Friday, July 3, 2009

DAP DISEMBELIH PARTI GERAKAN DAN MCA

Sejak dari awal lagi, DAP nampak kelam kabut dengan desakan MCA dan Gerakan dalam isu rumah sembelihan babi. DAP yang berada dalam kerajaan negeri di Kedah tidak mampu mempertahan kelangsungan rumah sembelihan babi di Kg Berjaya yang tersohor dihari runtuhnya. Di hari rumah itu diranapkan, seluruh dunia sedar bahawa wujud sebuah premis seumpama itu di Kg Berjaya. Ia berjaya mengekalkan dirinya selama hampir 40 tahun dengan operasinya yang tidak disenangi walaupun oleh pihak yang memakan apa yang keluar dari dalamnya.

Berbeza dengan MCA dan Gerakan sewaktu memerintah bersama UMNO dan MIC berjaya mempertahankan premis haram (tanpa lesen) itu selama 30 tahun lebih. Selama 30 tahun itulah UMNO memejam mata kepada pelanggaran peraturan rumah itu untuk menjaga hati MCA dan Gerakan.

Penyokong MCA dan Gerakan mengharapkan DAP dapat menjalankan fungsi yang digalas oleh mereka dalam kerajaan sebelum ini. Tetapi DAP gagal. Kegagalan ini menyebabkan masyarakat cina menuding jari dan menjuehkan bibir kepada DAP. Tudingan jari, jeritan, booo, caci maki dan cemuhan oleh Gerakan dan MCA kepada DAP menyebabkan mereka terpaksa berundur selangkah mengosongkan tempat asal mereka.

Gerakan dan MCA mengharapkan DAP menjadi pelanggar undang-undang seperti mereka, tetapi DAP tidak seperti itu. Mereka akur dengan peraturan, tetapi tidak tahan dengan cemuhan. Maka berundur akan menyelamatkan diri dari kutukan dan mengembalikan kepercayaan bahawa mereka masih berprinsip seperti yang diharapkan oleh masyarakat cina kepada mereka.

YB Lee Guan Aik, dan pembantunya menjadi ADUN buat kali pertama, pengalaman sebagai ahli politik sedang ditimba (selama 16 bulan ini) sewaktu cubaan ini datang melanda mereka. Tommy Su datang dari Perak, negeri di mana DAP ramai menjadi Adun, Exco dan Ahli Parlimen. Ramai YB DAP di Perak menjadi Adun dan MP serentak. Tommy mengharapkan suara mereka didengar di Kedah seperti mereka di dengar di Perak. Tetapi ia tidak berlaku. Rules of Law masih segar di Kedah. Tommy juga barangkali masih muda dan orang muda cenderung untuk terburu-buru. Maka mesyuarat yang dipengerusikannya memutuskan penarikan diri dari PR di Kedah, tetapi nampaknya telah mendahului DAP Pusat. Kenapa negeri boleh membuat keputusan mendahului pusat dalam hal sebesar ini? Inilah contoh sikap terburu-buru Tommy.

YB Lee Guan Aik pula malam tadi mengatakan MB Kedah angkuh! Kerana tidak memujuk dan merayu mereka kembali ke dalam kerajaan. Saya tidak nampak di mana ayat dan ungkapan big boss saya itu hingga Lee Guan Aik mengatakan beliau angkuh. Beliau masih berlembut, sabar dan berada di atas landasan yang betul. DAP masih kekal dalam kerajaan PR sehingga surat penarikan diserahkan kepada beliau. Beliau masih rasional. DAP nampak ‘terlajak’ banyak dalam tuduhan ini.

Saya tidak nampak selain daripada DAP telah berjaya disembelih oleh MCA dan Gerakan dalam isu rumah sembelihan babi di kampong Berjaya. Berjayalah MCA dan Gerakan.

Saya Sokong Pandangan Pak Teh Aris

Masalah BABI.. Janganlah Sampai Bercerai Berai..
oleh Aris Awang

Secara dasarnya saya menyokong tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar, mengambil tindakan meroboh Pusat Pemotongan Babi tanpa lesen yang beroperasi sejak 30 tahun lalu. (28 tahun 7 bulan di bawah UMNO/BN).

Saya juga menyeru kepada pimpinan DAP Kedah supaya tidak mengambil tindakan yang terburu-buru untuk bertindak keluar dari Pakatan Rakyat. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Sepatutnya tempoh 30 tahun dan ditambah sebulan lagi yang diberikan oleh MBAS sudah cukup untuk 28 orang peniaga mencadangkan tempat baru operasi Pemotongan Babi secara yang lebih bersih, tersusun dan selesa. Malangnya tiada tindakan dibuat seolah-olah ingin terus kekal disitu walaupun mendapat bantahan bukan sahaja dari masyarakat Islam bahkan dari bukan Islam sendiri yang tidak selesa dengan kekotoran dan pencemaran bau yang berlaku, lebih-lebih lagi dalam situasi wabak Selsema Babi sekarang ini

Kita sebagai rakyat Malaysia, perlu bertanggung jawab kepada sekitaran dan masyarakat kita tanpa mementingkan diri sendiri. Janganlah isu-isu tidak mengikut peraturan, tidak mematuhi arahan, dilihat oleh rakyat terbanyak kita sebagai parti yang memerintah pula yang melanggarinya. Apakah DAP Kedah jika diizinkan memerintah Kedah atau Negara Malaysia akan mempopularkan pendekatan negeri atau negara tanpa undang-undang? Dengan slogan "Buatlah Apa Sahaja Asal Bahagia". Sudah tentu tidak dan tidak pernah terlintas pun begitu difikiran DAP Kedah, tetapi jika tindakan untuk keluar Pakatan di Negeri Kedah terus juga dilakukan maka rakyat akan menafsirkan DAP Kedah hanya mahu orang lain yang patuh kepada undang-undang, tetapi tidak kepada dirinya sendiri.

Walau bagaimanapun, dalam isu penguatkuasaan selepas ini, pihak berwajib yang mewakili Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah mestilah bertindak dari awal, janganlah membiarkan sesuatu yang melanggar undang sehingga berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan, bertahun-tahun bahkan mungkin berdekad-dekad untuk diambil tindakan.

Contoh mudah: Pembinaan Gerai Haram - Hari pertama gerai haram dibina, petugas MBAS lalu, Ketua Kampung lalu, Penghulu lalu, Exco lalu, Aris Awang lalu, YB Hj Nan lalu.... singgah pulak tu....... tiada apa-apa teguran, tegahan atau notis dikeluarkan. Gerai Haram teruskan operasi masuk seminggu tiada apa-apa juga, diteruskan lagi sehingga sebulan, tiada apa tindakan lagi, masuk tiga bulan perniagaan makin maju, pelanggang makin ramai, tuan punya gerai haram tambah simen, bulan keempat, buat bumbong zink yang asalnya tikar plastik biru/orange. bulan kelima bina dinding bata. Bulan keenam MBAS keluar notis saman gerai haram akan diroboh dalam tempoh 3 hari dari tarikh tertera. Tuan punya telah mengeluarkan belanja beribu-ribu ringgit, walaupun pada mulanya mengetahui tempat yang dibina adalah bukan tapak yang dimilikinya, tetapi akibat tidak ada tindakan pencegahan lebih awal maka tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang terlalu lewat oleh Ketua Kampung, Penghulu, MBAS, YB dan EXCO serta Aris Awang (saya turut terlibat kerana saya PAS, begitu juga ahli PAS yang lain-lain) dilihat sebagai menzalimi rakyat.

Semoga pihak penguatkuasa MBAS, khususnya Setiausaha MBAS tiada mempunyai sebarang niat merosakkan imej kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, dengan sengaja menumpukan kepada kes-kes yang melibatkan sentimen perkauman agar sedikit demi sedikit kepercayaan dan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat semakin terhakis. Amat malang jika tindakan penguatkuasaan yang kita lakukan bukan untuk mendisplinkan rakyat tetapi untuk memuaskan hasrat dan cita-cita tersembunnyi.

Perbetulkanlah niat kita, kerana manusia sentiasa alpa, marilah bersama-sama kita mendisplinkan diri sendiri dalam sumpah etika kerja sebagai penjawat awam dan seterusnya mendisplinkan rakyat kita dalam menjaga alam sekitar dan kehidupan masyarakat berbilang kaum dengan mengambil Islam sebagai rujukan utama.

Islam menuntut ketegasan - Islam juga menuntut bertimbang rasa.
Islam menuntut kesucian persekitaran - Islam juga menuntut kesucian jiwa.
Islam menuntut penghakiman - Islam juga menuntut kebajikan.
Islam menuntut kebersihan - Islam juga menuntut nasihat menasihati

Rakyat kita mempunyai berbagai pemikiran, layanilah mereka seadanya sebagai rakyat, tegurlah mereka ketika salah, belailah mereka ketika berurusan, dendalah mereka jika tetap degil......

Semoga Isu-Isu Islam sebagai rujukan utama yang dinanti-nantikan akan mendominasi Pemerintahan Kita.

