Saturday, March 26, 2011

Mereka Sudah Jadi Sampah Masyarakat

Ya ! Mereka sudah tidak ada nilai apa-apa,, selain menjadi sampah masyarakat yang busuk dan membusukkan. Merosakkan diri dan orang lain. Walau berpangkat dan bergelar, mereka tidak lebih mulia dari sampah. ikuti tulisan Dr Mohd Asri Zainal Abidin di Malaysiakini.



Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).


Video lucah dan dosa politik


Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.


Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.


Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.


Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.


Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka.


Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.


Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.


Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim).


Aib peribadi


Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.


Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.


Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi - sekalipun mungkin benar - adalah berat di sisi agama.


Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).


Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.


Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:


"Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya."


Bukan bukti Asas


Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain.


Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.


Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:


"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...."


Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya.


Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.


Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih (bermaksud):


"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, hal 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).


Berbeza Dengan Kes Kezaliman


Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa.


Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa.


Itu pun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.


Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).






Tidak Perlu Suruhajaya


Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.


Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.


Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:


"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).


Ingatan


Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu.




Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya):


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12).


Bangkit generasi baru


Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.


Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.


Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!



Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti kerajaan Perlis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

Friday, March 25, 2011

DNA UMNO DALAM VIDEO SEX ITU - APA NAK JADI DENGAN POLITIK MALAYSIA

......Ini video politik, bukan video sex. Ia ditayangkan untuk memuaskan nafsu tukang tayang dan gerombolan tukang tayang, bukan menaikkan nafsu penonton. Sebab itu Nazri Aziz kata tak salah! Barangkali yang salah di sisi-sisi undang-undang berkaitan pornografi ialah kalau ia merangsang dan menguja gelora shahwat penonton...tapi kalau menimbulkan rasa benci, meluat, dengan niat menghina dan menjatuhkan maruah musuh politik, ia TAK SALAH!......

Hari ni, pagi-pagi lagi seorang kawan, orang Sik yang duduk di KL telepon, katanya:
"Mu thu dak aku sembang dengan chegu Bard khemareng, dia tengok dah video tu dengan phuak tu, dia kata bukan Anwar. Gamba hitang puteh..yang syoknya Chegu Bard kata 'kote' orang tu hitang belegang".


Saya tak mau merojakkan lagi kebusukan politik Malaysia yang dicemari najis UMNO, tapi itulah hakikat yang diperkatakan orang. Dari lubang najis ke lubang kencing dan lubang peranakan, semuanya sudah jadi bahan politik. Dulu Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad menulis novel 'SHIT' sebagai karya 'satira politik', berasaskan najis dan usus sebagai metafora menggambarkan keadaan politik, sekarang ia bukan satira dan metafora lagi, ia sudah jadi real. Kalau SHIT melambangkan realiti dalam UMNO, sekarang SHIT mereka telah dilambakkan ditengah masyarakat Malaysia untuk membusukkan semua orang!

Kelmarin, ada tiga kawan bersembang di cafe wisma tentang video sex dan sejarah Anwar, dan depa semua percaya dan yakin sungguh pelakon itu adalah Anwar. Masa itu, statement Dato' Johari Abdul belum masuk surat khabar. Saya beristighfar dalam hati, entah macam mana depa bina persepsi dan keyakinan dari cerita-cerita  orang dan surat khabar tanpa bersemuka dengan Anwar atau paling kurang mengenalinya secara peribadi. Cuma saya minta depa perhatikan betul-betul wajah-wajah pembawa video itu. Perhatikan juga sejarah dan pribadi mereka. Siapa tak kenal TS Rahim Tambi Chik?

Anwar sebelumnya sudah membuat statement 'pelakon itu mirip saya, tapi bukan saya'. Ya! Bukankah Eskay (Dato' Kambing) itu mirip Anwar? Kalau ikutkan kawan saya yang telefon pagi tadi, 'kote orang tu hitam belegam'... Eskay kan lebih hitam dari Anwar?

Bila membaca komen-komen di blog dan facebook, terutama orang muda, ternyata mereka meluat, mual dan geli dengan suasana politik Malaysia. Ini video politik, bukan video sex. Ia ditayangkan untuk memuaskan nafsu tukang tayang dan gerombolan tukang tayang, bukan menaikkan nafsu penonton. Sebab itu Nazri Aziz kata tak salah! Barangkali yang salah di sisi-sisi undang-undang berkaitan pornografi ialah kalau ia merangsang dan menguja gelora shahwat penonton...tapi kalau menimbulkan rasa benci, meluat, dengan niat menghina dan menjatuhkan maruah musuh politik, ia TAK SALAH!


