Friday, September 25, 2009

Rumah Terbuka MB Meriah

Hari terbuka YAB Dato' Seri MB hari ini meriah, sungguh meriah - kehadiran lebih ramai daripada tahun lepas. Makanan yang disediakan untuk 40-50 ribu tetamu habis sepenuhnya menjelang 4 petang, walaupun ada tetamu yang hadir sehingga jam 5 petang. Apa nak buat, pekena ayaq oren sajalah...

Kehadiran tetamu diluar jangkaan, terdiri dari semua kaum. Antara kumpulan terawal ialah 35orang sami Buddha dari watt seluruh Kedah. Mereka hanya boleh menjamu selera sebelum jam 12.30 tebgahari. Selepas waktu itu, mereka dikehendaki berpuasamengikutupacara agama Buddha.
Umat Islam dari seluruh negeri paling ramai, dan tidak ketinggalan tetamu dari seluruh negara, mengambil peluang beramah mesra dengan YAB MB dan isteri, kakitangan Pejabat MB dan pimpinan parti yang turut hadir.
Menurut sahabat saya dari kaum cina, antara yang ramai hadir ialah kaum cina penyokong MCA yang berpihak kepada Chua Soi Lek. Kanak-kanak tidak ketinggalan mendapatkan duit raya dari MB, RM20 ribu yang disediakan untuk duit raya kanak-kanak habis sepanjang majlis itu.
Turut hadir ialah Lan Pet Pet dari kumpulan Senario dan rakan-rakan artis yang lain. Persembahan pentas pula menampilkan Pak Long (Komposer lagu Al-Jannah Mawi/Cinta Pantai Merdeka Jinbara) dengan lagu-lagu barunya. Bebarapa kumpulan nasyid juga membuat persembahan.
Majlis itu diserikan dengan keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah yang tiba pada jam 1.30 petang. Turut berangkat ialah DYTM Tuanku Raja Muda, YTM Tg Temenggong, dan kaum kerabat Baginda yang lain.

Tuesday, September 22, 2009

ADA ORANG TOLONG JAWAB DALAM EMAIL...SAYA PERTURUNKAN SAJA...JANGAN MARAAAAAH HA.

Saya terbaca komen dalam shout! blog saudara ada orang macam maki hamun tak puas hati jawapan dan maklumat berkaitan sekolah pondok Pak Ya. Dia kata saudara hentam Hj Najib. Saya statement saudara dalam Sinar Harian hari rabu lepas, tak ada pula saudara menghentam sesiapa. Nama dia pun tak disebut. Saudara hanya memberikan penjelasan dan sebab-sebab pondok Pak Ya tak dapat sumbangan, tak kan itu pun tak boleh! Depa tu maksum ka?
Saya pun baca gak statement Hj Najib minggu sebelum tu, dahsyat dia kata kat kerajaan, sama dengan BN...ini mana boleh terima. Kawan tu pun guna guest saja, boh la nama betoi, baru kita tau sapa kot guaq ni yang dok bela sangat si Hj Najib tu.
Dia pun pi kait dengan iklan tudung la apa la..kita perati kot jalan, banyak iklan baru dah bertudung, adibah noor, pontinak sundal malam, eizlyn dan ramai lagi di kedah jadi model pakai tudung. Apa lagi depa nak...pelan pelan laaaa.
Kami kot Guaq ni tau laa apa pasai dia tu marah sangat...diam lagi baik, kalau orang dedah hampa sama...kot tak cukup tanah nak lari kot..
P/S: Saya tidak edit sebarang huruf dari email sahabat yang tolong jawab tuduhan en Guest yang mendakwa itu ini dalam shout! saya (saya dah delete). Saya tak ada niat apa-apa selain memberikan penjelasan dan data-data untuk dibuat pertimbangan..supaya jelas, inilah sebab musabab sekolah Bt 16 tak termasuk dalam senarai penerima bantuan. Harap Maklum.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN

Wednesday, September 16, 2009

BAB ARAK - Sandaran Emosi, Fakta, Iltizam, Kehendak dan Tujuan Mesti Jelas dan Kemas.

Tulisan ini dibuat dengan maklumat asas sahaja, bila dah lengkap semua info, saya akan menulis lagi bagi kemas. Ini sekadar untuk pembaca sama-sama cari maklumat bagi mengkayakan khazanah minda dan membantu fikiran berfungsi...

