Sunday, April 3, 2011

Isu Demo Pelajar Maahad Tahfiz - Ini Jawabnya.

Isu Demo Pelajar Maahad Tahfiz - Ini Jawabnya.

Menteri Besar Arah Siasat
Yakin Demonstrasi Didalangi Pihak Tertentu

ROSLINDA HASHIM- Sinar Harian

ALOR SETAR - Tiada surat pekeliling dikeluarkan mengenai pemindahan pelajar tahfiz Kuliyyah Al-Quran, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) bagi menempatkan Sekolah Bestari di bangunan Maahad Tahfiz Negeri Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak merangkap Pengerusi Kuin, berkata, kemungkinan penyebaran maklumat palsu itu didalangi pihak tertentu yang berkepentingan kerana ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan Kuin.

"Tidak ada dalam mana-mana mesyuarat peringkat fakulti atau universiti, kita memutuskan untuk pindahkan pelajar itu ke tempat lain. Saya pelik daripada mana mereka dapat maklumat itu, mungkin ada pihak sengaja mahu buat kacau," katanya, ketika diminta mengulas tindakan lebih 100 pelajar tahfiz mengadakan demonstrasi membantah penempatan Sekolah Bestari di bangunan Maahad Tahfiz, kelmarin.

Menurutnya, tindakan itu seolah dirancang bagi mencetuskan suasana tegang antara Kerajaan Negeri dan rakyat Kedah termasuk pelajar terbabit.

"Kita sedang mencari siapa dalang di sebalik kekalutan ini. Saya akan arahkan pengurusan Kuin untuk menyiasat perkara ini dan jika ada pihak yang terbukti bersalah, mereka akan dikenakan tindakan," katanya.

Azizan bagaimanapun menyerahkan pada pengurusan Kuin untuk menjalankan siasatan termasuk ke atas pegawai dan tenaga pengajar Kuin yang turut serta dalam demonstrasi terbabit.

"Setiap universiti ada peraturannya, mana boleh pegawai sertai demonstrasi. Kakitangan tertakluk pada undang-undang, berbeza dengan pelajar," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Timbalan Dekan Kuliyyah Al-Quran Kuin, Mohd Idrus Ismail kononnya pandangannya sebelum ini tidak diendahkan, Azizan berkata, pihaknya tidak pernah dihubungi untuk membincangkan isu berkenaan.

"Saya kesal apabila saya dan rektor Kuin, Profesor Datuk Dr Jamil Osman dituduh tidak ambil berat masalah pelajar itu, sedangkan mereka tidak pernah suarakan masalah itu," katanya.  

Mengenai hasrat pelajar menyerahkan memorandum lapan perkara itu kepadanya dalam masa terdekat, Azizan berkata, sepatutnya mereka datang bersemuka dan berbincang terlebih dahulu, bukannya mengadakan demonstrasi tanpa mengetahui kedudukan sebenar.

"Patut hantar memorandum dahulu dan bincang. Jika dakwa Kuin tidak betul dalam hal ini, rundingan adalah jalan terbaik, bukan tunjuk perasaan. Saya kesal kerana ada pihak sebar cerita tidak benar mengenai Kuin," katanya.

Azizan turut kecewa apabila pentadbiran Masjid Sultanah Bahiyah turut masuk campur isu berkenaan dan cuba mengeruhkan lagi keadaan.

"Jika mereka mahu ambil alih pengurusan pelajar tahfiz itu, silakan. Tetapi jangan keruhkan keadaan. Perkara ini hanyalah salah faham yang digembar-gemburkan untuk memburuk-burukkan Kuin," katanya.

Menurutnya, pada era pemerintahan Tan Sri Sanusi Junid, Kerajaan Negeri mewujudkan dua buah institusi pendidikan berdekatan masjid berkenaan bagi tujuan mengimarahkan masjid, iaitu Tahfiz Al-Quran dan pengajian jarak jauh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Bangunan sebelah yang kosong sejak UiTM pindah, kita berikan pada Sekolah Bestari manakala sebahagiannya dalam proses baik pulih dengan peruntukkan RM250,000. Kita buat pun untuk keselesaan pelajar," katanya.

Menurutnya, pelajar diminta bersabar kerana mereka akan dipindahkan ke kampus induk di Kuala Ketil yang lebih selesa dan lengkap infrastrukturnya yang kini sudah siap 20 peratus.


Sent via BlackBerry from Maxis

1 comment:

  1. Ada yang tak kena lagik rasanya nie... masih ada yg tak puas hati dengan penjelasan tersebut... jadi pandai2lah olah ia bagi jadi elok yaa...

    ISU DEMO DI KUIN - INI PULAK JAWAPAN APA REKTOR JAWAB SEMALAM & MB JAWAB DALAM SINAR HARIAN

    ReplyDelete