Tuesday, November 29, 2011

Banjir Tak Jadi Tahun Ni ...InsayaAllah!

Nak jawab sikit komen Blogger Pak Teh yang  lebih prihatin soal banjir daripada perkara besar dalam Bajet Negeri Kedah 2012. Terima kasih jugalah kerana itu. Tapi Pak Teh tentu tahu juga, selama berlaku banjir di mana-mana, PAS terkehadapan untuk bantu mangsa termasuk di Johor bila Unit Amal Pemuda PAS mendapat jolokan tentera merah. Tak kira parti, tak kira bangsa... khidmat pemuda PAS sentiasa di depan.

Bukan saja banjir, apa saja bencana yang menimpa, pemuda PAS atas nama Unit Amal, Yayasan Amal, Sukarelawan  dan tanpa apa-apa tanda akan sentiasa di hadapan tanpa mengharapkan publisiti di TV, radio akhbar, apalagi upah dan elaun.
Sekarang inipun, di Kedah, pegawai-pegawai di semua daerah sudah diarahkan menghadapi kursus dan latihan menghadapi bencana banjir. MB pun telah mengagihkan sebuah bot kepada daerah2 yang kekurangan peralatan itu. Kita pun telah bersedia jika ia datang juga... Petugas parti juga siap menerima arahan dari masa ke semasa...cuma tak masuk TV saja.
Dalam hal negeri kita dilanda musibah tahun lepas, nampak sangat-sangat UMNO bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat untuk menaikkan imej parti. Dipecahkan belahkan agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat, sampai pegawai naik pening.
Untuk makluman, bagi sebuah kerajaan yang dipandu berdasarkan undang-undang dan peraturan - di bawah MKN 20 - prosedur tetap menghadapi bencana seperti banjir, semua agensi kerajaan diletakkan dibawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri di peringkat negeri, dan Pegawai Daerah di peringkat Daerah. Bilik-bilik gerakan banjir di peringkat negeri dan daerah di ketui oleh pegawai-pegawai ini. Ini yang dipatuhi oleh kerajaan negeri dan para pegawai.

Belum sempat tumit kasut basah, Menteri yang datang cepat-cepat mengutuk kerajaan negeri yang dituduh lambat dan lemah. Padahal, pegawai dan agensi yang sepatutnya berada di bawah arahan SUK dan Pegawai Daerah selaras dengan kehendak MKN 20, dipecah belahkan untuk berada di bawah UMNO dan pemimpinnya.

Tahun lalu, saya saksikan sendiri kerajaan pusat melalui menteri, timbalan menteri dan ketua-ketua parti politik dalam BN membelakangkan sama sekali MKN 20. Pusat dan negeri seolah-olah dua buah wilayah berasingan. Habis kelam kabut sekelian pengarah agensi-agensi bantuan. Di sini MKN 20, di sana bapak dan mak menteri...termasuk yg tidak menghormati MKN 20 ialah Timbalan Perdana Menteri.

Bilik gerakan dibuka berasingan dan dikelola oleh pemimpin parti, meggunakan dana agensi-agensi kerajaan yang terpecah dua. Apakah contoh teladan yang sedang ditunjukkan dalam negara yang menerima pakai sistem federalisme ini?

Hanya kerana Kedah diperintah oleh PAS dan PR, bilik gerakan banjir negeri yang dikelola dibawah prosedur tetap MKN, tidak dijengok oleh Menteri Kerajaan Pusat, malah diperlekehkan pulak. Pengarah JKM Kedah menghubungi saya mengadu kecelaruan dan belah bagi yang terpaksa beliau hadapi. Saya faham situasinya ketika itu, dan saya serahkan kepada budi bicaranya sendiri apa yang perlu diikuti.

Dalam saat-saat genting seperti itu, Kerajaan Kedah terus bekerja mengenepikan semua sentimen parti dan politik...mereka sebaliknya. Pusat-pusat pemindahan dipantau oleh pegawai daerah dan dikelola oleh penghulu dan agensi yang masih ada pertimbangan. Pemuda PAS dan seluruh jentera memberikan kerjasama penuh kepada pegawai bertanggungjawab. Kita tidak memacak bendera dan melihat warna untuk menghulurkan bantuan.

rumah saya pada hari pertama..air naik separas pinggang di hari kedua...
MB dari pagi sampai tengah malam ke hulu ke hilir melawat, memantau dan mempengerusikan mesyuarat2 penting untuk menghadapi bencana. Rumah saya sendiri dimasuki air sedalam 4 kaki dan saya tak sempat mengambil apa-apa untuk diselamatkan. Mujur anak isteri disuruh balik kampung lebih awal dengan dua buah beg untuk ke Mekah. Rumah MB masuk air separas lutut. Diwaktu kita patuh dan akur dengan peraturan, mereka di sebelah sana sibuk menghentam dan membina tembok memelihara kepentingan... demikianlah yang sedang dimulakan sekarang. Saya akan terus bermunajat untuk Allah menjauhkan banjir daripada kita semua pada tahun ini. Seluruh ahli dan pimpinan PAS juga begitu. Cuma beberapa kerat pemimpin yang sedang 'kering' segala hal berharap air melimpah untuk mereka menangguk di air bah!!