Kira wajib bersandar pada hukum, arak adalah haram. Ini jelas. Tak kira apa jenis, bungkusan dan jenamanya, ia adalah najis, sesetengah orang namakan air kencing syaitan. Marah dan jijik, hairan dan terkilan, takut dan bimbang, kesal dan insaf -akan segera lahir dalam hati bila kita nampak ada orang Islam yang meminum arak terang atau sembunyi. Kita segera heboh bila selepas sesuatu function, tin-tin arak bersepah menandakan ada orang meminumnya. Mulalah kita nak salahkan peminum, pihak berkuasa, penjual, pembawa, penganjur program dan lain-lain. Ini semua memang emosi yang wajar dan patut sebagai umat Islam yang mengharapkan balasan baik bila bertemu Allah di akhirat. Paling kurang, kita sudah membenci dalam hati, tanda selemah-lemah iman.
Faktanya ialah di negara ini, bukan semua yang kita namakan arak itu adalah arak. Ada dua kategori dalam undang-undang berkaitan yang dilulus di Parlimen dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa- ARAK dan BEER. Arak (liker) adalah minuman keras yang tertakluk kepada semua akta berkaitan sama ada Akta Duti dan Eksais, Akta berkaitan lesen menjual minuman keras, Enekmen Jenayah Syariah bersabit kesalahan meminum dan menjual arak, dan lain-lain undang-undang. Jualan arak kategori ini perlu lesen menjual minuman keras dan lesen premis menujalminuman keras. Memohon lesen menjual minuman keras dan lesen premis mesti mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat. Iklan di akhbar diwajibkan.
Selalu kita dapat lihat iklan-iklan kecil di sudut-sudut tersembunyi akhbar2 utama, permohonan menual minuman keras oleh sipolan dan sipolan. Kalau ada bantahan, sila kemukakan. Tapi berapa orang prihatin dengan hal ini? Bila tiada bantahan, pihak berkuasa akan luluskan. Di sinilah peranan umat Islam membuat bantahan. Di sini juga boleh diharapkan peranan orang-orang di Kementerian Kewangan, kastam, PBT dan agensi2 terbabit menggunakan kebijaksanaan akal budi, kalau tak ada bantahan pun, gunakan hujjah dan helah lain dalam memproses permohonan itu.
Beer adalah kategori minuman (yang juga memabukkan) dengan kandungan alkohol yang rendah - tetapi tidak tertakluk kepada akta-akta tadi. Dari sudut perundangan yang ada di Negara ini, ia setaraf coca-cola, pepsi, 7-up dan lain-lain minuman ringan dalam tin. ini yang banyak diminum dan mudah didapati di kedai 24 jam dan kedai restoren bukan Islam. Budak-budak melayu Islam yang kita emosikan tadi kebanyakkannya melanggah yang jenis ini.
Jika ditangkap, didakwa di bawah Enekmen Jenayah Syariah, adakah tafsiran arak dalam akta parlimen boleh melepaskannya? Yang kita bimbangi ialah, dia terlepas dan kerajaan kalah...ini pasti menimbulkan satu lagi masalah...minum beer dalam tin, tak salah, jangan langgah yang dalam botol saja. Kerajaan tak boleh buat apa-apa! Jangan takut. Jika ini terjadi, jatuhlah maruah dan kredibiliti sebuah kerajaan yang cuba untuk membenteras satu kemungkaran.
Sebab itu, MB Kedah menyatakan, perlu dilihat dari semua sudut... apakah kekuatan dan kelemahan yang ada untuk membendung masalah ini. Adakah perlu Parlimen bersidang meminda tafsiran arak dan beer. Adakah Kerajaan Negeri di bawah Perlembagaan Malaysia, boleh meminda Enekmen di negeri masing-masing untuk mentafsirkan sendiri kategori minuman keras? Adakah penguatkuasa punya keberanian untuk melaksanakan kerjanya. Adakah benar, penguatkuasa yang ada di negeri-negeri tidak berani berhadapan dengan pemabuk dan peniaga arak? Adakah mereka dilindungi dan dipertahankan jika ada masalah berbangkit?
Pihak-pihak yang prihatin, pakar undang-undang, yang mempunyai kesungguhan, iltizam dan memahami tujuan tegahan Islam terhadap arak perlulah segera meneliti isu-isu ini untuk membantu negeri-negeri melaksanakan tuntutan ini.
***********************************************************************************
Minum arak dikenakan hukum hudud, ada pendapat 80 sebatan, ada pendapat kata 40 rotan. Zaman Rasulullah 40 rotan, zaman Syaidina Umar 80..kenapa? Kerana orang mabuk yang dihukum di zaman khalifah itu turut memaki hamun dan menuduh perempuan itu dan ini berzina. Syaidina Umar mencantumkannya dengan Qazaf (80 rotan).
Lihat juga aspek pendidikan, isu arak bukan sahaja isu perundangan dan penguatkuasaan. Lihat juga isu sosial dan budaya, isu teladan dan kepimpinan...(sekadar contoh, di Indonesia yang ramai umat Islam, yang menjual beer dalam tin di gerai-gerai dan kereta roda 3 di tepi jalan adalah orang Islam. Ada berpuluh-puluh - mungkin ratusan gerai dan roda tiga yang menjalankan aktiviti ini. Berkunjunglah ke Riau pada waktu malam untuk melihat senario ini. Di tempat lain, mungkin ada senario lain - saya tak pernah pergi selain Riau).
Persiapan kita yang rapi dan kemas akan berupaya melemahkan perjuangan sesetengah pihak di Malaysia yang melihat isu arak, beer dan judi sebagai budaya masyarakat majmuk dan budaya bukan Islam. Hakikatnya, disebalik perjuangan mereka itu, terselindung satu kuasa besar untuk menjahanamkan umat Islam. Bagaimana pula hal ini dapat disedari dan ditangkis?
Kita dalam PAS dan seluruh pejuang Islam yang mukmin, mungkin dapat menyediakan hujjah bersumberkan dalil-dalil nas dan hukum Feqah - Maqasid Syariah - memelihara agama, nyawa, akal, harta, keturunan - tapi dalam zaman lebih ramai orang bersandar pada logik akal dan hak asasi manusia, bagaimana hujjah kita perlu dipersembahkan dan dipertahankan? Kata YB Dato' Nik Amar, di zaman ini, intipati perjuangan dan cara ia dipersembahkan adalah sama penting!
Ada sahabat akan berhujjah dengan ayat "... Jangan takut kepada orang yang mencela"... kerana nak laknasanakan tuntutan Islam. Ada yang berhujjah dengan ayat"... mereka bersikap lemah lembut kepada orang mukmin dan bersikap keras kepada mushrik..." dan ayat-ayat lain dalam isu ini... Tetapi kita perlu cermat - dalam konteks mana ayat itu diguna pakai, apa Asbabun-Nuzulnya...apa situasinya....semua ini kena dihalusi. Para ulamaklah sandaran kita untuk menunjukkan jalan. Berijtihadlah... jika perlu.
Adakah celaan dan penghinaan pihak tertentu yang bakal datang akibat kesilapan umat Islam mempersembahkan tuntutan Agama hingga membawa fitnah yang lebih dahsyat kepada Islam.... perlu dielak (atau diterima kerana bersandarkan nas ini). Apakah jika mukmin itu berada dalam kesilapan dan hilang punca... hingga dilihat Islam itu lemah, kita juga mesti bersikap lemah lembut...? Adakah teguran keras kepada orang Islam kerana hal yang penting dan serius, akan dikira mengingkari ayat ini?
Saya tidak arif dalam hal ini, saya hanya membuka medan untuk tuan-tuan menyumbang pandangan dan pendapat. Saya mungkin silap, harapan saya supaya dapat ditegur dan diperbetulkan.
Semua yang akan terlibat dengan perbincangan yang akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat nanti mesti mempunyai maklumat dan persediaan yang secukupnya untuk menghasilkan satu kertas cadangan yang paling strategik dalam hal ini. Jangan pula kertas kita nanti dibakul sampahkan kerana terlalu koman. Lekehlah kita dilihat orang.
Tujuan kita ialah melaksanakan Islam secara Kaffah... melaksanakan Islam dan beramal dengan sifat-sifat Rasulullah... Siddiq, Amanah, Tabghlig & Fathonah. Dihujung hayat diberikan husnul khatimah, di akhirat diberikan syurga, dijauhkan neraka. Berkerja Keraslah Di Waktu Yang Singkat (dunia) untuk Berehat bersenang lenang di waktu panjang (akhirat). Teruskan perjuangan, selamat berpuasa.

