Tuesday, November 22, 2011

Alhamdulillah Sidang Bajet Telah Selesai..Bencana Banjir Tidak Menimpa

Ada dua kegembiraan kita pada bulan November tahun ini. Pertama Kedah telah meluluskan Bajet Terbaik sepanjang sejarah. Kedua kerana banjir yang diramal oleh agensi peramal cuaca dan ramai ahli nujum kampung tidak berkunjung.

Ramai yang menyaksikan persidangan Bajet tahun ini. Sidang yang aman dan tenteram. Yang tidak pernah berlaku iaitu pembangkang mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan pun turut terjadi tahun ini. Mungkin kerana tak ada apa-apa yang boleh dikatakan lagi - semuanya OK!

Isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang semuanya dihimpunkan menjadi soalan dewan, dengan harapan kerajaan negeri tak dapat menjawabnya, dan kantoi! Berjayalah mereka menghentam kerajaan dengan TKO. Nanti bolehlah dijual kepada rakyat dan pengundi kerajaan sekarang bobrok, gagal menjawab soalan pembangkang dan dibelit isu yang tak terurai.

Tapi yang terjadi adalah sebaliknya. peluang ini digunakan sebagai medan kerajaan menjelaskan kepada rakyat dan kepada pembangkang sendiri kedudukan sebenar dari hal yang dibangkitkan. Jawapan yang terus dan terang. Ruang untuk menjawab tohmahan di luar yang terhad, terhidang di dewan yang mulia itu. Penjelasan di DUN lebih berintegriti oleh orang yang berautoriti. Terjawab sekelian persoalan yang menjadi modal pembangkang, terhurailah segala kekusutan yang direka cipta...Akhirnya mereka mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan. Video-video ucapan boleh diakses di facebook saya dan ramai rakan yang lain.

Berita di TV seperti mendoakan berlaku banjir seperti tahun lalu - pesta pimpinan kerajaan Pusat/BN menunjukkan keperihatinan dan menabur budi kpada mangsa yang dipindahkan. Berkumpul sekelian anak pinak dan jiran tetangga di dewan dan sekolah menanti pemimpin BN/Menteri datang berucap dan menghulurkan tangan. Tanpa banjir, tiadalah budi, tiadalah salam! tiada juga tilam!

PAS melalui Dewan Pemuda mengadakan munajat kepada Allah swt supaya dijauhkan bala bencana banjir. Solat hajat dan doa dipanjatkan kehadrat Malikul Mulk - Pemilik dan Pencipta Yang Maha Kuasa supaya dihindarkan bencana itu dari kita semua. Nampaknya setakat ini munajat itu dimakbulkanNya.

Aman damailah Kedah untuk menempuh setahun lagi ke tahun 2012...penuh bergaya.

Tahniah untuk semua. Terima kasih!

2 comments:

  1. Tn Hj,

    Soal bajet.....pakteh xmo ulas walaupun ada diberikan beberapa info...Tn Hj lebih tahu segala-galanya.

    Cuma pakteh tertarik cara Tn Hj ulas isu banjir.
    Bersyukur setakat hari ini...masih belum kena. Sepatutnya kita bersyukur TV setiap hari memberikan peringatan berkaitan banjir MALAH kali ini persiapannya yg paling tersusun pakteh pernah lihat.

    TV sentiasa memberikan maklumat terkini....

    Soal agihan kepada mangsa banjir....Tn Hj sendiri boleh fikirkan dengan hati yg ikhlas....pakteh tahu keadaannya...pakteh juga orang kedah. Ada sanak saudara ada juga yg turut terkena...cerita mereka dari hati mereka...bukan dari mulut orang politik. Terus terang....Pas jauh ketinggalan....mungkin kerana kurang pengalaman menggerakkan seluruh jentera....jadikan itu sebagai pengajaran bukan bersembang ego sombong.

    Banjir memang belum sampai...tapi ramalan mengatakan akan banjir.....Kelate, Ganu, Johor dah kena.....sehari dua ni pun memang mendung. Bagus bersolat hajat tapi jangan berdiam diri tidak berusaha malah seperti terleka dengan banjir yang belum tiba.....hati-hati Tn Hj.

