Wednesday, June 29, 2011

Bukan gimik pilihan raya: MB

KUBANG PASU - Pemberian geran hak milik tanah kepada rakyat Kedah bukan gimik pilihan raya, sebaliknya dibuat sejak dua tahun lalu setelah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Kedah.
            Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, setakat ini, kelulusan hak milik tanah telah diberikan di empat daerah, iaitu Padang Terap, Baling, Sik dan Pendang.
            "Penduduk di daerah lain diharap bersabar kerana proses permohonan mengambil masa sedikit. Apa yang kita beri ini adalah sejajar dengan manifesto Kerajaan Negeri, dan bukannya atas kepentingan politik," katanya, selepas menyerahkan surat hak milik tanah bagi daerah Kubang Pasu kepada 207 penerima, semalam.
            Menurutnya, kelulusan ini membabitkan tanah seluas 164 hektar dengan kutipan premium mencecah RM664,441 daripada keseluruhan premium tanah di daerah Kubang Pasu yang mencecah RM10.67 juta.
            Azizan berkata, dasar Kerajaan Negeri ini adalah untuk mensejahterakan rakyat selepas meneroka kawasan tanah yang diusahakan melebihi lima tahun.
            "Pemberian seterusnya untuk daerah Kubang Pasu akan dibuat selepas Aidilfitri membabitkan  penduduk Felda Bukit Tangga. Kelulusan ada yang melibatkan permohonan sejak 10 hingga 20 tahun lepas," katanya.
            Ditanya sama ada terdapat pihak cuba mengambil kesempatan atas dasar pemilikan tanah ini, Azizan berkata, ianya mungkin berlaku tanpa pengetahuan, tetapi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenakan syarat ketat membendung berlakunya penyelewengan.
            "Walaupun kita benarkan penduduk buat permohonan hanya selepas lima tahun meneroka tanah, namun ianya tidak semudah yang disangka. Berlaku beberapa peringkat di mana mereka perlu dapatkan lesen milik sementara (LMS) sebelum diberikan lesen penuh. Antara syarat ditetapkan ialah tanah berkenaan tidak boleh dijual sebelum tempoh matang 10 tahun," katanya.
            Ini secara tidak langsung dapat menghalang wujudnya kes memanipulasi jualan tanah secara berleluasa oleh pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan dalam pasaran terbuka.
            "Jika kita siasat dan dapati berlaku penipuan, permohonan mereka akan ditolak serta merta," katanya.
            Azizan turut mendedahkan kebanyakan pemohon gagal membayar premium tanah menyebabkan permohonan lewat diproses, dan beliau menasihatkan pemohon agar tidak leka membayar premium sekiranya mahu pemilikan dibuat segera.
Sent via BlackBerry from Maxis

No comments:

Post a Comment