Tuesday, September 15, 2009

Isu Arak: Cadangan DPPP Mesti Lebih Kemas Daripada Peraturan Sedia Ada.


Saya berada di sebelah MB Kedah sewaktu wartawan akhbar cina mengajukan pertanyaan tentang hasrat Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengemukakan ‘pekeliling’ untuk menghadkan penjualan arak di kawaan majoriti penduduk Islam di Negeri Pakatan Rakyat.
Istilah ‘pekeliling’ ini yang mengundang jawapan daripada MB bahawa DPPP tiada local standi untuk mengeluarkan apa-apa pekeliling kepada kerajaan negeri. Pekeliling biasanya hanya dikeluarkan oleh KSU Kementerian, JPA dan Setiausaha Kerajaan. Hari ini apabila akhbar menulis tentang ‘kertas cadangan’ (bukan pekeliling) daripada DPPP, barulah terang isu local standi dan ‘hak’ DPPP ke atas kerajaan negeri sebenarnya tidak timbul.

MB menambah lagi bahawa isu penjualan arak ini perlu dilihat dari semua sudut (Enekmen Kerajaan Negeri, Akta Parlimen, penguatkuasaan undang-undang, hak bukan Islam dan kesan buruk arak kepada masyarakat umum seluruhnya - penulis), tidak boleh dibuat dasar umum bagi semua negeri sehingga wujud ruang bagi sesetengah pihak mendakwa Kerajaan Negeri menafikan hak bukan Islam meminum arak.
Arak bagi agama lain tidak dilarang, tetapi apabila peminumnya mabuk ia bukan sahaja memudaratkan peminum, tetapi mendatangkan kesan yang buruk kepada masyarakat. Kedah sedang meneliti langkah-langkah yang perlu dari semua sudut dalam isu ini supaya dapat ditangani sebaik mungkin. Ia jangan sampai menimbulkan isu sampingan seterusnya ia bakal mengundang polemik yang berpanjangan seperti yang berlaku di sesetengah negeri. Ini yang disebutkan oleh MB Kedah kepada wartawan.

Buat masa ini, Enekmen dan undang-undang berkaitannya yang ada di Kedah sudah ada untuk membendung orang Islam dari meminum arak, yang tidak kemas ialah penguatkuasaan dan pelanggaran hukum agama oleh peminum arak. Kedah hanya membenarkan lessen premis menjual arak kepada kedai-kedai tertentu sahaja milik bukan Islam. Jika DPPP ada pandangan lain untuk melaksanakan tuntutan Islam dalam isu ini , sila kemukakan dengan cara yang betul, bukan dengan membuat sidang akhbar sahaja. Ini penegasan MB semalam.

Apa yang saya fahami dari sidang akhbar sambil berdiri di Istana Anak Bukit itu dan penjelasan dalam akhbar hari ini ialah:

1. Istilah pekeliling telah digunakan oleh wartawan, sedangkan ia adalah kertas cadangan. Istilah inilah yang mengejutkan MB lalu mempersoalkan hak DPPP untuk mengeluarkan pekeliling.

