Sunday, September 4, 2016

Konsesi AUI dan Taliwork Bercanggah Dengan Dasar Penswastaan Negara

PENSWASTAAN OPERASI RAWATAN AIR DAN BEKALAN AIR LANGKAWI KEPADA AUI DAN TALIWORK BERTENTANGAN DENGAN DASAR PENSWASTAAN NEGARA

Demi kepentingan rakyat dan negeri ini, PAS Kedah telah menegaskan bahawa kerajaan  negeri tidak patut mengulangi  kesilapan lampau dengan menyambung perjanjian penswastaan operasi rawatan air  di lima loji utama kepada Air Utara Indah (AUI) dan pengurusan bekalan air ke Pulau Langkawi kepada Taliwork.

PAS Kedah berharap kerajaan negeri kekal dengan janji YAB Menteri Besar Kedah dalam Dewan Undangan Negeri sebelum 'pertukaran mengejut' bahawa penswastaan ini tidak akan disambung lagi.

Jika pertukaran Menteri Besar dibuat untuk menjayakan usaha menyambung konsesi ini, ia adalah pertukaran yang membawa malapetaka besar kepada rakyat dan negeri.

Pemecatan Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) SADA, Dato' Hj Adzmi Din pada 31 Ogos 2016, empat bulan lebih awal daripada tempoh sebenar kontrak beliau tamat (Disember 2016) dibimbangi  sebagai langkah meruntuhkan tembok penghalang kepada usaha melanjutkan konsesi yang sedang diusahakan sekarang. Ini kerana perjanjian itu nanti bukan lagi antara syarikat konsesi dengan kerajaan negeri, sebaliknya dengan SADA sebagai pemegang lesen operator air.

Dato' Adzmi adalah peneraju SADA sejak kewujudan entiti itu pada 2010 yang konsisten menentang penswastaan kepada AUI dan Taliwork.

Sejak awal lagi, beliau menegaskan penswastaan tersebut adalah beban sejarah lampau yang tidak boleh diulangi jika kerajaan berhasrat memastikan SADA menjadi operator bekalan air yang berkemampuan menjana pendapatan untuk melunaskan hutang-hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.

Perjuangan beliau bukan sekadar memimpin SADA menggalas cabaran besar dalam industri bekalan air, melunaskan hutang RM1.7 bilion, tetapi perjuangan mengekalkan kedaulatan negeri yang kian terhakis dalam isu hak ke atas bekalan dan sumber air selepas penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Tiba-tiba sahaja, rekod cemerlang perkhidmatan beliau dalam pentadbiran negeri (KCS) dan syarikat milik kerajaan selama lebih 36 tahun seolah-oleh diketepikan begitu sahaja dengan diberi notis penamatan kontrak tiga hari, satu tindakan yang sangat janggal dengan kelaziman.

Kami percaya ia berkait rapat dengan pendirian tegas beliau terhadap penswastaan kepada AUI dan Taliwork.

Selain kes pemecatan ini, PAS Kedah telah mengesan beberapa tindakan, ucapan, pertemuan, rundingan dan usaha melobi antara pemimpin BN Kedah dan ahli-ahli perniagaan berkepentingan yang berlaku sepanjang dua bulan terakhir ini, semuanya memberi petunjuk bahawa sejarah hitam 26 tahun lampau Negeri Kedah akan berulang kembali.

Sejarah dan latar belakang Penswastaan Rawatan Air Lima Loji Utama dan Bekalan Air di Langkawi:

Kedua-dua konsesi itu telah dianugerahkan kepada dua syarikat tersebut pada tahun 1990 melalui satu perjanjian penswastaan yang akan tamat pada Oktober 2020, kira-kira empat tahun daripada sekarang.

Sepanjang 26 tahun lalu, penswastaan kedua-dua operasi ini telah menelan sebahagian besar perbelanjaan negeri di sektor bekalan air, yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan perkhidmatan air atau sektor lain dalam negeri ini.

Sejak tahun 1990, PAS Kedah konsisten menentang langkah penswastaan ini, melalui perlbagai kaedah, termasuk usaha-usaha menyemak semula untuk menamatkan perjanjian ketika menerajui kerajaan pada 2008-2013.

Oleh kerana ikatan perjanjian  penswastaan itu tidak menyediakan jalan keluar untuk sampai ke tahap itu, kerajaan terpaksa menunggu konsesi tamat pada 2020.

Bercanggah dengan Dasar Penswastaan Negara:

Jika diamati dengan cermat, langkah kerajaan negeri dalam penswastaan tersebut sejak tahun 1990 adalah bertentangan dengan lima objektif utama dasar penswastaan negara.

Matlamat utama dasar penswastaan ialah mengurangkan bebanan kewangan kerajaan. Terbukti, selama 26 tahun ini, beban kerajaan tidak berkurang, malah makin bertambah.

Dalam tempoh 10 tahun terakhir, kerajaan negeri terpaksa membelanjakan sehingga RM140 juta setahun daripada pendapatan kerajaan kepada syarikat konsesi, sedangkan beban ini dapat dikurangkan sekiranya ia dilakukan sendiri oleh syarikat milik kerajaan (SADA).

Kos rawatan air di loji-loji yang diswastakan kepada AUI (5 buah) dan Taliwork (5 buah) boleh dikurangkan sebanyak 10 sen setiap meter padu daripada harga yang dikenakan oleh pemegang konsesi.

10 sen itu mewakili RM63,600 sehari atau RM1.9 juta sebulan atau RM22.8 juta setahun berdasarkan kapasiti pengeluaran 5 buah loji kendalian AUI sahaja. Tidak termasuk loji lain.

Kos membeli air terawat sahaja daripada loji kendalian AUI dan Taliwork pada tahun 2012 sahaja berjumlah RM102,388,857. Ia semakin meningkat setiap tahun.

Pada waktu ini, loji-loji yang diswastakan menguasai lebih 52% bekalan air terawat negeri Kedah dengan kos tahunan yang dikenakan kepada kerajaan (SADA) sekitar RM105 juta setahun.

Beban kerajaan bertambah apabila terpaksa mensubsidi antara RM0.70-80 sen setiap meter padu air yang dibekalkan kepada pengguna di Langkawi akibat perjanjian penswastaan operasi bekalan air kepada Taliwork.

Harga yang dikenakan kepada pengguna domestik di Langkawi ialah RM0.50 semeter padu, tetapi kerajaan terpaksa membayar kepada Taliwork RM1.30 setiap meter padu. Pendapatan daripada operasi di tanah besar terpaksa digunakan untuk menampung kerugian akibat perjanjian ini di Langkawi sehingga RM35 juta setahun.

Matlamat kedua ialah meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja.

Operasi rawatan air di 26 loji dibawah kendalian SADA ternyata lebih murah sepanjang sepanjang 6 tahun operasinya sebagai sebuah syarikat korporat milik kerajaan.

Keupayaan SADA membekalkan air terawat mengikut standard WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia pada kadar yang lebih murah membuktikan langkah menswastakan rawatan air kepada AUI dan Taliwork adalah bertentangan dengan objektif kedua Dasar Penswastaan Negara.

Berdasarkan kedudukan ini, setiap sen lebihan kos yang dibelanjakan oleh kerajaan kerana penswastaan ini, bukanlah berasaskan meninggikan kecekapan, sebaliknya merupakan pembaziran dan siri pengkhianatan BN kepada rakyat Kedah.

Matlamat ketiga dasar penswastaan iaitu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kekesanan negara, juga hakikatnya tidak tercapai. Pertumbuhan sepatutnya menghasilkan nilai tambah dan agihan limpahan nikmat secara saksama, tetapi penswastaan kepada AUI dan Taliwork mendatangkan liabiliti (beban) kepada kerajaan dan rakyat apabila ia akan melibatkan peningkatan tarif untuk menampung kos.

Berdasarkan kehendak Akta 655 yang perlu dipatuhi secara mandatori selepas proses migrasi disempurnakan, yang menetapkan semua kontrak dalam operasi bekalan air memerlukan kelulusan SPAN dan tempoh masa tidak melebihi dua tahun, PAS Kedah bimbang pihak terlibat sedang memecahkan pintu belakang demi menjayakan matlamat mereka.

