Wednesday, July 22, 2009

Sik - Daerah Pertama Anjur Kempen Bulan Sembahyang


Tahniah kepada seluruh kakitangan Pejabat Daerah, Majlis Daerah,Pejabat Agama, PAS Kawasan Sik dan seluruh penggerak yang diterajui oleh Pegawai Daerah Sik, Tn Haji Azmi Bin Din di atas Penganjuran Kempen Bulan Sembahyang Peringkat Daerah Sik.


Dalam ucapan perasmian oleh YAB Dato'Seri Ustaz Azizan sebentar tadi, beliau menzahirkan kebanggan dan kesyukuran di atas inisiatif yang sangat mulia itu. "Ringanlah beban saya sikit .....". Kata beliau. Ustaz Azizan sepanjang ucapannya yang penuh dengan petikan ayat Al-Quran dan Hadis tentang tuntutan dan kewajipan solat, menegaskan tugas utama orang yang diberi kuasa oleh Allah s.w.t pada peringkat mana sekalipun ialah menyeru manusia mendirikan solat. Beliau memetik hadis yang panjang kisah Muaz bin Jabal yang diutuskan oleh Rasulullah sebagai Gabenor di Yaman.

Majlis Perasmian yang diadakan di Masjid Al-Islah, Bandar Baru Beris Jaya dihadiri kira-kira 1,000 orang. Tn Guru Haji Salleh Musa memulakan acara dengan mengkisahkan kewajipan solat yang diarahkan oleh Allah s.w.t secara terus kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra' dan Mikraj. Bulan Rejab ialah bulan solat mula-mula difardhukan.



Dalam ucapan aluan Pegawai Daerah, beliau memperincikan program-program sepanjang Kempen Bulan Solat yang akan diadakan sehingga bulan November 2009. TnHj Azmi Din juga memetik beberapa potong ayat suci Al-Quran dan hadis bagi dijadikan asas program itu dicetuskan.


Program ini juga mendapat sumbangan orang ramai dan agensi kerajaan serta GLC untuk tabung Kempen Bulan Sembahyang. Sumbangan terkumpul pada malam ini sahaja mencecah lebih RM30,000.00



"PAS Kawasan Sik juga telah dan akan memainkan peranan yang besar sepanjang kempen ini. Seluruh jentera parti semua peringkat dalam kawasan Sik akan dikerahkan untuk menjayakan program yang julung-julung kali diadakan di Negeri Kedah sejak kita mencapai kemerdekaan". Tegas Ustaz Ismail Mahmud, Ahli Majlis Daerah yang juga bekas ketua Pemuda PAS Kawasan Sik. Beliau diberikan tugas untuk menerajui program ini di peringkat Majlis daerah. Turut Hadir dalam Majlis Perasmian tadi ialah YB Cikgu Yahya Abdullah, Adun Jeneri yang juga YDP PAS KAwasan Sik, Adun Kuala Ketil, Cikgu Hj Zuki Yusof, Pegawai Pejabat Menteri Besar, Adun Belantek, YB Tajuddin Abdullah yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik, Pegawai-pegawai Kerajaan, Pelajar pondok dan jemaah dari seluruh Daerah Sik, Baling dan Jerai. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat!

No comments:

Post a Comment