2. Kedah tidak bermaksud membiarkan sahaja arak yang diharamkan dalam Islam memusnahkan kehidupan beragama rakyat Kedah, tetapi sebarang cadangan penambahbaikkan mestilah lebih kemas dari apa yang sedia ada. Langkah-langkah menghadkan lessen premis sudah pun dibuat di semua PBT di Kedah.

3. Perlu ada perbincangan yang mendalam dari semua sudut, termasuk kajian terhadap Enekmen dan Akta berkaitan serta penguatkuasaan undang-undang yang ada dalam bidang kuasa kerajaan Negeri (khususnya dalam konteks Kedah) untuk memperkemaskan pelaksanaan hukum Islam berkaitan arak.

4. Negeri Kedah tidak berdiam diri dalam usaha melaksanakan hukum pengharaman meminum arak kepada umat Islam dan kesan arak kepada masyarakat seluruhnya, tetapi ia tidak dibuat menerusi publisiti di media.

5. Sebarang perubahan dalam dasar dan polisi kerajaan Kedah harus dipersiapkan dan dikemukakan dengan penuh kekuatan dari semua sudut sama ada strukturnya, kandungannya, kredibiliti dan integritinya, supaya ia boleh dilaksana dan dipertahankan. Jangan sampai sesuatu pembaharuan dalam pentadbiran dicabar dan kalah di mahkamah.

6. Kaedah ‘pukul anak sindir menantu’ tidak sesuai, dan tidak cukup kekuatan dalam isu perundangan dan pendekatan politik dalam bab melaksanakan tuntutan terhadap hal-hal yang sensitive (dalam konteks budaya dan sosio-politik Malaysia) seperti arak dan judi.

7. MB bersedia menerima cadangan dan saranan sesiapa sahaja untuk kebaikan, dan bersedia bertemu DPPP dalam isu ini.

Setahu saya, di zaman pemerintahan Khalifah Syaidina Umar Al-Khatab, beliau telah mengambil cukai ke atas arak, tetapi bukan bertujuan mencari dana negara, tetapi untuk membebankan industri itu. Hal-hal seperti ini perlu dibincangkan dengan serius dalam konteks Malaysia hari ini.
Harapan saya ialah supaya langkah awal DPPP dalam isu ini, walaupun bermula dengan sedikit ‘panas’, akan membuahkan hasil yang mampu membuka jalan keluar yang terang-benderang.
Kesan yang kita mahukan ialah kerajaan mampu menyelamatkan rakyat dari terus terjerumus dalam dosa dan kesan buruk arak selaras dengan tuntutan Allah s.w.t. Saya telah dihubungi oleh Setiausaha DPPP, Saudara Kamarulzaman Mohamad untuk mengadakan pertemuan dengan MB untuk memberikan maklumat lanjut DPPP dalam isu ini.

Monday, September 14, 2009

Kalaurumah kita kaca, jangan ambik batu baling rumah orang

Saya pun kalau buat rumah dari kaca, saya tak berani ambik batu baling rumah orang...takut depa baling rumah saya sama...habihlah.

Sunday, September 13, 2009

Kesian Haji Najib Fahmi, orang tak mau derma kat sekolah dia gara-gara berita kerajaan negeri bagi sumbangan kepada 21 buah sekolah agama rakyat baru-baru ni. Dia pun buat statement bagi penjelasan bahawa sekolah dia tak terima bantuan tu, kerajaan negeri tak bantu pun sekolah yang memang tersohor dan berjasa benar dari zaman TG Hj Yahya Joned itu.
Tapi Haji Najib tak cerita sekolah dia menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri melalui majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dalam Skim Bantuan Guru. Ada 12 orang guru MAIK di sekolah dia yang menerima gaji antara RM1,800 hingga RM2,400 sebulan. Ini adalah antara sebab sekolah beliau tidak disenaraikan sebagai penerima sumbangan MB baru-baru ini. Penerima sumbangan tu semuanya SAR yang tak pernah terima apa-apa skim bantuan daripada kerajaan. ini adalah kali kedua sumbangan tahunan YAB MB kepada sekolah-sekolah tersebut. Jumlahnya bergantung kepada jumlah pelajar yang ada di sekolah tersebut.
Kalau dibandingkan dengan 21 buah SAR yang menerima sumbangan dari YAB MB di Mentaloon tempoh hari, sekolah Taufikiah sudah terima jauh lebih besar daripada itu. Jika purata seorang guru bergaji RM2 ribu, sekolah Haji Najib menerima RM24 ribu sebulan, setahun RM288 ribu. Apalah sangat nak dibandingkan dengan RM15 ribu hingga RM46 ribu setahun yang disumbangkan kepada 21 buah SAR itu.
Haji Najib mungkin tak sedar Majlis Agama yang memberi bantuan kepada sekolah dia tu adalah agensi kerajaan Negeri. baru-baru ini sekolah tu dapat lagi peruntukan untuk membuat lantai dewan sekolah, banyak juga tu. kalau nak dibandingkan dengan SAR yang dapat setahun RM15 ribu dari kerajaan, sekolah dia jauh mendahului. Lagipun Sekolah dia harta wakaf banyak. Kalau diurus dengan baik, sekolah dia tak akan hadapi sebarang masalah kewangan.
Lepas itu HJ Najib samakan pula kerajaan sekarang dengan kerajaan BN. Ini yang tak masuk akal. Mana sama BN yang pernah membunuh SAR dengan kerajaan sekarang yang membantu SAR. Sekolah Taufikiah juga nyawa-nyawa ikan semasa operasi membunuh SAR yang dilancarkan oleh BN sedikit masa dulu.
Hj Najib juga sebut, yang terima sumbangan dari Kerajaan baru-bari ni adalah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Ini yang tak betoi ni. Bila pula Sridu, SAIF, SMIDU, Pondok Bandar Hilir, Sekolah Tok Keling, dan lain-lain tu termasuk dalam SABK? Hj Najib pun tau sangat hal ni kerana zaman dia lah SRIDU ditubuh dan hidup berdikari hingga sekarang. Apa tujuan dia buat kenyataan ni saya pun tak faham.
Saya akan buat kenyataan Akhbar hari ini bagi menjawab isu ini.