Didoakan
Selamat Memerintah Sepenggal Lagi.

Thursday, July 2, 2009

DAP KELUAR KERANA BABI??

Berkocak juga politik Kedah gara-gara sebuah bangsal tua yang dibuat tempat membantai (sembelih) babi, binatang yang dimakan oleh kebanyakan ahli DAP, MCA, Gerakan dan sesetengah Ahli UMNO....jangan marah la, sebab ada ahli UMNO keturunan siam beragama budha, memang depa makan menatang tu..

Bangsal tua tu usianya dan hampir 40 tahun, dulu berselang sepintudengan tempat sembelih kerbau lembu.Bila lesen tak dikeluarkan untuk aktiviti sembelih di kawasan itu, kerbau lembu pun berpindah, babi tak mau pindah. Politik orang cina memang begitu, mereka akan pertahan apa yang dirasa betul untuk kepentingan mereka tanpa kira parti apa mereka wakili. Melayu tidak begitu. DAP sanggup keluar dari kerajaan gara-gara bangsal usang itu, yang pada mereka adalah perjuangan untuk semua pemakan dan pengusaha babi. Melayu UMNO sanggup bunuh sekolah agama yang melahirkan ilmuan dan agamawan, setidak-tidaknya melahirkan lebai yang jauh dari kejahilan.

Mari kita tengok kronologi hal bangsal sembelih babi yang membawa DAP Keluar dari Pakatan Rakyat Di Kedah.


KRONOLOGI RUMAH SEMBELIH KHINZIR MERGONG


21.7.93
Cadangan supaya kerja-kerja pembersihan dalaman rumah sembelih khinzir Mergong diambil alih oleh AWS.

26.7.93- Tawaran AWS khidmat mencuci, membersih, mengorek longkang dengan seorang pekerja RM450.00 sebulan.

16.12.93 - Majlis bersetuju dengan Tahap Piawaian Efluen bagi sektor ladang dan pemprosesan ternakan.

11.4.94- Rungutan pemindahan tempat ternakan/ penyembelihan khinzir oleh Harta Usahawan Sdn. Bhd.

30.4.94 - Majlis akan membina dinding untuk memisahkan kawasan awam dengan rumah penyembelihan.

19.6.94 - Permohonan laporan mengenai tempat ternakan dan penyembelihan khinzir di Majlis.

11.7.94 - Majlis memberi maklumbalas atas per. (06) bahawa tiada tempat ternakan khinzir dan tempat penyembelihan khinzir terdapat di Mergong.

11.10.94 - Aduan dari Othman Lebai Saad, JKKK Kg Telok Yan dan pohon ubah tempat sembelih.

5.1.95 - Majlis pohon maklumat mengenai rumah bantai khinzir yang sedia beroperasi dari lain-lain PBT untuk cadangan penempatan semula Rumah Bantai Khinzir.

13.1.95 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Taiping bahawa Jabatan Perkhidmatan Haiwan tidak ada apa-apa peranan dalam pengurusan rumah bantai khinzir.

19.1.95 - Menerima maklumbalas dari Majlis Bandaraya Ipoh bahawa rumah pembantaian di bawah Jabatan Haiwan.

26.1.95 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah bahawa rumah sembelih dikendalikan oleh Jabatan Haiwan.

26.1.95 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Klang bahawa tidak terdapat rumah bantai khinzir.

26.1.95 - Mesyuarat Majlis Pembangunan Negeri Kedah membangkitkan rumah sembelih khinzir tidak dibina baru. Disyorkan tunggu rumah sembelih di Butterworth siap dan dipusatkan di sana.

6.2.95 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Kuantan bahawa MPK belum melesenkan aktiviti rumah bantai khinzir tersebut di bawah kawalan Jabatan Haiwan.

18.6.95 - Mesyuarat Jawatankuasa Penempatan Semula Rumah Khinzir di MPKS.

5.6.96 - Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan bersidang 11.10.95 dan persetujuan dicapai antara PKB dengan MPKS untuk menutup rumah sembelihan khinzir di Kampong Berjaya perlu dilaksanakan.

29.4.97 - Majlis menghantar surat kepada Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah supaya berusaha mencari tapak yang sesuai bagi menggantikan rumah sembelih sekarang yang akan ditutup tidak lama lagi.

29.6.97 - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman yang bersidang pada 14 Mei 97 telah membuat keputusan “Majlis bersetuju supaya dikenalpasti kawasan tapak yang sesuai untuk dipindahkan pusat penyembelihan khinzir berhampiran kilang tayar Alor Setar.”

29.9.97 - Surat daripada Pegawai Perancang Bandar, MPKS memaklumkan bahawa tapak di sekitar belakang kilang tayar Mergong tidak sesuai dan kawasan tersebut telah pun diluluskan untuk projek perumahan.

11.3.98 - Majlis menerima surat dari Dato’ Chor Chee Heung mengatakan Persatuan Khinzir telah bersetuju untuk berpindah tetapi menunggu keputusan muktamad oleh Kerajaan Negeri Kedah.

3.10.98 - Surat kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani untuk mendapatkan maklumat kedudukan terkini kerana Majlis Perbandaran Sungai Petani telah mengenalpasti satu tapak untuk pembinaan rumah sembelih di Padang Lembu.

8.12.98 - Surat kesinambungan 21 kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani.

20.3.99 - Notis kepada Pengerusi Persatuan Penyembelih Khinzir Kampung Berjaya iaitu Notis Berhenti Operasi Menyembelih Khinzir.

31.3.99 - Surat daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman mengenai langkah-langkah mencegah wabak Japanese Encephalities.

2.1.99 - Menerima maklumbalas dari Majlis Perbandaran Sungai Petani bahawa tiada tanah kerajaan di kawasan Padang Lembu. Sekiranya cadangan hendak dilaksanakan juga, maka ianya perlu kepada proses pengambilan balik tanah persendirian. Walau apa pun, Majlis menunggu arahan selanjutnya daripada Kerajaan Negeri.

12.1.99 - Menerima aduan dari orang awam mengenai ladang khinzir mengeluarkan bau yang busuk.

27.4.99 - Mesyuarat untuk menyelesaikan masalah khinzir diadakan di MPKS.

9.5.99 - Surat kepada Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah dengan memberikan panduan Keselamatan Pekerja dan Kebersihan di rumah sembelih khinzir.

9.5.99 - Surat kepada Pengarah Kesihatan Daerah Kota Setar/ Padang Terap memberikan senarai pekerja-pekerja bagi mencegah dari wabak J.E.

22.5.99 - Notis kepada Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah bahawa Majlis akan berhenti daripada kutipan hasil sembelih khinzir seperti arahan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perkhidmatan Masyarakat Bil 3/99 dan berikutan jangkitan J.E dan rungutan daripada penduduk tempatan, Majlis membuat keputusan untuk menutup rumah sembelih terbabit.

22.5.99 - Surat kepada En. Tan Tian Wan Jabatan Haiwan Negeri Kedah memberhentikan elaun pemeriksaan.

1.8.99 - Surat daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Darul Aman berserta salinan cabutan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 23.6.99 bahawa Majlis bersetuju mengambil ketetapan operasi pusat penyembelihan boleh diteruskan sehingga satu tempat baru dikenalpasti. Tindakan susulan perlu dibuat bagi mendapatkan tapak gantian dengan segera.

14.10.99 - Menerima bil air rumah sembelih RM1,102.80

11.1.2000 - Surat kepada Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah memaklumkan bahawa Majlis telah meletakkan semua kos bayaran pekerja, bil dan api di bawah tanggungan Persatuan mulai 1.1.2000

7.8.2001 - Surat daripada JKKK Kg Telok Yan supaya ubah rumah sembelih.

11.8.2001 - Surat Majlis kepada Yang Berhormat Dato’ Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman memohon kebenaran untuk meruntuhkan rumah sembelih khinzir.

26.8.2001 - Surat daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Kedah memaklumkan bahawa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang membenarkannya. Memohon untuk dilantik ebagai salah seorang ahli jawatankuasa yang membuat keputusan dalam pembinaan rumah-rumah sembelih.

20.8.2001- Surat daripada Setiausaha Sulit Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berserta salinan surat dari Pengerusi JKKK (rujuk 35)

19.9.2001 - Majlis memberi maklumbalas kepada Pengerusi JKKK Kg Telok Yan bahawa Majlis telah membuat permohonan meruntuhkan rumah sembelih khinzir dan telah memberhentikan kutipan dan semua kos perbelanjaan ditanggung oleh Persatuan.

20.8.2001 - Menerima surat darpada Setiausaha UMNO Bahagian Alor Setar pohon mengubah kandang sembelih khinzir.

31.5.2006 - Mesyuarat UPEN bersetuju supaya pusat penyembelihan khinzir di Kg Berjaya ditutup.

Sehingga peringkat ini, MBAS memaklumkan tiada sebarang permit baru dikeluarkan untuk operasi rumah sembelih tersebut.


