Cantas: Hal yang tidak terjadi dikatakan gagal?
Saya percaya dengan yakin Abg Mat tidak terbabit, tidak berminat dan malah diselubungi kehairanan dengan isu cantas mencantas beliau yang didakwa berlaku di Kedah, khususnya di Pendang. Ini dimainkan oleh juak- juak yang ghairah dengan auranya dan sedikit gopoh dalam usaha membawanya ke Pendang. Juak-juak yang tenggelam dengan kegopohan itu lupa bahawa isu mereka itu telah memberikan imej negatif kepada Timbalan Presiden PAS itu, kepada PAS, PAS Kedah dan PAS Pendang. Isu itu melahirkan budaya UMNO dalam PAS - mengada-adakan cerita adanya cantas untuk mencantas! Adakah niat mereka disebalik dakwaan itu adalah mencantas kepimpinan dan ahli PAS di Kedah?
Cantas dalam parti politik berlaku kepada pimpinan setempat, penyandang atau yang sudah ditetapkan untuk berada di situ atau pernah berada di situ. Cantas dilakukan supaya seseorang pemimpin tidak dipilih sekali lagi, ataupun supaya tidak diberi peluang dipilih setelah adanya keputusan atau arahan supaya di bertanding di sesuatu kawasan.
Cantas tidak boleh berlaku kepada orang di luar tempat itu, tidak pernah berada di situ, bukan penyandang, atau hanya baru dicadang di salah satu peringkat yang ada beberapa peringkat lagi. Cantas juga tidak berlaku kepada orang yang ditolak. Cantas juga tidak berlaku kepada pimpinan yang sengaja merebahkan dirinya atau berundur sukarela.
Cantas dan melobi adalah kembar tidak seiras dalam politik sekular. Setelah usaha melobi dibuat, andainya dirasakan tidak mencukupi, belum berupaya mendatangkan hasil yang diingini, kembar tidak seirasnya akan digunakan. Kedua kembar ini juga boleh berjalan seiring...seringkali berlaku begitu jika situasi sudah terdesak.
Mencantas dan melobi adalah budaya politik UMNO/BN, budaya politik sekular. Ia tidak boleh dibiarkan berlaku dan menular dalam PAS. Ini budaya politik bahaya. PAS mesti istiqamah dengan sikap menolak bila diberi amanah/ jawatan, tetapi berhabis-habisan dan bermati-matian melaksanakannya bila diberi tanggungjawab memikul amanah oleh jemaah. Meminta jawatan adalah syarat pertama ketidaklayakan memegang jawatan dalam PAS. Istiqamahlah dengan sikap dan amalan ini. Prinsip PAS dalam bab kepimpinan dan amanah ialah "fastabiqul khairaat"... Ia tidak boleh berbuah dari benih dan baja yang dicemari mufsiduun dan mutajassisiin yang memulakan amalan tuduh menuduh.
Dalam kes yang dibangkitkan oleh Malaysiakini, (http://www.malaysiakini.com/news/204683) istilah cantas telah digunakan dalam setuasi dan senario yang salah! Orang yang membangkitkan kes itu kepada Malaysiakini sengaja mereka reka cerita untuk memulakan cerita baru. Mengadakan cerita cantas untuk memulakan proses mencantas. Kembar seiras tadi berjalan seiringan tetapi seorang daripadanya berjalan mengundur. Adakah mereka tidak dapat menyedari strategi itu tidak akan berkesan untuk mencapai hajat mereka, sebaliknya boleh membawa rebah dan calar.
Seperti petikan dari sumber PAS Kedah dalam artikel Abd Rahim Sabri di Malaysiakini, PAS Kedah tidak ada masalah dengan Abg Mat, dia tidak ditolak. Tetapi bila sumber dalaman yang menjadi sumber utama cerita itu telah mengadakan adakan cerita cantas, dia sebenarnya telah membuat garisan calar pada imej, integriti dan ketokohan Abg Mat sebagai Timbalan Presiden PAS. Mana boleh dia dicantas di Kedah di kala auranya begitu segar di negeri ini. Ada yang mengenali PAS dan beristiqamah dengan kerja- kerja jemaah atas teladan yang ditunjukkan oleh beliau.
Saya sendiri sebagai ahli PAS berpendapat Abg Mat boleh bertanding di mana saja dia mahu, dia diarahkan dan diputuskan oleh PAS Pusat. Datanglah ke Kedah atau ke mana negeri yang dia boleh menang kerana suara dan kebolehannya sangat diperlukan dalam Parlimen. Datanglah atas ketinggian harakinya dalam parti, dengan jalan yang lazim dan tersusun. Jangan serahkan kerja -kerja perintis jalannya kepada penebas-penebang yang menimpakan reba dan dahan kepada kebun sekitarnya untuk memacak pancang di kebun baru.
aku tak mboh nak komen isi, tapi aku nak puji, gaya bahasa mu sedap weh ooo
ReplyDelete