Monday, September 7, 2009

Islam Bukan Alat Penampal Kebocoran Sistem Kontemporari Yang Cacat Di Sana Sini

Setiap sistem mempunyai falsafah dan gagasannya tentang kehidupan. Setiap sistem mempunyai masalah-masalah yang timbul dari penerapannya dan mempunyai persoalan-persoalan yang sesuai dengan watak dan pengaruhnya di alam nyata. Demikian pula setiap sistem mempunyai penyelesaian-penyelesaian untuk menghadapi persoalan dan masalah yang timbul dari watak dan metodnya.
Jadi tidak logik dan juga tidak adil, kalau dari sistem tertentu diminta penyelesaian dari masalah-masalah yang tidak ditimbulkannya sendiri, tetapi ditimbulkan oleh satu sistem lain yang berbeza watak dan metodnya dari sistem itu.Logika yang rasional akan berpendapat: siapa yang bermaksug meminta pendapat dari suatu sistem tertentu dalam menyelesaikan masalah-masalah kehidupan, maka sistem ini harus dilaksanakan terlebih dahulu dalam kehidupan. Setelah itu baru dilihat apakah masalah-masalah itu masih ada atau menghilang, atau berubah bentuk dan unsurnya. Hanya di saat inilah kita mungkin meminta pendapat dari sistem ini, mengenai permasalahan-permasalahan yang timbul sewaktu pelaksanaannya.
Islam adalah suatu sistem kemasyarakatan yang lengkap, yang segi-seginya saling berjalinan dan saling menyokong. Sistem ini berbeza wataknya dan gagasan-gagasannya tentang kehidupan dan cara-cara pelaksanaannya dari sistem Barat misalnya, dari sistem yang kita pakai sekarang ini. Perbezaan ini bersifat pokok dan menyeluruh. Sudah pasti sistem Islam itu tidak ikut serta dalam menimbulkan persoalan-persoalan yang terdapat dalam masalah sekarang ini. Persoalan-persoalan itu timbul dari watak dari sistem-sistem yang dilaksanakan dalam masyarakat kini dan timbul kerana dijauhkannya Islam dari segenap segi kehidupan.
Tetapi setelah itu, Islam kerapkali ditanya atau diminta pendapatnya mengenai permasalahan yang berbangkit. Islam diminta untuk mengemukakan penyelesaiannya. Ia diminta untuk mengeluarkan pendapat tentang masalah yang tidak ditimbulkannya, dan ia tidak ikut serta menimbulkannya. Hairan sekali kenapa Islam diminta pendapatnya dalam suatu negara di mana sistem Islam itu tidak dilaksanakan seperti masalah-masalah wanita di Parlimen, wanita dan pekerjaan, wanita dan pergaulan bebas, masalah seks para pemuda dan lain-lain. Orang-orang meminta agar Islam mengeluarkan pendapat dalam masalah ini adalah orang-orang yang tidak suka kalau Islam itu memerintah, malah mereka takut sekali untuk membayangkan saat-saat kalau-kalau pemerintahan Islam itu datang menguasai kehidupan.
Dan yang lebih aneh lagi, jawaban diberikan oleh ulama-ulama Islam, dan kesediaan untuk ikut serta dalam permasalahan serta perdebatan tentang hukum Islam, dalam perincian-perincian masalah seperti itu, membahas persoalan-persoalan sedemikian dalam suatu negara yang tidak diperintah oleh Islam dan sistem Islam tidak dilaksanakan. Apakah urusan Islam kini dengan masuknya wanita ke Parlimen? Apa ursan Islam dengan pemuda dan pemudi bergaul bebas atau tidak? Apaka urusan Islam mengenai wanita bekerja di luar rumah atau tidak? Apa hubungan Islam dengan persoalan-persoalan yang dipunyai oleh sistem-sistem lain yang dilaksanakan dalam masyarakat yang tidak percaya kepada Islam dan tidak suka kepada pemerintahan Islam?
Islam adalah suatu keseluruhan yang tidak dapat dipisah-pisahkan. Jadi Islam dapat diambil sebagai suatu keseluruhan dan dapat pula ditinggalkan sebagi suatu keseluruhan, tetapi jika ia diminta untuk mengeluarkan suatu pendapat dalam urusan yang kecil-kecil, tetapi sama sekali tidak diperhatikan masalah prinsip yang besar-besar yang menjadi dasar kehidupan masyarakat, maka masalah kecil itu tidak boleh diterima oleh umat Islam, jangankan dari golongan ulama untuk diselesaikan secara Islam.
Jawaban yang harus diberikan kepada setiap orang yang meminta pendapat tentang suatu persoalan perincian dan masalah-masalah yang terdapat pada masyarakat-masyarakat yang tidak percaya kepada agama Islam dan tidak mengakui hukum Islam adalah seperti berikut:
Pertamanya, jadikan Islam memerintah seluruh kehidupan. Kemudian setelah itu baru diminta pendapat Islam tentang persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Islam itu sendiri, bukan yang ditimbulkan oleh suatu sistem lain yang bertentangan dengan Islam.Islam mendidik manusia dengan suatu pendidikan tertentu dan memerintah manusia dengan suatu hukum tertentu, mengatur masalah-masalah mereka atas dasar-dasar tertentu, menciptakan unsur-unsur kemsyarakatan, perekonomian dan perasaan tertentu Jadi pertama-tama:
Laksanakanlah Islam itu sebagai suatu keseluruhan, dalam sistem hukum dan pemerintahan, dalam dasar-dasar perundangan, dan dalam prinsip-prinsip pendidikan.Setelah itu baru kita dapat melihat apakah masalah-masalah yang tanyakan itu masih ada dalam masyarakat, atau menghilang dengan sendirinya. Tetapi sebelum hal ini dilakukan, apa hubungan Islam dengannya, dengan semua masalah yang tidak akan pernah dikenal oleh suatu masyarakar Islam yang sebenar?
Ciptakanlah masyarakat Islam yang diperintah oleh hukum Islam dan prinsip-prinsip Islam, didiklah pemuda dan pemudi dengan didikan Islam yang sesungguhnya, di rumah, di sekolah, dalam masyarakat, dan ciptakanlah jaminan-jaminan kehidupan yang telah ditentukan oleh Islam untuk semua orang, realisasikan keadilan Islam yang telah diwajibkannya untuk semua orang. Baru setelah itu kita bertanya kepada para wanita: apakah ia masih ingin untuk ikut serta ke Parlimen? Atau ia tidak merasa perlu lagi untuk turut serta di dalamnya kerana jaminan-jaminan yang ada telah cukup?