15-05-09 - Pada 15-05-09, dalam mesyuarat Majlis Bandaraya Alor setar (MBAS) telah dibangkitkan isu tempat penyembelihan babi yang telah dikaitkan dengan masalah penyakit A H1N1. Oleh yang demikian majlis sebulat suara telah bersetuju sesuatu tindakan harus diambil bagi menangani masalah ini. Keputusan mesyuarat telah melantik ahli majlis Pn Teh (DAP) dan En Hamid (PAS) untuk mengepalai majlis untuk berunding dengan para pengusaha pusat tersebut.

20.05.09 - Ahli-ahli majlis telah dihubungi oleh pengusaha pusat tersebut bahawa mereka telah menerima notis perobohan yang telah dikeluarkan pada 19-05-09 dan proses penguatkuasaan akan diadakan pada 01-06-09.


Satu jawatankuasa kecil telah diwujudkan selepas itu bagi membolehkan operasi tersebut dilaksanakan (diketuai PSu Pn Aminah). Walaupun Pn Teh sebagai Ahli Majlis membantah rancangan tersebut dan merayu supaya dilanjutkan tempoh meroboh, tetapi telah ditolak.


31.5.09 - YB Lee Guan Aik telah menghubungi Sdr Muhammad Sanusi memohon campurtangan YAB Menteri Besar supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan.

31.5.09 - Pertemuan diadakan antara wakil Persatuan Peniaga dan Penyembelih Khinzir bersama YB Lee Guan Aik dengan YAB Dato’ Seri Menteri Besar di rumah MB Jalan Sultanah. Persatuan memohon penangguhan selama sebulan sementara memproses permohonan tapak baru. YB Lee Guan Aik memaklumkan bahawa persatuan mempunyai enam tapak cadangan baru. YAB Dato’ Seri meminta supaya proses permohonan segera dilakukan.

YAB Dato’ Seri MB menguhubungi YB Dato’ Wira Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memaklumkan kepada Dato’ Bandar supaya ditangguhkan operasi meroboh.

MCA dan Gerakan mengadakan demontrasi di lokasi rumah sembelih pada masa yang sama.

1.6.09 - Penguatkuasa MBAS menggerakkan jentera dan petugas ke lokasi untuk meneruskan Operasi. YAB Dato’ Seri segera mengeluarkan surat yang ditandatangani sendiri memohon penangguhan operasi selama sebulan kepada Dato’ Bandar. (Serahan tangan). Satu salinan surat tersebut diberikan kepada YB Lee Guan Aik. Operasi ditannguhkan oleh MBAS selama sebulan atas permintaan tersebut.


2.6.09 hingga 25.6.09
YAB Dato’ Seri MB melalui Setiausaha Politik mengikuti perkembangan permohonan tapak baru hampir setiap hari. YB Lee Guan Aik melalui Pegawai Khas beliau memaklumkan proses sedang dijalankan.

Beberapa penduduk di kawasan Jabi, Pokok Sena mengadakan demontrasi dan menaikkan kain rentang membantah cadangan penempatan semula rumah sembelih di kawasan tersebut.

Timbul isu Kerajaan Negeri lebih mengutamakan babi daripada penduduk Kampung Bidan yang terlibat dalam penguatkuasaan perobohan rumah-rumah yang terlibat dalam pengambilan balik tanah.

Pegawai Khas memaklumkan mereka telah mendapat tapak di Kg Cina, Pendang. Tanah milik persendirian yang dikelilingi sawah padi milik kaum siam. Setiusaha Politik MB Mengarahkan permohonan lengkap perlu segera dibuat kerana masa kian suntuk.

YAB Menteri Besar membuat panggilan telefon kepada Pegawai Daerah Pendang untuk bertanyakan permohonan daripada Persatuan tersebut. Pegawai Daerah Pendang memaklumkan bahawa permohonan belum diterima.

Jabatan Verterinar memberhentikan pengeluaran permit menghantar dan memproses babi di lokasi terbabit.

26.6.09 - Pegawai Khas YB Lee Guan Aik menyerahkan surat permohonan tapak baru di kampong Cina, Pendang ke Pejabat Mnteri Besar. Setiausaha Politik MB mengarahkan permohonan diserahkan ke Pejabat daerah Pendang.

Surat tersebut telah didiserahkan kepada Pejabat Daerah Pendang.


28.6.09 - YB Lee Guan Aik berjumpa Menteri Besar di Pejabat memohon penangguhan kali kedua sehingga permohonan yang dihantar di Pejabat daerah Pendang diluluskan.

MB memanggil Exco Kerajaan Perumahan & Kerajaan Tempatan (Dato’ Phahrolrazi) dan Pegawai Daerah Pendang agar permohonan segera diproses.

Pegawai Daerah memaklumkan bawaha semua jabatan teknikal seperti Jab Alam Sekitar, Jabatan Verterinar, Jab Pertanian dan Jab Kesihatan telah dihubungi untuk membuat lawatan tapak pada 29.6.09.

29.6.09 - Lawatan tapak dilakukan melibatkan semua Jabatan Teknikal pada jam 3 petang.

30.6.09 - YB Tommy Su (Pengerusi DAP Kedah/ Perlis) mengadakan pertemuan dengan YB Tan Wei Tsu dan YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi memohon penjelasan dan penangguhan kali kedua.

1.7.09 - Operasi penguatkuasaan notis perobohan dijalankan pada jam 3 petang dengan sedikit bantahan dari sebahagian masyarakat cina dan pimpinan DAP dan beberapa ADUN PKR.


Perobohan dan penangguhan mempunyai implikasi tersendiri. Dari sudut MBAS yang menguatkuasakan Undang-Undang Kecil PBT, semua prosedur telah diikuti sebagaimana menangani premis-premis haram yang wujud di dalam kawasan pentadbiran MBAS.

Kerajaan negeri telah mengumumkan dasar tidak campur tangan dalam bidang kuasa Pegawai Kerajaan termasuk kuasa dato’ Bandar Alor Setar dan Majlis Kerajaan tempatan MBAS.

Dalam MBAS, terdapat ahli Majlis yang dilantik dari kalangan parti politik termasuk DAP. Keputusan ini juga melibatkan keputusan mesyuarat Majlis MBAS.

Campurtangan Menteri Besar kali pertama sehingga operasi pada 1.6.09 ditangguhkan selama sebulan adalah atas permintaan pihak persatuan penyembelih, bukan masa itu ditetapkan ioleh YAB MB.

Terdapat kelewatan yang meragukan di pihak persatuan dan YB Lee Guan Aik yang mengambil tanggungjawab memproses permohonan tapak baru di enam lokasi yang dicadangkan dalam pertemuan dengan YAB MB pada 29 .5.09.

Penangguhan kali kedua akan mengundang implikasi bahawa terdapat campurtangan kerajaan untuk mengekalkan premis haram yang ternyata menyalahi undang-undang.

Pihak lain juga akan menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil tindakan keatas premis yang menyalahi peraturan dan undang-undang. Pihak UMNO akan mengadakan demontrasi jika premis ini dibiarkan walaupun hal ini adalah lanjutan daripada kerja buat mereka.

Pihak MB telah berusaha untuk menyegerakan proses permohonan dan kelulusan tapak baru di lokasi yang dicadangkan tetapi pihak persatuan didapati lambat bertindak, padahal dalam pertemuan sebelumnya, mereka memaklumkan bahawa tapak baru sudah ada.

Kerajaan bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, bukan mempertahankan pelanggaran undang-undang. DAP juga memperjuangakan perkara yang sama.

Isu ini bukan isu perkauman seperti yang didakwa, tetapi persoalan undang-undang dan maruah sebuah Kerajaan Negeri.

Monday, June 29, 2009

Semoga Isu Ini Dapat diselesaikan Dengan Penuh Kebijaksanaan

Saya memetik tulisan T.T Ting dalam Kedahlanie, nampaknya beliau mengikuti rapat isu ini dan dapat melihat perkara yang terang dan terselindung. Untuk pengetahuan pembaca, pihak YB Lee Guan Aik dan persatuan penyembelih memang sudah mencari tempat baru dan telah mengemukakan enam tapak cadangan yang sedang diteliti oleh jabatan-jabatan yang terbabit seperti Jab Alam Sekitar, Verterinar, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah, Jab Kesihatan dll.
Sudah 4 kali pertemuan YB dan wakil-wakil masyarakat cina diadakan dengan YAB Dato' Seri Menteri Besar dan beberapa kali dengan Exco Kerajaan Tempatan Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi. Selain memberikan sepenuhnya laluan kepada peraturan dan prosedur menjalankan fungsinya dalam kes ini, saya amat berharap ia tidak dipolitikkan sehingga hilang isu yang sebenar. Kerajaan bertanggungjawab meleksanakan peraturan yang telah diluluskan, dan tidak mungkin menjadi pihak yang mempertahankan apa-apa yang melanggarinya. Waalhu a'klam.