Siapa Rahim Tahmbi Chik (AWAS! Dia Sudah Datang Balik!!) - Bekas Ketua Menteri Melaka yang dipaksa oleh Timbalan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) meletakkan jawatan kerana dikaitkan dengan skandal sex dengan gadis bawah umur Noryati Binti Mohamad Yusop (14 tahun sewaktu dirogol), cucu kepada nenek bernama Pendek binti Ahmad.

Kata sinenek dalam satu kenyataan - "Saya tidak faham mengapa cucu saya hanya menyatakan sekarang tidak mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim bila dia telah mengakui selama 5 tahun kebelakangan ini sejak 1994 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim, termasuk membuat keterangan bersumpah di mahkamah di depan tuan hakim.


Cucu saya, telah membuat satu kenyataan pada 2hb November 1999 menafikan keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29hb Oktober 1999 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada tahun 1994.


Rahim Thambi terlepas hukuman dan seorang cina DAP yang membela Pendek dan cucunya dipenjarakan kerana kelicikkannya. Kini Rahim muncul dengan video sex untuk membalas dendam. Dia kini Pengerusi RISDA, menjaga pekebun kecil...jangan jaga gadis kecil sudahlahhh!


Siapa Dato' Shazryl Eskay Abdullah. - Berketurunan siam dari Danglau, Sik Kedah. Dia masuk 'melayu' dan diberi jolokan Dato' Kambing oleh kerana memelihara banyak kambing, yang diperolehi secara percuma dari Jabatan Pertanian. Dia juga pelihara lembu dan menjadi Konsulat Kehormat Thailand  di Malaysia. Menerima darjah yang membawa gelaran dato' dari Istana Terengganu.


Seorang ahli fisiotheraphy yang pernah bekerja di Amerika Syarikat dan pernah mengurut Dr Siti Hasmah dan Dr Mahadhir selepas pulang ke Malaysia. Dia terlibat dengan projek Jambatan Bengkok ke Singapura yang Mahadhir marah sangat bila Pak lah membatalkan projek itu. Kata orang, isterinya kerabat Johor. Pernah menjalankan syarikat penerbangan Alor Setar-Medan yang dirasmikan oleh Syed Razak sedikit masa dulu, tapi tak laku.


Dato' Shuib Lazim - Bekas ADUN dari UMNO yang kini menjadi Bendahari PERKASA - Perkasa di kepalai oleh raja katak Ibrahim Ali yang diketahui sangat marah dengan Anwar Ibrahim untuk rapat semula dengan UMNO yang memecatnya. Bapa saudara Ahli Parlimen Sungai Petani Dato' Johari Abdul. Anaknya berkahwin dengan orang Sabah yang kini jadi Menteri. PERKASA kini diberi laluan sepenuhnya untuk menggunakan Biro Tata Negara bila-bila masa, di mana jua!


Sah! ADA DNA UMNO dalam video itu!!!! Maka - Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia!

Saturday, March 12, 2011

Keajaiban AlQuran (email kawan lama)

Dr Tariq Al Swaidan menemukan beberapa ayat dalam Al-Quran yang menyebutkan satu hal yang sama dengan yang lain, iaitu jumlah kata-kata untuk laki-laki dan perempuan equal.

Although ini masuk akal secara matematik, fakta mengejutkan adalah bahawa jumlah kali kata orang muncul dalam Quran adalah 24 dan berapa kali muncul kata wanita juga 24, oleh kerana itu tidak hanya ini ungkapan yang benar dalam pengertian gramatikal tetapi juga benar secara matematik: 24 = 24.

Setelah analisis lebih lanjut berbagai ayat, ia menemukan bahawa ini adalah konsisten sepanjang turun Quran, di mana ia mengatakan satu hal seperti yang lain. Lihat di bawah untuk mendapatkan hasil menakjubkan:

Jumlah perkataan di dalam Al-Quran: Dunia 115 . Akhirat 115
Malaikat 88 . Syaitan 88
Hidup 145 . Mati 145
Manfaat 50 . Korup 50
Manusia 50 .Rasul 50
Iblis 11 . Carilah perlindungan dari Iblis 11
Musibah 75 . Terima kasih 75
Sedekah 73 . Kepuasan 73
Orang yang disesatkan 17 . Orang Mati 17
Muslimin 41 . Jihad 41
Emas 8 . Kehidupan senang 8
Magik 60 . Fitnah 60
Zakat 32 .Barakah 32
Fikiran 49 . Cahaya 49
Tongue 25 . Sermon 25
Berani 8 . Takut 8
Public speaking18.Publicising 18
Hidup susah 114 . Bersabar 114
Lelaki 24 . Perempuan 24

Dan cukup luar biasa kita lihat berapa kali kata-kata berikut muncul: – Solat 5; 12 Bulan; Hari 365; Laut 32, Tanah 13;
Laut + tanah = 32 13 = 45% Laut = 32/45 * 100 = 71,11111111%
Tanah = 13/45 * 100 = 28,88888889 = 100.00

Ilmu pengetahuan moden baru-baru ini membuktikan bahawa air meliputi 71,111% dari bumi, sedangkan tanah meliputi 28,889%.