Tanyakan kepada wanita-wanita itu: Apakah ia masih ingin untuk keluar bekerja di pejabat-pejabat pemerintah? Ia tidak akan ingin bekerja, kerana keperluan hidupnya tidak memerlukannya lagi. Tanyakanlah kepadanya: apakah ia ingin bergaul bebas dengan laki-laki? Untuk menghias diri dan memperlihatkan bahagian-bahagian badan? Atau apakah pendidikannya di waktu itu memeliharanya dari naluri-naluri kebinatangan, dari hawa nafsu kebinatangan dan perasaannya akan menyerunya untuk bertindak dengan penuh tata kesopanan, kerana ia merasa malu kepada Allah?
Pada saat-saat tertentu ada orang-orang bertanya: apakah kita akan memotong ribuan tangan pencuri setiap tahun demi untuk melaksanakan hukum Allah? Orang-orang ini juga melakukan kesalahan yang sama. Sedangkan orang-orang yang menjawabnya dengan fiqh Islam telah melakukan dua kesalahan sekaligus:Ribuan pencuri yang terdapat setiap tahun bukanlah akibat dari masyarakat Islam dan juga bukan dari sistem Islam. Ia adalah hasil dari suatu masyarakat lain yang telah mengusir Islam dari kehidupannya, dan telah melaksanakan suatu sistem kemasyarakatan lain yang tidak dikenal oleh Islam.
Para pencuri iru adalah produk dari satu masyarakat yang mewujudkan orang-orang lapar dan miskin,tanpa mengemukakan penyelesaian dari masalah yang mereka hadapi, suatu masyarakat yang tidak menyediakan makanan yang cukup untuk jutaan orang, tidak mendidik jiwa kemanusiaan, dan tidak menghubungkan seluruh kehidupan dengan Allah dan juga tidak dengan syari’at Allah.
Sedangkan masyarakat Islam adalah satu masyarakat lain: satu masyarakat suatu masyarakat masyarakat di mana setiap individu dijamin rezekinya, baik yang bekerja atau yang mengganggur, baik yang kuat mahupun yang lemah, baik yang sihat mahupun yang sakit. Suatu masyarakat yang setiap tahunnya mengambil satu perduapuluh daripada modal, bukan dari keuntungan, untuk kepentingan perbendaharaan negara. Setelah itu diambil lagi, tanpa ikatan dan syarat, semua wang yang diperlukan oleh negara untuk memelihara masyarakat dari penyakit atau menjamin kesihatan.
Jadi laksanakanlah sistem itu terlebih dahulu. Setelah itu baru dilihat berapa orangkah lagi yang memerlukan pertolongan. Berapa ramaikah lagi pencuri yang melakukan pencurian, sedangkan perutnya dipenuhi oleh makanan dan hatinya dipenuhi keimanan.Demikian pula ada yang bertanya kepada kita tentang masalah seks di kalangan pemuda, jikalau mereka mengikuti ajaran-ajaran Islam.
Orang-orang ini melihat kehidupan para pemuda yang hidup dalam suatu masyarakat yang bukan Islam. Segala yang terdapat di sana merangsang naluri mereka. Segala yang terdapat di sana membangkitkan syahwat mereka. Lalu mereka meminta pendapat-pendapat Islam tentang masalah-masalah yang dihadapi itu?Dalam masyarakat Islam tidak terdapat pemudi-pemudi yang berbaju separuh telanjang, wanita-wanita yang suka menggoda orang lain atau digoda, yang berkeliaran di setiap tempat, menyebarluaskan fitnah dan kekacauan, dan semuanya yang bersifat kesyaitanan. Dalam masyarakat Islam tidak terdapat gambar-gambar telanjang, filem-filem dan nyanyian-nyanyian cabul, seperti filem-filem dan nyanyian Abdul Wahab dan kuncu-kuncunya.
Dalam masyarakat Islam tidak terdapat media yang menyiarkan gambar-gambar telanjang, kata-kata yang cabul dan lawak-lawak yang cabul yang dapat dijumpai disetiap tempat. Dalam masyarakat Islam tidak terdapat minuman keras, yang mendorong manusia membuat hal-hal yang kurang sopan, yang dapai memenuhi keinginan nafsu buas kesyaitanan. Akhirnya masyarakat Islam itu akan mempersiapkan pemuda untuk hidup bersuami-isteri dengan cepat, kerana perbendaharaan negara akan membantu orang-orang yang inginkan hidup yang lebih baik dalam sebuah rumah tangga.
Jadi kalau kita ingin mendapatkan gambaran pendapat Islam tentang masalah seksual di kalangan pemuda pemudi, pertama-tama laksanakanlah sistem Islam secara keseluruhan. Baru setelah itu dilihat, bukan sebelumnya, apakah para pemuda pemudi masih mempunyai masalah dalam hal seks atau tidak.Saya menganggap semua persoalan yang diajukan kepada Islam mengenai suatu persoalan yang tidak ditimbulkan oleh sistem Islam, pada waktu itu Islam diusir dari segala bidang kehidupan, saya menganggap semuanya ini mempermain-mainkan Islam dan memperolok-olokkan Islam.
Dan saya juga berpendapat bahawa jawaban yang diberikan kepada pertanyaan-pertanyaan seperti itu sama dengan ikut serta memperolok-olokkan Islam yang dilakukan oleh para ahli yang memberikan fatwa.
Orang-orang yang berteriak-berteriak sekarang ini, agar wanita diberi hak untuk memilih dan dipilih, atas nama Islam, atau memanjangkan bajunya atau lengan bajunya atas nama Islam, maka saya minta maaf kalau saya katakan, walaupun saya amat memuliakan maksud baik dari orang-orang yang menyatakannya: mereka itu telah menjadikan Islam objek olok-olok dan sesuatu yang ditertawakan, kerana mereka membatasi semua perincian-perincian kecil seperti ini.
Semua potensi mereka harus diarah kepada pelaksanaan sistem Islam dan hukum Islam dalam segala segi kehidupan. Mereka seharusnya menuntut agar sistem Islam itu menguasai sistem masyarakat dan undang-undang internasional. Pendidikan Islam itu harus menguasai sekolah-sekolah, rumah tangga dan masyarakat. Islam harus diambil sebagai sebagai suatu keseluruhan dan dibiarkan untuk melakukan kegiatannya di dalam kehidupan secara total. Inilah yang lebih sesuai demi kehormatan Islam dan kehormatan orang-orang yang menyeru kepada Islam.
Ini kalau mereka benar-benar ingin bersungguh dalam hal ini,kalau mereka benar-benar ikhlas dalam berdakwah. Tetapi kalau yang dimaksudkan adalah hanya untuk ribut-ribut dan menarik perhatian, dan dalam pada itu berada dalam keadaan aman, tidak memikul risiko sedikit pun, maka ini adalah persoalan lain, yang saya inginkan agar sekurang-kurangnya badan-badan dan kelompok-kelompok Islam tidak harus terlibat dengannya.
Assyahid Syed Qutb,
Disunting oleh AlKundangi
Dari kitab: Dirasatul Islamiyyah.
6.9.2009.http://alkundangi.blogspot.com