(Asalnya tulisan ini ialah komen saya di bawah posting sebelum ini)



Sunday, November 27, 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru 1433 Hijriah

Semoga tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Berdoalah semoga kita terus dipanjangkan umur dalam kebajikan, taat perintah Allah swt mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Tuesday, November 22, 2011

Alhamdulillah Sidang Bajet Telah Selesai..Bencana Banjir Tidak Menimpa

Ada dua kegembiraan kita pada bulan November tahun ini. Pertama Kedah telah meluluskan Bajet Terbaik sepanjang sejarah. Kedua kerana banjir yang diramal oleh agensi peramal cuaca dan ramai ahli nujum kampung tidak berkunjung.

Ramai yang menyaksikan persidangan Bajet tahun ini. Sidang yang aman dan tenteram. Yang tidak pernah berlaku iaitu pembangkang mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan pun turut terjadi tahun ini. Mungkin kerana tak ada apa-apa yang boleh dikatakan lagi - semuanya OK!

Isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang semuanya dihimpunkan menjadi soalan dewan, dengan harapan kerajaan negeri tak dapat menjawabnya, dan kantoi! Berjayalah mereka menghentam kerajaan dengan TKO. Nanti bolehlah dijual kepada rakyat dan pengundi kerajaan sekarang bobrok, gagal menjawab soalan pembangkang dan dibelit isu yang tak terurai.

Tapi yang terjadi adalah sebaliknya. peluang ini digunakan sebagai medan kerajaan menjelaskan kepada rakyat dan kepada pembangkang sendiri kedudukan sebenar dari hal yang dibangkitkan. Jawapan yang terus dan terang. Ruang untuk menjawab tohmahan di luar yang terhad, terhidang di dewan yang mulia itu. Penjelasan di DUN lebih berintegriti oleh orang yang berautoriti. Terjawab sekelian persoalan yang menjadi modal pembangkang, terhurailah segala kekusutan yang direka cipta...Akhirnya mereka mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan. Video-video ucapan boleh diakses di facebook saya dan ramai rakan yang lain.

Berita di TV seperti mendoakan berlaku banjir seperti tahun lalu - pesta pimpinan kerajaan Pusat/BN menunjukkan keperihatinan dan menabur budi kpada mangsa yang dipindahkan. Berkumpul sekelian anak pinak dan jiran tetangga di dewan dan sekolah menanti pemimpin BN/Menteri datang berucap dan menghulurkan tangan. Tanpa banjir, tiadalah budi, tiadalah salam! tiada juga tilam!

PAS melalui Dewan Pemuda mengadakan munajat kepada Allah swt supaya dijauhkan bala bencana banjir. Solat hajat dan doa dipanjatkan kehadrat Malikul Mulk - Pemilik dan Pencipta Yang Maha Kuasa supaya dihindarkan bencana itu dari kita semua. Nampaknya setakat ini munajat itu dimakbulkanNya.

Aman damailah Kedah untuk menempuh setahun lagi ke tahun 2012...penuh bergaya.

Tahniah untuk semua. Terima kasih!

Tahniah! Pasukan Bolasepak Sukan SEA Malaysia

Setinggi-tinggi TAHNIAH kepada Pasukan Bolasepak Negara di Sukan SEA 2011 yang berjaya memenangi Pingat Emas. Kemenangan pasukan yang diketuai oleh Pemain Kedah, Badrul Bakhtiar! Kepten Terbaik  dari Negeri Terbaik di Malaysia waktu ini.

Friday, November 11, 2011

Salamun Salam - Yaman

Check out this video on YouTube:

http://www.youtube.com/watch?v=9ww4kRzJBNc&feature=youtube_gdata_player

[Menjawab Isu sembelih korban dan Seksualiti Merdeka].

[Menjawab Isu sembelih korban dan Seksualiti Merdeka].

1. Setiap rakyat atau warga negara bukan sahaja mesti kasih dan cinta pada negara dengan semangat patriot yang tinggi tetapi juga mestilah bertanggungjawab membina dan memelihara peradaban negara dengan memastikan kerukunan hidup bermasyarakat pelbagai kaum [ multi - racial ] juga pelbagai agama [ multi - relegion ] tanpa menafikan Islam, Agama Persekutuan sebagai tiang serinya.

