Wednesday, August 31, 2011

Kikis Semua Apa Saja Yang Ada Kemelayuannya... Kita Akan kelihatan Lebih Maju Dan Membangun???

Selepas menulis sedikit coretan tentang kemiskinan Orang melayu Islam di kawasan Parlimen Pekan, Pahang...saya bersiap untuk menulis tentang perubahan nama Puduraya kepada Pudu Central...diumumkan oleh PM...dan kebetulan keluar di akhbar pada hari yang sama. tetapi saya menangguh sekejap untuk mencari maklumat tambahan...baru sedap tembak. Akhirnya terlewat dan terlupa sehingga terbaca tulisan Sayuti Omar di Kedahlanie.... Hah! Terkuranglah sedikit tugas saya...saya petik tulisan beliau untuk renungan kita semua...

Sikit Punya Hal Tetapi Besar Kesannya

Ya Khoffi: DI berita tv malam semalam saya menyaksi Najib Razak telah melawat hentian Puduraya dan telah menukar nama hentian itu kepada nama baru Pudu Central. Menurut Najib nama itu dicadang oleh salah seorang rakan twiternya yang tweet kepadanya agar nama hentikan itu ditukar kepada nama baru.

Beliau tidak menyebut siapa dan bangsa apa rakan twiter yang tweet kepadanya itu. Saya percaya orang yang mencadangkan nama itu bukan seorang Melayu tulen yang kuat semangat dan seorang yang mementingkan sejarah.

Kalau dia seorang Melayu tulen sudah pasti dia akan mempertahankan nama lama yang lebih sesuai dan tepat dengan negara ini yang dihebuhkan sebagai negara berketunaan Melayu. Puduraya menunjukkan Pudu (hentian) yang besar dan lengkap. Nama Puduraya itu lebih lagi sesuai dengan kecanggihan dan kelengkapan yang disediakan setelah diubahsuai.

Kata Najib dalam mengulas kehebatan Puduraya itu ianya seperti sebuah lapangan terbang. Nah, makin sesuai sangat kalau nama Puduraya dikekalkan kerana orang Melayu khasnya boleh berbangga dengan nama itu. Kalau ditukar kepada Pudu Central ia tidak mempunyai apa-apa elemen keMelayuan lagi.

Najib sendiri juga tidak perlu bingkas sebegitu sekali kepada cadangan itu. Sebagai seorang pemimpin beliau sepatutnya peka dan peduli kepada elemen-elemen keMelayuan, sejarah, rupadiri dan juga memahami sentimen mengenai nama itu.

Lagi pun partinya adalah parti yang berjuang atas nama Melayu, kepentingan Melayu. Kalau perkara sekecil itu pun tidak dapat dipertahankan apalah hendak diharap kepada perkara yang lebih besar lagi.

Saya nak sebut dalam soal menjaga budaya, mempertahan budaya ataupun menyelitkan unsur-unsur budaya dan bahasa, orang Cina lebih peka berbanding dengan orang Melayu. Perhati saja kepada tulisan Cina dipapan-papan tanda. Walaupun sebesar mana tulisan dalam bahasa Melayu tetapi bahasa Cina tetap diselitkan di mana-mana sudut. Inilah kaum yang mementingkan kepada budaya dan citarasa mereka sendiri.

Terlanjur menyebut hal ini saya kagum dengan sikap Karpal Singh seorang sikh tetapi menghormati tulisan jawi. Dalam satu kad perniaga beliau yang diberikan kepada saya tercatat namanya dalam tulisan jawi. Apakah tindakan Karpal ini sebagai memerli orang Melayu atau memang dia merasakan tulisan jawi itu ada estitikanya tersendiri.

Berlainan dengan orang Melayu, nama yang sudah ada pun dicabut dan ditohok diganti dengan nama Inggeris yang menjadi kebanggaannya. Sebab itu saya katakan corak pentadbiran seseorang pemimpin ke atas negaranya bergantung atau dipengaruhi oleh latar belakang pendidikannya.

Kalau dia berpendidikan barat maka budaya baratlah yang dibawa dalam kehidupan dan gaya kepimpinannya. Kalau pendidikannya sekular maka sekularlah juga sistem yang digemarinya. Kalau dia berpendidikan budaya Arab Islam maka gaya dan corak itulah yang akan dilaksanakan. Pengaruh pendidikan dan ilmu besar sekali ke atas seseorang manusia.

Saya rasa Najib jangan sangat ghairah melakukan apa-apa tranformasi sehingga boleh mengikiskan budaya bangsa sendiri. Orang berkedudukan seperti beliau boleh melalukan apa saja kerana kuasa. Dan kalau beliau melakukan tidak ada siapa yang akan membantahnya, terutama orang Umno kerana mereka kebanyakannya berajakan kepada Najib. Siapa orang Umno yang berani membantah Najib?

Mungkin orang Umno akan mengatakan perkara itu remeh, apalah yang ada kepada nama. Tetapi kena ingat sesuatu yang besar itu bermula daripada perkara remeh. Bukan itu saja kalau perkara sekecil soal nama itu pun tidak boleh dipertahankan macam mana Najib dan Umno hendak mempertankan perkara-perkara lebih besar dari itu. Benarlah juga kata budak-budak Umno menjaul Melayu dan menjual negara.

Akhirnya selamat pagi kepada Najib bukan selamat hari raya di atas tindakan menukar nama Melayu kepada Inggeris itu. Titik tidak bernokhtah!

Saya Fikir Di Kedah Dan Kelantan Saja Ada Orang Miskin.....


by Muhammad Sanusi Md Nor on Monday, August 29, 2011 at 3:43am

Ada banyak berita mengejutkan sehari dua menjelang Hari Raya dan sambutan kemerdekaan...juga diambang pilihanraya umum ke 13. Paling mengejutkan saya ialah ramainya orang kurang berkemampuan yang termasuk dalam asnaf zakat di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, dan negeri yang diperintah oleh UMNO/Barisan Nasional. Kelmarin di laporkan (dalam Utusan Malaysia Hari ini), DS Najib sebagai Perdana Menteri dan isterinya menyampaikan zakat kepada 5000 Asnaf dalam kategori kurang berkemampuan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan Pahang.
Berita ini walaupun kecil tetapi lebih mengejutkan dari liputan besar 5 muka surat Utusan terhadap ucapan Timbalan Presiden PAS Bang Mat Sabu. Saya tidak mendengar ucapan Bang Mat Sabu yang dipetik dan dilanyak oleh Utusan Malaysia, tetapi sumpah saya membaca sendiri dan menatap gambar DS Najib dan Isteri menyampaikan bantuan itu.