Adakah ini suatu kebetulan?Siapa yang mengajar Nabi Muhammad (saw) semua ini?Allah, Yang Maha Kuasa Semua mengajarnya ini. Sebagaimana Quran mengatakan kepada kita.

Wallahualam.
Sent via BlackBerry from Maxis

Thursday, March 10, 2011

Paku Sana Paku Sini Serpihnya Balik Kat Dia Juga..

 1. Kelihatan UMNO dan BN 'all out' menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang - orang melayu untuk menanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.

2. UMNO dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa  "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan melayu UMNO". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini. 

3. Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihanraya kecil.

4. Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada UMNO dan BN lalu memenangi pilihanraya secara gentleman. Malang demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh UMNO dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang. 

5. Insyaallah, jika UMNO dan BN masih gagal membuka peluang untuk PAS dan rakan - rakan Pakatan Rakyat akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana menjelang 1 Mei akan datang, Himpunan 500K BERSIH 2 akan menjadi kenyataan pada bulan june akan datang.

6. Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP,
saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya ummat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul saw bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekaligus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul saw telah bertindak sebagai
Rahmatan Lil A'lamin [ rahmat - naungan kasih buat seluruh alam ].

7. Antara tindakan bestari Baginda Rasul saw ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non muslim pada waktu itu untuk tujuan
mempertahankan hak dan
menentang kezaliman:• Hilful Mutaiyyibin : Nabi saw. pernah menjelaskan mengenai Tahaaluf ini . Sabda Baginda saw :  شهدت حلف المطيبين و ما أحب أن أنكثه و أن لي حمر النعم

Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian ( tahaaluf ) al Mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali .

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad. al Musnad Jil 1. hlm 190 - 193

Perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] ini wujud apabila timbul persengketaan dikalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam - zam . Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau

kerjasama [ tahaaluf ] untuk tidak merampas hak masing - masing .

• Hilful Fudhul : Urutan Perjanjian Mutayyibin , Perjanjian atau kerjasama Fudhul dimeteri untuk menghentikan kezaliman daripada berleluasa di Kota Makkah . Samaada Kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah , juga kepada orang - orang asing yang berurusan di Kota Makkah . 

Mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an lantaran beliau seorang yang sangat dihormati dan yang paling tua dikalangan mereka . Sabda rasulullah saw : Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an , adanya satu perjanjian atau kerjasama [Fudhul] yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah .

Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam , maka aku akan menyetujuinya . 

Diriwayatkan oleh Ibn Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq . Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan ( tadlis ) disini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.

Al Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik - baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dikalangan bangsa Arab . Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al- Ashi bin Wai'l , seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya .

8. Kedua, suka saya tarik perhatian semua kepada satu
analogi :

 Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya dinaiki pencuri [ waliyazubillah - sbg contoh ]. Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134.000. Pencurinya hanya seorang perempuan tapi lariannya agak licik dan pantas, lalu saya berteriak : Tolong ! Tolong ! perempuan itu curi wang saya ! Tiba - tiba jiran - jiran saya yang terdiri orang India beragama hindu namanya Balendran [sekadar contoh ] dan juga orang cina beragama kristian namanya Vincent [ sekadar contoh ], malah ramai lagi jiran saya turut keluar dan mereka terdiri dari pelbaga bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.

 

Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa - rupanya bulan lepas rumah mereka juga dinaiki pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100.000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama - sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul dihadapan rumah saya di Jalan Raja Laut [ sekadar contoh ], lalu mereka melafaz ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.

 Kendati pun saya seorang muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non muslim,

Islam membenarkan saya memeteri perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM 134.000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba - tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata - mata kerana mereka berbangsa cina, india dan pula tidak Islam.

Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.

 

9. Kenapa UMNO dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP ? bagaimana pula dengan UMNO sendiri yang berselimut toto dengan MCA dan MIC ? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India ? atau ada yang lebih cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai UMNO ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab :

ضربني و بكى شتمني واشتكى

Dia pukul aku dia yang menangis , dia fitnah aku dia yang mengadu .

 

Begitu juga orang tua - tua pernah bisik pada saya, UMNO ni macam paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Tapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai UMNO ini. Kata mereka , paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga. 

10. Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka?

bukankah UMNO  menjadi alat dan kuda tunggangan dalam Barisan Nasinal  ? :

• Sekian lama UMNO bertanding di kerusi Parlimen Raub akhirnya menyerahkan kerusi itu kepada MCA, demikian juga kerusi Parlimen Kuantan yang akhirnya UMNO terpaksa gadaikannya kepada MCA.

• UMNO pernah menang besar dan memiliki majoriti kerusi berbanding parti Gerakan di Pulau Pinang semasa dahulu kala, tetapi malang UMNO menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti Gerakan.

Lebih dari 3 penggal pilihanraya, UMNO yang menjadi kerajaan tidak pernah menambah kerusi melayu di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada setiap kali persempadan semuala kawasan pilihanraya dilakukan, sebaliknya menambah kerusi di negeri - negeri lain yang akhirnya mengurangkan peratus majoriti dan penguasaan melayu di Parlimen. Bukankah UMNO menjadi alat dan boneka kepada pihak lain ?  

rasa macam nak sambung siri penjelasan ini.... tengoklah macam mana ...

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sent via BlackBerry from Maxis

Tuesday, March 8, 2011

Sambutan Tiga Tahun Kerajaan PR Kedah...

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah akan menyambut Ulangtahun KeTiga terbinanya sebuah kerajaan baru di Kedah selepas BN berjaya dikalahkan oleh rakyat dalam PRU ke 12. Acaranya sambutan adalah dari 10-14 Mac 2011.

Ada orang bertanya apakah signifikan sambutan itu, kerana sepanjang BN berkuasa mereka tidak pernah buat sambutan "mendapat kuasa" (kata sesetengah penulis blog UMNO). Ah! Mudahnya nak memperlekehkan majlis orang lain, hanya kerana mereka tak pernah buat, maka orang lain tak boleh buat, tak perlu buat. Siapa pula orang- orang ini yang nak tentukan apa yang boleh dan apa yang tak boleh?

Ada banyak perkara yang tak dibuat di masa pemerintahan BN yang telah dilaksanakan oleh kerajaan PR, dan rakyat menyambutnya dengan gembira dan lapang dada. Dulu tak ada skim kaffalah, sekarang kita buat, manfaatnya- rakyat yang miskin yang kematian ahli keluarga mendapat sumbangan RM500 daripada kerajaan dengan peruntukan RM4 juta setahun. Program ini wajib dicemburui, tapi tak ada berani melatah menentangnya kerana tajut rakyat akan marah, depa pun menerima manfaatnya.

Dulu kerajaan BN hanya beri kelulusan kawasan pembalakan pada harga RM500-1000 sehektar, hasilnya kerajaan manerima pendapatan RM8 juta setahun. Zaman sekarang hasil mahsul negeri yang jadi hak rakyat kita uruskan untuk mencapaia hasil maksimum. Premium balak tahun 2010 RM53 juta. Kawasan tebangan tetap sama.

Dulu depa tak buat kampus Insaniah, bersempi-sempitlah pelajar KUIN di bangunan tu, kampus macam rumah kedai. Sekatang kita dah buat kampus baru dengan sumber kerajaan negeri. KUIN dari segi kampus dan pelajar akan setaraf dengan universiti-universiti lain di Malaysia macam USM dan UKM. Banyak lagilah kalau nak sebut apa depa tak buat tapi kita buat.

Ya! Program Sambuatn Tiga Tahun ini kerajaan yang anjurkan, kata lah apapun, memang kita tak pernah ada kuasa memerintah, bila diberi amanah ini oleh rakyat atas takdir Allah, maka ia adalah satu sejarah, satu detik penting dalam kalendar negara ini. Maka ia patut diraikan, banyak juga tujuan dan manfaatnya. Sekurang-kurangnya kerja buat yang tidak dilapor dalam media arus perdana dapat dihebahkan kepada rakyat. Ini semua orang tahu, media kita terhad. Ekspo dan karnival pun medan dakwah juga, medan penghubung rakyat dengan kerajaan.

BN dan UMNO lain, tak payah buat karnival, tak payah hebah hebohkan tarikh dapat kuasa, sebab semua kalendar kerajaan "dipartipolitikUMNOkan". Projek sekolah pun BN punya juga, walhal itu tanggungjawab kerajaan. Program pimpinan kerajaan "ditwist" melalui media sebagai program pemimpin UMNO...

Kalau nak kasaq sikit, kita boleh usik begini...kalau depa buat program macam ni pun orang tak mau piiii...

Pesanan Pemimpin.

1. Rahib yang tekun beribadah di waktu malam dan Kuda yang tangkas berlari di waktu siang adalah modul pengkaderan yang gigih dilaksanakan oleh para ulamak Gerakan Islam untuk melahirkan para pejuang yang hebat sekaligus berkeupayaan tinggi untuk thabat  [ tetap pendirian ] di medan perjuangan meskipun berdepan dengan cabaran dan halangan yang getir.