Oleh: T.T TING


Hari ini ialah hari terakhir. Mohamad Che Nai, Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) antara saki baki jentera bekas Menteri Besar DS Mahdir Khalid (MK) sedang ‘merintih kaki dan tangan’ tidak sabar lagi untuk melepas geram kepada rumah sembelih di Kampong Berjaya. Sepanduk dinaikkan oleh MBAS untuk menarik perhatian orang ramai, menggantikan notis perobohan yang biasanya ditampal. Hati sebahagian orang cina sekitarnya sakit dan pedih melihat gelagat MBAS. Apa yang tidak dibuat di zaman BN, nak dibuat di zaman PR. Mereka juga hendak berpolitik. Politik Babi!.


Politik Babi


Terdesak dengan prestasi lembab Barisan Nasional (BN) di Kedah, babi pula jadi bahan meraih populariti dan propaganda. Apalah nasib babi, sering berguna kepada BN yang nyawa-nyawa ikan untuk bernafas semula, biarlah dengan nafas berbau babi, asalkan dapat hidup menentang Pakatan Rakyat semula.


Sejak sebulan lalu, isu rumah sembelihan babi di Kampung Berjaya Alor Setar panas dan kelam kabut. Sejarahnya bermula 30 tahun lalu sewaktu kawasan itu belum dibangunkan dengan deretan premis perniagaan seperti sekarang. Dua tiga penyembelih (pemborong) babi mendirikan bangsal untuk menghentak kepala dan mencucuknya hingga mati sebelum dijual sebagai lauk. Tidak dapat dipastikan dari mana bekalan babi hidup diperolehi. 30 tahun dulu Kedah diperintah oleh BN. Tiada apa-apa yang berlaku sehingga kawasan itu dimajukan dan komplen mula kedengaran sekitar tahun 1990-an.


Exco dari BN yang pernah memegang portfolio Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab ke atas MBAS (Majlis Daerah Kota Setar) ialah Dato’ Bashah yang kebetulan juga adalah Adun kawasan terbabit. Dalam kes terbaru, Bashah akan mengapikan sentimen orang Melayu (UMNO) untuk menghentam kerajaan kerana membiarkan rumah sembelih itu. Demontrasi akan diadakan jika rumah itu tidak diroboh. Dia akan ambil kesempatan untuk menunjukkan taring politiknya yang hampir tercabut. Rumah sembelih itu adalah sebahagian talian hayat politik Dato’ Bashah.


Operasi dan Demontrasi


Beberapa bulan lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengarahkan pusat itu ditutup kerana tiada lesen dan operasinya mengganggu persekitarannya. Maknanya, kewujudan dan operasinya telah melanggar undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan. Sejak bila? 30 tahun dulu! 80 higga 100 ekor babi diproses di rumah itu untuk bekalan tempatan dan Pulau Pinang (?).


Awal bulan ini, MBAS telah menggerakkan oparasi perobohan selaras dengan undang-undang yang dikuatkuasakannya. Banyak pihak mewakili kaum cina terutama parti MCA dan Gerakan keluar berdemontrasi membantah operasi dan menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat zalim kepada orang cina. BN dulu adil kerana tidak mengganggu rumah itu.


Di satu sudut lain, pimpinan UMNO Negeri dan Bahagian Pokok Sena mengadakan demontrasi supaya kandang itu tidak dipindahkan ke Pokok Sena. Maknanya, mereka juga tidak mahu ia beralih ke tempat lain. Dari mana mereka tahu bahawa ia akan ke Pokok Sena, kurang pasti. Tetapi mereka punya banyak sudut, jika kandang itu tidak dirobohkan juga, mereka akan berdemontrasi menyorak Kerajaan Negeri kerana tidak mengambil tindakan kepada rumah sembelih tanpa lesen, tindakan yang gagal mereka lakukan sejak 30 tahun dulu! Mereka membandingkan pula kes itu dengan kes perobohan rumah di Kg Bidan milik orang Melayu yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh Yayasan Al-Bukhari walaupun tahu ia adalah kes yang jauh berbeza. Untung jadi pembangkang!.


Parti DAP dan penyokong PR dari kaum cina merayu kepada MBAS untuk menangguhkannya, hingga ke peringkat memohon Menteri Besar campur tangan. Dalam pertemuan antara persatuan penyembelih dan MB yang diatur oleh YB Lee Guan Aik, ADUN DAP Kota Darul Aman, mereka memohon penangguhan selama sebulan. Hasilnya MB meminta MBAS memberi masa sebulan untuk mereka berpindah secara sukarela. Maka terselamatlah rumah itu selama 30 hari.


Sewaktu pertemuan itu berlangsung, di hadapan rumah sembelih, pimpinan Gerakan dan MCA sedang bergambar beramai-ramai merakamkan kejayaan mereka mempertahankan kandang itu. Masing-masing cuba meraih populariti politik. Banner dinaikkan mendakwa kerajaan menindas orang cina pemakan babi, salah satunya membawa maksud “Tan Kote Kecut” ditujukan kepada Exco YB Tan Wei Tsu.


Exco Babi


Di satu sudut yang lain pula, YB Tan Wei Tsu sejak beberapa bulan dahulu menjadi pejuang babi dalam semua forum rasmi dan tidak rasmi. Dia menyatakan Kerajaan Negeri yang didokonginya menindas babi, makhluk yang tuhan jadikan untuk dimakan oleh sesetengah orang. Dilaporkan dia mendakwa Kerajaan Negeri ‘bodoh’ kerana cuba mengganggu rumah sembelih itu sewaktu meninjau kawasan baru di Bukit Selambau. Nasib baik wartawan yang cerdik tidak menulisnya.


Dia tidak mengambil kes ini sebagai Exco Kerajaan Negeri, tetapi bertindak seperti pembangkang. Dia tidak mengaturkan pertemuan dengan masyarakat cina untuk memberi penjelasan dan taklimat, tetapi bertindak memaki hamun kerajaan yang dianggotainya. Tugas berdiplomasi dan menuyusun kerja yang perlu dalam kes ini dilakukan oleh YB Lee Guan Aik. Tan dilapor mempunyai rancangan berkongsi perniagaan menternak babi di Kedah, sebab itu beliau hilang focus sebagai Exco. Beliau antara yang paling marah bila Kerajaan Negeri membatalkan keputusan kerajaan BN dulu untuk buka ladang babi di Bukit Selambau.Tan tidak buat kerja tentang orang cina. Dia hanya tahu menghentam bila ada isu. Dia jadi pembangkakng dalam kerajaan. Tiada kertas yang dibentang dalam Mesyuarat Exco tentang hal ini.


Lompat


Isu babi ini kini melarat menjadi ‘papan anjal’ untuk beberapa ADUN yang tamak membuat ‘balik kuang’. Mereka jangka papan anjal babi ini mungkin mampu melonjakkan lompatan mereka ke seberang sana. Di sebelah sana MK dan orang-orangnya sedang menanti dengan ganjaran lumayan. MK mulakan dengan mengekori Tuanku Sultan ke London baru-baru ini. Di susun saki baki orang-orangnya dalam KCS untuk membuat gerakan membangkitkan kemarahan. Ketua di sebelah sini masih orang yang sama, Papan anjal itu nampaknya sedang ‘meliuk lentur’. Peserta pertama di atas papan itu adalah Melayu yang tidak pernah menjamah babi pun. Inilah semarak babi- politik babi.


ADMIN - KedahLaNie TIME - 2:27 PM
Labels: ,

Thursday, June 25, 2009

Mengamati Buku Yang Sudah Ditutup - Salahkah?