Berita ini penting kerana ia membawa banyak mesej dan menjawab banyak tuduhan. Persoalan besar yang terjawab ialah, bukan sahaja di Kelantan dan Kedah sahaja ada orang miskin selepas 53 tahun di perintah BN, di Pekan tempat yang diwakili oleh PM pun ramai orang miskin. DS Najib menjaei wakil rakyat sejak berusia 21 tahun dan dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berusia 29 tahun. Selepas itu beliau di bawa bertanding di Parlimen dan tidak pernah kalah sejak itu. Sudah lebih 35 tahun DS Najib jadi wakil rakyat, sudah sekian lama dia menjadi menteri dan berada dalam kabinet, sudah menjadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan....sekarang dia sudah menjadi Perdana Menteri...orang paling berkuasa di Malaysia.
Zakat yang disampaikan itu pula dari beberapa agensi GLC seperti Tabung Haji, UDA, Bank Rakyat, PNB dan Affin Islamic Bank. Kalau dia bukan Perdana Menteri, saya percaya, asnaf yang ramai itu tidak akan menjadi penerimanya semalam. Untunglah penerima, untunglah Ahli Parlimen Pekan...untung dan berkatlah perniagaan para penyumbang.

Saya tidak tahu tahun lepas berapa orang yang menerima zakat di Pekan, tetapi selepas DS Najib melancarkan Slogan dan Program Satu Malaysia, "Rakyat di dahulukan, Pencapaian Diutamakan", ada 5000 orang minkin dan kurang upaya di Pekan sahaja. Saya tidak percaya kalau 5000 itu dia bawa dari seluruh Pahang. Berapa orang kurang berkemampuan di seluruh Pahang, negeri yang diperintah BN sejak Merdeka lagi? Tak tahu lah saya...

Ya, kita semua tahu, miskin dan kaya akan wujud sehingga kiamat, sebab itu di Kelantan, TG Nik Aziz melancarkan program mengurangkan kemiskinan, bukan membasmi kemiskinan yang dilaungkan oleh BN...tetapi usaha mengurangkan kemiskinan yang dianjurkan oleh Tg Nik Aziz diperlecehkan oleh sekelian pemimpin BN, kerana bagi mereka kemiskinan patut di basmi, bukan dikurangkan. Nah! Kalau dibasmi, mengapa masih ada kumpulan itu 20 tahun selepas mereka mentertawakan Kelantan?

Kalau dalam kamus pemerintahan BN, kemiskinan rakyat adalah lambang kegagalan kerajaan seperti yang sering dituduh kepada Kelantan, Kedah dan Terengganu satu ketika dulu, apa pula makna bila di Negeri BN, malah di kawasan Perdana Menteri wujud orang miskin dalam kuantiti yang ramai?

Membasmi kemiskinan adalah kerja mustahil dalam masyarakat manapun....Allah swt membahagikan kelompok manusia hambaNya dalam banyak kategori. Dalam Surah Al-Maa'un, Allah swt menempelak manusia yang mengherdik/mengabaikan anak yatim dan golongan yang tidak memberi makan orang miskin sebagai orang yang mendustakan agamaNya.
Sementara membangunkan masyarakat untuk membawa mereka keluar dari putaran ganas kemiskinan adalah satu kewajipan bagi sebuah kerajaan, kewujudan mereka di negeri Kedah dan Kelantan pula tidak patut dituduh sebagai episod kegagalan kerajaan negeri kerana rakyat tidak mahu memilih BN menjadi kerajaan.

Semua orang berhak membuat tafsiran sendiri tentang berita ini...namun bagi saya sebagai orang yang dekat dengan politik.... Maksud lain daripada berita sensasi ini ialah kalau BN menuduh Kedah dan Kelantan gagal kerana diperintah oleh PAS/PR, kerana ramai rakyat tidak mampu keluar dari kemiskinan, mereka juga mengalami simtom yang sama....apa lagi di kawasan PM dan negeri paling besar di Semenanjung....alahai!!! Oh! Ada Asnaf Juga Di Sana...

Saturday, August 20, 2011

SPR- Semakin Pening Rasanya...

Setelah diasak bertubi-tubi dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR, yang telah berkeras kepala dalam menafikan kelemahannya selama ini akhirnya terpaksa membuat pusingan U dan mengakui bahawa mereka sedar ada kelemahan dalam daftar pemilih negara.
 
Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekadar menyalahkan "kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)" sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.
 
Beliau juga dipetik sebagai berkata "tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini" sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih negara.
 
PAS kesal dengan jawapan yang diberikan Abdul Aziz dan lebih mendukacitakan ialah  sikap lepas tangan SPR, seolah-olah isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, bahkan berlaku di kebanyakan negara berlaku.
 
Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan "bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak".
 
Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada. 
 
Lebih malang dalam sistem serba canggih sekarang, SPR masih ketinggalan zaman sehingga berlaku perkara yang sangat mengaibkan. Bayangkan kalau Kg Baru pun didaftar sebagai pengundi, siap ada bersama nombor kad pengenalan.
 
Ketidakikhlasan SPR dalam memperbaiki sistemnya cukup terserlah dalam isu nama Kg Baru (MyKad: 830527115422) yang didaftarkan sebagai pengundi, dimana SPR hanya menukar nama Kg Baru kepada nama pengundi "Noraini binti Abdullah" berdasarkan data JPN tanpa usul periksa mengapa kesilapan demikian boleh berlaku.
 
Demikian juga pendedahan warga asing yang mendapat kerakyatan, dan didaftarkan sebagai pengundi dengan jumlah ribuan orang adalah gambaran kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan BERSIH 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut.
 