2. Pengkaderan ini mesti melalui proses pentarbiyahan yang istiqamah [ pro aktif ] dan munazzamah [ sistematik ] agar ia benar - benar berkesan untuk melahirkan susuk seorang pejuang yang mampu melazimi tahajjud, zikir al Ma'thuurat, bacaan al Quran, munajat, solat sunat, puasa sunat, solat berjamaah, kuliah agama dan pelbagai aktiviti amal fardi  [ibadah persendirian] serta dalam masa yang sama aktif  dan lincah di medan siasah [ politik ] jua dakwah [ penerangan ].

3. Pejuang atau anggota parti yang mampu mengadun ketiga - tiga elemen ini [ tarbiyah, siasah dan dakwah ] dengan baik dan seimbang, maka ia adalah pejuang yang melengkapi piawaian  yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Se Malaysia [PAS].

4. Saya sangat mengharapkan agar Dewan Pemuda PAS Malaysia memulakannya dengan serius untuk melahirkan kualiti pejuang seperti ini memandangkan Dewan Pemuda PAS adalah kilang untuk melahirkan anggota dan pemimpin parti yang berkualiti di semua peringkat.

5. Tegasnya kita tidak mahu melahirkan hanya kumpulan pemimpin yang lincah di medan politik dan petah dipentas pidato  semata - mata [ tidak perlu saya ulas panjang mengenai aktiviti politik dan penerangan kerana ia sememangnya telah mengambil sebahagian besar dari masa kita ], tetapi jua seorang anggota dan pemimpin parti itu mestilah
akrab [ dekat ] dengan Allah swt. Menjadi orang - orang Allah [ Rabbaaniyyun ] yang gigih berjuang [ Ansoorullah ] untuk menegakkan syariat Allah swt.

6. Saya telah tegaskan dalam ucaptama saya sewaktu berlangsungnya muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia tahun 2010  yang lalu, betapa pemuda mesti melayakkan diri untuk mencapai piawaian Ansoorullah [ pejuang agama Allah ].

Ansoorullah tidak sekadar politikus tetapi ia adalah pejuang dan politik adalah sebahagian dari tugas wajib yang mesti dilaksanakannya.

7. Semua dari kita sangat menginsafi bahawa kemenangan buat perjuangan yang kita dokong ini hanyalah datang dari Allah swt. Sebagaimana Allah swt yang mewajibkan kita berjuang untuk menegakkan agamaNya, maka Allah jualah yang menentukan jadual dan tarikh kemenangan. Justeru itu,

selaku pejuang agama Allah swt, kita semua mestilah erat hubungan dengan Allah swt dan dekat kedudukan kita di sisi Allah swt. Semakin jauh kita dengan Allah swt. ertinya semakin sukar kita menggapai kemenangan buat perjuangan ini.

8. Mungkin ramai orang tidak berminat dengan kaedah ini kerana ia bukanlah kaedah yang popular dengan pendekatan politik moden hari ini. Hari ini populariti memberi saham besar untuk menang. Malah budaya dan tindakan populis ini kian meluas untuk gapai kemenangan.  Tanpa menafikan peranan tindakan populis dalam politik moden hari ini, kemenangan masih ditangan Allah swt.

Maka seorang anggota dan pimpinan parti mesti peruntukan masa yang secukupnya untuk ia berada dekat dengan Allah swt dan jangan sekali - kali lupakan Allah swt kelak Allah swt pula tidak ada masa untuk kita dan Allah swt pula melupakan kita.

9. Setelah kita lalui 16 kali pilihanraya kecil, saya percaya mantap benar pengalaman dan persediaan kita menghadapi pilihanraya. Segala ilmu mengenainya tersarang di dalam

feqh siasah dan ia adalah sebahagian dari tarbiyah yang perlu kita miliki.

Namun kesibukan dan kesungguhan kita menghadapi 16 kali pilihanraya itu, saya lihat kita kurang al Ma'thuurat, kurang munajat, kurang tahajjud, kurang baca al Quran, kurang solat berjamaah, kurang berzikir, kurang muhasabah diri dan kurang mujahadah kerana lebih tertumpu  kepada teknikal dan taktikal dalam pengendalian strategi dan operasi pilihanraya.

