Sunday, October 23, 2011

PAS Kedah Sudah Berjaya Memenuhi Sebahagian Ciri- ciri dan Konsep Negeri Berkebajikan.

Pembinaan Negeri Berkebajikan: Perspektif Negeri Kedah.

Inilah sebahagian usaha dan pencapaian sepanjang 3 tahun 8 bulan menjadi kerajaan di Kedah bersama Pakatan Rakyat. Banyak lagi yang telah disenaraikan sebelum ini dalam dokumen yang telah  diterbitkan sebelumnya. Apapun pandangan dan caci nista berbaur fitnah dari musuh-musuh politik yang kuat cemburu mereka kepada kita, kita telah pun buktikan di depan mata mereka apa yang kita laksanakan.

Dalam keupayaan dan kerangka kuasa yang ada kepada kita sebagai kerajaan negeri, kita telah tunjukkan kepada rakyat kemampuan sebuah parti atas nama Islam, bahawa selain BN/UMNO juga mampu mentadbir, malah jauh lebih baik daripada mereka, satu mitos yang berjaya ditamatkan. 

Walaupun sudah mencapai tahap ini, kita dengan jujur mengakui bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap Negeri Berkebajikan yang digariskan oleh PAS dalam Muktamar ke 57 pada tahun ini. 

Seandainya Putrajaya juga berjaya ditawan dalam PRU13 nanti, saya penuh yakin, Kedah akan muncul sebagai Negeri Berkebajikan dalam ertikata kebajikan menyeluruh yang melampaui takrif kebajikan sempit kerajaan Barisan Nasional, bahkan melangkau jauh definisi walfare state yang diamalkan di beberapa negara Eropah.

Bertitik tolak daripada keyakinan kepada Firman Allah swt yang disebut dalam Ucapan Dasar Presiden:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi”. (Surah Al-‘Araf : 96)

Kerajaan negeri memerah seluruh usaha untuk mencapai daya maksimum sebuah negeri dengan realiti yang ada di negeri ini.

A. Realiti Negeri Kedah:

1. Kedudukan Kerusi:

• PR Kedah (PAS-16, PKR- 3 DAP- 1) = 20
• Kerusi BN (Umno-14, Gerakan-1, MCA-1) = 16

2. Populasi = 2.1 juta

3. Komposisi Melayu 75%, Cina + India + Lain-lain = 25%

4. Institusi Istana berusia lebih 1000 tahun, mengetuai bidang kuasa agama dan adat istiadat.

5. Unjuran Pendapatan hasil negeri RM498 juta setahun (termasuk dari geran wajib Kerajaan Pusat) dan Unjuran perbelanjaan RM515 juta.- (Defisit RM17 juta). Rizab sekitar RM200 juta.

6. BN telah memerintah sejak 1957 dan kita baru berusia 3 tahun 8 bulan.


B. Konsep Asas Pentadbiran.
  • Pemerintahan adalah amanah Allah swt, merancang, memimpin seluruh rakyat mencapai keredhaan Allah untuk meraih balasan baik di Akhirat kelak.
  • Pencapaian dan pembangunan dalam apa bidang sekalipun adalah alat untuk meraih keredhaan, bukan matlamat akhir sebuah kerajaan dan rakyat.
  • Dasar Kepimpinan Negera Berkebajikan Yang Menjadi Tema Muktamar.
  • Kepimpinan dari kalangan yang berilmu dan bertakwa. Seperti yang ditegaskan dalam hadis Rasulullah bahawa berpolitik adalah tugas para nabi dan pengikutnya yang setia. Rasulullah SAW bersabda :
Ciri-ciri kepimpinan yang disebutkan dalam Ucapan dasar:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ .صحيح البخاري – ج 11 / 271

Kaum Bani Israel di zaman dahulu, yang menjadi pemimpin siyasah (politik) mereka ialah para nabi. Setiap nabi yang diwafatkan diganti nabi selepasnya. Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku, namun akan ada para Khulafa (Pemimpin) yang mengganti tugas ku, akan lahir jumlah yang ramai. Para sahabat bertanya : “Apakah perintah kepada kami ?” Sabda Rasulullah : “Bersetia dengan berbai’ah kepada yang paling dahulu, seterusnya yang berikut. Berikan kepada mereka hak yang wajib ditunaikan. Maka sesungguhnya Allah akan menyoal mereka daripada tugas yang diberikan kepada mereka.

