KEDAH MEMINGGIRKAN BUDAYA ISLAM: JAWAPAN KEPADA PENGKRITIK
Saya gagal mengesan apakah nilai ‘fikrah’ yang ada dalam kritikan terbuka kepada Kerajaan Negeri Kedah melalui Harakah (1 – 4 Jun 09) oleh saudara Shazly Abdullah di muka surat F22. Terlebih dahulu ’Fikrah’ editor di Harakah perlu diperbetulkan supaya Harakah tidak menjadi pagar makan padi dan mengundang kekeliruan dan kebencian pembaca.
Apakah ini gambaran kebebasan media? Apakah tiada berita lain yang positif tentang Kedah hingga kritikan ‘buta’ ini dipilih? Sudahlah berita-berita besar Kedah tidak mendapat ruang yang secukupnya dalam Harakah, kritikan tidak berasas ini pula diberi tempat. Apa pun tujuan sebenar pengurusan Harakah, hal ini sangat dikesali. Saya berpendapat, jika rencana mengkritik kerajaan negeri milik Pakatan Rakyat, memadailah disiarkan di ruangan surat pembaca, atau edisi laman web sahaja.
Kritikan tersebut menyentuhi enam isu, yang saling bertelagah antara satu sama lain. Hanya satu isu kebudayaan dan kesenian (Islam?) dibangkitkan, tetapi dipilih sebagai tajuk rencana ini, sedangkan fokus sebenar rencana ini ialah dakwaan ‘kelemahan’ kerajaan negeri di luar skop budaya. Saudara Shazly tidak memahami fungsi sebenar sebuah kerajaan, malah melihat kerajaan dari sudut yang sangat sempit, remeh-temeh dan ‘bersepah-sepah’, atau seumpama orang buta meraba gajah. Saya memohon maaf seandainya jawapan saya terhadap kritikan ini kurang enak.
Isu pertama ialah saudara Shazly ingin menyuburkan pementasan teater di Kedah dan beliau berhasrat menjadi event manager kepada siri-siri pementasan tersebut. Kerajaan negeri diminta menghulurkan bantuan kewangan untuk penganjuran pertandingan teater supaya beliau mendapat ‘kerja’. Kerana cadangannya itu tidak disambut, dia terus menyimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah lemah dan meminggirkan budaya Islam. Apa asas Shazly untuk meletakkan teater lebih aula daripada kerja-kerja besar yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Bagi kami yang tidak memahami kepentingan teater, yang lebih mustahak ialah membenteras rasuah, meringankan bebanan rakyat, menyelamatkan tanah sawah rakyat Kedah, merancang sektor ekonomi baru, berjimat cermat, menghalang pembaziran, ‘penampal ketirisan’, membina keyakinan rakyat dan pegawai kepada kerajaan baru, serta menyusun semula agensi-agensi yang hampir lumpuh.
Bukankah ini adalah intipati tuntutan Islam dan hasrat perjuangan Pakatan Rakyat ! Adakah teater lebih berkesan membina Baldatun Thoiyibah wa Rabbun Ghafuur daripada langkah-langkah ini? Allah memerintahkan kepada orang yang diberi kuasa di muka bumi untuk menyeru mendirikan solat, menunaikan zakat, mengajak kepada yang baik, mencegah yang mungkar. Inilah keutamaan yang wajib dipatuhi dan Kedah sedang melaksanakannya. Seni budaya hanyalah kaedah penyampaian mesej, (itu pun jika ada) yang cenderung untuk menjadi hiburan semata-mata. Ia tidak patut berada dalam urutan tugasan utama kerajaan negeri yang baru dibina.
Isu kedua ialah sambutan tahun baru 2009 yang dikatakan dianjur dalam kotak mentaliti pembangkang. Apakah ukuran saudara Shazly terhadap mentaliti pembangkang atau mentaliti kerajaan dalam penganjuran program? Saya tidak faham, dan saya yakin beliau juga tidak tahu. Yang pasti, beliau tidak cermat apabila mendakwa hanya ada Forum Perdana Ehwal Islam yang menampilkan ustaz-ustaz PAS pada malam itu.
Dalam forum itu, selain YB Ustaz Hashim Jasin dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Ahmad Kasim (Pengerusi PKR Negeri Kedah) juga menjadi panel. Saya berpendapat, panelis forum itu menggambarkan “Pakatan Rakyat’ yang saudara inginkan. Sebelum acara forum, ada persembahan Saudara Azhan (Juara Akademik Nasyid TV 9), ada lagu-lagu puisi oleh seorang bekas penyanyi rock. Saudara ada mencadangkan acara seperti ini, tetapi saudara tidak sedar acara itu sudah ada di sana , lalu saudara simpulkan sebagai mentaliti pembangkang! Apa pula mentaliti saudara?
Saudara makin berkecamuk bila mencadangkan ahli panel dari BN supaya lebih panas. Apa saudara fikir sebuah forum ehwal Islam perlu panas, dan dipanaskan dengan perbezaan hujjah antara panelis? Saya berpendirian BN tidak layak berforum tentang Islam memandangkan rekod buruk mereka terhadap Islam.
Saudara patut faham bahawa penganjur program itu berhasrat menampilkan satu pengisian baru dalam program sambutan tahun baru, yang selari dengan tuntutan Agama dan sosial. Berbanding pesta-pesta bunga api dan countdown yang tiada nilai ‘baru’ yang dianjurkan di tempat-tempat lain, sudah tentu program kita lebih baik. Ini adalah sebahagian tuntutan Allah dalam perintah kepada mereka yang diberi kuasa. Malah bagi saya, tahun baru kalendar masehi hanya perlu disambut dengan membeli buku planner baru sahaja, kerana kita ada kalendar kita sendiri untuk diuruskan.