10. Ayuh pemudaku ! kita semarakkan kembali tarbiyah ruuhiyah  [ spiritual ] sekalipun dimusim pilihanraya  secara berjamaah, agar ia seimbang dengan politik [ siasah ] dan penerangan [ dakwah ] kita di semua peringkat [ pusat, negeri dan kawasan malah cawangan ] dengan aktiviti seperti berikut [ antaranya ] :

• Solat berjamaah
• Kelas pengajian agama
• Usrah mingguan
• Ijtima' Tarbawi secara bulanan atau dwi bulanan [ beserta qiamulail ]
• Liqa Fikri
• Mujaalasah Ulama'. [ mendampingi ulama' secara berkala ]
• Melazimi al Ma'thuurat supaya lahir pejuang yang gigih dan tekun mengabdikan diri kepada Allah swt di waktu malamnya serta tangkas dan cergas laksana seekor kuda di waktu siang untuk menjalankan tugas sebagai seorang anggota dan pemimpin parti.

Kita tidak mahu anggota atau pemimpin parti yang banyak menghabiskan masa dengan tidur, berbual kosong, khayal, bertelingkah dalam soal khilaf, mencari salah orang lain, menonton filem yang melekakan, mendengar muzik yang melalaikan dan pelbagai aktiviti yang tidak mendatangkan manafaat kepada agama, diri dan jamaah [parti].

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Sent via BlackBerry from Maxis

Monday, March 7, 2011

Analisis Kerdau

Oleh Al Fadhil Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man  
Naib Presiden PAS
Pengarah Pilihanraya N 28 DUN Kerdau

1. Keputusan PRK DUN Kerdau telahpun diketahui, dan media telah melaporkan bagaimana BN meraikan kemenangan tersebut dengan penuh gaya.

PAS merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN yang telah berjaya.2. Kini beliau menggalas amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, semoga dengan kuasa yang ada beliau mampu melaksanakan amanah ini. Rakyat akan menilai hal ini dan peranannya yang tentunya berbeza dengan wakil rakyat yang bukan dari aliran agama.

3. Kekalahan PAS dalam PRK Kerdau sememangnya telah dijangka, memandangkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kerusi yang telah dimenangi BN bilamana jentera kerajaan sepenuhnya diturunkan bagi memastikan kemenangan bergaya di negeri PM.  

4. Hakikat ini dapat dilihat bilamana PM dan Isteri turut sama berkempen  dengan peristiharan jutaan ringgit bakal diturunkan bagi kawasan DUN Kerdau.

Analisa Keputusan

5. Secara asasnya ada sesuatu yang agak menarik dalam keputusan PRK ini, bilamana

undi PAS secara keseluruhannya merosot sebanyak 184 undi atau -7.3%, dan undi BN meningkat sebanyak 925 undi atau +22.4% Peningkatan undi BN  hasil dari peningkatan peratus keluar mengundi sebanyak 3%. 

6. PAS mendapat peningkatan undi di semua kawasan Felda, walaupun mereka dijanjikan dengan pelbagai wang MPOB, dan SES berjumlah RM13,000 dan RM4,000 seorang. Keadaan ini membayangkan PAS  mempunyai masa depan yang agak baik di kawasan Felda, yang dianggap lubuk Umno.

7. Peningkatan undi di Felda Jengka 22 sebanyak 28.2%, di Jengka 23 meningkat sebanyak 8.0% dan di Jengka 25 pula meningkat 4.9%.  Kejayaan ini boleh dianggap kemenangan bagi perjuangan Anak yang mula diterima oleh masyarakat Felda, walaupun sebahagian mereka bersama anak dalam membuat tuntutan tetapi mempunyai pandangan politik yang berbeza. 

8. Hakikat ini dapat dilihat dari kehadiran ratusan pemuda khususnya generasi kedua dalam program anjuran Anak dan penyertaan mereka dalam Anak. 

9. Penghargaan juga harus diberi kepada PKR yang menumpukan gerakerja mereka di kawasan Felda bersama dengan jentera PAS dari Kelantan, Kedah dan Pahang. 

10. Di Kawasan Felcra Rumpun Makmur sokongan kepada PAS merosot sebanyak -4.2%. Hal ini berkemungkinan dari tumpuan jentera Felca seluruh negara dengan pelbagai ugutan kepada peserta Felcra. 

11. Walau bagaimana pun PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba. Kelemahan yang ketara di Unit Peti Undi berpunca dari kelemahan jentera di cawagan yang gagal berfungsi dengan baik, sehingga ada cawangan yang tidak bergerak dan terpaksa dibantu oleh tenaga luar. 

12. Kelemahan ini akan dapat diatasi dalam PRK, namum bilamana menghadapi PRU, suasananya tentu berbeza bila tenaga tempatan adalah penggerak utama. Diharap dengan PRK ini beberapa kelemahan dapat dikenalpasti dan di ambil tindakan segera, bagi menghadapi PRU akan datang.