Kepada pembaca yang alergik dengan UG, sila skip tajuk ini...
Alhamdulillah, ramai juga yang melontarkan komen dalam Kedahlanie memarahi saya kerana menulis tentang UG setelah PAS 'tutup buku' dalam hal tersebut. Saya tidak bermaksud membuka semula buku yang sudah ditutup, tetapi mengajak pembaca menyedari bahawa ada maksud yang tersirat dalam lontaran idea UG itu oleh Presiden PAS. Saya ingin menekankan bahawa perlu ada kematangan dalam menghadapi sesuatu isu yang kita tidak fahami. Biar hadam dulu, baru telan!
Dalam hal seperti ini, biarlah Presiden dan pimpinan tertinggi yang memutuskan, jangan kita pula terlajak hingga memaki hamun kepimpinan tanpa kefahaman yang sahih. Politik ini penuh seni, dalam banyak hal, hanya yang berada pada tahap tertentu saja yang dapat memahami. Contohnya, apakah alasan sebenar Fairuz diganti dengan Mansor? Tanyalah kepada DSAI dan pimpinan PKR. Saya tak perlu terlalu pandai untuk mengajak pembaca yang faham tentang gerakan islam mempraktikkan asas-asas yang sangat penting berjemaah dalam gerakan Islam iaitu 'at to'ah (ketaatan) dan tsiqah (kepercayaan) kepada pimpinan.
Dalam tulisan saya itu, saya minta kita bersabar dalam menghadapi isu-isu seperti ini pada masa akan datang.... kerana percaya akan datang hal-hal yang lebih mencabar kepada kita satu hari nanti. Kita memerlukan kematangan yang tinggi, sama ada dalaman parti atau luaran parti. Bukan sahaja kita perlu matang, seluruh rakyat perlu matang dalam dunia kini. Apatah lagi kita dalam gerakan Islam yang bertanggungjawab memimpin dan menyelamatkan seluruh umat manusia. Jika semua orang mahukan hak untuk menentukan perjalanan dan tindakan seorang Presiden, siapa yang nak jadi pengikut? Mengapa mengamanahkan beliau sebagai Presiden tetapi tiada hak seorang Presiden? Bukankah lebih mudah yang ramai mematuhi seorang pemimpin daripada seorang pemimpin mematuhi ramai orang?
Ada yang kelakar mengatakan saya mencari publisiti murahan!! Memang kelakar. Saya katakan saya tidak pernah memerlukan publisiti, mahal ataupun murah. Saya bertanggungjawab menyampaikan fikrah dan maklumat yang saya ada kepada yang mahu memahami pandangan dari luar bakul fikiran sendiri. Saudara berhak menolaknya, tetapi tidak patut menuduh seperti itu.
Jika kita belum memahami sesuatu hal, maka kita perlu bersabar hingga diberikan penjelasan. Saya bukan jenis orang yang selesa berhenti mencari jawapan terhadap sesuatu isu hanya dengan alasan 'buku dah tutup, maka jangan berbicara lagi'. Itu kaedah yang tidak cerdik.
Apa akan jadi pada orang yang tidak faham maksud Presiden tetapi memaki hamun beliau merata tempat? Apaakan jadi pada jemaah yang dianggotai oleh orang yang dari jenis ini? Apa pula natijahnya memaki Pemimpin yang wajib dipatuhi selagi pemimpin tidak menyuruh kepada yang mungkar?
Kata seorang veteran PAS, hati yang tidak sebalut dengan kepimpinan jemaah Islam, walaupun masih membayar yuran dan mengikuti program parti, bukan lagi 'ahli' jemaah itu. Saya diasuh dalam gerakan jemaah ini, inilah pegangan dan fahaman saya dengan pimpinan. Saya yakin tiada kerugian dalam mengamalkan akhlak berjemaah seperti ini.
Ada yang meminta jaminan berlaku perubahan seperti yang diharapkan dalam SPR, Polis, dan media.. saya katakan, tiada siapa yang berniaga mendapat jaminan untung 100%....terpulang kepada perjalanan perniagaan itu. Tetapi paling sahih, yang tidak mencuba tak akan dapat apa-apa.
Ada yang mengatakan ramai lagi yang menguasai ilmu seperti Presiden, malah mungkin lebih alim lagi tetapi tidak mencadangkan idea UG. Saya katakan, yang berilmu tetapi tidak beramal dan tidak berada dalam gerakan haraki, jaraknya dengan yang memimpin gerakan Islam di zaman ini macam langit dan bumi. Yang berijtihad dengan ilmunya tetapi tersalah, tetap mendapat pahala, apatah lagi jika ijtihadnya benar.
Ada yang menyatakan adakah saya lebih cerdik dari Mursyidul Am, kerana beliau juga menentang UG, saya katakan saya tidak rasa begitu. Sewaktu tidak faham apa-apa tentang UG, dan mengutip maklumat dari media perdana, saya juga menentangnya. Tetapi saya menahan diri dari menghentam sesuka hati seperti sesetengan orang menulis dalam blog dan bersyarah di kedai kopi. Saya tunggu butiran dari pimpinan. Saya katakan, Mursyidul Am menentang kerana memahami UG adalah bergabung dengan UMNO dalam BN. Jika begitulah rupa UG, saya juga menentangnya.
Ada yang mengatakan, bila 1 Malaysia dan riuh, baru nak libatkan semua parti. Betulkah begitu? Dari mana saudara dapat maklumat bahawa UG hanya melibatkan 2 parti (PAS dan UMNO)? Utusan, Berita Harian, TV3? Setahu saya tiada sebarang penjelasan pimpinan tentang itu.... saya katakan ia melibatkan semua parti kerana saya membaca sejarah UG yang dilaksanakan di England sewaktu berperang dengan German. Penjelasan daripada Presiden dalam pertemuannya dengan beberapa pimpinan selepas tutup buku juga bermaksud begitu. Sah! saudara mengutuk Presiden PAS hasil daripada malumat musuh (TV3 dan angkatannya).
Saya ingin simpulkan dengan ingatan bahawa jika menegur presiden dengan ayat maki hamun, ia sah menjatuhkan maruah pimpinan dan seluruh Jemaah akan terjejas. Biar Presiden ditegur dalam forum yang sesuai seperti dalam Muktamar atau Mesyuarat AJK PAS Pusat, barulah berakhlak namanya. Ya, walaupun ada kecacatan sewaktu melontarkan idea ini, Presiden ada alasan dan tujuannya yang tersendiri, biarlah Presiden berperanan sebagai Presiden. Ajakan saya ialah mari kita ambil pengajaran dari isu UG itu, bukan mari kita buka semula 'buku' itu!

Wednesday, June 24, 2009

Kerajaan Perpaduan Adalah "Bola Politik" Presiden PAS.

Isu Kerajaan Perpaduan (UG) ialah lontaran 'bola politik' Presiden PAS yang tiba-tiba ditendang oleh semua orang termasuk oleh pimpinan PAS sendiri...peliknya yang bengkak betis dan nak patah kaki ialah orang PAS atasan dan bawahan. Rata-rata player PAS cuba menjaringkan gol sendiri ditambah pula dengan serangan pimpinan dan media UMNO/BN yang sejak dulu kala lagi menyerang PAS. Saya nampak yang menjaga gawang PAS ialah Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden. Teruk la dia kena belasah hingga dengan dia sekali masuk gol..macam shoalin soccer.
Kerajaan perpaduan bukan bermaksud PAS berpakat atau bercampur dengan UMNO, tapi perpaduan antara semua parti politik yang ada di Malaysia. Kalau PAS pakat dengan UMNO tidak dinamakan perpaduan kerana Malaysia dihuni oleh banyak kaum lain selain Melayu. Kalau PAS berpakat dengan UMNO boleh lah dinamakan kerajaan campuran 2 parti Melayu terbesar. Ia mungkin mengundang jurang antara kaum yang lebih besar daripada jurang yang ada hari ni.
Tun Mahadhir pun tidak bersetuju dengan UG. Apakah pandangan politik dalam idea UG bagi Presiden PAS, sehingga mantan Presiden UMNO yang bijak dan 'jahat' itu tidak bersetuju, tetapi disambut dengan sorak sorai oleh pimpinan UMNO sekarang yang tidak bijak tetapi tetap 'jahat'? Mereka menyambutnya dalam keadaan mereka sangat lemah dan cetek politik, barangkali?
Saya percaya bahawa bila semua parti politik terlibat dalam UG, maka sekurang-kurangnya 2 atau 3 jentera hardcore BN/UMNO akan tumbang dan punah. Pertama media, kedua SPR dan ketiga polis. Dalam dua tiga hari ini kita nampak sangat media arus perdana yang selama ini menghentam PAS tiba-tiba berlembut dan memuji presiden PAS. Mereka telah hilang fokus di saat UG baru di peringkat idea. Rais Yatim telah memberi anugerah negarawan kepada TG Haji Hadi. Lebih jauh dari itu ialah UG akan menghalang media memberi laporan berat sebelah. Hasilnya, PAS akan difahami, didekati dan didokongi.
SPR pula tak mampu lagi menipu untuk memenangkan BN/dan UMNO sahaja. Mereka terpaksa menjadi telus dan adil. Semua rahsia mereka memenangkan BN dengan tipu helah akan terbongkar dengan sendirinya. PAS akan dapat rahmatnya!.
Polis pula tak boleh tangkap dan menakutkan pimpinan selain BN ikut suka hati, ceramah-ceramah tidak akan terganggu. Pergerakan PAS akan lebih bebas. Masa inilah PAS mengambil peluang untuk medidik rakyat makna politik Islam dan demokrasi yang sebenar. Jika PAS bertanding dengan UMNO atas pentas yang sama rata, sah! PAS akan menang.
Kek ekonomi juga akan teragih dengan lebih adil dan saksama, tiada negeri yang dianaktirikan. Kepimpinan PAS dan PR di negeri-negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akan terserlah..dengan itu, batu nisan BN/UMNO akan dipacakkan di pusara mereka oleh tangan anak cucu mereka sendiri.
Saya percaya demi mencapai semua ini, dasar Islam PAS tidak akan tergadai..ini adalah idea yang stratagik, bukannya penggadaian dasar PAS. Kenapa kita nak melenting pulak?? TG Hj Hadi kaya dengan ilmu..menguasai Ilmu Usuluddin, Feqah dan Tasaaf dengan mendalam jauh lebih dari kita semua. Khazanah Islam yang penting dalam suasana sekarang termasuk Fiqh Siasi, Tahalluf Siasi dan lautan ilmu-ilmu Islam yang dikhazanahkan dalam kitab-kitab ulama' muktabar, dikuasai dengan baik, selain sumber rujukan tertinggi PAS, - Al-Quran, Hadis, Ijma' dan Qias...kenapa kita yang jahil nak belagak pandai?
Inilah sedikit sahaja intipati kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden PAS, tetapi kerana tidak difahami oleh pimpinan dan ahli PAS, maka berbondong-bondong mereka menendang bola ke gawang sendiri.Termasuk dalam kumpulan yang tidak faham itu ialah 10 ahli Parlimen PAS yang menegaskan pendirian bahawa mereka di belakang TG Nik Aziz melawan Ust Nasaruddin. Apa tujuan mereka? Mengeruhkan lagi hubungan Mursyidul Am dengan Timbalan Presiden? Menentang Timbalan Presiden sama seperti menolak sebahagian daripada PAS, kerana Timbalan Presiden bukan sahaja batang tubuhnya, tetapi sebuah institusi kedua terbesar selepas institusi Presiden PAS. Mereka patut mencari jalan damai, bukannya menyimbah minyak kepada api!
UG telah selesai dan terkubur pada 22 Jun 2009, tetapi ia telah membawa rahmat besar kepada PAS. Mudahnya Presiden menyelesaikan satu polemik dan kemelut yang meresahkan dan 'melatahkan' ramai orang, termasuk kalangan pimpinan dan ahli PAS. Inilah gunanya ketaatan dan kepercayaan kepada pinpinan yang menjadi syarat gerakan Islam.
Perkara terbesar ialah kematangan yang terbina di kalangan pimpinan dan ahli yang sabar mentaati Presiden dan kepimpinan jemaah PAS. Saya yakin pada masa hadapan, akan ada banyak lagi ujian dan cubaan yang akan melanda PAS, dengan kematangan dan kesabaran yang terbina dalam kes UG, hal-hal mendatang akan lebih mudah diatasi. SYARATNYA - MESTI ADA KEMATANGAN. Tahniah Dato' Seri Presiden PAS, TG Hj HAdi Awang.
Kepada yang cepat sangat melatah mengutuk beliau, padahal tidak pernah pun duduk sebagai pimpinan peringkat cawangan atau kawasan, malah yang baru masuk PAS dua tiga bulan,ingatan saya kepada anda - pandangan Presiden jauh melangkaui penglihatan politik kalian semua. Contohilah Dato' Seri MB Kedah yang mengaku beliau hanya pimpinan bawahan yang tidak layak mengulas isu UG, dan menyerahkan kepada Presiden, Majlis Syura dan AJK PAS Pusat. Kalau beliau sebagai Pesuruhjaya dan Menteri Besar pun tidak mahu mengulas malah merendahkan diri sebegitu, mengapa yang lebih 'bawah' daripada beliau lebih sudu dari kuah?
Waalhu a'lam.