Meskipun SPR dan pihak berkuasa di bawah telunjuk Umno Barisan Nasional terus menggambarkan himpunan tersebut dalam nada yang sangat negatif ; tetapi disebabkan itu juga rakyat juga telah mula membuka mata dan dapat melihat betapa kotornya sistem pilihanraya negara kita yang dipenuhi dengan sampah sarap dan diancam oleh pendatang asing yang mendapat kerakyatan dan hak mengundi dengan begitu senang.
 
Rakyat boleh bayangkan apabila satu hari nanti undi warga asinglah yang bakal menentukan keputusan politik dan masa depan negara – siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?
 
Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihanraya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihanraya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihanraya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.
 
SPR dituntut melakukan segera satu reformasi bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil.
 
Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihanraya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya.
 
 
 


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Sent from my iPad

Kenapa Blogger UMNO Lebih Lajak Dari Laju? Mana Dapat, Sapa Bagi! Apa Tujuan???

Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini semakin hangat diperkatakan; terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Dato Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini. Dengan ledakan pelbagai bukti di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini.
 
Antaranya ialah:
 
1. Media pro-Umno yang terus melonjak isu ini dengan membuat serangan kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri.

2. Semua bukti wujudnya usaha pengkristianan dibongkar oleh blog-blog pro-Umno dan bukan oleh Jais, sedangkan semua bukti itu adalah bahan sulit yang tidak sepatutnya dikeluarkan selagi belum ada dakwaan di mahkamah.
 
Ini termasuklah soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan Jais yang sepatutnya diberikan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu. Kenapa bukti-bukti Jais ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno? 

3. Demonstrasi oleh Mohamad Ezam Mohd Nor dibuat di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk penyapu tandas, mangkuk tandas dihantar ke pejabat Menteri Besar.
 
Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses kristianisasi yang dilalukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?

4. Tindakan Jais melengah-lengah isu ini sehingga menimbulkan polemik umum tentulah tidak mendatangkan kebaikan kepada semua di waktu yang sama, ada pihak dalaman yang meledakkan pelbagai bukti dalam blog pro-Umno.
 
Kini, rakyat tengah menanti tindakan Jais, lebih-lebih lagi PAS Pusat telah menyatakan pendirian mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang usaha untuk mengganggu-gugat oleh mana-mana pihak. 

Kita sedar dalam sebarang tindakan kita perlu berhemah dan tepat dalam tindakan, kerana bukan soal kita tidak pertahan aqidah ummah, tetapi tindakan yang terburu-buru hanya menjerumus kita kepada perangkap yang sengaja dipasang oleh Umno dan merosakkan lagi nama baik agama Islam yang kini sudah tercacat cela akibat perbuatan Umno selama ini.
 
Bayangkan, setelah 54 tahun Umno mentadbir negara, ada lagi kes orang Melayu nak keluar Islam? Tak terfikirkah kita mengapa? Tak sedihkah kita?
 
Apa yang dipentingkan puak Umno ini dalam isu murtad ini ialah untuk mencari mangsa untuk menanggung kelalaian mereka dalam menjalankan tugas 'demi bangsa, agama dan negara' selama 54 tahun ini.
 
Adakah Umno cuba mencari penyelesaian dalam isu murtad ini? Tengoklah kenyataan-kenyataan mereka, mereka hanya nak cari siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini, dan tiada satu pun cadangan penyelesaian dibuat.
 
Padahal, selama ini umat Islam sentiasa bertanya:
Kenapa kerajaan tidak sedia menggubal akta pencegahan murtad? 
Kenapa ajaran Qadiani terus dibiarkan di Kg Nakhoda, Batu Caves yang banyak merosakkan aqidah umat Islam?
Di mana Umno dalam isu Lina Joy dan Ayah Pin yang sehingga kini masih bebas?
 
PAS tegas menjaga aqidah umat Islam, dan pada masa yang sama PAS juga pentingkan cara menyelesaikan isu murtad ini dengan baik supaya keamanan dan keharmonian antara rakyat Malaysia sentiasa dipelihara dan dijaga berbanding dengan Umno yang hanya ingin keuntungan politik dalam sebarang hal.
 
Isu aqidah – Umno marah pada PAS kononnya PAS tak mempertahankan aqidah umat Islam sebab ada kepentingan politik yang memihak kepadanya.
  
Isu jual kerakyatan rakyat – Umno bukan sahaja membisu malah meraikannya dengan segala penafian kepada segala bukti yang PAS bawa sebab ada kepentingan politik yang tidak memihak kepadanya.
 
Itulah Umno – dah jual agama selama ini dengan menakutkan Islam kepada rakyat bukan Islam untuk kekal berkuasa tetiba ingin menjadi hero Islam.
 
Apabila rakyat bukan Islam dah sedar atas penipuan mereka, sekarang mereka jual negara dengan beri kerakyatan kepada warga asing, terutama warga Indonesia supaya boleh meningkatkan jumlah 'undi Melayu' pada mereka atas slogan pembela orang Melayu untuk kekal berkuasa.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
 

Sent from my iPad

Jawatankuasa Khas Parlimen Reformasi Pilihanraya: kejayaan Bersih 2.0

Kenyataan Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya merupakan kajayaan besar himpunan 9 Julai Bersih 2.0, yang telah berjaya mengadakan bantahan besar-besaran secara aman serta membongkar dan menyedarkan rakyat tentang beberapa penyelewengan yang berlaku dalam sistem pilihanraya di Malaysia.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga sepatutnya badan pelaksana kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil telah menjadi sasaran utama pembongkaran hari ke hari yang mencerminkan kelemahan perjalanan sistem pilihanraya di negara ini.
 
Hasil pembongkaran demi pembongkaran yang membayangkan satu konspirasi yang seolah-olah terancang antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terutamanya dalam soal pengundi hantu, nama bertindih, pengundi warga asing, pengundi tanpa rekod di JPN sehingga kini masih tidak dapat dijawab oleh pihak-pihak bertanggungjawab.
 
Pembongkaran tersebut telah juga mewujudkan satu keadaan saling nafi-menafi antara SPR dan JPN, ditambah pula pengubahan data JPN dan SPR dengan sewenang-wenangnya menjadikan keyakinan rakyat jelata kepada ketelusan, kebersihan dan keadilan sistem pilihanraya semakin runtuh.
 