13. Kini Kerdau mulai sunyi sepi, dan jalan-jalan yang diturap separuh siap, terus menanti curahan tar bagi menyiapkannya,  namun  apakah ianya akan terus kekal begini. Rumah-rumah buruk, kedai yang terbiar, projek perumahan yang terbengkalai dan sekolah agama yang tidak mendapat perhatian dan pelbagai gambaran tertinggalnya Kerdau dari pembangunan.

14. Apakah bandar  Kerdau akan terus menjadi "

bandar Kerbau". Sama-sama kita tunggu.


Sent via BlackBerry from Maxis

PAS patut risau undi muda, bukan Felda - Malaysiakin

Bukan semata-mata kegagalan menembusi kawasan Felda, PAS juga patut melihat lebih serius terhadap kemerosotan undi golongan muda ekoran kegagalannya merampas kerusi Kerdau daripada BN semalam.

Berbeza dengan penumpuan awal, keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan bahawa kekuatan PAS hampir tidak berubah – tidak banyak bertambah atau berkurang – di tiga kawasan Felda dan sebuah rancangan Felcra, yang dikatakan kubu BN.

Bagaimanapun, jika berbanding dengan lawannya, pertambahan sokongan BN lebih besar. Persoalannya, dari manakah datangnya sokongan ini?

Jawapannya boleh dilihat pada jumlah pertambahan pengundi dan peratusan yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka semalam.Calon PAS Hassanuddin Salim tumpas di tangan Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan majoriti 2,724 undi. Hassanuddin mendapat 2,336 undi manakala Syed Ibrahim mendapat 5,060 undi.

Dalam pilihan raya kecil kali ini, seramai 8,999 pemilih layak mengundi – pertambahan 542 orang daripada 8,451 pada tahun 2008. Manakala peratusan keluar mengundi pula meningkat kira-kira 3 peratus - daripada 80.33 kepada 83.2 peratus.

Ini menunjukkan bahawa orang muda dan pengundi baru lebih banyak terlibat dalam pesta demokrasi di kawasan seluas 273km persegi yang 65 peratus penduduknya bergantung hidup kepada aktiviti pertanian.Undi muda merosot 6 peratus.

PAS juga mengakui kedua-dua fenomena itu – pertambahan jumlah dan peratusan pengundi – menyumbang kepada kekalahannya kali ini.

Bagaimanapun, analisis segera pengarah pilihan rayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ahad malam tidak menyebut tentang trend pengundi muda yang kini kembali kepada BN.

Berdasarkan keputusan di saluran ketiga di Jengka 22, Jengka 23 dan Desa Murni, berbanding 43 peratus (atau 307 pengundi muda) sokongan dalam pilihan raya umum, sokongan kepada PAS merosot 6 peratus kepada 37.44 peratus sahaja.

Parti Islam itu mendapat 423 undi di ketiga-tiga kawasan itu berbanding BN sebanyak 707 undi. Jika ditanya apakah persamaan antara ketiga-tiga kawasan tersebut dibandingkan dengan tempat lain, mungkin satu jawapannya – mereka mendapat gelanggang futsal baru.

Di tempat-tempat lain, BN dilihat cuba memancing undi dengan mengumumkan pelbagai projek kebajikan seperti projek sambungan air bersih dan pembinaan masjid baru berharga RM500,000.

Sokongan itu selari dengan kenyataan timbalan ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim sebelum ini yang berpendapat golongan muda lebih mahu didekati melalui aktiviti berasaskan riadah dan sukan. Malah, timbalan menteri belia dan sukan itu sebelum ini tampil turut serta bermain futsal di Desa Murni bersama pengundi muda di Desa Murni.

Bob Lokman lawan Ana Raffali

Satu lagi projek yang dilihatkan memberikan kesan kepada undi muda adalah projek perkampungan Wi-Fi di Kerdau yang diumumkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim sebelum ini.

Populariti PAS di mata orang muda meningkat ekoran kedatangan pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman, menjadi luntur apabila BN membariskan penyanyi yang sedang meletup Ana Raffali yang menjadi kegilaan anak muda selepas menang dalam Anugerah Juara Lagu.

Mungkin tindakan PAS menagih sokongan pengundi Felda menyebabkan mereka lupa kepada 38.53 peratus pengundi muda - umpama pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.

Jika diteliti undi di kawasan 3+1, PAS hanya mendapat 1,276 undi berbanding BN sebanyak 2,131. Bagaimanapun, tidak harus menafikan, mereka mendapat tambahan 476 undi di kawasan itu.

Berdasarkan fakta ini, bermakna, PAS tidak pernah kehilangan sokongan di kawasaan itu sebaliknya mengalami masalah meluaskan pengaruhnya.