Sunday, September 6, 2009

Kota siputeh - Dato' Shamsuddin Haji Nawawi - Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang Menghuraikannya...!

Pasai apa saya lambat baca tulisan Dato' Shamsudin Haji Nawawi dalam KedahLanie? Sejak disiarkan, saya belum ada kesempatan untuk switch-on laptop saya ni. Sebagai orang yang menghormati ketinggian dan kekuasaan yang diberikan Perlembagaan kepada Dewan/Parlimen, saya juga sangat menghormatinya... Terima kasih Dato' kerana setia dengan ilmu dan kebenaran. Jangan-jangan di Pahang pun ada kes Kota Siputeh ni dak???
Nak betih, dah bagi betih, nak paha dah bagi paha, SPR nak apa lagi agaknya... takkan kita kerja dok tadah ja kot... tokak la balik sekali sekala... baru depa tau gigi sapa tajammm. Kan? Tunggulahhh.

Thursday, September 3, 2009

Sahlah Sudah Apa Yang Kita Jangka

Ternyata benar, keupayaan BN untuk mempengaruhi SPR mengatasi keutuhan dan keabsahan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah... dan ia dirayakan oleh UMNO Kedah dan BN seluruhnya. Terselamatlah mereka buat sementara waktu. Tapi seperti kata Dato' Mahfuz, sebenarnya BN telah tewas buat kali ke 8.