Semua ini ditambah pula tekanan daripada pihak Pakatan Rakyat (PR) yang menuntut satu sidang parlimen khas untuk membahas isu menjual kewarganegaraan untuk undi, akhirnya sedikit-sebanyak memaksa Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen ini.
 
Namun, apa yang menjadi persoalan utama ialah keanggotaan jawatankuasa ini, bilamana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan bahawa ianya akan diketuai oleh seorang menteri, lima ahli parlimen BN, tiga dari PR dan seorang bebas.
 
Tidak dinafikan rata-rata rakyat harapkan jawatankuasa ini akan berjaya mengemukakan satu cadangan konkrit bagi membentuk satu sistem pilihanraya yang bersih dan adil, tapi sebelum itu jawatankuasa ini mestilah ditubuhkan secara seimbang dan adil supaya tidak didominasi mana-mana pihak, pihak pemerintah mahupun pembangkang.
 
Bayangkan lebih separuh daripada anggota dan ketua jawatankuasa ini terdiri daripada manusia-manusia yang merasakan sistem pilihanraya negara ini selama 54 tahun yang lepas adalah bersih, adil dan bebas, apa yang boleh rakyat harapkan daripada jawatankuasa khas ini?
 
Tanpa penglibatan secara terus Bersih 2.0 dan juga badan-badan NGO yang lain beserta juga penghinaan terbaru Nazri terhadap Bersih 2.0 yang mendapat sokongan ramai rakyat jelata, apabila beliau menyoal secara angkuh, "Siapa Bersih?" – susah untuk rakyat untuk menerima bahawa penubuhan jawatankuasa ini sebagai satu tindakan ikhlas daripada Barisan Nasional untuk memulihkan semula sistem pilihanraya negara yang tempang ini
 
Sebab itulah, satu perubahan terhadap penubuhan jawatankuasa khas parlimen ini harus dibuat agar semua pihak boleh berpuas hati dengan keputusan pencariannya nanti.
 
Sehubungan dengan hasrat besar itu, di sini dicadangkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini bukanlah berbentuk jawatankuasa khas parlimen, kerana dalam bentuk ini, ianya akan menyekat keanggotaan pihak lain, seperti Bersih 2.0 dan rakyat biasa yang juga penting dalam proses pembaikan ini.
 
Dicadangkan jawatankuasa ini dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Reformasi Pilihanraya bagi memberi ruang keanggotaannya lebih terbuka dengan penyertaan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam sistem demokrasi berparlimen ini.
 
Dengan melebarkan sayap jawatankuasa ini, maka keanggotaannya lebih terbuka  bukan hanya kepada parti- parti politik bahkan ianya boleh disertai bersama oleh badan-badan NGO, Majlis Peguam, dan beberapa individu yang mewakili rakyat biasa yang difikirkan sesuai dan layak.
 
Perkara yang paling penting dalam penubuhan jawatankuasa khas ini ialah badan ini mestilah diyakini mampu membuat perubahan kepada sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil. Sekiranya ia gagal meyakinkan masyarakat, maka ianya tiada makna ditubuhkan jawatankuasa sedemikian.  
 
Oleh itu, dicadangkan di sini, agar keanggotaan jawatankuasa ini dirombak menjadi 12 orang, dengan 3 ahli parti pemerintah, 3 ahli daripada pembangkang, 3 ahli NGO, satu wakil SPR dan satu wakil JPN dan pengerusi yang dilantik oleh jawatankuasa terbabit mestilah seseorang yang diterima baik dan diyakini oleh semua lapisan rakyat sebagai seorang yang adil dan tegas dalam isu reformasi pilihanraya, seperti wakil dari Bersih 2.0 dan juga Suhakam.

Jawatankuasa ini mestilah diberi tempoh segera, sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan bagi menyiapkan cadangan untuk dibahas dan diluluskan di peringkat parlimen. Fokus utama jawatankuasa ini ialah mewujudkan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di negara ini.
 
Memandangkan kredibiliti SPR dan JPN kini berada pada tahap yang amat meragukan dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sebagai menghormati hak pengundi-pengundi yang berdaulat, sepatutnya pilihanraya umum tidak perlu dilaksanakan selagi penambahbaikan sistem pilihanraya ini belum dipulihkan.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sent from my iPad

Monday, August 15, 2011

Isu Gereja - Ilmu Menuntun Pendirian PAS

Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS



Apabila tercetusnya isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penganjuran program di Damansara Utama Methodist Church, tidak semena-mena media arus perdana bertindak memaparkan berita dengan tujuan untuk melonjakkan UMNO menjadi juara mempertahankan Islam, seolah-olah memang benarlah UMNO adalah sebuah parti gagah perkasa yang mempertahankan Islam.



Perlu diketahui bahawa pertembungan agama untuk mencari penganut bukan perkara baru, kerana ianya berlaku sejak dari zaman Nabi Adam sehinggalah tamatnya ajal dunia ini. Umat Islam yang beriman bahawa mereka adalah penganut agama para rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W. wajib mempertahankan agama mereka dan menyebarkannya kepada seluruh manusia. Namun dilarang melakukan paksaan, kerana Islam itu bukan sahaja ucapan secara lisan, ianya hendaklah disertakan dengan iman dan dinyatakan dengan amalan yang ikhlas.

Rasulullah S.A.W. mengizinkan penganut agama lain wujud dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadi rakyat, yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.



Dalam masa yang sama Islam mewajibkan penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya. Zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran neraka kepada orang Islam yeng mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.



Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40:



Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”



Rasulullah S.A.W telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang. Maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.



Bagi penganut agama lain yang wujud bersama dan berada dalam masyarakat Islam yang lebih ramai sekalipun, maka hak beragama, berkeluarga, bekerja dan bermasyarakat bagi mereka adalah wajib ditunaikan dan haram dicabuli oleh mana-mana pihak. Dalam masa yang sama, banyak ayat Al Quran memaparkan berlakunya perbahasan secara hujah di antara Islam dan pihak lain dalam masyarakat Islam dengan mengutamakan kebijaksanaan.