    ReplyDelete
  2. Pak Teh lebih prihatin soal banjir nampaknya...terima kasih kerana itu. Tapi pak teh kena tahu juga, selama berlaku banjir di mana-mana, PAS lah terkehadapan untuk bantu mangsa termasuk di Johor bila Unit Amal Pemuda PAS mendapat jolokan tentera merah. Tak kira parti, tak kira bangsa... khidmat pemuda PAS sentiasa di depan.

    Sekarang inipun, pegawai-pegawai di semua daerah sudah diarahkan menghadapi kursus dan latihan menghadapi bencana itu. MB pun telah mengagihkan sebuah bot khas kepada daerah2 yang kekurangan peralatan itu. Kita pun telah bersedia jika ia datang juga... Petugas parti juga siap menerima arahan dari masa ke semasa...cuma tak masuk TV saja.

    Dalam hal negeri kita dilanda musibah tahun lepas, nampak sangat-sangat UMNO bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat untuk menaikkan imej parti. Dipecahkan belahkan agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat, sampai pegawai naik pening.

    Untuk makluman, bagi sebuah kerajaan yang dipandu berdasarkan undang-undang dan peraturan - di bawah MKN 20 - prosedur tetap menghadapi bencana seperti banjir, semua agensi kerajaan diletakkan dibawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri di peringkat negeri, dan Pegawai Daerah di peringkat Daerah. Bilik-bilik gerakan banjir di peringkat negeri dan daerah di ketui oleh pegawai-pegawai ini. Ini yang dipatuhi oleh kerajaan negeri dan para pegawai.

    Tahun lalu, saya saksikan sendiri kerajaan pusat melalui menteri, timbalan menteri dan ketua-ketua parti politik dalam BN membelakangkan sama sekali MKN 20. Pusat dan negeri seolah-olah dua buah wilayah berasingan. Habis kelam kabut sekelian pengarah agensi-agensi bantuan. Di sini MKN 20, di sana bapak dan mak menteri...termasuk yg tidak menghormati MKN 20 ialah Timbalan Perdana menteri

    Bilik gerakan dibuka berasingan dan dikelola oleh pemimpin parti, meggunakan dana agensi-agensi kerajaan yang terpecah dua. Apakah contoh teladan yang sedang ditunjukkan ini?

    Hanya kerana Kedah diperintah oleh PAS dan PR, bilik gerakan banjir negeri yang dikelola dibawah prosedur tetap MKN tidak dijengok oleh menteri pusat, malah diperlekehkan pulak. Pengarah JKM kedah menghubungi saya mengadu kecelaruan dan belah bagi yang terpaksa beliau hadapi. Saya faham situasinya ketika itu, dan saya serahkan kepada budi bicaranya sendiri apa yang perlu diikuti.

    Dalam saat-saat genting seperti itu, Kerajaan Kedah terus bekerja mengenepikan semua sentimen parti dan politik...mereka sebaliknya. Pusat-pusat pemindahan dipantau oleh pegawai daerah dan dikelola oleh penghulu dan agensi yang masih ada pertimbangan. Pemuda PAS dan seluruh jentera memberikan kerjasama penuh kepada pegawai bertanggungjawab. Kita tidak memacak bendera dan melihat warna untuk menghulurkan bantuan.

    MB dari pagi sampai tengah malam ke hulu ke hilir melawat, memantau dan mempengerusikan mesyuarat2 penting untuk menghadapi bencana. Rumah saya sendiri dimasuki air sedalam 4 kaki dan saya tak sempat mengambil apa-apa untuk diselamatkan. Mujur anak isteri disuruh balik kampung lebih awal dengan dua buah beg untuk ke Mekah. Rumah MB masuk air separas lutut. Diwaktu kita patuh dan akur dengan peraturan, mereka di sebelah sana sibuk menghentam dan membina tembok memelihara kepentingan... demikianlah yang sedang dimulakan sekarang. Saya akan terus bermunajat untuk Allah menjauhkan banjir daripada kita semua pada tahun ini.

    ReplyDelete