Ketiga, saudara mendakwa kerajaan hanya mempromosi “Kerajaan PAS Kedah” dan bukan kerajan Pakatan Rakyat. Ini tidak benar! Saudara memungut dakwaan yang tiada asas, lalu saudara simpulkan sebagai benar. Di sinilah ada perbezaan besar kefahaman sistem kenegaraan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN). Kerajaan Negeri Kedah tidak pernah dirujuk secara langsung sebagai ‘Kerajaan Pakatan Rakyat’, ‘Kerajaan PAS Kedah’ atau ‘Kerajaan PKR’, sebagaimana yang diamalkan oleh BN yang selalu menyebut ‘Kerajaan Barisan Nasional’ apabila merujuk kepada Kerajaan Malaysia.
Kini, rakyat meluat dan benci membaca papan-papan tanda projek “Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional”. Bukankah itu satu amalan yang salah dalam sistem kenegaraan dan amalan demokrasi? Kami di Kedah hanya merujuk kerajaan negeri ini sebagai “Kerajaan Negeri Kedah”, yang dibentuk oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Rakamkan saya satu ucapan oleh mana-mana pemimpin Kerajaan Negeri Kedah yang mengungkapkan rujukan kerajaan yang saudara maksudkan itu, dan saya akan berikan satu pentas untuk saudara berteater!
Keempat, untuk makluman saudara, Hari Bomba Sedunia dianjurkan oleh pihak terbabit tanpa melibatkan Kerajaan Negeri Kedah, malah wakil pun tidak dijemput. Adakah saudara tahu bahawa Bomba adalah sebuah agensi kerajaan pusat dan ada ketikanya kerajaan pusat tidak mengendahkan beberapa dasar dan polisi kerajaan negeri? Ikutilah denyut nadi negeri ini dari dekat supaya dapat dirasai ‘kehidupannya’. Pentaskan sebuah teater tentang kejahilan terhadap konsep federalism yang sedang membarah di beberapa negeri sekarang ini (Kedah, Kelantan, Pulau Pinang,dan Selangor) daripada kegelisahan saudara kepada lagu Hindustan. Saudara akan tersedar bahawa ada kepincangan besar dalam hal ini di hujung teater itu.
Kelima, Ironman di Langkawi dianjurkan oleh Event Manager swasta seperti saudara, dan telah berlangsung selama beberapa tahun. Pesertanya kebanyakan datang dari luar negara, yang berbikini sepanjang tahun. Kerajaan Negeri Kedah kini tidak terbabit lagi dengan penganjuran itu, sebaliknya dikoordinasikan oleh Kementerian Pelancongan. Bukan mudah untuk meyakinkan rakyat berbilang bangsa dan agama bahawa kita tidak ekstrim dan ganas seperti yang sering didakwa oleh BN. Kedah sedang muncul sebagai model pelaksanaan Islam dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama di abad ini, tanpa kontreversi dan penuh kebijaksanaan.
Kaedah Fiqh ada menyatakan ‘menolak kemudaratan perlu didahulukan daripada mendapatkan manfaat’. Mungkin juga pertimbangan kita pada waktu itu ialah ada mudarat yang besar jika melarang penganjuran program internasional seperti Ironman Langkawi atas alasan pakaian, berbanding kebaikan yang terhasil apabila acara itu dihalang. Saudara juga mengatakan kerajaan ini adalah kerajaan Pakatan Rakyat yang dibina atas berbilang bangsa dan agama. Kenapa pula saudara pening kepala kepada bikini dan seluar pendek yang harus kepada mereka yang bukan Islam? Saudara boleh menjadi pembekal seluar panjang dan kain batik kepada mat saleh itu jika saudara mahu.
Akhir sekali saudara katakan stadium tidak dimanfaatkan seperti di negeri-negeri lain. Kedah memang berbeza, bagi program parti, kita patut gunakan kemudahan milik parti, dan tidak boleh menggunakan harta kerajaan. Kalau perlu stadium juga, kita perlu sewa. Biarlah perlawanan bolasepak dan sukan berlangsung di stadium. Takkanlah bila jadi kerajaan, kompleks di Batu 9 dibiarkan begitu saja? Itu tindakan yang salah.
Selain itu, bukankah program sambutan tahun baru itu dilaksanakan di perkarangan stadium? Saudara tahu berapa kos menyewa stadium dan kos memasang lampu limpah dalam stadium?? Saudara akan gagal sebagai event manager jika kos tidak diambil kira dalam penganjuran program, sebaliknya lebih mementingkan ‘happening’ acara di dalam bulatan stadium.
Saudara seolah-olah teruja dengan program grand dan glamour seperti acara-acara ‘jahiliyyah’ waktu dulu (merujuk istilah saudara), atau saudara utamakan kesan dan manfaat kepada rakyat? Kritikan saudara bertelagah sesama sendiri sejak awal lagi, kecuali dipisahkan antara satu sama lain. Pertelagahan terbesar ialah antara niat sebenar saudara dengan kejahilan saudara tentang keutamaan dalam pemerintahan sebuah negeri yang baru dikuasai. Kritikan saudara lebih serasi jika melalui saluran Utusan Malaysia, Berita Harian atau TV3. Realiti pemerintahan yang baru bermula bukanlah seumpama sebuah pementasan teater!
Muhammad Sanusi Bin Md Nor
Setiausaha Politik
YAB Dato’ Seri Menteri Besar Kedah
Wisma Darul Aman, 2 Jun 2009
No comments:
Post a Comment