2. Paling asas, peradaban sesebuah negara dipelihara dengan memastikan elemen - elemen ini tidak tergugat :

a] agama

b] ilmu

c] budaya

d] keamanan

3. Agama tidak boleh dibiarkan menjadi bahan ejekan, persendaan mahupun sinis. Agama adalah untuk dianuti dan dipraktis. Rakyat di dalam negara majmuk seperti Malaysia kebanyakkannya memiliki agama. Kalaupun mana - mana pihak enggan menerima agama persekutuan iaitu agama Islam yang diwahyukan oleh Allah swt Sang Pencipta sebagai agama anutan dan ikutan, mereka tidak boleh dipaksa untuk menganut agama Islam malah mereka mempunyai hak - hak tertentu yang mesti dipenuhi oleh kerajaan Islam seperti tempat ibadat mereka dan sebagainya.

4. Sebagaimana Islam tidak boleh memaksa mereka menerima ajaran Islam, begitulah Islam juga melarang penganutnya mengejek agama - agama lain meskipun aqidah yang diyakini ialah Islam sebagai agama yang benar dan berhak sebagai way of life.

5. Bertolak dari nokhtah ini, saya juga menasihati semua pihak yang terdiri dari agama selain Islam supaya meletakkan penghormatan serupa terhadap Islam agama suci yang diwahyukan oleh Allah swt. Tuhan yang Mencipta Manusia dan seluruh alam ini. Jangan sekali - kali mempersenda agama Islam dan memperlekehkannya. Isu sembelih binatang korban oleh ummat Islam menjelang Aidil Adha yang telah diamal sejak beratus tahun dalam negara kita, jangan dijadikan turning point untuk cetus ketegangan antara agama dalam negara kita. Asasnya saling hormat menghormati. Selama ini negara kita aman, kenapa tiba - tiba hari ini, isu sembelih binatang korban di kawasan terbuka menjadi isu. Nama dah hari Raya Korban, mana boleh buat tertutup, menyembelih binatang korban di bawah rumah .

[ Bukakah negara ini adalah negara ummat Islam pula agama persekutuan adalah agama Islam ? harmoninya agama lain juga tidak dilarang oleh perlembagaan negara untuk dianuti oleh penganut masing - masing. Lalu apa yang jadi masaalah ? Kecualilah ada ummat Islam menyembelih binatang korban di hadapan kuil Hindu atau dalam kawasan perkampungan orang - orang Hindu, kalau begitu saya puntidak bersetuju dan Islam melarang perbuatan sedemikian kerena menghilangkan rasa hormat kepada kaum lain.]

6. Malah rakyat Malaysia boleh bersatu dalam perkara - perkara tertentu dalam memelihara keharmonian kaum serta memastikan peradaban negara kita tidak runtuh. Antaranya ialah penyimpangan seksual yang menjadi isu kebelakangan ini. Saya percaya, dengan pelbagai alasan dan apa jua sebabnya, semua agama menentang perlakuan seksual songsang yang bercanggah dengan fitrah dan norma luhur manusiawi.

7. Perlakuan Lesbian, Gay dan Biseksual bukan lahir dari ajaran mana - mana agama kecuali ia datang dari penyimpangan nafsu yang perlu dikawal dan dipulihkan agar kembali kepada fitrah.Atau sesiapa boleh tunjukkan kepada saya mana satu agama di atas muka bumi ini yang kitab anutan mereka mendidik dan mengasuh penganutnya supaya menjadi lesbian, gay dan biseksual begitu juga transeksual ?

8. Sementara kelompok yang mengaku tidak beragama pula sekurang - kurang mereka masih ada aqal dan naluri untuk berfikir, mengkaji dan memahami realiti ini untuk kembali kepada fitrah. Manusia tidak boleh memerangi fitrah kelak yang binasa hanya diri mereka sendiri. Manusia mungkin boleh berpura - pura untuk menipu orang lain dan menyimpang arah hidup lalu memilih penyimpangan seksual tetapi akhirnya perkara ini membawa penderitaan pada diri sendiri. Kebahagiaan dan kepuasan yang dicari hanya bersifat sementara sedang tuntutan fitrah senantiasa membayanginya.

9. Saya setuju golongan yang memilih penyimpangan seksual ini tidak perlu di hina sebaliknya dididik dan dibimbing agar kembali kepada fitrah dan agama yang suci, tetapi wajar juga diinsafi bahawa perlakuan seks menyimpang ini adalah perbuatan yang hina malah dipandang lebih hina daripada perbuatan zina yang turut dimurkai oleh Allah swt. Justeru itu, perlakuan dan perjuangan seksualiti kelompok ini tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun.