Sejarah Islam juga memaparkan kewujudan orang Islam dalam masyarakat bukan Islam yang berkuasa dan adil tanpa paksaan terhadap penganut Islam:



Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabatnya berhijrah ke Habasyah, iaitu sebuah negara kristian ortodok yang adil di zamannya untuk mendapat perlindungan, dan berlakunya dialog di antara Islam dan Kristian dengan hujah.



Sejarah Islam di China menyebut kewujudan masyarakat Islam di negara China yang besar, dan adanya orang Islam yang menyumbang khidmat negara dengan cemerlang kepada negara China dan adanya hubungan diplomatik di antara China dan Islam dengan baik.



Amir Al Mukmin Umar bin Al Khattab dijemput oleh paderi besar Palestin yang menyambut kemenangan Islam menjatuhkan Rom Timur yang sebelumnya dikuasai oleh penganut Kristian yang berlaku zalim terhadap mereka. Khalifah Umar datang menerima jemputan dan melawat Gereja Baitul Laham.



Apabila tiba waktu sembahyang, Umar bertanya :”Di mana tempat saya bersembahyang?” Paderi besar menjawab: ”Di sini sahaja (dalam gereja)”. Umar menjawab: ”Tidak patut bagi Umar bersembahyang di sini, nanti generasi akan datang berkata 'Umar pernah bersembahyang di sini lalu mereka mendirikan masjid di sini (dengan merobohkan gereja)”.



Maka Umar pun keluar dan bersembahyang di halaman, dan bersempena dengannya didirikan masjid yang masih ada sehingga hari ini berhampiran dengan gereja yang masih ada. Apa yang paling menarik di zaman terkini, pihak gereja itu pula melindungi mujahidin Palestin yang dikepung oleh tentera zionis Israel.



Semua cerita benar tersebut berlaku dalam keadaan Islam diamalkan dengan sempurna, yang berbeza dengan Islam yang diamalkan oleh UMNO pada ketika lalu dan kini. Islam warisan penjajah Inggeris yang di zamannya Islam telah dirampas kuasanya daripada raja-raja Melayu dengan memenjarakannya dalam kepompong Jabatan Agama dan Majlis Agama yang tidak berkuasa mengikut Islam yang sempurna.



Manakala kedudukan jabatan agama adalah mengikut bidang kuasa seperti jabatan-jabatan lain, seperti jabatan pendidikan, tanah, kebajikan, termasuk jabatan haiwan dan perhutanan. Kuasa jabatan agama itu sekadar mengawal masjid, mengawasi khutbah dan pengajian agama, mengendalikan urusan keluarga Islam, pusaka dan harta wakaf.



Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya agama yang memerintah dan mentadbir. Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama, tetapi kerana kononnya kesalahan politik. Politik pula dipisahkan daripada agama, seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam.



UMNO tidak layak mempertahankan Islam kerana tidak berwajah Khalifah Umar yang melawat gereja dan bersembahyang apabila tiba waktunya, kerana Umar mendirikan sembahyang maka dengan sendiri mendirikan masjid, sedang UMNO mendirikan masjid tetapi tidak semestinya mendirikan sembahyang. Mereka boleh berhimpun untuk membincangkan agenda negara dengan meninggalkan sembahyang, sedangkan Saidina Umar tidak memisahkan sembahyang dengan urusan negara.



Kesimpulannya, kenyataan media milik UMNO dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali K.W. “Ucapan yang zahirnya benar , tetapi matlamatnya kebatilan“. Ianya dengan bermatlamat untuk memancing undi melayu Islam yang buta al Quran, bagi pilihanraya umum ke-13 untuk meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin.



Marilah kita buka Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat dan ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal dengan Islam yang sebenarnya. Bukan melalui media dan pengampu di sepanjang jalan.

1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah hilang wibawa dan tidak lagi mempunyai status layak untuk mengendali sistem pilihanraya negara. Terlalu banyak kepincangan dan kelemahan yang menjejaskan nilai telus dan saksama dalam pengurusan dan pengendalian sebuah pilihanraya dalam negara demokrasi seperti Malaysia.

2. Pendedahan demi pendedahan oleh orang ramai dan parti - parti politik yang menyertai pilihanraya tidak mampu disangkal lagi, malah ianya telah melurut jatuh seluruh uniform Pengarah dan Timbalan Pengarah SPR dihadapan umum. Sangat memalukan dan sungguh menjengkelkan, apabila SPR kini berdepan dengan krisis integriti.

3. Bermula dengan pendedahan pegawai tentera yang mengaku memangkah atau mengundi bagi pihak undi pos, status pengundi yang pantas berubah dari My PR di waktu pagi kepada My Kad di sebelah petang pada hari yang sama, senarai nama pemilih yang banyak bertindih, berdaftar pula pada satu alamat dengan puluhan atau ratusan pemilih, senarai pemilih yang tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara tetapi ada dalam daftar pemilih SPR, senarai pemilih yang telah meninggal dunia sejak bertahun lamanya masih tersenarai dan terbaru sebuah kampung bernama Kg Baru disenaraikan sebagai pemilih dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi ....

4. Ringkasnya, negara  tidak boleh menghadapi pilihanraya berhakimkan SPR yang kini telah mengalami kecacatan parah pada nilai kepercayaan awam terhadap ketelusan dan keadilan mereka mengendalikan pilihanraya. SPR kini tiada pilihan melainkan hanya terpaksa berdepan dengan 3 keadaan :

a] Yang di Pertuan Agong merombak Suruhanjaya Pilihanraya yang ada pada hari ini.

b] Pengarah dan Timbalan Pengarahnya meletakkan jawatan segera

c] Merombak keseluruhan struktur Suruhanjaya ini dan membuat penstrukturan baru dengan penyertaan parti - parti politik yang bertanding serta pemerhati bebas dari peringkat antarabangsa.

5. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar salah satu pilihan di atas dikenakan kepada SPR sebelum terlambat. Tiada makna lagi pilihanraya, jika pengurusnya tidak telus dan pengadilnya tidak adil. Sebelum negara kita dipersenda oleh dunia antarabangsa dan rakyat seluruhnya hilang sabar dan kepercayaannya kepada SPR.

6. Saya mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan ini, dengan satu ketetapan dan penegasan kepada semua jentera pilihanraya pemuda di peringkat negeri dan kawasan agar menganjurkan sekurang - kurangnya ( 3 kali ) Malam Munajat Pilihanraya[MMP],  terutama saat kita meniti 10 akhir Ramadhan untuk memohon pertolongan Allah swt menghadapi makar atau tipu helah mereka yang telah hilang rasional semata - mata mahu mengekalkan survival kuasa pemerintahan mereka lalu mengabaikan amanah dan tanggubgjawab mereka untuk berlaku adil dan telus.

7. Lajnah Keahlian dan Ulama' Pelapis mungkin boleh membantu untuk memimpin Malam Munajat Pilihanraya [MMP] anjuran Jabatan Pilihanraya Pemuda di peringkat negeri dan kawasan. Nampaknya, hanya Allah swt boleh mendisiplinkan SPR. KepadaNya kita bermunajat dan kepadaNya jua kita bertawakkal.


Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Bongkar Penyelewengan SPR

Bongkar Penyelewengan SPR !

[ Saya selaku Ketua DPPM mengarahkan semua jentera pemuda PAS di semua peringkat khasnya kawasan dan negeri untuk mempertingkatkan tindakan membongkar penyelewengan dan mendedah salah laku SPR, agar rakyat segera menyedari bahawa sistem pilihanraya negara kita pincang teruk setelah dikendalikan oleh SPR yang telah hilang kelayakan mengurus. Rakyat mesti menjadi "Hospital Awam" untuk mengeluarkan sijil "Tidak Layak Urus pilihanraya" kepada SPR ekoran kini SPR sedang mengidap "down sindrom" yang kritikal.]

____________________________________

1. Pihak kerajaan UMNO dan BN kini terpaksa mengunci mulut berdepan dengan pendedahan demi pendedahan berkait penyelewengan yang dilakukan oleh agensi kesayangannya juga merupakan anak emasnya iaitu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia [SPR]

2. Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat yang dipemgerusikan oleh saudara Suhaizan Kaiat telah membuat pendedahan tersebut yang jelas membongkar salah laku SPR. Sebagai contoh boleh dirujuk :http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4869-umno-terlibat-manipulasi-pilihan-raya

3. Sebelum ini telah didedahkan isu Pemastautin Tetap dengan begitu mudah mendapat taraf warganegara. Pagi berstatus My Pr, pada hari yang sama pada sebelah petangnya telah bertukar taraf My Kad. DPPM telah menghantar memorundum kepada pihak Kementerian Dalam Negeri [KDN] mengenai perkara ini dengan memberi tempoh seminggu untuk pihak KDN mengambil tindakan yang berkesan dan wajar menangani perkara ini.

4. Begitu juga pendedahan mengenai perselingkuhan SPR dengan JPN apabila data JPN dan SPR tidak selaras sebagaimana yang telah didedahkan oleh DPP Malaysia sebelum ini.

5. Pendedahan ini sekaligus telah meruntuhkan nilai integriti dan melunturkan kebolehpercayaan rakyat kepada SPR. Jelasnya SPR kian hilang status kelayakan untuk mengendalikan sistem pilihanraya negara secara adil, telus dan saksama. Runtuhnya nilai integriti dan lunturnya tahap kepercayaan rakyat terhadap SPR bukan berdasarkan graf persepsi tetapi berdasarkan statistik berfakta dan memiliki bukti nyata serta pengakuan saksi seperti dalam kes mengundi dua kali dan manipulasi undi pos.

6. Jawapan standard yang dikeluarkan oleh SPR melalui pengerusinya ialah ini merupakan kesilapan manusia sewaktu memasukan data dalam sistem. Walhal kesilapan inilah yang mahu kita tolak. Kita tidak mahu manusia yang kerap melakukan kesilapan yang sama berulangkali justeru ia menjejaskan sistematika pemgurusan dan pengendalian pilihanraya negara.

7. Sekiranya SPR mempunyai tenaga manusia yang sering melakukan kesilapan serupa, Pengerusi dan Timbalannya mesti mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan segera dan SPR mesti dipimpin oleh manusia yang berkualiti tinggi, berintegriti dan bertanggungjawab.

8. Saya selaku Ketua DPPM mengarahkan semua jentera pemuda PAS di semua peringkat khasnya kawasan dan negeri untuk mempertingkatkan tindakan membongkar penyelewengan dan mendedah salah laku SPR, agar rakyat segera menyedari bahawa sistem pilihanraya negara kita pincang teruk setelah dikendalikan oleh SPR yang telah hilang kelayakan mengurus. Rakyat mesti menjadi "Hospital Awam" untuk mengeluarkan sijil "Tidak Layak Urus pilihanraya" kepada SPR ekoran kini SPR sedang mengidap "down sindrom" yang kritikal.

9. SPR yang ada pada hari ini mesti dibubarkan segera. Saya merayu dengan segala kerendahan diri sebagai rakyat biasa kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia yang di Pertuan Agong agar merombak SPR dan membuat perlantikan baru dengan diserahkan amanah suruhanjaya ini kepada mereka yang layak, berintegriti serta benar - benar telus dan bebas dari kawalan UMNO dan BN atau mana - mana parti politik yang bertanding.

10. Saya bersumpah dengan nama Allah swt Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Bijak, bahawa saya dan seluruh anak muda khasnya pemuda - pemuda PAS tidak rela menyertai pilihanraya umum yang ke 13 akan datang berwakil "wali" kan SPR yang ada pada hari ini. 

Salam Perjuangan dari saya
[ Salam Bersih 3.0]

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sidang Meja Bulat NGO Islam - Aqidah Ummat: Sikap dan Peranan

Sidang Meja Bulat Ngo - Ngo Islam
Anjuran : Ikatan Ilmuan Malaysia [ILMUAN]
Tajuk : Isu Aqidah Ummah : Apa Sikap dan Peranan Kita ?

Resolusi Sidang Meja Bulat
Shah Alam 13 Ramadhan 1432


Sidang Meja Bulat NGO-NGO Islam yang diadakan di Kompleks Perumahan Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 13 Ogos 2011 bersamaan 13 Ramadhan 1432 [sabtu] telah mengambil pendirian-pendirian berikut:

1. Kami bersepakat dan beriltizam untuk mempertahankan pegangan akidah umat Islam di negara ini daripada dicerobohi selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Peruntukan Undang-undang yang sedia ada termasuk menguatkuasakan undang-undang murtad.

2. Kami mendokong dan menyokong usaha mana-mana pihak untuk memperkukuh akidah umat Islam melalui program-program pendidikan dan kebajikan serta menuntut diperkasakan program-program tersebut termasuklah dengan mengembalikan semula bantuan yang secukupnya kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

3. Kami menggesa supaya JAIS dan pihak-pihak berwajib yang lain segera membuat tindakan dan pendakwaan jika benar terdapat usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam dari pegangan akidah mereka sebagaimana tuntutan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.

4. Kami menuntut supaya badan-badan yang berkaitan dengan harta amanah umat Islam bertindak secara cekap bagi membantu umat Islam yang terpinggir dan tercicir supaya kehidupan mereka lebih terbela dan terjamin.

5. Kami mendesak supaya isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar-akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

6. Kami menegaskan bahawa isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam ini adalah isu yang sangat sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, justeru menyeru kepada semua pihak supaya tidak bertindak menyalahi undang-undang yang termaktub.

7. Kami menuntut supaya semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi-institusi Islam termasuklah meruntuhkan institusi pendidikan Islam, masjid dan surau memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia disebabkan tindakan-tindakan mereka inilah yang telah mendorong agama Islam tidak dihormati.

8. Kami menggesa supaya institusi-institusi yang mentadbir urusan umat Islam diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak dan dihormati supaya institusi-institusi ini akan dilihat sebagai benar-benar berwibawa.

9. Kami mencadangkan supaya forum-forum seperti sidang meja bulat ini dijadikan platform muzakarah yang dapat menemukan semua pihak, pelbagai jalur pemikiran yang mewakili masyarakat madani dan parti-parti politik demi meninggikan syiar Islam di negara ini. 

10. Kami NGO yang hadir hari ini bersepakat untuk bergabung dalam membela Islam.

Ngo yang terlibat :

1. PIMPINAN
2. ILMAM
3. Sekteriat Pemuda Perihatin
4. Yayasan Kepimpinan Malaysia
5. Ummah Prihatin Malaysia
6. ILMUAN
7. Pro – Guam
8. Perubatan Islam Darus Syifa'
9. PAPISMA
10. GAMIS
11. INTELEK
12. BISA - Belia Islam Ampang
13. IKATAN - Ikatan Padu Rakyat Malaysia
14. IMPROF - Pertubuhan Muslim Professional
15. I - Khidmat - Ikatan Khidmat Muslim
16. MPM - Majlis Perundingan Melayu
17. GAGASAN
18. PMRAM
19. UKP - Usrah Kebajikan Profesional
20. FORKAD - Front Bertindak Anti Murtad
21. Umah Care
22. Terap Care
23. Tabung Kebajikan Al-Masakin.
24. Dewan Pemuda PAS Malaysia

sekian.

Presiden Ilmuan
Dr Fuad Salleh

Sunday, August 14, 2011

Program Iftar Perdana &
Taklimat Khas Penerangan Bersepadu PAS Kedah

Sempena
Sambutan Nuzul Quran 1432

Tarikh: 19 Ogos 2011 (Jumaat)
Masa : 6.00 Petang - 11.30 Malam
Tempat : Kompleks PAS Kedah, Batu 9

Penyertaan :

Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah
Ketua dan AJK Penerangan Dewan Ulama' Negeri,
Ketua dan AJK Penerangan Dewan Pemuda Negeri 
Ketua dan AJK Penerangan Dewan Muslimat Negeri
Ketua dan AJK Penerangan PAS Kawasan
Ketua Urusan dan AJK Penerangan MTD
Ketua Urusan dan AJK Penerangan UPU
Harian PAS Cawangan Seluruh Kedah

Bersama:
Dato' Hj Mahfuz Omar
Naib Presiden PAS
Dato' Hj Phahrolrazi Mohd Zawawi
Tim. Pesuruhjaya PAS Kedah

Wednesday, August 3, 2011

Perutusan Ramadhan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Perutusan Ramadhan Ketua DPP Malaysia :
Buat seluruh warga muda Muslim

1. Ramadhan adalah bulan yang penuh kemuliaan justeru itu, muliakan diri kita dengan menyertai Amal Islami lantas memperjuangkannya agar ia tegak di dalam diri kita dan tegak juga di atas tanahair kita, serta hiasi diri dengan akhlak Islami seperti tawadhu', ikhlas dan ramah.

2. Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, justeru itu hindarkan diri kita dari kancah maksiat dan mungkar yang menghakis keberkatan sebaliknya meriahkan hari - hai kita bersama Ramadhan dengan pesta ibadah. Banyakkan Ibadah, kurangkan juadah dan lazimkan bersedekah.

3. Ramadhan adalah bulan yang penuh keampunan, justeru itu dekatkan diri kepada Allah, munajat dan beristighfar memohon keampunan sehingga diri kita tenang dan optimis untuk menggalas amanah perjuangan ini tanpa dihambat oleh bayang dosa dan noda.

4. Ramadhan adalah bulan yang penuh kerahmatan, justeru itu bina kasih sayang berteraskan ukhuwwah Fillah sesama kita, hargai mereka yang tidak bernasib baik, santuni mereka yang jahil, didik mereka yang liar, bimbing mereka yang tersasar dari jalan kebenaran. Jangan banyakkan musuh sebaliknya kita adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang.

5. Ramadhan adalah bulan Jihad atau bulan perjuangan. Justeru itu, jangan biarkan diri terus dikongkong nafsu. Bebaskan diri dari lingkaran syahwah dan bangkit dengan semangat Badar al Kubra untuk terus menjulang panji perjuangan Islam ini dengan tabah, yakin dan istiqamah.

6. Ramadhan adalah bulan Al Quran. Justeru itu, marilah kita membaca al Quran dan mengkhatamkannya di bulan Ramadhan ini serta dalam masa yang sama, kita fahami, hayati dan laksanakan kandungan al Quranul Karim sehingga politik kita, ekonomi kita, sosial kita berada di antara helaian - helaian al Quran sebagai kitab petunjuk dari Allah Azza wa Jalla.

7. Ramadhan adalah bulan Takaaful. Justeru itu, jangan dilupa pada yang miskin juga pada yang tiada memiliki apa - apa. Banyakkan menganjur majlis berbuka puasa [ Maaidatur Rahman ] untuk mengundang fakir miskin, anak - anak yatim dan insan yang memerlukan berbuka puasa.

8. Ramadhan adalah bulan zikir [ mengingati Allah ]. Justeru itu, jangan kering bibir melainkan banyak berselawat, bertasbih dan bertahmid mengingati Allah dan banyakkan solat sunnat di waktu malam seperti Terawih dan witir, demikian juga melazimi majlis -majlis ilmu untuk mengingatkan kita kepada amanah beragama dan tanggungjawab memperjuangkannya.

9.Ramadhan adalah bulan Puasa. Justeru itu, tahan diri dari makan dan minum di siang hari. Jua tahan diri dari melakukan perkara yang keji dan dicela syara'. Jaga kesihatan dengan baik dan amalkan gaya hidup sihat. Syukuri segala nikmat kurniaan Allah, jangan tamak dan rakus menjamu nafsu.

10. Ramadhan adalah bulan Taqwa. Justeru itu, tunduk dan patuhlah kepada semua perintah Allah dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt. Taqwa senjata yang paling berkesan untuk menghadapi apa jua bentuk konspirasi musuh yang menentang Islam. Tanpa taqwa, objektif ramadhan gagal dicapai dan ramadhan kita tahun ini sia - sia. Taqwa adalah KPI kepada Madrasah Ramadhan yang kita sertai ini.

Nasrudin bin Hassan
Airport Antarabangsa Kuwait.
2.0 Ramadhan 1432

Kenyataan Media Ketua Penerangan PAS Pusat.

Fahaman Mana Yang Ganas?


Keghairahan UMNO melalui agensi Majis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.
 
Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu', bukan soal penafian prinsip Islam. Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain.
 
Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara. 

UMNO dalam sejarahnya pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin UMNO pernah menanggap politik suku agama suku.
 
Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia. 

Bukankah ini bukti fahaman UMNO yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?

Tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.
 
Cuma yang agak menghairankan bilamana ulamak Muda UMNO juga tergolong senarai pengganas.
 
Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong Bersih 2.0?
 
Kerana kalau benar ulama muda Umno ini ada kaitan dengan pengganas, bukankah ia sudah pasti menjadi ancaman kepada keselamatan negara? 

Sehubungan itu, saya bersetuju dengan pandangan bekas mufti, Dr Asri Zainul Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam UMNO.
 
Tidak terfikirkah bahawa apabila ulamak Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?
 
Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja lanun merompak wang negara dengan membunuh karear politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga.
 
 
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tuesday, August 2, 2011

MB Sedang Dirawat Di Institut Jantung Negara

Ramai sekali yang menelefon bertanya khabar MB, Dato' Seri Ustaz Azizan, khabarnya sedang di rawat di IJN... saya kata Ya, betul, tapi tahapnya saya tak tahu dengan detail. Beliau pergi ke IJN sewaktu saya sedang menjadi saksi (witness) mewakili Lembaga Pengarah SADA bersama Dato' Amiruddin terhadap ujian keberkesanan pam baru SADA di kilang ABS di Koln, German dan beberapa kilang lain di sekitarnya. MB meminta saya pergi.....Aku cemuih dah Eropah ni...tak larat naik kapal terbang dah!

Berjam-jam menunggu pam itu di uji di pusat ujian, bersama beberapa engineer dari SADA dan consultant projek loji air baru di Jeniang...tiba-tiba saya dapat sms dari pengawal pribadi beliau, memaklumkan Dato' kena tahan di IJN. Saya tanya serius kah? Katanya datang atas rutin biasa, tapi doktor kata kena tahan sebab ada saluran yang tersumbat, jadi kena masuk wad untuk ujian dn rawatan seterusnya. Untuk memberikan ruang secukupnya kepada proses itu, orang ramai tidak dibenarkan melawat.

Ya! Baguslah kalau begitu, semoga dia tak tergesa-gesa nak kira kerja dan tugasan yang banyak, kalau ada yang datang, tentu ada saja kerja yang di nak dibuat, arahkan itu ini, pastikan itu ini, cepat, tepat, zero mistake, cermat, berhemat...jangan lambat...bla..bla...bla...

Sudah lama benar, banyak kali sudah saya nasihatkan dia berehat sebentar...ustaz, ambillah cuti sehari dua, tenangkan fikiran, rehatkan badan, ambil stamina baru...nampak ustaz letih sungguh tu! Laaaa...aku nak rehat lagu mana? Hang tak nampak kerja kita bertimbun tu...lagipun, aku nak pi mana, atas kerusi panjang ni pun cukuplah...Sana pun kerusi panjang, sini pun kerusi panjang (dia maksudkan rumahnya di Sg Limau dan Jalan Sultanah). Satu dia katakan kepada saya...Sanusi...ada hadis kata.."Bekerjalah di waktu yang singkat, berehatlah di waktu yang panjang". Waktu singkat tu maksudnya dunia, waktu panjang tu maksudnya akhirat.... Saya tak jawab apa- apa lagi selepas itu.

2 bulan terakhir ini dia nampak mengubah rutinnya, sebelum ini dia tidur jam 1 atau 2 pagi, dari pagi kerja terus menerus, selalunya sebelah lewat malam tu masa untuk mendengar situasi di luar jangkauannya, dan memberi arahan baru. Kebelakangan ini dia tidur selepas maghrib, hingga jam 9.30 atau 10.00, selepas itu baru dia memanggil saya ke rumah. Kalau tak panggil saya, dia akan maklumkan dia nak jumpa si polan- sipolan di rumah, seuanya berkaitan kerja. Keletihannya nampak sangat-sangat. Jam 12 baru selesai. Ustaz Azizan bekerja dari pagi hingga pagi, dia patut berehat sekejap.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya mohon marilah kita berdoa dan bersolat hajat memohon Ustaz Azizan kembali sihat dan bertenaga untuk bertugas memimpin kita rakyat Kedah untuk mencapai Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua....terima kasih. Wallahu a'lam.