Sekiranya syarikat terbabit diberikan hak penguasaan yang lebih luas termasuk membangunkan infrastruktur bekalan air yang sangat diperlukan sekarang melalui kaedah private initiative fund (PFI), maka seluruh senario dan kehendak Akta 655 akan berjaya dibolosi.

Kesan langsung pada masa depan akibat menggunakan kaedah PFI berbanding peruntukan geran persekutuan ialah kenaikan kadar tarif yang akan menembusi poket rakyat secara langsung. Jika ini terjadi, ia tiada lagi kaitan dengan dasar penswastaan, tetapi satu rancangan menjual rakyat dan negeri kepada saudagar.

Objektif keempat ialah pembahagian sumber serta kecekapan. Hakikat selama ini ialah kedua-dua konsesi itu adalah operasi yang bebas daripada risiko kerugian dalam sektor bekalan air. 100% air terawat akan dibeli oleh kerajaan melalui SADA, tanpa sebarang risiko NRW yang bergantung kepada rangkaian infrastruktur bekalan air di luar loji.

Sektor berisiko diletakkan sepenuhnya keatas SADA yang bergelut dengan keuzuran jajaran paip sepanjang 12 ribu kilometer, kerosakan pam, kenaikan tarif elektrik, kerosakan meter dan bencana alam.

Ini bukan petunjuk pencapaian pembahagian sumber serta kecekapan, tetapi menjadi bukti 'penswastaan ala pak kadok', keuntungan dibagi kepada orang, kerugian ditanggung seorang diri,  kerajaan makan kuah, swasta makan isi.

Matlamat terakhir ialah mempercepatkan pencapaian matlamat dasar ekonomi baru (DEB).

Penyusunan semula masyarakat dan meningkatkan penguasaan bumiputra dalam ekonomi adalah dua matlamat DEB. Jika diteliti, kedua-dua matlamat ini tidak mungkin tercapai dengan melalui AUI dan Taliwork.

Kedua-duanya bukan syarikat milik bumiputra, malah tokoh-tokoh besar yang memiliki syarikat ini adalah taikon dalam industri perjudian, hiburan, hartanah perhotelan, perladangan dan lain-lain.

Diketahui umum, mereka adalah 'superkaya' dalam negara yang mengawal banyak sumber ekonomi, malah menjadi lubuk dana politik Barisan Nasional.

Memberikan konsesi sebesar itu dalam kek ekonomi Negeri Kedah yang kecil adalah satu langkah memusatkan kekayaan negara di kalangan orang tertentu sahaja. Dalam pengajian ekonomi Islam, Pemusatan ini termasuk dalam konsep Duulatan Baina Al-Aghnia' (DBA) yang diharamkan oleh Islam. Amalan ini mengundang kehancuran dan kemurkaan Allah swt.

Berdasarkan fakta-fakta ini, langkah melanjutkan lagi penswastaan ini selepas tamat pada 2020 adalah satu tindakan yang tidak boleh dibiarkan. Seluruh rakyat Kedah perlu menyedari hal ini, dan kerajaan pimpinan BN Kedah perlu dihalang daripada mengulangi lagi kesilapan mereka 26 tahun lalu itu.

Masa yang tinggal sangat genting untuk semua orang, bagi mereka ataupun kita sebagai rakyat. Mereka boleh menjual diri dan negeri untuk raih dana pilihanraya demi menjamin kuasa. Kita rakyat Kedah ada kewajipan  mempertahankan masa depan dan maruah untuk kekal merdeka. Sampai bila kita perlu menundukkan muka?

#SelamatkanKedahTercinta
#TumbangkanBN

Muhammad Sanusi Md Nor
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah
2 September 2016

Tuesday, September 4, 2012

Hudud: DAP Menentang UMNO Menolak

Subject: KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS- HUDUD : DAP MENENTANG, UMNO MENOLAKNYA


Pendahuluan : Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.
Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram.  Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan. Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya. Kemudian dikoyak rabak merosakkannya. Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam di antaranya hukum Hudud. Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk pelbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat. Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120  :

Maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, di antaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan. Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah. Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi :

Maksudnya : Orang-orang  A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja:  “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam

Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :

Maksudnya : Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan  bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar di tanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya. Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza. Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab di atas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.

Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini. Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad. PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud. Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud. Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu  hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah  dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO. Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini. Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA di bawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum. Dengan jasa baik YBM Tengku Razaleigh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama. Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab. Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti. Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan di bawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO.  Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah  oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan. Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS ?

Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.
Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !
Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

Wednesday, August 1, 2012

Macam-macam Usaha memfitnah Orang- Serlahkan Kejahatan

Terhegeh-hegeh mamat padihantu edit gambaq entah dari mana... Cuba sedaya upaya memberi imej buruk kepada kerajaan negeri Kedah... Sampai UMNO pun tak sanggup mengaku kabilah depa lagi...kabilah apa dia ni laaa niii... Dah terdesak sangat nampaknya dia ni sorang ...kesiannnn!

Cuba tengok foto ni..kan matawang indon tu... Nak memburukkan orang sampai tak dak benda boleh percaya. Ni petanda tabiat jahat blogger yang malas cari bahan, hanya menghasilkan bahan dari nafsu ammarah  yang bersarang dalam hatinya. Untuk apa dia melakukan hal ini semua? Nak orang percaya, nak berkarya, nak mencapai hasrat melepaskan geram, balas dendam, gila glamour, atau cari makan? Makan lah dari hasil yang baik, nescaya ada barakah. Barangkali pakai strategi buat2 gila untuk selamatkan diri... Boleh hantaq Tanjung Rambutan.

Ada sedikit kemahiran yang Allah bagi, tapi guna untuk menghasilkan kerosakan... Kan menempah binasa namanya tuuu..kalau bukan sekarang, mungkin pada masa akan datang, kalau tak terjadi di sini, mungkin di sana!

BN Merbahaya...Lagi Lama Lagi Bahaya

ALOR SETAR: Perkembangan politik semasa menunjukkan petanda buruk kepada Umno-BN untuk mempertahankan Putrajaya, demikian pandangan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.
 
Beliau berkata demikian kepada media sebagai menjawab pertanyaan berhubung tindakan beberapa pimpinan BN di Sabah yang meninggalkan parti komponen tersebut.
 
Hujahnya, berdasarkan kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu, BN kalah di Semenanjung Malaysia tetapi dimenangkan oleh Sabah dan Sarawak.
 
Jika situasi itu terus berlangsung ujarnya, bermakna BN akan kehilangan Sabah dan Sarawak, sementara keyakinan Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya pula semakin tinggi.
 
Ditanya media sama ada perkembangan itu akan membahayakan kedudukan BN, Ustaz Azizan pantas mengiyakannya.
 
“BN memang sudah lama bahaya! Dia (BN) sendiri bahaya dan dia dalam bahaya. Jika bagi lagi dia memerintah lagi bahaya!
 
“Macam harimau, bahaya. Harimau bahaya (kepada manusia) takut dia makan kita. Harimau takut sebab dia dalam keadaan bahaya orang tembak hendak dia.
 
“Pilihan raya buat sekarang atau esok, tetap bahaya (kepada BN). Tangguhlah, pilihan raya akan tetap datang juga, dia tidak boleh lebih sampai Mac (2013).
 
“Saya tak mengapa biasa saja, dia isytiharlah bila pun saya tak kisah. Saya jalan cara saya,” ujarnya kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Wang kepada pelajar sekolah di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop, di sini 30 Julai lalu.
 
Diminta mengulas kajian Pilihan Raya Umum Ke-13 oleh Majlis Profesor Negara, beliau tidak merasa bimbang terhadap perkara tersebut.
 
“Tapi yang saya pun berasa seronok sikitlah bukan apa, saya punya bacaan tentang mereka buat kaji selidik itu tidak menepati, hingga ada pihak kata tidak betul. Kamu tidak boleh bias (dalam kajian). Responden mesti neutral, macam mana hendak jelaskan fokus kajian. Saya tahulah saya 20 tahun dalam universiti,” ujarnya.