10. Jika dadah menjadikan pengambilnya sampah masyarakat apabila dadah tersebut disalah guna maka begitulah seks menjadikan pelakunya sampah masyarakat apabila seks tersebut disalah laku dan menyimpang dari fitrah manusia. Asalnya seks adalah untuk kasih sayang pasangan lelaki dan perempuan yang dicipta oleh Allah swt. pula untuk membiakkan ummat manusia di atas muka bumi ini. Perlakuannya dihalalkan melalui ijab dan qabul, lantas ia membezakan manusia dengan binatang.

11. Namun penyimpangan seksual ini merosakkan tujuan murni tersebut. Untuk apa lelaki melakukan hubungan seks sesama lelaki dan perempuan melakukan hubungan seks sesama perempuan ? Jika untuk menterjemahkan kasih sayang, mereka tidak perlu melakukan hubungan seks sesama jenis justeru mereka boleh pada bila - bila masa berkasih sayang tanpa seks kerana mereka adalah sesama jenis. Seks sesama jenis tidak mungkin menghasilkan baka atau zuriat sebaliknya ia adalah perbuatan yang keji. Jika amalan ini diiktiraf dan diamalkan oleh semua , bukan sahaja Allah murka, generasi manusia akan pupus.

12. Lihat sahaja barat pada hari ini. Satu persatu harga diri, nilai peradaban dan nurani kemanusiaan mereka lusuh dan luntur akibat kebebasan tanpa tara dan tiada kawalan fitrah ke atas runtunan nafsu dan syahwah mereka. jauh sekali kawalan agama. Kemajuan material dengan bangunan mencakar langit bukan asas peradaban yang tulen tetapi mesti dibina dengan lahirnya kelompok masyarakat yang bermoral dan beretika.

13. Kita tidak boleh memburu kemajuan seperti barat yang sedang menjunam nilai kemanusiaannya, ditambah pula dengan kemurkaan Allah swt di atas pelbagai perbuatan mungkar, fasad [kekejian] serta kezaliman yang berlaku. Lantaran itu saya melihat kewujudan sekelompok manusia yang menyimpang perlakuan seksual mereka sebagai pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan jiwa dan nurani mereka dengan terapi ruhani dan juga asuhan agama yang baik.

14. Setelah semua menyedari bahawa ia bertentang dengan agama, kenapa masih mahu meneruskan perlakuan itu ? setelah semua sedar bahawa perbuatan seksual sesama jenis ini adalah perbuatan keji dan bertentangan dengan fitrah, kenapa pula mesti memperjuangkan hak untuk melakukan perbuatan keji itu ? Jika ada sekelompok dua yang berkeinginan dan terjebak untuk melakukannya, janganlah kita galakkan mereka dan mengiktiraf perlakuan mereka, sebaliknya kita rawat dan pulihkan mereka. Pihak berkuasa agama mesti memainkan peranan aktif untuk menyelesaikan persoalan ini selepas mereka selesai menyusun file di atas meja pejabat mereka yang berhawa sejuk. Selamatkan mereka dari terjerumus ke jurang api neraka yang panas.

15. Sebagai contoh, semua kita setuju bahawa dadah itu bahaya dan rokok itu juga bahaya. Maka langkah sewajarnya ialah lancarkan kempen perangi dadah dan rokok, bukan mengiktiraf mereka walaupun kita menyedari bahawa mereka yang telah terjebak tidak wajar disisihkan, sebaliknya diselamat dan dipulihkan. Hatta yang telah dijangkiti virus Aids pun tidak boleh disisih sebaliknya diselamatkan. Tetapi sekali - kali mereka tidak boleh diberi pengiktirafan ! jika tidak, runtuhlah peradaban negara kita .

nota tambah : saya dapat maklumat ada pejuang Human Rights bermati - matian memperjuangkan hak golongan lesbian, gay dan biseksual ini biarpun majoriti penduduk dalam negara ini menganggap ia adalah perbuatan yang keji dan bertentangan dengan fitrah. Mereka perjuangkan atas nama Human Rights kononnya, tetapi anehnya saya tidak pernah pula mendengar golongan pejuang Human Rights memperjuangkan hak penagih dadah untuk mengambil dadah seperlu mereka. Rasanya penagih dadah juga mahu menghisap dadah dengan aman dan tenang tanpa gangguan. mana hak mereka ? kenapa tidak dipertahan dan diperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan dadah ?


dunia - dunia ... meniaga manusia lebih untung dari meniaga unta ....

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia