Sunday, October 23, 2011

60 Tahun Pertama dan 60 Tahun Kedua PAS...

Alhamdulillah, selepas 3 hari, program Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah berjalan lancar. Walaupun musim hujan, orang ramai datang berpusu- pusu mengikuti acara-acara yang telah disusun. 

Siang tadi berlangsung Konvensyen Membangun Negara Berkebajikan yang menampilkan dua pembentangan. Ustaz Hj Idris Hj Ahmad membentangkan Perincian Membangun Negara Berkebajikan (Tema PAS) dan Dato' Hj Amiruddin Hamzah membentangkan kertas Membangun Negeri Berkebajikan: Perspektif Negeri Kedah.

Sebelah petang berlangsung Seminar Pengkisahan Sejarah PAS Kedah yang menampilkan 3 tokoh veteren PAS menceritakan pengalaman masing-masing sepanjang perjuangan bersama PAS. Selepas itu Majlis Jamuan Teh bersama veteran PAS. Ramai yang hadir.

Di luar dewan berlangsung pameran sejarah PAS kawasan-kawasan dalam negeri Kedah sepanjang yang direkodkan dalam bentuk dokumentari, gambar, video dan dokumen bercetak. 60 tahun pertama PAS sesungguhnya membawa perubahan yang sangat besar dalam masyarakat khususnya dari aspek penghayatan dan pelaksanaan agama dalam kehidupan. Pengorbanan dan perjuangan yang telah dibuktikan tiada tolok bandingnya dengan perjuangan-perjuangan lain di negara kita.

Alhamdulillah, dengan kewujudan dan perjuangan yang dibawa oleh PAS, negara dan rakyat kita terus dapat bertahan dengan Islam yang sebenar- "sibghatullah"- celupan Allah baik dari sudut Aqidah dan Syari'at. 

Masyarakat Islam di Malaysia telah mengenali, memahami dan menghayati syari'at Islam yang syumul dari sudut yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Tahniah dan terima kasih kepada pejuang-pejuang awal PAS dari tahun 1951 yang mengasaskan wadah ini dan mewariskannya hingga sampai kepada kita pada hari ini.

Sehingga ke tahap ini, saya dapat bayangkan dalam sambutan 60 tahun kedua PAS pada masa akan datang (60 tahun daripada sekarang), waktu itu generasi yang ada kini sudah kembali menemui Tuhan yang Maha Pencipta, pendokong PAS waktu itu akan bentangkan sejarah besar yang dilakarkan bermula pada hari ini. 

Sambutan itu yang mungkin diadakan di ibu negara atau di lokasi yang lebih startegik dari itu, mungkin di Kedah juga, mendapat liputan seluruh dunia dan turut dihadiri Gerakan Islam seluruh pelosok bumi untuk mempelajari jalan beranjau yang ditempuhi oleh PAS.

Pada waktu itu, Islam yang diperjuangkan hari ini sudah berada di tempatnya, memerintah dunia ini atau sebahagian daripadanya, mengulangi zaman kegemilangan Islam di bawah khalifah Umar Al-Khattab dan cucunya Khalifah Umar Abdul Aziz.

Negara kita waktu itu sudah mencapai tahap "Baldatun Toiyibatun wa Rabbun Ghafur". Pemimpin dihormati, rakyat disayangai, keadilan tertegak, nikmat dirasai bersama. Seluruh masyarakat berbilang kaum di Malaysia hidup bahagia aman harmoni, damai di bawah naungan dan pemerintahan Islam. Tak ada pemimpin yang dikecam kerana boros dan rasuah, rakyat mendapat hak yang sewajarnya, PM dan para menteri bukan saja berupaya memerintah dengan adil, malah mampu  mengimamkan solat waktu dan solat Jumaat dan berkhutbah tentang kehidupan selepas mati. Di belakang imam solat (PM) ialah para pegawai profersional yang beramanah menurut jejak yang ditunjukkan oleh para pemimpin negara. Sebaris dengan mereka ialah rakyat jelata yang tenang dan khusyuk hidup beragama.

BN waktu itu hidup di muzium dan pameran sejarah pertubuhan-pertubuhan yang pernah wujud di bumi Malaysia, UMNO pula cuba dihidupkan di lorong-lorong gelap penagih-penagih bangsa dan warna kulit setelah pupus beberapa kali. PAS sedang memerintah negara bersama rakan-rakan yang sealiran, di waktu dunia seluruhnya ditadbir dengan keadilan dan keindahan Islam. Itulah 60 tahun kedua bagi PAS!

No comments:

Post a Comment