Saturday, July 28, 2012

Cantas: Menggagalkan Hal Yang Tidak Terjadi...Bagaimana?

Cantas: Hal yang tidak terjadi dikatakan gagal?

Saya percaya dengan yakin Abg Mat tidak terbabit, tidak berminat dan malah diselubungi kehairanan dengan isu cantas mencantas beliau yang didakwa berlaku di Kedah, khususnya di Pendang. Ini dimainkan oleh juak- juak yang ghairah dengan auranya dan sedikit gopoh dalam usaha membawanya ke Pendang.  Juak-juak yang tenggelam dengan kegopohan itu lupa bahawa isu mereka itu telah memberikan imej negatif kepada Timbalan Presiden PAS itu, kepada PAS, PAS Kedah dan PAS Pendang. Isu itu melahirkan budaya UMNO dalam PAS - mengada-adakan cerita adanya cantas untuk mencantas! Adakah niat mereka disebalik dakwaan itu adalah mencantas kepimpinan dan ahli PAS di Kedah?


Cantas dalam parti politik berlaku kepada pimpinan setempat, penyandang atau yang sudah ditetapkan untuk berada di situ atau pernah berada di situ. Cantas dilakukan supaya seseorang pemimpin tidak dipilih sekali lagi, ataupun supaya tidak diberi peluang dipilih setelah adanya keputusan atau arahan supaya di bertanding di sesuatu kawasan.

Cantas tidak boleh berlaku kepada orang di luar tempat itu, tidak pernah berada di situ, bukan penyandang, atau hanya baru dicadang di salah satu peringkat yang ada beberapa peringkat lagi. Cantas juga tidak berlaku kepada orang yang ditolak. Cantas juga tidak berlaku kepada pimpinan yang sengaja merebahkan dirinya atau berundur sukarela.

Cantas dan melobi adalah kembar tidak seiras dalam politik sekular. Setelah usaha melobi dibuat, andainya dirasakan tidak mencukupi, belum berupaya mendatangkan hasil yang diingini, kembar tidak seirasnya akan digunakan. Kedua kembar ini juga boleh berjalan seiring...seringkali berlaku begitu jika situasi sudah terdesak.

Mencantas dan melobi adalah budaya politik UMNO/BN, budaya politik sekular. Ia tidak boleh dibiarkan berlaku dan menular dalam PAS. Ini budaya politik bahaya. PAS mesti istiqamah dengan sikap menolak bila diberi amanah/ jawatan, tetapi berhabis-habisan dan bermati-matian melaksanakannya bila diberi tanggungjawab memikul amanah oleh jemaah. Meminta jawatan adalah syarat pertama ketidaklayakan memegang jawatan dalam PAS. Istiqamahlah dengan sikap dan amalan ini. Prinsip PAS dalam bab kepimpinan dan amanah  ialah "fastabiqul khairaat"... Ia tidak boleh berbuah dari benih dan baja yang dicemari mufsiduun dan mutajassisiin yang memulakan amalan tuduh menuduh.

Dalam kes yang dibangkitkan oleh Malaysiakini, (http://www.malaysiakini.com/news/204683) istilah cantas telah digunakan dalam setuasi dan senario yang salah! Orang yang membangkitkan kes itu kepada Malaysiakini sengaja mereka reka cerita untuk memulakan cerita baru. Mengadakan cerita cantas untuk memulakan proses mencantas. Kembar seiras tadi berjalan seiringan tetapi seorang daripadanya berjalan mengundur. Adakah mereka tidak dapat menyedari strategi itu tidak akan berkesan untuk mencapai hajat mereka, sebaliknya boleh membawa rebah dan calar.

Seperti petikan dari sumber PAS Kedah dalam artikel Abd Rahim Sabri di Malaysiakini, PAS Kedah tidak ada masalah dengan Abg Mat, dia tidak ditolak. Tetapi bila sumber dalaman yang menjadi sumber utama cerita itu telah mengadakan adakan cerita cantas, dia sebenarnya telah membuat garisan calar pada imej, integriti dan ketokohan Abg Mat sebagai Timbalan Presiden PAS.  Mana boleh dia dicantas di Kedah di kala auranya begitu segar di negeri ini. Ada yang mengenali PAS dan beristiqamah dengan kerja- kerja jemaah atas teladan yang ditunjukkan oleh beliau. 