Monday, June 22, 2009

KULIAH MAGHRIB PERTAMA SEBAGAI MENTERI BESAR

MB Kedah pertama dalam sejarah berkuliah mentafsirkan
ayat-ayat Surah Al-Maa’uun


Sik Dalam, 18 Jun 2009. Buat kali pertama dalam sejarah Negeri Kedah Darul Aman, YAB Menteri Besar Kedah menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Al-Muhtadin, Sik Dalam. Kuliah tersebut bersempena program Pemimpin Bersama Rakyat yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah peringkat Daerah Sik.
YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyampaikan kuliah dengan mentafsirkan ayat-ayat dalam Surah Al-Maa’uun yang menyentuh tentang pembelaan orang-orang miskin, pembelaan anak-anak yatim dan azab Allah bagi orang-orang yang melalaikan solat. Beliau seterusnya mengaitkan tuntutan Allah dalam Surah Al-Maa’uun dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan negeri sekarang.
Dato’ Seri Azizan mengakui telah enam tahun tidak berkesempatan memberikan kuliah seumpama itu, dan itulah kulaih pertama beliau sebagai Menteri Besar. Sebelum itu, Tuan Imam Masjid Al-Muhtadin menyampaikan tazkirah juga berkaitan kepentingan solat.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Daerah Sik, Tuan Haji Azmi Din, Penghulu Mukim Sik, Pentadbir Tanah Daerah dan pegawai-pegawai kerajaan sekitar yang tinggal sekitar kawasan tersebut. Dianggarkan 100orang jemaah berkesempatan mendengar kuliah yang sangat bersejarah itu.
Seorang jemaah, Cikgu Yusof Taib mengakui kehebatan dan kebolehan YAB Menteri Besar dalam bidang tafsir dan ilmu-ilmu Islam bersesuaian dengan latar belakang pendidikan dan profesion beliau sebelum ini.”Kuliah ini telah mencatat sejarah yang tersendiri, dan saya bertuah kerana turut berpeluang menyertai sejarah ini”. Katanya. Beliau berharap YAB Menteri Besar dapat meneruskan usaha ini di masa. hadapan. “Belum ada menteri Besar Negeri Kedah yang berkebolehan dalam semua bidang seperti Ustaz Azizan,” Katanya lagi.

Monday, June 15, 2009


Kemelut Perak bertukar hujan emas
Hishamuddin Rais May 22, 09 6:37pm

Apa yang sedang berlaku di Perak amat baik sekali. Kelam-kabut dan kacau-bilau yang sedang kita lihat berlaku di Perak sekali imbas tidak mendatangkan faedah kepada orang ramai. Tanggapan sebegini satu pandangan yang salah.Apa yang berlaku di Perak ini adalah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di Perak.Untuk pertama kalinya seluruh rakyat Malaysia telah melihat contoh yang amat jelas tentang peranan monarki atau institut beraja. Monarki yang selama ini amat lunak dengan ucapan-ucapan yang molok-molok telah mendodoikan orang ramai.Hasilnya, orang ramai telah terlena dan terlalai.
Tiba-tiba monarki telah diduga – sama ada berdiri tegak menjadi payung rakyat atau bersama kuasa kezaliman. Tindakan dan keputusan yang diambil oleh monarki di Perak memperlihatkan sifat asli monarki dengan jelas. Tingkah laku dan tindakan monarki ini telah melahirkan sentimen republikan di kalangan orang Melayu. Sentimen republikan ini memang sedia wujud dalam hati dan sanubari orang ramai – tetapi tidak meluas.Apa yang terjadi di Perak telah mengembangkan lagi sentimen republikan ini. Apa yang menarik ialah sentimen republikan ini bukan lahir kerana kempen dan propaganda tetapi kerana tingkah laku monarki itu sendiri. Orang ramai yang selama ini melihat monarki sebagai simbol kesaksamaan dan ketelusan telah mendapat satu pendidikan politik yang amat berharga. Kini Perak sedang menjadi sekolah politik yang terunggul. "Raja adil raja di sembah, raja zalim raja disanggah" benar-benar menjadi realiti yang hidup di Perak.
Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka dalam Perlembagaan. Untuk pertama kalinya warga telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam perlembagaan Perak. Hasil daripada krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan raja, peranan menteri besar, peranan tuan Speaker DUN dan had-had yang diwujudkan melalui perlembagaan. Selama kini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan ini.Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada di dalam genggaman mereka.Najib Razak berniat merancang "rampasan kuasa" di Perak kerana ingin memperlihatkan bahawa dirinya bukanlah lembik seperti Abdullah Ahmad Badawi.
Rampasan yang dilakukan sebelum peralihan kuasa kepadanya ingin dijadikan sebagai tiupan sangkakala untuk menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat. Tiupan sangkakala Najib ini diharap-harapkan dapat membangunkan kembali semangat United Malays National Organisation yang telah pecah bertaburan sesudah 8 Mac 2008. Harapan Najib ini jelas telah ranap. Dari hari ke hari Perak sedang menjerut leher United Malays National Organisation. Pemanjangan krisis ini amat baik untuk Pakatan Rakyat. Lagi lama Perak menanah, lagi subur sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat.Hari ini MCA, Gerakan dan PPP – komponen Barisan Nasional – telah mula bersuara seirama dengan nada Pakatan Rakyat. Inilah tanda-tanda politik sihat apabila elemen-elemen demokrat dalam Barisan Nasional telah mula bersuara.Badan-badan NGO seperti Suhakam dan Majlis Peguam juga telah mula bersuara. Lembaga-lembaga ini telah menyatakan pandangan mereka untuk menolak tindak-tanduk yang dilakukan oleh United Malays National Organisation dalam usaha mereka untuk mengambil alih kuasa pentabiran di Perak. Malah dari dalam United Malays National Organisation sendiri kita telah mula mendengar suara-suara yang tidak mempersetujui langkah dan tindak-tanduk yang telah diambil oleh Najib.
Inilah tanda-tanda bahawa masih wujud elemen sihat dan sentimen demokrat di dalam United Malays National Organisation - walaupun kecil.Suara-suara ini bukan suara musuh tetapi suara sahabat.Krisis adalah dugaan. Krisis di Perak telah menduga Pakatan Rakyat. Dugaan ini telah memperkukuhkan lagi setiakawan di antara parti PAS, PKR dan DAP. Semangat setiakawan yang kukuh dan berpanjangan akan lahir dalam kancah perjuangan.Perak adalah medan tempur yang menduga tiga buah parti politik untuk mengetepikan agenda sampingan dan menerkam agenda induk. Kebijaksaan berpolitik di Perak akan dapat membezakan yang mana kayu dan yang mana hutan.Setiakawan ini telah dilihat dengan amat jelas sekali dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. DAP yang selama ini dimomokkan sebagai parti kecinaan telah diterima oleh orang Melayu. PAS yang selama ini dimomokkan dengan hukum hududnya telah menerobos masuk ke dalam kawah Cina. Inilah perkembangan yang amat menakutkan United Malays National Organisation.Dua buah parti ini - sebelum ini - selalu digunakan sebagai senjata ampuh United Malays National Organisation untuk memecah belahkan orang ramai, untuk saling menumbuhkan kecurigaan sesama sendiri.
Di Perak, orang Melayu tidak lagi waswas dan gentar untuk menerima DAP. Di Perak, orang Cina tidak lagi takut untuk menerima PAS. Setiakawan seperti ini pasti akan menakutkan sesiapa sahaja yang mengamalkan politik rasis dan perkauman.Dalam kancah pertempuran pucuk pimpinan juga akan diduga. Krisis di Perak telah memunculkan dua ikon kepimpinan yang unggul – Mohammad Nizar Jamaluddin dan V Sivakumar. Kalau di permulaan era Reformasi dahulu, yang muncul hanya Anwar Ibrahim - masih lagi dilihat sebagai perwakilan ikon Melayu. Anwar mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan warga bukan Melayu bahawa reformasi adalah agenda untuk semua.Berbanding dengan krisis Perak, secara sepontan Nizar dan Sivakumar telah dilihat sebagai pemimpin yang mewakili semua bangsa. Tidak timbul apa-apa persoalan atau waswas seperti yang terjadi kepada Anwar.Perkembangan ini membuktikan telah ada anjakan dan kedewasaan pemahaman politik untuk semua warga Malaysia.Apa yang berlaku di Perak ini tidak banyak bezanya daripada apa yang berlaku pada 1998. Pada malam 20 September, Anwar ditangkap di rumahnya.
Episod penangkapan ini telah menjadi ombak besar yang membuka gelombang Reformasi. Pada malam itu mata rakyat Malaysia telah terbuka untuk melihat kezaliman yang diwakili oleh Mahathir Mohamad.Di Perak, episod ini berulang lagi. Pada 7 Mei lalu, sekali lagi mata rakyat terbuka apabila melihat Sivakumar diheret keluar dari kerusi tuan Speaker dan dikurung agar kuasanya dapat dirampas.Kini sekali lagi, satu Malaysia telah terbuka mata untuk melihat penerusan kezaliman yang diwakili oleh Najib Razak.Sama ada DUN dibubar atau tidak dibubar bukan lagi persoalan. Sekolah politik yang sedang dibuka di Perak wajib disebarkan ke seluruh negara. Aktivis dan angkatan muda Pakatan Rakyat wajib menjelajah ke seluruh pelusuk untuk membawa sekolah politik ini.Ombak Perak ini wajib terus berdesir sehingga menjadi gelora membadai. Bara kemarahan rakyat jangan dipadam-padamkan malah wajib terus dikipas dan dibakar.Musim menuai hanya akan sampai apabila pilihanraya umum diadakan nanti. Perak sedang membawa hujan emas kepada Pakatan Rakyat. Lebih lama hujan ini, lebih subur politik Malaysia.