Rayalah SPR dan BN sementara datang langkah kedua berkaitan hal ini. Kata YAB MB, Kedah merujuk kepada SPR atas dasar teknikal sahaja. Speaker Kedah secara teknikal mendapati Kota Siputeh telah kosong, SPR yang dirujuk secara teknikal pula mendapati ia tidak kosong. Maka, kerana ada dua pendapat atas teknikal ini, maka perlu ada pihak ke tiga untuk dirujuk - mahkamah. Biar mahkamah mentafsirkan Undang-undang berkaitan secara Tafsili...mendalam dan menyeluruh. Tengok lah macam mana SPR nak mempertahankan keputusannya pulak.
Ada peruntukan lain di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, Artikel 52. Di bawah peruntukan ini, Speaker boleh memanggil Sidang untuk memutuskan kekosongan ini melalui pengundian dalam Dewan. Ada sahabat pro-UMNO menghubungi saya bertanya kenapa Artikel ini tidak digunakan sejak mula lagi? Saya tiada jawapan, kerana saya memang tidak menguasai aspek itu.
Mungkin ini peluang rakyat Kedah menghadamkan peruntukan-peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan yang tidak pernah diambil pusing oleh kita. Tapi sahabat saya itu yang memberikan jawapan terhadap soalannya... ..katanya: Kedah sangat toleran dan berhemah dalam memutuskan perkara yang besar seperti itu. Ini ditunjukkan dalam kaedah yang diambil dalam menyelesaikan isu Kota Siputeh. Inilah kebijaksanaan dan jurang perbezaan cara berfikir dan bertindak antara PAS dan BN. Jika Kedah 'keras' dan tidak toleran, sudah pasti ada keputusan sejak awal lagi, tetapi ia sedikit sebanyak akan membawa persepsi yang kurang baik kepada Kerajaan Negeri. Dalam hal ini, bagi rakyat yang boleh berfikir, Kerajaan PR Kedah sedah selangkah mengatasi BN.
Bila toleransi dan kelembutan kita menangani isu ini tidak dihargai, maka sampailah masa langkah kedua itu di ambil.. Boleh tak SPR?

Pemikiran Kritikal Hishamudin Rais Terhadap H1N1


H1N1 konspirasi kapitalis buat duit
Hishamuddin Rais Aug 12, 09 5:29pm

Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub". Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.
Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.
Apa sebenarnya semua fenomena ini?Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja. Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan. Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.
Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.
Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:
"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy…
At the same time action and program must be tailored to specific countries and group."Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.
Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat. Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis.
Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.
Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal. Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:1 – mengurangkan penduduk dunia, dan2 – menjual ubatan.Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.
Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal. DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya.
Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia. DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.
Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais?
Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul. Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom. Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan.
Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut.
Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains. Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.
Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.
Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik.
H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca. Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1.
Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis. Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit.
Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.

Tuesday, September 1, 2009

SPR Akan Umum Esok...Maka Kalutlah Sekelian Jabatan Kerajaan...

SPR memaklumkan bahawa esok mereka akan adakan mesyuarat untuk memutuskan kekosongan atau tidak kerusi DUN Kota Siputeh. Pihak-pihak yang memahami undang-undang dan peraturan sudah mengesahkan kekosongan itu telah berlaku, tetapi sejauh mana kuasa politik BN dapat mempengaruhi keputusan SPR adalah lebih tinggi kedudukannya dari undang-undang, hatta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.
Berdasarkan situasi semasa, BN akan berusaha menggagalkan kekosongan itu atas beberapa faktor, antaranya:
1. Mereka katandusan tokoh untuk menjadi calon, selain Dato' Abu Hassan Sariff, sehingga ada usaha memujuk seorang Pegawai Daerah yang sedang berkhidmat sekarang menjadi calon BN.
2. Penyokong tegar Abu Hassan sudah menunjukkan protes terhadap BN yang dikatakan tidak cukup kuat membela Adun mereka.
3. Pengundi cina sekitar 1,300 orang tidak menjamin jumlah undi yang mereka dapat dulu (majoriti 495) dengan ketegangan krisis dalam MCA.
4. BN tidak bersedia menerima kekalahan di kubu kuat mereka, Kota Siputeh adalah termasuk dalam Kubang Pasu (sempadan lama) yang masih tebal dengan sentiman Tun Dr M.
5. Kekalahan 7-1 dalam pilihanraya kecil terlalu perit untuk ditambah menjadi 8-1.
6. Kedah bukan negeri yang selesa untuk dimenangi BN kerana tiada isu untuk diulas.
7. Isu hukuman terhadap Kartika akan memberi penangan hebat jika diangkat dengan baik oleh PR.
Ada banyak alasan lain untuk mereka menolak pilihanraya kecil Kota Siputeh. tapi saya sangat pasti tentang seperkara jika SPR terpaksa memejam mata dan menahan nafas mengumumkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh. Semua jentera Kerajaan Persekutuan akan kalut sakan bermesyuarat untuk memenangkan BN, antaranya Polis (SB), Seranta (JPM), Kemas, EPU, BTN, Kementerian Penerangan, MIO (risik tentera), JASA dan apa lagi jabatan yang rasmi dan tidak rasmi.
Selain ulang tayang drama kempen Manik Urai dan Permatang Pasir, saya percaya di Kedah mereka akan ada skrip tambahan. PR tak perlu risau sangat, itu kerusi depa, biar depa pertahan bermati-matian. Selama ini pun, memang kita berhadapan dengan semua jentera awam ini, tapi kita tetap menang.
Para penyokong PR, mari kita bersiap seadanya untuk merampas Kota Siputeh, biar ia jadi Kota Sehitam Belegam buat BN. Selamat Berjuang!