Soalnya, adakah serangan mereka melalui Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) tidak berkesan?Jawapannya tidak, ia berkesan. Cuma pemerhati politik berpandangan, kenapa ANAK baru muncul setelah hari kelima berkempen? Dan kenapakah pusingan awal kempen hanya bertumpukan isu "Buku Jingga" yang dilihat tidak difahami dan diambil peduli orang banyak pengundi di bawah?

Jawapannya ada pada PAS sendiri.

Sent via BlackBerry from Maxis

Thursday, March 3, 2011

Dendang Kerinduan seorang Ayah...Anak-anakku...Sabarlahh

Lama kelamaan kalian akan mengerti, mak akan beritahu satu persatu...malah mak akan mengulang-ulang pesanan ayah kepada mak... Bagitau anak- anak, ayah depa pergi kerja!

Ayah ada tinggalkan duit kepada mak untuk kakak, abang dan Asma' belanja di sekolah, bayar yuran dan beli buku. Kalau ada pemadam atau pensil hilang, bagitau mak elok-elok minta duit lebih untuk beli yang baru.

Lepas sekolah jalan lah pi lorong belakang sekolah untuk mengaji Quran kat ustazah...dengar kata kakak dah khatam...alhamdulillah. Ayah dulu khatam darjah enam, kakak khatam darjah 5, bagus lagi daripada ayah. Zuhdi baca apa dah?

Balik nanti pak cik Azizan pergi ambil. Kalau dahaga, minta Pak Cik Azizan berhenti di kedai beli air. Jangan minum air gas, beli sirap atau teh ais cukuplah. Ayah dulu minum air paip dalam tandas sekolah saja.

Balik rumah jangan bergadoh dengan adik... Zuhdi jangan pukul Asma', kakak tolong buat susu dan tidurkan adik Hana. Dengar cakap mama, dia pun sibuk jaga anak orang lain lagi...tolonglah ringankan tugasan dia. Jam lima setengah nanti mak mai ambik bila dia balik dari sekolah.
Kalau mak balik awal, dia akan ambil awal.

Ramai sahabat seperjuangan ayah kerja macam ayah juga, jarang ada di rumah. Semalam waktu kakak tanya, ayah tak sempat jawab sebab kalut cari fail ayah nak mengadap majikan ayah. Jam 2 pagi waktu ayah selesai dengan majikan ayah, kakak , mak dengan adik- adik dah dibuai mimpi. Bos ayah pun baru saja melelapkan mata. Ayah kena menulis dan menyiapkan kerja lagi untuk urusan esok.

Dalam bulan februari, ayah hanya ada di rumah waktu malam dan sempat bergurau senda dengan anak-anak ayah 3 malam saja. Pada malam dan siang selain itu, ayah pergi kerja... Nanti mak akan bagitau, ayah ke mana pulak dalam bulan Mac ni. Sabarlah, lama-kelamaan, kalian akan mengerti juga.

Petang ini ayah kena ke Kuala Lumpur, Bangi, Pahang dan Melaka. Ahad nanti ayah akan balik, siang atau malam belum tentu.

Duit sewa rumah, yuran sekolah dan upah mama jaga adik ada bawah lipatan kain dalam almari ayah... Lepas solat tiap-tiap waktu, doakan ayah selamat sepanjang perjalanan, bila ayah sudah mengadap Allah, kaka sudah berumah tangga, jangan lupa doakan kesejahteraan ayah di alam barzakh! Kita akan berbaris bersama di mahsyar kelak.

Malam ini bagitau adik-adik, ayah sayangkan semua anak ayah...ayah juga rindu. Tak payahlah kaka menjengok keluar tingkap untuk melihat ayah orang di depan rumah...ayah depa sudah habis kerja!

Selamat Berangkat Adik-adik Azharie....

Perjalanan pertama anak-anak Kedah yang akan kembali menyambung pengajian di Mesir ialah pada 5 Mac 2011. Kumpulan pertama seramai 222 orang yang ditaja perjalanan mereka oleh Kerajaan Negeri akan berlepas dari wisma Darul Aman jam 9 pagi dengan bas ke KLIA. Dari KLIA mereka akan dibawa dengan pesawat Egypt Air ke Kaherah. Saya mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Berangkat dan Selamat Jalan kepada seluruh pelajar kita yang akan berlepas pada tarikh itu dan yang akan mengikuti penerbangan seterusnya nanti.

Seperti pesanan Dato' Seri Ustaz Azizan..... Belajarlah bersungguh-sungguh, peluang belajar seperti mereka hanya datang sekali sahaja, jangan disia-siakan. Seluruh rakyat Kedah yang bergembira dengan langkah kerajaan negeri menaja perjalanan mereka dengan wang milik rakyat Kedah pasti mendoakan kejayaan semua pelajar kita.

Selamat Jalan ustaz dan ustazah...