Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Apabila tercetusnya isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penganjuran program di Damansara Utama Methodist Church, tidak semena-mena media arus perdana bertindak memaparkan berita dengan tujuan untuk melonjakkan UMNO menjadi juara mempertahankan Islam, seolah-olah memang benarlah UMNO adalah sebuah parti gagah perkasa yang mempertahankan Islam.
Perlu diketahui bahawa pertembungan agama untuk mencari penganut bukan perkara baru, kerana ianya berlaku sejak dari zaman Nabi Adam sehinggalah tamatnya ajal dunia ini. Umat Islam yang beriman bahawa mereka adalah penganut agama para rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W. wajib mempertahankan agama mereka dan menyebarkannya kepada seluruh manusia. Namun dilarang melakukan paksaan, kerana Islam itu bukan sahaja ucapan secara lisan, ianya hendaklah disertakan dengan iman dan dinyatakan dengan amalan yang ikhlas.
Rasulullah S.A.W. mengizinkan penganut agama lain wujud dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadi rakyat, yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.
Dalam masa yang sama Islam mewajibkan penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya. Zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran neraka kepada orang Islam yeng mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.
Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40:
Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Rasulullah S.A.W telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang. Maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.
Bagi penganut agama lain yang wujud bersama dan berada dalam masyarakat Islam yang lebih ramai sekalipun, maka hak beragama, berkeluarga, bekerja dan bermasyarakat bagi mereka adalah wajib ditunaikan dan haram dicabuli oleh mana-mana pihak. Dalam masa yang sama, banyak ayat Al Quran memaparkan berlakunya perbahasan secara hujah di antara Islam dan pihak lain dalam masyarakat Islam dengan mengutamakan kebijaksanaan.
Sejarah Islam juga memaparkan kewujudan orang Islam dalam masyarakat bukan Islam yang berkuasa dan adil tanpa paksaan terhadap penganut Islam:
Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabatnya berhijrah ke Habasyah, iaitu sebuah negara kristian ortodok yang adil di zamannya untuk mendapat perlindungan, dan berlakunya dialog di antara Islam dan Kristian dengan hujah.
Sejarah Islam di China menyebut kewujudan masyarakat Islam di negara China yang besar, dan adanya orang Islam yang menyumbang khidmat negara dengan cemerlang kepada negara China dan adanya hubungan diplomatik di antara China dan Islam dengan baik.
Amir Al Mukmin Umar bin Al Khattab dijemput oleh paderi besar Palestin yang menyambut kemenangan Islam menjatuhkan Rom Timur yang sebelumnya dikuasai oleh penganut Kristian yang berlaku zalim terhadap mereka. Khalifah Umar datang menerima jemputan dan melawat Gereja Baitul Laham.
Apabila tiba waktu sembahyang, Umar bertanya :”Di mana tempat saya bersembahyang?” Paderi besar menjawab: ”Di sini sahaja (dalam gereja)”. Umar menjawab: ”Tidak patut bagi Umar bersembahyang di sini, nanti generasi akan datang berkata 'Umar pernah bersembahyang di sini lalu mereka mendirikan masjid di sini (dengan merobohkan gereja)”.
Maka Umar pun keluar dan bersembahyang di halaman, dan bersempena dengannya didirikan masjid yang masih ada sehingga hari ini berhampiran dengan gereja yang masih ada. Apa yang paling menarik di zaman terkini, pihak gereja itu pula melindungi mujahidin Palestin yang dikepung oleh tentera zionis Israel.
Semua cerita benar tersebut berlaku dalam keadaan Islam diamalkan dengan sempurna, yang berbeza dengan Islam yang diamalkan oleh UMNO pada ketika lalu dan kini. Islam warisan penjajah Inggeris yang di zamannya Islam telah dirampas kuasanya daripada raja-raja Melayu dengan memenjarakannya dalam kepompong Jabatan Agama dan Majlis Agama yang tidak berkuasa mengikut Islam yang sempurna.
Manakala kedudukan jabatan agama adalah mengikut bidang kuasa seperti jabatan-jabatan lain, seperti jabatan pendidikan, tanah, kebajikan, termasuk jabatan haiwan dan perhutanan. Kuasa jabatan agama itu sekadar mengawal masjid, mengawasi khutbah dan pengajian agama, mengendalikan urusan keluarga Islam, pusaka dan harta wakaf.
Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya agama yang memerintah dan mentadbir. Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama, tetapi kerana kononnya kesalahan politik. Politik pula dipisahkan daripada agama, seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam.
UMNO tidak layak mempertahankan Islam kerana tidak berwajah Khalifah Umar yang melawat gereja dan bersembahyang apabila tiba waktunya, kerana Umar mendirikan sembahyang maka dengan sendiri mendirikan masjid, sedang UMNO mendirikan masjid tetapi tidak semestinya mendirikan sembahyang. Mereka boleh berhimpun untuk membincangkan agenda negara dengan meninggalkan sembahyang, sedangkan Saidina Umar tidak memisahkan sembahyang dengan urusan negara.
Kesimpulannya, kenyataan media milik UMNO dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali K.W. “Ucapan yang zahirnya benar , tetapi matlamatnya kebatilan“. Ianya dengan bermatlamat untuk memancing undi melayu Islam yang buta al Quran, bagi pilihanraya umum ke-13 untuk meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin.
Marilah kita buka Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat dan ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal dengan Islam yang sebenarnya. Bukan melalui media dan pengampu di sepanjang jalan.
Assalamualaikum,
ReplyDeletePakteh amat berharap Tuan Guru Haji Hadi selaku Presiden PAS yang Pakteh hormati tidak membuat kenyataan akhbar dan jika dibuat, tidak memngaitkannya dengan unsur politik.
Perjalanan kes ini begitu mudah. Ada aduan kepada JAIS yang EXCO bertanggungjawabnya ialah Hassan Ali. Satu kumpulan dibentuk untuk membuat siasatan di gereja tersebut. Tamat
Tuan Haji, JAIS dibawah Hassan Ali, Selangor dibawah PR, alih-alih nama UMNO turut terpalit. Mengapa tidak diakui pergolakan awal yang menjadi punca ialah antara Khalid Samad, Khalid Ibrahim dan Hassan Ali?. Mereka adalah dari PR...Tuan Haji...suluhlah dengan hati yang ikhlas...
Jika kita bersatu hati tidak mempolitikkan isu ini, keyakinan pengikut PAS kepada kepimpinan utama PAS akan kembali memuncak berbanding sekarang ini yang kebanyakkannya termanggu-manggu.
Tuan Haji kena akui semenjak pasca PRU12, banyak tindakan PAS telah menjauhkan ahli akar umbi dan pengundi atas pagar yang memangkah PAS/PR dalam PRU12 telah terfikir mereka melakukan kesilapan besar. Tindakan membuang matlamat NEGARA ISLAM menjadi NEGARA KEBAJIKAN menjadi arus deras yang memuncak hilangnya keyakinan mereka kepada PAS. Apatah lagi banyak pendirian PAS kini mengikut senada dengan DAP termasuklah isu gereja ini.
Mungkin TG Haji Hadi boleh menggunakan petikan ayat suci Al-Quran dan Hadis namun kesimpulannya diakhir kenyataan beliau masih merangkumkan kesalahan itu kepada UMNO.
Apa boleh buat tuan haji, Anwar yang dituduh meliwat, Najib dan Rosmah pula kena tampil ke mahkamah...kerana apa?..kerana Najib presiden UMNO dan Rosmah isteri Presiden UMNO....fikir-fikirkan.....