Kepada pembaca yang alergik dengan UG, sila skip tajuk ini...
Alhamdulillah, ramai juga yang melontarkan komen dalam Kedahlanie memarahi saya kerana menulis tentang UG setelah PAS 'tutup buku' dalam hal tersebut. Saya tidak bermaksud membuka semula buku yang sudah ditutup, tetapi mengajak pembaca menyedari bahawa ada maksud yang tersirat dalam lontaran idea UG itu oleh Presiden PAS. Saya ingin menekankan bahawa perlu ada kematangan dalam menghadapi sesuatu isu yang kita tidak fahami. Biar hadam dulu, baru telan!
Dalam hal seperti ini, biarlah Presiden dan pimpinan tertinggi yang memutuskan, jangan kita pula terlajak hingga memaki hamun kepimpinan tanpa kefahaman yang sahih. Politik ini penuh seni, dalam banyak hal, hanya yang berada pada tahap tertentu saja yang dapat memahami. Contohnya, apakah alasan sebenar Fairuz diganti dengan Mansor? Tanyalah kepada DSAI dan pimpinan PKR. Saya tak perlu terlalu pandai untuk mengajak pembaca yang faham tentang gerakan islam mempraktikkan asas-asas yang sangat penting berjemaah dalam gerakan Islam iaitu 'at to'ah (ketaatan) dan tsiqah (kepercayaan) kepada pimpinan.
Dalam tulisan saya itu, saya minta kita bersabar dalam menghadapi isu-isu seperti ini pada masa akan datang.... kerana percaya akan datang hal-hal yang lebih mencabar kepada kita satu hari nanti. Kita memerlukan kematangan yang tinggi, sama ada dalaman parti atau luaran parti. Bukan sahaja kita perlu matang, seluruh rakyat perlu matang dalam dunia kini. Apatah lagi kita dalam gerakan Islam yang bertanggungjawab memimpin dan menyelamatkan seluruh umat manusia. Jika semua orang mahukan hak untuk menentukan perjalanan dan tindakan seorang Presiden, siapa yang nak jadi pengikut? Mengapa mengamanahkan beliau sebagai Presiden tetapi tiada hak seorang Presiden? Bukankah lebih mudah yang ramai mematuhi seorang pemimpin daripada seorang pemimpin mematuhi ramai orang?
Ada yang kelakar mengatakan saya mencari publisiti murahan!! Memang kelakar. Saya katakan saya tidak pernah memerlukan publisiti, mahal ataupun murah. Saya bertanggungjawab menyampaikan fikrah dan maklumat yang saya ada kepada yang mahu memahami pandangan dari luar bakul fikiran sendiri. Saudara berhak menolaknya, tetapi tidak patut menuduh seperti itu.
Jika kita belum memahami sesuatu hal, maka kita perlu bersabar hingga diberikan penjelasan. Saya bukan jenis orang yang selesa berhenti mencari jawapan terhadap sesuatu isu hanya dengan alasan 'buku dah tutup, maka jangan berbicara lagi'. Itu kaedah yang tidak cerdik.
Apa akan jadi pada orang yang tidak faham maksud Presiden tetapi memaki hamun beliau merata tempat? Apaakan jadi pada jemaah yang dianggotai oleh orang yang dari jenis ini? Apa pula natijahnya memaki Pemimpin yang wajib dipatuhi selagi pemimpin tidak menyuruh kepada yang mungkar?
Kata seorang veteran PAS, hati yang tidak sebalut dengan kepimpinan jemaah Islam, walaupun masih membayar yuran dan mengikuti program parti, bukan lagi 'ahli' jemaah itu. Saya diasuh dalam gerakan jemaah ini, inilah pegangan dan fahaman saya dengan pimpinan. Saya yakin tiada kerugian dalam mengamalkan akhlak berjemaah seperti ini.
Ada yang meminta jaminan berlaku perubahan seperti yang diharapkan dalam SPR, Polis, dan media.. saya katakan, tiada siapa yang berniaga mendapat jaminan untung 100%....terpulang kepada perjalanan perniagaan itu. Tetapi paling sahih, yang tidak mencuba tak akan dapat apa-apa.
Ada yang mengatakan ramai lagi yang menguasai ilmu seperti Presiden, malah mungkin lebih alim lagi tetapi tidak mencadangkan idea UG. Saya katakan, yang berilmu tetapi tidak beramal dan tidak berada dalam gerakan haraki, jaraknya dengan yang memimpin gerakan Islam di zaman ini macam langit dan bumi. Yang berijtihad dengan ilmunya tetapi tersalah, tetap mendapat pahala, apatah lagi jika ijtihadnya benar.
Ada yang menyatakan adakah saya lebih cerdik dari Mursyidul Am, kerana beliau juga menentang UG, saya katakan saya tidak rasa begitu. Sewaktu tidak faham apa-apa tentang UG, dan mengutip maklumat dari media perdana, saya juga menentangnya. Tetapi saya menahan diri dari menghentam sesuka hati seperti sesetengan orang menulis dalam blog dan bersyarah di kedai kopi. Saya tunggu butiran dari pimpinan. Saya katakan, Mursyidul Am menentang kerana memahami UG adalah bergabung dengan UMNO dalam BN. Jika begitulah rupa UG, saya juga menentangnya.
Ada yang mengatakan, bila 1 Malaysia dan riuh, baru nak libatkan semua parti. Betulkah begitu? Dari mana saudara dapat maklumat bahawa UG hanya melibatkan 2 parti (PAS dan UMNO)? Utusan, Berita Harian, TV3? Setahu saya tiada sebarang penjelasan pimpinan tentang itu.... saya katakan ia melibatkan semua parti kerana saya membaca sejarah UG yang dilaksanakan di England sewaktu berperang dengan German. Penjelasan daripada Presiden dalam pertemuannya dengan beberapa pimpinan selepas tutup buku juga bermaksud begitu. Sah! saudara mengutuk Presiden PAS hasil daripada malumat musuh (TV3 dan angkatannya).
Saya ingin simpulkan dengan ingatan bahawa jika menegur presiden dengan ayat maki hamun, ia sah menjatuhkan maruah pimpinan dan seluruh Jemaah akan terjejas. Biar Presiden ditegur dalam forum yang sesuai seperti dalam Muktamar atau Mesyuarat AJK PAS Pusat, barulah berakhlak namanya. Ya, walaupun ada kecacatan sewaktu melontarkan idea ini, Presiden ada alasan dan tujuannya yang tersendiri, biarlah Presiden berperanan sebagai Presiden. Ajakan saya ialah mari kita ambil pengajaran dari isu UG itu, bukan mari kita buka semula 'buku' itu!
No comments:
Post a Comment