. Di Kedah sahaja, tidak kurang daripada 52 pegawai JASA sedang ke hulu ke hilir menjaja nama baik BN, merancang strategi, menanam jarum propaganda dan membuat penyelidikan kecenderungan pengundi semasa.

Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai, mulai tahun ini setiap pegawai JASA akan diperuntukkan RM10,000 sebulan untuk melakukan aktiviti menggoncang negeri-negeri PR dan memenangkan BN dalam PRU 13. Berapa banyak peruntukan dari perbendaharaan Negara dipakai untuk memenangkan BN melalui JASA sahaja? Campurkan jumlah DUN dan Parlimen di seluruh Negara di darab dengan RM10,000. Itulah jumlah ringgit milik seluruh rakyat digunakan untuk BN setiap bulan. Oppps! Gaji dan elaun pegawai belum masuk lagi...

Tidak cukup dengan badan dan agensi-agensi kerajaan ini, BN juga sedang menggunakan ‘Negara’ itu sendiri untuk bangun semula. Hinga kini, tidak ada apa lagi yang berkecuali dalam usaha ‘memulihkan’ BN/UMNO yang rebah dengan segala barah yang melandanya. Kalau mereka gagal bangun sekalipun pun, pastikan PR juga tidak boleh berdiri....
Bersambung…..

Friday, January 22, 2010

Jualan Ubat Merosot??? Itu tanda orang Kedah Makin Sihat!!!

Zubir ni dulu melobi untuk jadi calon BN di Pendang, tapi tak jalan... dia orang baik-baik, mana ada tempat dalam kapal jenis tu. Dengaq cerita, banyak juga dia perabih. Ada dua orang zubir yang buka Farmasi, dua-dua ni senior saya di Sekolah dan Universiti. Paling tidak di USM sebab belum ada fakulti Farmasi di U lain selain USM waktu depa ni mengaji dulu. La ni dah ada banyak. Nak mengaji farmasi, kena ke Singapura la..
.
Nak jadikan cerita seorang Zubir ni pitumpang sekaki dengan UMNO Kedah untuk menimbulkan persepsi buruk ekonomi Kedah kepada dunia...dia kata jualan farmasinya jatuh 30 -40% dalam dua tahun ni...kata dia lagi,orang dah tak berduit, ada yang ambik barang pun tak mai bayaq lagi...Ksian juga kat dia.
.
Zubir sorang lagi di Pokok Sena, Farmasi dia dari satu pintu dah jadi 3 pintu sekarang, sama besaq dengan pasaraya dah. Rangkaian dia pun banyak sampaike Baling, dan ada klinik dah pun la ni... Di Changlon pun ada. Tapi Zubir ni tak tumpang sekaki dengan BN, jadi bisness dia maju dan berkat, duitpun tak habih nak lobi jadi calon.
.
Saya nak kata lagu ni la kat Zubir Zuhfa tu... yang beli ubat ni orang sakit, bila jualan ubat menurun, maknanya jumlah orang sakit pun menurun..sejak dua tahun ni, orang kedah ramai yang dah sihat, kembali sihat Sejahtera. Itu berita gembira... jangan la pulak dok saja-saja pi cari penyakit (pasai nak bodek untuk jadi calon PRU 13) !!!
.
UMNOpun satu, kalau nak beri gambaran kemerosotan ekonomi dan aktiviti ekonomi di Kedah, janganlah tanya orang jual ubat! Malu laaa...khalasss
.

Thursday, January 21, 2010

Ada sikit lagi angka...mau lagi ka??

Angka-angka dalam posting sebelum ini saya tujukan kepada yang menuduh Kedah makin mundur sejak diperintah Pakatan Rakyat. Tumpang tuju juga kepada Adun Guar Chempedak yang meminta angka dalam Utusan Malaysia hari ni.
.
Ada sikit lagi nak bagitau, supaya soalan depa lepas ni ditujukan kepada depa sendiri pulak laaa.
.
i. Kenaikan kutipan royalti bahan batuan sebanyak RM19 juta kerana usaha penguatkuasaan yang rapi oleh pejabat-pejabat tanah.
.
ii. Kenaikan hasil balak daripada RM8 juta setahun sebelum ini (sebelum 2008) kepada RM35 juta pada 2009 hasil polisi tender terbuka Kerajaan Negeri.
.
iii. Sumbangan daripada 11 GLC kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM30 juta. Inilah bayaran pertama kali diterima oleh Kerajaan daripada GLC selepas usaha-usaha penyusunan semula GLC oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
.
Bagi tahun 2009, Kerajaan Negeri masih menunggu bayaran daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta yang sepatutnya dibayar sebelum Oktober setiap tahun.
.
Inilah peningkatan sepanjang 2 tahun memerintah. Kata MB, tanam durian pun 6 tahun baru berbuah, inikan perancangan pembangunan negeri...tentulah memerlukan masa yang lebih lama.
.
Depa yang menuduh dan meminta angka tu pernah memerintah Kedah selama lebih 50 tahun... banyak la juga yang depa buat, kita tak nafikan...tapi banyak juga yang depa minta kita buat itu dan ini, depa tak dapat buat sepanjang 50 tahun itu, contohnya peningkatan hasil balak dan penurunan kadar cukai tanah.