Apa yang menyebabkan rakyat beralih dari BN kepada PR?
Kerana hilang kepercayaan muak dan meluat.


Apakah tarikan kuat yang ada pada PR hingga rakyat tanpa mengira bangsa berduyun-duyun memberi sokongan?
Kerana amanah, jujur, ikhlas, tak rasuah, tak bolot harta, disiplin agama, people-centric, anti-selfish, menolak KKN dan banyak lagi la..


Rakyat sudah cerdik, satu rumah ada dua tiga orang graduate, ada Astro, ada internet. Sistem nilai dan cara berfikir rakyat sudah berubah. Apa yang disembunyikan kini sudah terdedah semuanya.. apa yang berlaku saban hari di sekeliling membentuk pemikiran rakyat dan apa yang difikir menjadi budaya hidup masyarakat.. Mata, telinga mulut terbuka serentak untuk mengatur kaki dan tangan...


Hal ini mengubah persepsi rakyat terhadap BN dan PR. Sejak merdeka, pihak-pihak di luar mainstream yang dibentuk oleh Perikatan/BN digambarkan sebagai pengganas, bahaya, komunis dan sayap kiri. Ini nasib yang menimpa tokoh besar pejuang kemerdekaan seperti Almarhum Dr Burhanuddin, Ust Abu Bakar Al Baqir, Ahmad Beostamam, Ishak Hj Muhammad, Rashid Maiden, Chin Peng dan lain-lain. Selepas merdeka, demi kuasa, persepsi ini makin disuburkan hinggakan propaganda bagi menjayakan maksud itu penuh melimpah dalam kepala rakyat. Tiada yang lain selain BN yang mampu memerintah dan memakmurkan negara ini. Rakyat dipaksa menelan propaganda ini selama 50 tahun.


Masa berubah, kepandaian dan kecerdikan memandu perubahan rakyat, berbanding kebodohan dan kedunguan selama 50 tahun mengurung rakyat dalam sangkar BN. Keputusan yang dibuat oleh kecerdikan tentulah lebih baik daripada pendirian yang dipaksa akibat kebodohan. "Orang bodoh makanan orang cerdik. Perubahan ini akan kekal selagi rakyat terus memilih untuk cerdik.


Oleh sebab itu, apa saja propaganda yang dihidangkan untuk santapan orang bodoh dahulu akan ditolak mentah-mentah pada waktu ini, dan kelakuan yang ditiru dari kepimpinan yang meperbodohkan orang akan dihina dan dikutuk.


Pemimpin orang cerdik dan terbuka sekarang ini juga perlu lebih terkehadapan daripada orang yang dipimpin. Sebab itu antara dua EXCO yang dipanaskan oleh Kedahlanie, satu mendapat pembelaan, satu lagi diancam dan dikutuk.


Sedih sungguh dengan cerita dua senario ini.. pertamanya, pemimpin terpaksa mendedahkan kebaikan yang dibuat untuk dinilai oleh manusia di dunia gara-gara tohmahan orang bodoh... dan keduanya dosa sulit pemimpin terdedah juga untuk dinilai dan dijauhi dikalangan pemimpin orang cerdik.... Inilah dunia terbuka.... Politik berubah, politikus juga wajib berubah, jangan diulangi ciri-ciri kebodohan.....jika tidak.....selamat jalan romeo.. Jika terpaksa, antara dua pendedahan itu, saya pilih yang pertama...!! Wallahu a'lam.


Posted by PENYAPU LIDI at 11:19 AM 0 comments

Thursday, June 11, 2009

KEDAH MEMINGGIRKAN BUDAYA ISLAM: JAWAPAN KEPADA PENGKRITIK

Saya gagal mengesan apakah nilai ‘fikrah’ yang ada dalam kritikan terbuka kepada Kerajaan Negeri Kedah melalui Harakah (1 – 4 Jun 09) oleh saudara Shazly Abdullah di muka surat F22. Terlebih dahulu ’Fikrah’ editor di Harakah perlu diperbetulkan supaya Harakah tidak menjadi pagar makan padi dan mengundang kekeliruan dan kebencian pembaca.

Apakah ini gambaran kebebasan media? Apakah tiada berita lain yang positif tentang Kedah hingga kritikan ‘buta’ ini dipilih? Sudahlah berita-berita besar Kedah tidak mendapat ruang yang secukupnya dalam Harakah, kritikan tidak berasas ini pula diberi tempat. Apa pun tujuan sebenar pengurusan Harakah, hal ini sangat dikesali. Saya berpendapat, jika rencana mengkritik kerajaan negeri milik Pakatan Rakyat, memadailah disiarkan di ruangan surat pembaca, atau edisi laman web sahaja.

Kritikan tersebut menyentuhi enam isu, yang saling bertelagah antara satu sama lain. Hanya satu isu kebudayaan dan kesenian (Islam?) dibangkitkan, tetapi dipilih sebagai tajuk rencana ini, sedangkan fokus sebenar rencana ini ialah dakwaan ‘kelemahan’ kerajaan negeri di luar skop budaya. Saudara Shazly tidak memahami fungsi sebenar sebuah kerajaan, malah melihat kerajaan dari sudut yang sangat sempit, remeh-temeh dan ‘bersepah-sepah’, atau seumpama orang buta meraba gajah. Saya memohon maaf seandainya jawapan saya terhadap kritikan ini kurang enak.

