Monday, January 11, 2010

Sidang Hulubalang Pemberontak di Kota Berselut

(Bahagian 1)

Adapun Sang Kelemboi yang bertubuh kecil tetapi afdhal lagi semporna itupun memanggil akan semua hulubalang pemberontak dari negeri yang disuruh jaga - Negeri Lindungan Bulan- untuk bertemu muka dan berpakat, maklumlah Sang Kelemboi baru pulang dari negeri Arab penjual minyak, kata pengusung tandunya, Sang Kelemboi buat haji juga!!

Berduyun-duyunlah hulubalang pemberontak itu menyahut persilaan itu, takut-takut kalau-kalau ada nasi basi pun jangan sampai terlepas. Maklumlah di Negeri Lindungan bulan tempat mereka merompak dan bermakar itu, semua kunci pedal ayam dan mangga telah ditukar ganti baru oleh Tok Alim yang dilantik raja pemerintah menduduki kerusi memanda Menteri Besar. Diusirnya sekelian pemberontak ke hutan dan paya hingga ke dasar tasik di Pedu. Akibat itu, tak dapatlah hulubalang-hulubalang ini menjamu makan pengusung-pengusung tandu dan penarik lanca lagi.

Tandu pun tak diusung sama rata dan kadang-kadang letaknya juga bagai dihempas. Kebas punggung dan perut boyot panglima dalam tandu. Tidak sudah di situ, bertikam wali pula sesama pengusung , malah kadang-kadang tertikam hulubalang di poket seluar dan poket baju. Koyak rabaklah sekelian celana mahal dari India berjenama Balingan Mamak.

Cerita hulubalang dan juak-juak yang kian kebuluran sudah mula didengar akan sang Kelemboi. Ada yang Bashah kuyup disimbah air basuh pinggan di rumah kenduri Saudagar KEDA kerana cuba curi lauk. Ada yang sudah tidak berdaya membuka flip handphone untuk menaip ayat-ayat cintanya gara-gara sakit jari terkena alat pemburu babi hutan yang dipanggil Lembing Belantek. Semakin kurus dan mengecil sejak terkena senjata tajam itu. Kasihan.

Kisah 15 hulubalang pemberontak dan muda mudi tukang cuci mangkuk mereka tersangatlah masyur di kalangan kera-lotong dan pengemis moden di Padang Serai Wangi, Sungai Petanimoden, kubang Pasubunga dan di Pokok Senu. Adapun hulubalang yang baru keluar penjara Pokok Senu baru sedar negeri sudah jatuh kepada Tok Alim hingga tercacak rambutnya. Ditutuplah rambut tercacak itu dengan tengkolok tinggi, sama tinggi dengan hidungnya.

Bersambung….

2 comments:

  1. SALAM,
    AMBOI SUSAH MERANGKAK JUGAK NAK PAHAM BAHASA KIYEH NI..BAHAGIAN 2 TU JANGAN LAMBAT SANGAT SAMBUNGANNYA.SAT LAGI ILHAM TERSANGKUT DI GUAR BUAH CEMPEDAK.

    ReplyDelete
  2. poning den baca hikayat merong mahawangsa hang nie sanusi.. :-)

    ReplyDelete