.
Buka la beg sidang dewan hari tu..belek la sikit, tentu jumpa.
.

Nampak Macam Cerdik, Tapi....Tidoq!!

Dalam sinar harian dua hari lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah yang juga seorang Menteri Pusat, seorang Naib Presiden UMNO Malaysia menuduh Kedah semakin mundur sejak dua tahun di bawah Pakatan Rakyat. Setahu saya dia berasal dari negeri paling ramai orang miskin di Malaysia, Sabah! Hanya pabak mertuanya orang Kedah.
.
Saya tak tahu asasnya membuat tuduhan itu, mungkin teks ucapannya ditulis oleh orang lain . Seorang Adun BN membuat kenyataan di Utusan Malaysia hari ini, meminta YAB MB memberikan angka-angka pembangunan dan kedudukan sosioekonomi untuk membuktikan Kedah tidak mundur. Maklumlah Adun itu ada PhD, dulu jadi orang besar di JPM.
.
Setahu saya, dalam kes macam ini, beban mengemukakan bukti terletak pada orang yang menuduh. Dia yang sepatutnya mengemukakan bukti berupa data-data, angka statistik, kajian EPU, dan apa saja yang sesuai dengan kedudukan sebagai Menteri dan Adun yang ada PhD, bahawa tuduhan mereka berasas. Kalau tak dak bukti seperti yang dia cuba pancing itu, sahlah depa ni pun jenis politik kedai kopi...nampak macam cerdik...tapi...
.
Dalam ucapan pembentangan Bajet 2010 pada 17 November 2009, YAB MB telah menyebutkan kedudukan KDNK, penurunan kadar kemiskinan program-program ekonomi yang telah, sedang dan akan dijalankan untuk menjana pertumbuhan. Sebahagian daripada angka-angka tersebut diperolehi daripada Unit Perangcang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri. Ia dibentangkan oleh YB Menteri Di JPM, Tan Sri Noor Mohamad Yaacob dalam perjumpaan dan taklimat tentang RMK -10 dengan Kerajaan Negeri. Angka-angka itu seperti berikut:
.
i. Kemasukan Pelaburan yang diluluskan di Kedah pada 2009 berjumlah RM837,345,329.00. Menduduki senarai kelima negeri tertinggi menerima pelaburan selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Perhatikan senarai 5 negeri ini, 3 daripadanya adalah negeri di bawah PR.
.
ii. Kadar kemiskinan menurun daripada 7% pada 2004 kepada 3%. Kadar kemiskinan tegar telah berkurang daripada 1.3% pada 2004 kepada 0.3%.
.
iii. Pendapatan purata kasar bulanan isirumah meningkat daripada RM2,126 pada 2004 kepada RM2,408.
.
iv. Kadar pertumbuhan ekonomi Kedah hampir sama dengan Kerajaan Persekutuan. Pada 2008, KDNK Kedah mencatat sebanyak 4.6% manakala KDNK Malayasia ialah 4.8%.
.
Inilah barangkali angka-angka yang diminta YAB MB dedahkan. Memang sudah didedahkan, sudah dibukukan, sudah dibahaskan dan sudah disahkan di Dewan Undangan Negeri. Inilah yang terkandung dalam Bajet Kedah 2010. Adun Guar Chempedak adalah antara ahli dewan yang paling banyak bertanya dalam sidang itu, tapi saya tak tau dia jenis pelupa...atau dia tanya dalam tidurrr!
.
Niii... sapa-sapa yang jumpa dia di kedai kopi tang mana-mana, tolong bagi kat dia sat! Khalasss.
.

Monday, January 18, 2010

UCAPAN YB TUAN GURU DATO' SERI PRESIDEN PAS DI KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT

MEMPERKUKUH PAKATAN RAKYAT
Wujudnya Pakatan Rakyat bertujuan Islah dengan berasaskan masyarakat majmuk , ianya lahir daripada kesedaran bersama di kalangan parti-parti yang bersatu untuk menangani masalah negara dan masyarakat, yang membebani seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan bangsa, agama, ideologi politik, semuanya hasil dari kegagalan Barisan Nasional (BN) yang berterusan dan terus berkuasa dalam tempoh yang begitu panjang , setelah setengah abad negara mencapai kemerdekaan.Walaupun sistem Demokrasi Berparlimen mengizinkan rakyat membuat perubahan, namun perubahan tidak berlaku, seolah-olah negara di kongkong oleh sistem satu parti, iaitu konsep yang sangat bercanggah dengan amalan demokrasi yang dilaksana dalam masyarakat yang berpendidikan diseluruh dunia. Keadaan ini tidak harus di biarkan berterusan, kerana menimbulkan berbagai-bagai masalah yang lebih menyusahkan.

Masalah-masalah itu termasuklah perkara-perkara yang asas dalam perlembagaan seperti Islam agama persekutuan, hak-hak kepada penganut agama-agama lain di kalangan penduduk berbagai etnik, bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan, pentadbiran yang saksama dan bijak, kedaulatan undang-undang yang adil, raja berpelembagaan, konsep federalisma yang saksama dan lain-lainnya, semuanya tidak terlaksana dengan cara yang tepat.
Akibatnya, perubahan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan, tanpa pakatan semua pihak, yang menyatukan tujuan melakukan perubahan, sehingga membebaskan diri majoriti rakyat lemah. Mereka yang merupakan majoriti masyarakat yang menjadi mangsa kecuaian tersebut adalah majoriti pengundi. Tanpa menggerakkan mereka sendiri, tidak berlansung kepada perubahan menyeluruh, sebabnya kerana mereka di perbodoh, ditipu dan dirasuah .
Al Quran memaparkan kisah iktibar daripada kerajaan Fir’aun yang memerintah Mesir yang bermaksud:Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya:
"Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah Yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah arahan ku? tidakkah kamu melihatnya?
"Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin berpangkat besar), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"

(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (jahat).
Tamaddun Mesir yang terdiri daripada Piramid yang dijaga oleh UNESCO itu adalah bangunan bagi perkuburan Raja Mesir, satu pyramid untuk seorang raja, adalah merupakan suatu projek mega di zaman itu, dibangunkan dengan hasil memaksa rakyat dan merampas hasil negara untuk faedah golongan pemerintah sahaja. Projek seperti ini ada dikeseluruhan negara yang dianggap bertamadun awal, rakyat diperhamba dan perbodohkan. Amalan ini tetap berulang di zaman masing-masing termasuk zaman kita sekarang.Tsunami politik pilihanraya kedua belas menunjukkan konsep pakatan Rakyat mampu melakukan perubahan, sekiranya diolah dengan cara yang lebih baik boleh berlaku perubahan yang lebih besar walaupun ada kepencangan dalam amalan Demokrasi.
DEMOKRASI

Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang berasaskan Islam terus memilih pendekatan secara saluran demokrasi pilihanraya, walau pun banyaknya berlaku kepincangan dalam negara kita , kerana perubahan kepada demokrasi moden banyak menimba dari Tamadun Islam hasil hubungan barat dengan tamadun Islam dan hubungan Islam dengan Tamadun umat lain dari timur dan barat, kerana pesanan Nabi Muhammad S.A.W. :
“Kebijaksanaan laksana barang berharga yang tercicir mesti dipungut walau dari mana datangnya”.
Di samping hukum yang telah sedia ada dalam Islam, maka Islam menerima sistem dan hukum daripada masyarakat berbagai bangsa, agama dan budaya. PAS yang berlandaskan Islam , yang tidak bersifat sekularisma seperti yang didokong oleh parti yang memerintah sekarang , terbuka kepada pakatan dengan semua pihak yang berhasrat baik dan berniat murni untuk menyelamat negara dan rakyat daripada gejala negatif seperti kezaliman, penyelewengan dan kelemahan yang menular dalam pentadbiran negara kita sekarang, melalui konsep demokrasi yang sebenarnya.

Demokrasi bukan hanya hari mengundi , ataupun sekadar memberi hak mengundi kepada mereka yang di senaraikan dalam daftar pemilih, tetapi hendaklah juga diambil kira cara pendaftaran berlaku dengan adil, pemikiran mereka membuat pilihan dengan maklumat media yang demokratik, suasana hidup yang tidak memaksa mereka dalam menentukan hak membuat pilihan, serta pengurusan pilihanraya yang adil. Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat , dengan kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak.
Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihanraya , sehingga menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan, jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang pilihanraya menjadikan padang lapangan pilihanraya itu tidak sama rata. Umat Islam sedang menyambut tahun baru hijrah bagi memperingati penubuhan negara masyarakat majmuk di kota Madinah 1430 tahun lalu, yang lahir daripadanya perkataan masyarakat madani yang dicetuskan oleh Ibnu Khaldun dalam buku tulisannya yang telah diterjemah ke dalam berbagai bahasa .

Umat Islam memperingati penubuhan negara masyakat majmuk, dalam keadaan jumlah penganut agama Islam adalah minoriti dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penganut berbagai agama yang terlibat dalam penubuhannya di peringkat awal dan negara itu berlansung sehingga lebih empat belas abad, sehingga tamat dengan kejatuhannya, apabila umat Islam sendiri tidak berpegang dengan ajaran mereka, maka PAS berharap rakan-rakan yang bukan Islam jangan mengambil contoh daripada Islam UMNO. Dengan ini PAS ingin membuktikan kita boleh berpakat dan setia dengan perjanjian dalam pakatan kerana inilah ajaran agama.
PERPADUAN

Alhamdulillah kita bersama-sama tinggal dalam negara Malaysia yang dibentuk di atasnya masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini. Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara.
PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu, walau pun selepas itu adanya penganut agama yang melantik tuhan-tuhan yang banyak yang sangat bercanggah dengan Islam, tetapi semuanya mengaku kepada Tuhan yang satu sahaja iaitu pencipta alam yang Maha Berkuasa, maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan.
Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, semuanya berlaku kemudian.
Semua perbezaan itu terbentuk selepas proses masa yang panjang , Islam menjadikan perbezaan itu tanda kebesaran Allah
:ومن آياته خلق السموات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم . إن في ذلك لآيات للعالمين
(Dan di antara tanda –tanda ketuhanan Allah Yang Maha Esa ialah Dia mencipta langit dan bumi dan Dia mencipta kamu berbagai-bagai bahasa dan warna kulit).Maka mewajibkan adil kepada semua manusia :
وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
(Dan apabila kamu memerintah di kalangan manusia hendaklah berlaku adil).
Haram berlaku zalim sesama manusia dalam segala aspek, hatta diperingkat antara bangsa, di masa aman dan perang. Apa lagi kalau kita semua dalam satu negara maka lebih haram lagi kalau berlaku zalim.

Perpaduan di kalangan manusia tidak berlaku dengan aspek ekonomi sahaja, atau aspek politik sahaja, dalam perbatasan negeri dan serantau sahaja, keturunan bangsa sahaja, tetapi perpaduan itu pernah berlaku dengan kosep adil untuk semua dengan maksud menyeluruh, tanpa mengira hanya satu aspek sahaja, bahkan merangkumi aspek ruhani dan jasmani, individu, keluarga, masyarkat, negara dan antarabangsa dan negara.

Kerana naluri manusia yang hidup bermasyarakat tidak menjadikan satu bangsa itu menghasilkan segala keperluan hidup, berlakunya kepelbagaian kebolehan dan kepunyaan, selepas itu hendaklah adanya pertukaran keperluan yang mewajibkan percampuran yang berkongsepkan adil dan menghapus segala bentuk kezaliman di antara satu sama lain, di atas semangat persaudaraan kemanusiaan, walaupun berbeza dalam perkara yang banyak. Adanya negara, perlembagaan, undang-undang dan pentadbirannya adalah bagi menjamin sifat adil yang memupuk perpaduan yang sebenar, dan kita mestilah bersama menentang kezaliman yang mejadi penyakit dalam kehidupan manusia.

Zalim boleh memecah-belahakan satu keluarga, maka lebih lagi memecahkan satu negara, kerana zalim itu menghilangkan kasih sayang di antara satu sama lain. Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat, dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dalam beberapa perkara. Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza.
MENGISI KEMENANGAN DI NEGERI DAN KAWASAN

Hari ini kita berbincang bagi merangka masa depan menghadapi pilihanraya ke 13, dalam masa yang sama kita perlu menjadi model di negeri yang telah kita kuasai, di mana lawan kita mencari setiap kelemahan kita. Media arus perdana yang masih tidak banyak memberi ruang yang adil kepada kita, sudah pasti membesarkan kesilapan yang kecil daripada kita dan memperkecilkan kejayaan yang besar daripada kita. Mereka juga akan mengambil setiap kelemahan parti dan individu. Peristiwa Perak perlu menjadi contoh, perlu dilihat bukan sahaja kezaliman dalam amalan demokrasi merampas kuasa di Perak, tetapi juga perlu dilihat ruang kelemahan kita sendiri yang memberi peluang kepada lawan mengambil kesempatan.

Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-yang telah kita kuasai adalah hujah terdekat bagi menghasilkan sokongan rakyat untuk Pilihanraya Ke13. Sekurang-kurangnya kita dapat mebebaskan diri daripada penyakit yang sedang menular dalam parti dan kerajaan BN disemua peringkat.
JENTERA PARTI

Perubahan kepada segala aspek sangat bergantung dengan peranan politik, di sinilah besarnya peranan kita bagi menyelamatkan negara kita. Maka setiap parti hendaklah mengukuhkan jentera parti masing-masing di semua peringkat, sehingga menjadi ukuran untuk meletakkan calon, dan bukan sekadar meletakkan calon secara berangan-angan tanpa berpijak di atas bumi kenyataan melalui kekuatan parti yang sebenar, kemudian berkrisis dalam masalah menentukan calon.

Hendaklah berusaha mencari seberapa banyak ahli yang ada untuk menjadi petugas parti dan cawangan yang ditubuhkan untuk menjadi jentera parti. Jangan berpijak diatas kehadiran dalam majlis ceramah dan hanya penyokong yang berpaut dengan isu sementara waktu dan boleh menjadi mangsa politik wang yang masih menjadi wabak penyakit kepada demokrasi di negara kita. Kita tidak boleh berpaut di atas perancangan jangka pendek, kerana perjuangan politik wajib mengharungi jangka panjang, bukan sahaja untuk mencapai kemenangan, tetapi juga merancang untuk mengisi kemenangan dan percayalah bahawa mengisi kemenangan itu sebenarnya lebih sukar daripada mencapai kemenangan . Saya percaya bahawa perbincangan kita hari ini lebih tertumpu kepada mengisi kemenangan.
PERKUKUH PAKATAN RAKYAT

Hari ini kita berbahas dengan sehangat-hangatnya, bagi mendatangkan natijah terbaik ke arah megukuhkan parti, dan di sana sudah tentu ada perbezaan pendapat, dan pendapat yang terkuat hujahnya adalah pengukuhan kepada resolusi yang dicapai. Pendapat yang lemah juga tetap dihormati, kadang-kadang yang lemah hari ini menjadi kenyataan yang kuat di masa akan datang, oleh kerana itu dalam budaya ilmu Islam kami bukan sahaja mencatit pendapat yang menjadi keputusan muktamad, pendapat yang lemah juga dijadikan ingatan, dan tidak ada yang diperkecilkan. Kita juga menjadikan majlis ini sebagai medan persaudaraan yang menemukan kita semua di atas semangat persaudaraan dalam satu bahtera negara tercinta, kalau selamat bahtera ini, selamatlah kita semua dan sampai ke destinasi yang dituju untuk pilihanraya ke 13.
Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir dan selamat berkonvensyen.
YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
19 Disember 2009
Auditorium MBSA, Shah Alam,
Selangor

Monday, January 11, 2010

Sidang Hulubalang Pemberontak Di Kota Berselut (Bhgn Akhir)

Bahagian 4 (Hikayat ini harus dibaca dari bhgn 1 di bawah)

Sang Kelemboi yang afdhal lagi semporna memejam mata sambil berfikir, berbonjol-bonjol dahinya memerah otak. Bagaimana mahu membina armada perang untuk menyerang angkatan Tok Alim menjelang tahun baru cina di Kota Siputeh Ponteng. Waktu itulah emas 2 juta nak dicurahkan untuk baiki rumah dan bangsal hamba rakyat jelata yang sejak sekian lama dikelemboi sedemikian rupa.

Kalau hulubalang Tasek Pedu dan Kubang Pasubunga tak beri pertolongan, barangkali hamba rakyat tak nampak gagasan 1 Malaysia 1 Kepalabapak Kelemboi akan menjadi nyata. Bolehjadi kalah angkatan Menteri Tunggal Bibir Merah Alrosmahi. Kalau kalah, Sang Kelemboi yang afdhal lagi semporna akan digantung kaki ke atas kepala ke bawah tanpa celana di Kementerian Kemajuan wilayah dan Pembangunan Luar Bandar, sambil jawatannya dalam parti mungkin dicabar!!! Sang Kelemboi teringatkan anak bininya di tepi laut negeri bawah bayu yang sedang menonton filem Seri Mersing waktu dia ke mari tadi….Kajang Pak Malau Kajang Berlipat, kajang hamba mengkuang layu…………..

Hulubalang pemberontak yang memasang angan-angan baru yang dipungut di Kota Berselut pulang sambil menyanyi dalam tandu, sepanjang jalan…Aku Kaya! Aku Kaya! Aku Kaya!....Kelemboi menang, aku senang!

Si pembawa hikayat pun meminta diri untuk pulang. Tidak dikhabarkan adakah Sang Kelemboi bangun menari mengikut rentak lagu pribumi di hujung sidang itu.

Saya pun masuk beradu dalam kamar, ditemani isteri.... sambil dia bertanya apa maksud perkataan itu dan ini. Saya pun terjemahkan begini..agaknya begini sayang:

1. Kota Berselut itu ialah Kuala Lumpur.

2. Sang Kelemboi itu ialah Pengerusi Perhubungan Negeri

3. Negeri Lindungan Bulan itu ialah Kedah Darul Aman.

4. Tok Alim tu mungkin Ustaz Azizan

5. Merompak dan melanun itu ialah rasuah dan ambil komisyen

6. MARAMUNDUR itu ialah agensi untuk membantu orang melayu

7. Saudagar itu bermaksud kontraktor

8. Menteri tunggal itu mungkin Perdana Menteri

9. Kerajaan Seribelanjawan 3 Undi tu Kerajaan Pusat

10. Hulubalang Pemberontak itu ialah Ketua Bahagian Parti Pembangkang

11. Muda mudi tukang cuci tu ialah pergerakan pemuda, wanita dan puteri

12. Belum sempat saya terjemahkan halu dan pengilir halu, dia mencubit paha kana saya sambil berkata….Gatal!

13. Saudagar JPPP maknanya agensi persekutuan yang ditubuh untuk menyekat peruntukan kepada negeri dan mengecilkan bidang kerja pegawai kerajaan negeri.

14. Tandu maknanya keranda tetapi sekarang dibuat di German oleh syarikat Mercedes dan di Italy oleh syarikt BMW.
15. Laga lembu kebau itu maknanya sukan pemuda pemudi seperti bolasepak atau tarik tali.


Isteri saya ketawa terbahak-bahak dalam kelambu mendengar terjemahan saya… Tiba-tiba anak kecil kecil saya disebelahnya yang baru sudah menyusu bangun berdiri…"bapak dengan mak tahu apa mereka semua mahu"? Jeritnya. Ya Rabbiii! Saya dan isteri terkejut besar. Dia belum boleh bercakap dan umurnya baru setahun sebulan. "Mereka semua hanya mahukan harta Negara kita ini masuk semuanya ke poket mereka. Sekarang ini pun mereka sedang mencipta drama atas nama Allah. Mereka adalah pengkhianat Melayu sepanjang zaman. Saya sudah tahu hal ini sejak dalam perut ibu lagi!Cek akan lawan depa bila boleh berjalan nanti"! Lalu dia pun tertidur semula. Kami berpandangan sampai subuh tanpa berbuat apa-apa.....


Tammat


Catatan: Hikayat ini adalah rekaan berdasarkan kisah benar yang berlaku minggu lalu. Ia memang mempunyai kaitan dengan orang-orang yang masih hidup tetapi tiada kaitan dengan yang sudah mati.

Sidang Hulubalang Pemberontak Di Kota Berselut

Bahagian 3

Kenapa 13 hulubalang dan 4 tukang cuci saja yang mencium tangan Sang Kelemboi. Ke mana gerangan bau-bauan yang lain?? Diangkat tangannya yang hanyir belendir itu ke hidung peseknya, menghidu bau siapa yang ada sisa di situ satu persatu. Setiap bau yang melekat ditangannya dicam dengan baik. Memang Sang Kelemboi dilatih dek sang Menteri Tunggal Bibir Merah AlRosmahi untuk bijak menghidu. Itulah syarat menjaga akan negeri Lindungan Bulan.

Bahagian paling bashah di tangannya sudah maklum dari hidung Alor Cengkudu bekas air basuh pinggan rumah saudagar KEDA. Ada bau kapur sireh, ini dari Balingan. Ada bau gamat, ini dari Langkawah, ada bau nanah terkena lembing belantek bercampur dakwat surat khabar sinar, ini dari Sikney. Ada bau pulut lemang berinti hempedu, ini dari puteri semeling, ada bau hanyir air pengasah halu, ini Alharisah…hingga sekelian bau hanyir pekik itu dikesannya. Yang tiada melekat pada tangannya Cuma bau lumut tasik Pedu dan selut kubang pasubunga. Apa gerangan alamat yang dibawa dari ketiadaan bau-bau itu?

Bila sekelian hulubalang pemberontak beredar dari balai sidang, Sang Kelemboi melengung seorang diri. Apa gerangan maksud dua orang lagi itu tidak tunduk mencium tangannya? Diapun segera memerintahkan kepala sekelian kepala pengusung tandunya mengusulkan sebab musababnya. Tanpa menarik nafas pun, lalu dikhabarkan. Dua hulubalang itu sudah punya gudang sendiri yang jauh lebih besar dari gudang2 yang ada di seluruh negeri. Hulubalang tasik pedu itu paku atapnya gudangnya saja dibuat dari kayu balak meranti dan cengal sebatang-sebatang sepanjang 40 hasta. Dari timur ke barat berjalan kaki kira-kira beberapa purnama, rambut yang hitam pun boleh bertukar puteh jika melihat khazanah dalam gudangnya.

Lebih parah juga hulubalang tasik pedu marahkan sang Kelemboi yang melantik penolongnya di jajahan Padang Pokok terap yang berwajah mamak dan biasa jadi posmen menjawat penolong Pak Pacak Setiaberusaha Pemberontakan Negeri Lindungan Bulan.

Adapun hulubalang pemberontak dari kubang pasubunga itupun punya gudangnya juga. Sekarang inipun pelanun-pelanun dari saudagar JPPP sedang memunggah hasil lanunan dari seluruh negeri. Kebelutan pula, hulubalang itu juga ada hubungan perdagangan dengan kerajaan SeriBelanjawan 3 Undi, pimpinan menteri tunggal. Maka semua duit parking dan tips GRO yang meleleh dari bibir merah menteri tunggal menitik atas poket hulubalang itu.

Sang Kelemboi terbeliak terlopong semua lobang-lobangnya, patutlah umpan emas dan perak berjuta tidak disambar. Rupanya ada rencana mau berbuat angkara.


Bersambung.....

Sidang Hulubalang Pemberontak Di Kota Berselut

Bahagian 2

Sang Kelemboi Afdhal lagi Semporna bukan asing sangat di Negeri Lindungan Bulan. Dia menikah dengan anak orang besar juga di Sungai Petanimoden. Tapi dia hanya Afdhal dan Semporna di negeri peranakannya di Negeri Bawah Bayu. Tapi jagaannya di sini tidak berapa laku. Harta lanunan di bawak terbang ke tepi laut di negeri bawah bayu. Di sana ditabur segala dinar emas dan perak untuk diadakan acara tarian asli, dia pun turut menari. Setengahnya dibawa pula ke seberang laut di wilayah Filipinang.

Hulubalang pemberontak di Lindungan Bulan tidak senang, kenapa Menteri Tunggal Bibir Merah Al-Rosmahi menyuruh jaga akan dia negeri ini. Hulubalang pemberontak di sini apa kurangnya?

Hari ini, di Kota Berselut yang riuh rendah ini, hulubalang pemberontak akan mengaju soalan, biar Sang Kelemboi terlucut tanjak terkencing terberak menjawabnya. Soalan pertama, kenapa saudagar-saudagar hulubalang yang bijak merompak dan melanun yang diwakilkan untuk merompak di Gudang MARAUNDUR tidak berhasil, sedangkan gudang itu dalam Wilayah jajahan Sang Kelemboi sendiri? Surat sokongan para hulubalang bagai tidak laku di mata pak pacak yang menjaga gudang itu? Di mana muka hitam terpalit arang mereka hendak disorokkan?

Yang berhasil mendapat habuan di gudang itu saudagar MARAUNDUR hanya saudagar kecil berwajah lurus bendul yang tak bawa surat hulubalang pun. Puak lurus bendul dari wilayah Kerjabetul itu tak akan menjamu makan pengusung tandu, muda mudi tukang cuci dan pandir penjaga ranting.

Sang Kelemboi kelam kabut mohon periksa, mungkin sepeninggalan ke negeri Arab penjual minyak, pak pacak penjaga gudang berbuat angkara, sebelum ini tak berani mereka. Ya benar, tukang periksa bawa berita, kalau Sang kelemboi boleh melanun, pak pacak pun nak habuan juga. Lagipun dia sudah mau bersara.

Sang Kelemboi yang Afdhal lagi Semporna juga handal dalam persilatan yang dimainkan oleh hulubalang. Semua buah yang sedang ditari di depannya sudah boleh dibaca dan dimatikan. Maka dia segera membuat pukul kilas, sekelian hulubalang ngangalah mulut seluas yang boleh di Kota Siputih Ponteng, segala khazanah dalam gua lanunannya akan dituang di sana, tidak kurang 2 juta dinar emas tidak termasuk perak dan tembaga. Cuma dikhabarkan awal-awal berak kencinglah dahulu di petapaan sendiri supaya tembolok mereka kosong untuk didownloadkan.

Sang Kelemboi pun membuka tarinya sendiri, mini putrajaya akan dibuka di kota itu supaya semua gudang khazanah negeri akan diusung ke sana. Selepas dua juta khazanah pertama, hulubalang pemberontak tak sempat berak kencing lagi mengangkut harta gudang-gudang itu. Bawalah lori balak seperti Kasim Baba, juga bawa sekali apek tukang jahit mulut pencacai dan pengusung tandu yang mungkin meracau keranan dapat habuan terlalu kurang.

Muda mudi tukang cusi juga Sang Kelemboi tak lupa. Mamak Badron dan Al- Harisah yang menjadi jantan berlilit kain kuning kerana tiada kerja itupun dapat habuan juga. Buatlah pertandingan laga lembu atau kerbau dikalangan muda mudi tukang cuci, Sang Kelemboi akan beri habuan 120,000 wang palsu untuk dikunyah dengan sirih madu. Lembu kerbau yang mati berlaga sembelihlah buat kenduri arwah hulubalang tua yang akan menemui ajal keletihan kerana mengangkat barang ke lori balak kasim baba.

Al harisah tersenyum puas. Halunya akan basah malam ini, biar berhutang dulu, nanti dapat duit hadiah belaga lembu kerbau akan dilunaskan semuanya. Diangkat jarinya ke atas meja, termasuk jari kakinya yang kena sekam itu, mengira-ngira hutangnya…wah masih ada sisa lagi untuk basahkan halunya malam esok. Halu tukang cuci lain biarkan kering barang mudah, mereka sekelian itu belum pandai mengilir halu dipinggir pengasah…masih mentah semuanya.

Siti Shahanuman yang sedang menganyam ketupat dalam persidangan itu untuk bekalan pulang juga dapat habuan…semua ketupat dan lemag berinti hemPedu akan diajar dibengkel di pinggir sungai semeling. Siti Shahanuman lah akan jadi mahaguri dan penadah kecungnya. Dia pun ternganga luas… terbayang juga keenakan masakannya untuk dilantak sendiri. Sesekali menyelam di tasik pedu… habuannya seluruh keturunan lazat kelemasan.

Setelah semua hulubalang pemberontak tersenyum sampai ke telingan, Sang Kelemboi yang Afdhal Lagi semporna pun menamat acara. Semua hulubalang mara ke ribanya menunduk kepala mencium tangan yang masih sejuk dingin. Dikira-kira bilangan hulubalang yang datang mencium tangan…Eh! Kenapa hanya 13 orang saja..???
Bersambung.....

Sidang Hulubalang Pemberontak di Kota Berselut

(Bahagian 1)

Adapun Sang Kelemboi yang bertubuh kecil tetapi afdhal lagi semporna itupun memanggil akan semua hulubalang pemberontak dari negeri yang disuruh jaga - Negeri Lindungan Bulan- untuk bertemu muka dan berpakat, maklumlah Sang Kelemboi baru pulang dari negeri Arab penjual minyak, kata pengusung tandunya, Sang Kelemboi buat haji juga!!

Berduyun-duyunlah hulubalang pemberontak itu menyahut persilaan itu, takut-takut kalau-kalau ada nasi basi pun jangan sampai terlepas. Maklumlah di Negeri Lindungan bulan tempat mereka merompak dan bermakar itu, semua kunci pedal ayam dan mangga telah ditukar ganti baru oleh Tok Alim yang dilantik raja pemerintah menduduki kerusi memanda Menteri Besar. Diusirnya sekelian pemberontak ke hutan dan paya hingga ke dasar tasik di Pedu. Akibat itu, tak dapatlah hulubalang-hulubalang ini menjamu makan pengusung-pengusung tandu dan penarik lanca lagi.

Tandu pun tak diusung sama rata dan kadang-kadang letaknya juga bagai dihempas. Kebas punggung dan perut boyot panglima dalam tandu. Tidak sudah di situ, bertikam wali pula sesama pengusung , malah kadang-kadang tertikam hulubalang di poket seluar dan poket baju. Koyak rabaklah sekelian celana mahal dari India berjenama Balingan Mamak.

Cerita hulubalang dan juak-juak yang kian kebuluran sudah mula didengar akan sang Kelemboi. Ada yang Bashah kuyup disimbah air basuh pinggan di rumah kenduri Saudagar KEDA kerana cuba curi lauk. Ada yang sudah tidak berdaya membuka flip handphone untuk menaip ayat-ayat cintanya gara-gara sakit jari terkena alat pemburu babi hutan yang dipanggil Lembing Belantek. Semakin kurus dan mengecil sejak terkena senjata tajam itu. Kasihan.

Kisah 15 hulubalang pemberontak dan muda mudi tukang cuci mangkuk mereka tersangatlah masyur di kalangan kera-lotong dan pengemis moden di Padang Serai Wangi, Sungai Petanimoden, kubang Pasubunga dan di Pokok Senu. Adapun hulubalang yang baru keluar penjara Pokok Senu baru sedar negeri sudah jatuh kepada Tok Alim hingga tercacak rambutnya. Ditutuplah rambut tercacak itu dengan tengkolok tinggi, sama tinggi dengan hidungnya.

Bersambung….

Tok Dalang dan Wayang Kulit Moden

Kepanasan isu penggunaan nama Allah dan pembakaran gereja sebenarnya baru sahaja bermula. Di mana nokhtahnya terletak ditangan spinner-spinner yang sedang menyelamatkan UMNO dengan bermain api keagamaan yang membawa kemusnahan besar.

Isu ini akan selesai apabila pimpinan UMNO sudah mencapai kemuncak yang diperlukan untuk diangkat sebagai penyelamat keharmonian dan perpaduan antara penganut berbilang agama dan kaum. Ini wajib dibaca sebagai sebahagian ramuan untuk mencapai agenda UMNO dalam gagasan Satu Malaysia.

Adakah ini andaian yang keterlaluan? TIDAK!! Ia sudah berulang kali ditayangkan sepanjang pemerintahan BN untuk mengekalkan kuasanya. Ia dirancang dengan teliti oleh pakar-pakar yang diupah untuk mencipta kekalutan dan membina watak penyelamat. Spiner-spiner ini pernah didedahkan banyak kali menjelang beberapa pilihanraya dulu. Mereka mungkin dari consultan Yahudi, Amerika, CIA, Komunis dan apa saja. Yang pasti mereka tidak berada di landasan Islam. Mereka diupah oleh dictator-diktator dunia bagi mengekalkan kuasa dan sumber kekayaan.

Rakyat Malaysia akan terus selamat dan sejahtera jika tidak melayan sebarang provokasi, tidak melatah dan hadapi situasi sensitive ini dengan tenang. Ada pengarah drama dan dalang wayang kulit di sebalik tabir kekalutan ini. Nokhtahnya boleh disetkan. Nyahkan UMNO dari persada politik tanah air kita.

Buat masa ini, bertenang dan bersabar. Kita spin balik pusingan ini kepada UMNO/BN. Mereka akan ditalkinkan jika nama Allah sengaja ‘dibebaskan’ dari makna yang hakiki menurut Islam. Skrip mereka yang membenarkan Herald Katholic guna nama Allah, skrip itu juga akan mencetus rasa lega kita bila ia dibatalkan oleh mahkamah rayuan atau lebih dramatic lagi hingga ke mahkamah persekutuan.
Anggaplah apa yang sedang dilakukan sekarang oleh Najib, Hishamudin, Jamil Khir, Musa Hasan, Ghani Patail dan Hakim Gan adalah menurut skrip dalang-dalang itu. Kita tontonlah sambil makan kuaci atau tidur hingga drama ini habis. Nama Allah yang Maha Esa hanya untuk Islam. Tuhan Bapak, Tuhan Emak dan Tuhan Anak yang diwakili oleh konsep Triniti dalam kristian sepadan dengan God yang mereka percayai. Khalassss!