• Selari dengan tuntutan Islam yang telah mengikat kepimpinan negara dengan dasar dan konsep yang berlandaskan iman. Firman Allah :
Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu bertelingkah pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

• Inilah rupa bentuk kepimpinan yang layak dan boleh menunaikan amanah, iaitu pemimpin yang digelar ulul amri, dengan menjadikan politik adalah amal yang soleh, bukannya peluang diri dan kelompoknya. Sehingga mereka sendiri boleh pula memilih ketua yang rasuah, serta mendapat sokongan rakyat dengan rasuah dan menipu, seterusnya boleh melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan Islam”.

Kedah mengambil pendekatan asas di kalangan pimpinan dengan langkah berikut:
• Menjadikan pentadbiran kerajaan sebagai amal soleh, salah satu jalan mencapai taqwa kepada Allah s.w.t dengan memenuhi  syarat-syarat  seperti yang digariskan dalam Kitab Ihya' Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali:

1. Niat
Niat mestilah betul. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Segala amal yang dilakukan bergantung kepada niat, dan sesuatu amalan itu diterima Allah berdasarkan apa yang diniatkannya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Pelaksanaan
Pelaksanaan atau perbuatan kerja itu mestilah betul dan mengikut syariat. Contohnya kerja yang dilakukan itu tidak menzalimi atau menyusahkan orang lain.

3. Hasil kerja
Hasil kerja atau kesan daripada kerja itu mestilah digunakan pada jalan yang betul. Kalau kerja itu memberikan pulangan atau gaji, maka duit gaji itu tidak boleh digunakan ke jalan yang salah.

4. Sah di sisi syariat
Pekerjaan yang dilakukan mestilah sah dari segi syariatnya. Iaitu kerja itu mestilah kerja yang baik dan halal untuk dilakukan. Kalau kerja di kilang arak ker contohnya, itu tidak termasuk dalam kategori ibadah sungguh pun seseorang itu bekerja mencari nafkah untuk anak dan isterinya.

5. Perkara wajib
Semasa melakukan kerja, perkara yang wajib atau perkara yang asas tidak boleh sama sekali ditinggalkan. Contohnya solat 5 waktu dan tidak melakukan perkara-perkara syirik.

• Pembangunan dan kemajuan adalah alat mencapai keredhaan Allah, bukan satu-satunya matlamat akhir menjadi kerajaan.

• Dalam kerangka keupayaan yang kita ada, strategi dan pelaksanaan pemerintahan adalah berpandukan sumber-sumber hukum dan kaedah yang digariskan para ulama Fiqh dalam disiplin ilmu Siasah Syariyah, Maqasid Syariyah dan seumpamanya.

C. Berasaskan bidang kuasa dan keupayaan Kerajaan Negeri, Kedah telah mengorak langkah lebih awal melaksanakan agenda kebajikan menyeluruh yang digariskan oleh Muktamar PAS Ke 57.

1. Polisi semasa:

• Bebas rasuah
• Perbelanjaan berhemah
• Tanah pertanian untuk pengeluaran makanan
• Hasil negeri adalah hak seluruh rakyat Kedah.

2. Usaha memenuhi kriteria asas negara berkebajikan.

• Kepimpinan PAS di Kedah telah melaksanakan pemerintahan bebas rasuah, telus, berbelanja berhemat, adil untuk semua, berintegriti dan jujur.

• Melalui kepimpinan yang memiliki ciri-ciri ini, kita berupaya mencapai tahap kemajuan yang membanggakan seperti yang telah kita rekodkan dalam buku Manifesto Kedah Sejahtera 2008: Pencapaian Kita.

D.  Perancangan dan keutamaan.

i. Pendidikan.

• Selaras usaha meningkatkan pencapaian rakyat, pembinaan Kampus tetap KUIN yang menelan kos RM320 juta telah mendahului program-program utama kerajaan negeri. Kursus-kursus penting ditambah untuk melahirkan rakyat yang berilmu dan berdaya saing dalam berbagai-bagai sektor. KUIN dirancang untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat meningkatkan taraf pendidikan dan kualiti hidup.