Saya sendiri sebagai ahli PAS berpendapat Abg Mat boleh bertanding di mana saja dia mahu, dia diarahkan dan diputuskan oleh PAS Pusat. Datanglah ke Kedah atau ke mana negeri yang dia boleh menang kerana suara dan kebolehannya sangat diperlukan dalam Parlimen. Datanglah atas ketinggian harakinya dalam parti, dengan jalan yang lazim dan tersusun. Jangan serahkan kerja -kerja perintis jalannya kepada penebas-penebang yang menimpakan reba dan dahan kepada kebun sekitarnya  untuk memacak pancang di kebun baru. 




Tuesday, July 24, 2012

Heboh Seantario Tanahairku...


EPISOD 2:

Maka hebohlah seantario tanah airku... aku telah ditangkap SPRM. Sedang disiasat gara- gara mengsonglap duit RM1.3 juta. Aku pun diberitakan sedang dilokap di lokap SPRM di Kedah, kerja dibuat team SPRM dari Ibu negara... Masa membaca berita itu di FB aku ada di rumah bersiap mahu ke malis bersama MB di Masjid Alor Semela. Panggilan masuk bertalu- talu...aku hanya mampu ketawa dalam puasa... Macam mana hang boleh jawab telepon dalam lokap? Saya akhirnya berjaya 'dilokapkan' oleh Sobri anak lelaki Sudin!


Fakta: SPRM tiada lokap sendiri, tahanan terakhir yg mencetuskan grand design sekarang ini ditahan di lokap Polis Jitra...kalau ikut padijantan... Saya mungkin satu-satunya tahanan yang berjaya mendiami lokap SPRM...



Sasaran seterusnya ialah Hj Mohd Puat Md Ali, sepupu MB Kedah..lebih tepat lagi Pegawai Kewangan Negeri Kedah yang sedang bertembung dengan rakan-rakan dalam KCS Kedah gara-gara berebut jawatan SS. Lebih dahsyat lagi keluar lagi cerita SPRM dibenarkan tangkap, gari dan lokap sepupu MB, Hj Puat. Semua cerita karut ini dimulai oleh blog UMNO dalam Team Media Kedah- TMK. padijantan.blogspot.com.......


Lama dulu aku pernah menulis perihal padijantan yang lebih layak dipanggil padihantu, pokoknya besar, tak rebah waktu ribut, tapi tiada isi yang boleh menjadi beras walaupun pokoknya tegap. Padi hantu sebenarnya musuh kepada padi- padi yang lain dalam petaknya.


Di sebalik nama padi jantan yang bersifat hantu itu tersembunyi satu susuk berkepala botak, tetapi bergeliga dalam bab memfitnah, memcari peluang mencipta wang dan nama, mencekik darah dan maruah, memanipulasi kesusahan dan kesempitan manusia lain, mencipta konspirasi dan memutar fakta.

Modus operandinya simple, dampingi orang yang kesempitan gara-gara kesilapan sendiri, berpura- pura jadi peneyelamat dengan idea dan putar belitnya hingga orang itu rasa selamat, dan dihisap darah semahunya hingga orang itu mati kering.


Dia pernah mendampingi Adun KN yang menghadapi  kes kebankrapan, agak lama juga mereka bersama, macam- macam tindakan rescue dibuat seperti demontrasi, cat merah, ugutan, jumpa musuh politik supaya dilihat mahu melompat... Upahnya lumayan hingga si padi hantu tak perlu bekerja lain mencari wang, semua kehendaknya dipenuhi hingga akhirnya Adun KN benar-benar muflis dibuatnya dan terlucut dari kedudukannya. 