Isu pertama ialah saudara Shazly ingin menyuburkan pementasan teater di Kedah dan beliau berhasrat menjadi event manager kepada siri-siri pementasan tersebut. Kerajaan negeri diminta menghulurkan bantuan kewangan untuk penganjuran pertandingan teater supaya beliau mendapat ‘kerja’. Kerana cadangannya itu tidak disambut, dia terus menyimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah lemah dan meminggirkan budaya Islam. Apa asas Shazly untuk meletakkan teater lebih aula daripada kerja-kerja besar yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Bagi kami yang tidak memahami kepentingan teater, yang lebih mustahak ialah membenteras rasuah, meringankan bebanan rakyat, menyelamatkan tanah sawah rakyat Kedah, merancang sektor ekonomi baru, berjimat cermat, menghalang pembaziran, ‘penampal ketirisan’, membina keyakinan rakyat dan pegawai kepada kerajaan baru, serta menyusun semula agensi-agensi yang hampir lumpuh.

Bukankah ini adalah intipati tuntutan Islam dan hasrat perjuangan Pakatan Rakyat ! Adakah teater lebih berkesan membina Baldatun Thoiyibah wa Rabbun Ghafuur daripada langkah-langkah ini? Allah memerintahkan kepada orang yang diberi kuasa di muka bumi untuk menyeru mendirikan solat, menunaikan zakat, mengajak kepada yang baik, mencegah yang mungkar. Inilah keutamaan yang wajib dipatuhi dan Kedah sedang melaksanakannya. Seni budaya hanyalah kaedah penyampaian mesej, (itu pun jika ada) yang cenderung untuk menjadi hiburan semata-mata. Ia tidak patut berada dalam urutan tugasan utama kerajaan negeri yang baru dibina.

Isu kedua ialah sambutan tahun baru 2009 yang dikatakan dianjur dalam kotak mentaliti pembangkang. Apakah ukuran saudara Shazly terhadap mentaliti pembangkang atau mentaliti kerajaan dalam penganjuran program? Saya tidak faham, dan saya yakin beliau juga tidak tahu. Yang pasti, beliau tidak cermat apabila mendakwa hanya ada Forum Perdana Ehwal Islam yang menampilkan ustaz-ustaz PAS pada malam itu.

Dalam forum itu, selain YB Ustaz Hashim Jasin dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Ahmad Kasim (Pengerusi PKR Negeri Kedah) juga menjadi panel. Saya berpendapat, panelis forum itu menggambarkan “Pakatan Rakyat’ yang saudara inginkan. Sebelum acara forum, ada persembahan Saudara Azhan (Juara Akademik Nasyid TV 9), ada lagu-lagu puisi oleh seorang bekas penyanyi rock. Saudara ada mencadangkan acara seperti ini, tetapi saudara tidak sedar acara itu sudah ada di sana , lalu saudara simpulkan sebagai mentaliti pembangkang! Apa pula mentaliti saudara?

Saudara makin berkecamuk bila mencadangkan ahli panel dari BN supaya lebih panas. Apa saudara fikir sebuah forum ehwal Islam perlu panas, dan dipanaskan dengan perbezaan hujjah antara panelis? Saya berpendirian BN tidak layak berforum tentang Islam memandangkan rekod buruk mereka terhadap Islam.

Saudara patut faham bahawa penganjur program itu berhasrat menampilkan satu pengisian baru dalam program sambutan tahun baru, yang selari dengan tuntutan Agama dan sosial. Berbanding pesta-pesta bunga api dan countdown yang tiada nilai ‘baru’ yang dianjurkan di tempat-tempat lain, sudah tentu program kita lebih baik. Ini adalah sebahagian tuntutan Allah dalam perintah kepada mereka yang diberi kuasa. Malah bagi saya, tahun baru kalendar masehi hanya perlu disambut dengan membeli buku planner baru sahaja, kerana kita ada kalendar kita sendiri untuk diuruskan.

Ketiga, saudara mendakwa kerajaan hanya mempromosi “Kerajaan PAS Kedah” dan bukan kerajan Pakatan Rakyat. Ini tidak benar! Saudara memungut dakwaan yang tiada asas, lalu saudara simpulkan sebagai benar. Di sinilah ada perbezaan besar kefahaman sistem kenegaraan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN). Kerajaan Negeri Kedah tidak pernah dirujuk secara langsung sebagai ‘Kerajaan Pakatan Rakyat’, ‘Kerajaan PAS Kedah’ atau ‘Kerajaan PKR’, sebagaimana yang diamalkan oleh BN yang selalu menyebut ‘Kerajaan Barisan Nasional’ apabila merujuk kepada Kerajaan Malaysia.

Kini, rakyat meluat dan benci membaca papan-papan tanda projek “Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional”. Bukankah itu satu amalan yang salah dalam sistem kenegaraan dan amalan demokrasi? Kami di Kedah hanya merujuk kerajaan negeri ini sebagai “Kerajaan Negeri Kedah”, yang dibentuk oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Rakamkan saya satu ucapan oleh mana-mana pemimpin Kerajaan Negeri Kedah yang mengungkapkan rujukan kerajaan yang saudara maksudkan itu, dan saya akan berikan satu pentas untuk saudara berteater!

Keempat, untuk makluman saudara, Hari Bomba Sedunia dianjurkan oleh pihak terbabit tanpa melibatkan Kerajaan Negeri Kedah, malah wakil pun tidak dijemput. Adakah saudara tahu bahawa Bomba adalah sebuah agensi kerajaan pusat dan ada ketikanya kerajaan pusat tidak mengendahkan beberapa dasar dan polisi kerajaan negeri? Ikutilah denyut nadi negeri ini dari dekat supaya dapat dirasai ‘kehidupannya’. Pentaskan sebuah teater tentang kejahilan terhadap konsep federalism yang sedang membarah di beberapa negeri sekarang ini (Kedah, Kelantan, Pulau Pinang,dan Selangor) daripada kegelisahan saudara kepada lagu Hindustan. Saudara akan tersedar bahawa ada kepincangan besar dalam hal ini di hujung teater itu.

Kelima, Ironman di Langkawi dianjurkan oleh Event Manager swasta seperti saudara, dan telah berlangsung selama beberapa tahun. Pesertanya kebanyakan datang dari luar negara, yang berbikini sepanjang tahun. Kerajaan Negeri Kedah kini tidak terbabit lagi dengan penganjuran itu, sebaliknya dikoordinasikan oleh Kementerian Pelancongan. Bukan mudah untuk meyakinkan rakyat berbilang bangsa dan agama bahawa kita tidak ekstrim dan ganas seperti yang sering didakwa oleh BN. Kedah sedang muncul sebagai model pelaksanaan Islam dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama di abad ini, tanpa kontreversi dan penuh kebijaksanaan.

Kaedah Fiqh ada menyatakan ‘menolak kemudaratan perlu didahulukan daripada mendapatkan manfaat’. Mungkin juga pertimbangan kita pada waktu itu ialah ada mudarat yang besar jika melarang penganjuran program internasional seperti Ironman Langkawi atas alasan pakaian, berbanding kebaikan yang terhasil apabila acara itu dihalang. Saudara juga mengatakan kerajaan ini adalah kerajaan Pakatan Rakyat yang dibina atas berbilang bangsa dan agama. Kenapa pula saudara pening kepala kepada bikini dan seluar pendek yang harus kepada mereka yang bukan Islam? Saudara boleh menjadi pembekal seluar panjang dan kain batik kepada mat saleh itu jika saudara mahu.

Akhir sekali saudara katakan stadium tidak dimanfaatkan seperti di negeri-negeri lain. Kedah memang berbeza, bagi program parti, kita patut gunakan kemudahan milik parti, dan tidak boleh menggunakan harta kerajaan. Kalau perlu stadium juga, kita perlu sewa. Biarlah perlawanan bolasepak dan sukan berlangsung di stadium. Takkanlah bila jadi kerajaan, kompleks di Batu 9 dibiarkan begitu saja? Itu tindakan yang salah.

Selain itu, bukankah program sambutan tahun baru itu dilaksanakan di perkarangan stadium? Saudara tahu berapa kos menyewa stadium dan kos memasang lampu limpah dalam stadium?? Saudara akan gagal sebagai event manager jika kos tidak diambil kira dalam penganjuran program, sebaliknya lebih mementingkan ‘happening’ acara di dalam bulatan stadium.

Saudara seolah-olah teruja dengan program grand dan glamour seperti acara-acara ‘jahiliyyah’ waktu dulu (merujuk istilah saudara), atau saudara utamakan kesan dan manfaat kepada rakyat? Kritikan saudara bertelagah sesama sendiri sejak awal lagi, kecuali dipisahkan antara satu sama lain. Pertelagahan terbesar ialah antara niat sebenar saudara dengan kejahilan saudara tentang keutamaan dalam pemerintahan sebuah negeri yang baru dikuasai. Kritikan saudara lebih serasi jika melalui saluran Utusan Malaysia, Berita Harian atau TV3. Realiti pemerintahan yang baru bermula bukanlah seumpama sebuah pementasan teater!

Muhammad Sanusi Bin Md Nor
Setiausaha Politik
YAB Dato’ Seri Menteri Besar Kedah
Wisma Darul Aman, 2 Jun 2009