• Sekolah-sekolah SAR, sekolah pondok, SJKC dan SJKT dibantu dengan peruntukan yang besar setiap tahun. Kulian-kuliah umum di masjid dan surau, serta di kediaman rasmi MB terus digalakkan.

. Menubuhkan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi.

• Sebagai galakan kepada pelajar dan keluarga untuk meningkatkan taraf pendidikan, pelajar yang berjaya ke IPT di beri bantuan khas RM400 bagi program ijazah dan RM200 bagi diploma melibaykan implikasi kewangan sekitar RM2.5 juta sejak 2008.

• Bagi menghargai jasa melahirkan rakyat celik Al-Quran, guru-guru Al-Quran sukarela di beri bantuan khas bagi menghargai jasa dan memupuk semangat kesukarelaan.

• Guru-guru Pasti diberi saguhati tahunan.

• Membiayai program-program hari guru SAR dan Pasti.

• Bantuan khas membiayai tunggakan bil utiliti di SJK(C) dan SJK(T).

• Pemberian tanah untuk Sekolah Rendah Jenis Tamil Sg. Tok Pawang, di Bedong dan Sekolah Rendah Jenia Rendah Jenis Kebangsaan Lam Min, di Kerpan.

ii. Meringankan bebanan rakyat

​Tanah.

• Mengurangkan cukai tanah antara 25-75%.
• Melulus dan mendaftarkan 143,545 permohonan tanah seluruh negeri sejak 2008 (pemberian hakmilik).

• Meluluskan 7,905 permohonan tanah sejak 2008 (Notis 5A).

• Sedang memproses 2,118 pemohonan tanah di Daerah Baling sahaja yang terlibat dengan kawasan Ladang Rakyat Gunung Inas dengan melantik juruukur swasta untuk mempercepatkan proses.

• Meluluskan tanah untuk Sekolah Rendah Jenis kebangsaan Tamil Sg Toh Pawang seluas 5.4 ekar.

• Meluluskan tanah untuk SJK(C) Lam Min,

• Mengutamakan kegunaan tanah untuk mpengeluaran tanaman makanan untuk jamin bekalan mencukupi pada harga yg munasabah.

• Pejabat Tanah kulim muncul sebagai pejabat tanah terbaik di seluruh negara.

​Kebajikan

• Melaksanakan skim kafalah dengan peruntukan RM4 juta setahun – (Mampu menyumbang kepada 8000 ribu keluarga miskin yg kematian ahli keluarga).

• Menaikkan kadar bantuan minima JKM dari RM80 kepada RM150.

• Bantuan  one-off bencana alam.

iii. Meningkatkan Hasil Negeri Untuk Faedah Rakyat

• Merancang pendapatan dan perbelanjaan dengan cermat dan berhemah.Peningkatan berlaku dalam hasil pembalakan, tanah dan galian, anak-anak syarikat kerajaan (GLC) dan berjaya mengatasi defisit belanjawan tahunan 2010.

• Bebas rasuah dan penyelewengan membawa peningkatan besar khususnya dalam industri pembalakan.

iv. Membebaskan Pegawai dan Rakyat Daripada Belenggu dan Ugutan.

• Rakyat dibantu tanpa mengambilkira latar belakang ideologi politik, bangsa, agama dan keturunan.

• Pegawai dibebaskan dari naungan parti politik pemerintah, bebas mengganggotai mana-mana parti yang disukai.

• Bekerja mengikut kepakaran tanpa tekanan atas dasar kepentingan parti politik.

e. Penutup.
Selain yang tersenarai di sini, masih banyak yang boleh dirujuk dalam buku Laporan Manifesto Kedah Sejahtera  2008: Pencapaian Kita. InsyaAllah, pada masa mendatang lebih banyak ciri-ciri negeri berkebajikan mampu dicapai dengan kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh di kalangan pemimpin dan rakyat Negeri Kedah.


1 comment:

  1. tahniah buat kerajan PAS kedah...inilah yg ditunggu2, dgn keupayaan yg terhad, mampu memberikan yg terbaik utk rakyat...kedah utk rakyat kedah...buat tn haji, tahniah dan diharap dapat menyebarkan senarai2 ini utk makluman umum, khasnya rakyat kedah, dan rakyat malaysia umumnya...

    ReplyDelete