Dia mencari pokok tumpang baru. Kali ini betul- betul orang itu tersepit dengan siasatan SPRM dalam kes di jabatannya sekarang dan satu kes lama di Sungai Petani- Bangunan baru MPSPk yang melibatkan kehilangan wang RM10 juta, dalam satu pembayaran pada 4 Mac 2008, ke atas satu kerja yang tidak dilaksanakan, kepada syaikat yang salah dan tiada lesen! Mungkin masih ada sisa yang masih boleh dihisap oleh padi hantu daripada orang itu.


Saya tak mahu menyentuh kes itu lebih lanjut kerana ia berlaku sewaktu zaman BN, dalam siasatan SPRM dan ulasan saya akan menjayakan konspirasi yang dirancang oleh padi hantu!

Dia menulis teorinya kepada Zaini Hasan, pakar spin di Utusan Malaysia, bagi mencipta pertembungan KCS dengan pemimpin kerajaan yang sangat harmoni sejak 2008. Keharmonian inilah yang dicemburui oleh BN, kerana sepanjang sejarah negeri ini di bawah BN, KCS sentiasa bertembung dengan pemimpin kerajaan. Hanya di zaman PR inilah profersionalisme KCS dihargai dan diraikan oleh pemimpin kerajaan. Ini bahaya untuk BN dan bahaya untuk orang yang sentiasa hidup dalam konflik dan krisis.


Matlamat konspirasinya ialah KCS kembali bekerja memenangkan UMNO/BN, bermusuh dengan PAS dan PR dan mengkucar kacirkan negeri. Adakah orang lain tidak lulus sekolah menengah untuk mempercayai teori jahat padihantu?


Dia mahu orang ramai terutama KCS mempercayai ada usaha di kalangan pimpinan kerajaan sedang memperkudakan SPRM untuk mengenakan KCS semahu-mahunya. Dia mahu mencipta kaitan MB yang dituduh berpakat dengan sepupunya Dato' Puat untuk berperang dengan kumpulan satu lagi. Peperangan sesama mereka yang bukan lagi rahsia mahu ditokok tambah dengan penglibatan pemimpin politik- yang tidak pernah sama sekali berlaku. Sejak awal, MB tidak pernah campurtangan dan tidak mahu mengeruhkan keadaan. Ketenangan MB dalam hal ini telah menstabilkan kerajaan ini sejak awal mengambilalih kuasa.


Pendedahan grand design padi hantu ini melondehkan semua rancangan mereka, malah KCS mula amat sedar mereka tidak mungkin terseret dalam pertembungan dengan pemimpin politik PAS atas satu kepalsuan yang diapksa ke atas mereka oleh orang yang sedang tersepit dari rancangan si kepala botak padi hantu.


EPISOD 1:

Pada awal 2008, susuk botak ini mengepalai satu demontrasi di depan Wisma Darul Aman atas isu perumahan awam yang menerima notis tunggakan. Setelah disiasat, si botak ini juga turut terlibat dalam kegagalan membayar ansuran perumahan awam itu. Saya mendedahkannya di blog dan dia marah berapi-api, mencabar saya berdebat.

Dalam banyak isu di Kedah yang dicipta oleh susuk ini, dia akan muncul dibarisan depan menjerit pekik melolong 'membela' orang ramai dengan hujjah dan teori yang dicedok dari orang lain. Kelakunya macam Ghani di Penang dan Kalai di Selangor sekarang.  Beberapa pendedahan yang dibuat sejak awal mengkudungkan kepalanya, dean menimbulkan dendam. Tabiaatnya, putar alamnya, krebilitinya, sejarahnya pernah didedahkan oleh beberapa pihak yang bimbang dengan honarnya. Pernah mencabar saya berdebat, mencabar bertumbuk- dia anak jati Titi Siam katanya- dan berazam akan memusnahkan reputasi saya sedaya upaya.

Di pasang jarum dan panah membawa racun fitnah di kampung halaman saya di Sik, di Jeneri, di Belantek dan di kalangan kenalan dan seteru politik saya dalam parti dan luar parti, sehingga ramai yang percaya dan menjaja saya punya banyak tanah, ada kuari batu dan pasir dan ada ban balak! Sampai sekarang saya masih mencari di mana 'harta-harta' saya itu berada, tiada siapa yang dapat menunjukkan lokasi, maupun jalan untuk sampai ke sana... Sampai ke Kuala Lumpur jarum dan panah racun ini bergerak, dari mulut musuh, disambung oleh lidah dan tangan kawan-kawan satu jemaah! Sekarang saya ada RM1.3 juta...kalau saya tahu di mana wang itu...boleh belanja tujuh keturunan...


Tak ada pulak yang bertanya tentang kesahihannya, ramai pulak yang hanya menjadi penyambung fitnah dari musuh ini hinggalah sekarang. Patutlah bila saya kalah dalam pemilihan parti di Sik, orang paling gembira membuat ulasan dan liputan ialah susuk ini melalui blog2 UMNO. Dia hampir berjaya dalam misinya... tapi belum tentu saya tewas dengan kejahatannya!


EPISOD 3:


Secara kebetulan, ramai kenalan dan bekas rakan susuk botak ini adalah kenalan saya... Banyak yang saya tahu perihal susuk ini daripada mereka. Banyak juga namanya tersenarai dalam dokumen-dokumen penerima wang dari beberapa GLC atas tugasan yang tidak diketahui sejak 2006 hingga 2008. Dialah sebenarnnya takut dengan sapaan SPRM. Tidak ada apa yang dari sudut percakapan dan penampilannya....Tapi sangat bahaya dari kelicikannya...dia diberi nama Sobri Sudin!!! a.k.a Dr Sobri Sudin a.k.a padi jantan a.k.a padi hantu...pakat berjaga-jaga... Antara penglibatan yang pernah dicatatkan oleh sejarah sejak 2008:

1. Kepala Demontrasi perumahan awam untuk memburukkan imej kerajaan negeri di kalangan penghuni perumahan awam- dia juga antara yang berhutang. Taukenya sekarang adalah pengeluar notis menuntut hutang, mengusir, menyerah kepada bank untuk memungut hutang.

2. Menerbitkan beberapa siri risalah haram memfitnah MB dan Exco dalam bebeapa isu. juga melagakan sesama KCS dalam pertembungan jawatan. Dia pakar menambah rempah cabai. Risalah berwarna dengan kertas yang bermutu itu dibiayai oleh pihak2 yang berkepentingan.

3. Demontrasi dan hasutan menentang pengambilan tanah dan tapak surau Solihiyah, Kancut untuk projek Aman Central.

4. Menulis analisa palsu dan memfitnah kerajaan di Utusan Malaysia, blog Kedah Times, dan blog padijantan.

Banyak lagi .... pernah saya tulis dan saya akan menulis lagi tentang bahayanya manusia ini...




Thursday, July 19, 2012

KCS dan Politik Kedah: Ada Grand Design?

Eh! Terbaca Utusex pulak... Ada apa yang menyentuh rona mata... Ada..Tajuk KCS dan Politik Kedah. Jom selongkar sikitt...




Zaini Hassan sebelum ini dalam satu majlis ketika memberi ucapan  kepada wartawan, mengutarakan satu etika baru kewartawanan iaitu berita yang dilaporkan harus dispin supaya memberikan imej buruk kepada pembangkang (PR) dan membersihkan imej kerajaan Barisan Nasional. Seorang wartawan berita portal (Malaysiakini) dihalau keluar gara- gara melaporkan ucapannya itu.


Dalam utusan semalam, ketika menulis tentang KCS dan Kerajaan Negeri Kedah, dia menonjolkan etika barunya itu, diperelokkan lagi dengan menyandarkan premisnya kepada penulis upahan UMNO yang terhambat dari UUM, En Sobri Sudin.


Dari segi sejarah, saya menerima hakikat bahawa KCS adalah jentera utama yang memacu perkembangan, malah telah membina sejarah dan masa depan Negeri Kedah. Dalam sistem kenegaraan kita, KCS berada dikumpulan eksekutif yang dipandu oleh legislatif dan terikat dengan judiciary (dibawah bumbung persekutuan) KCS tiada kuasa mutlak, dasar-dasar diputuskan oleh pembuat dasar di Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan adalah kuasa tertinggi eksekutif. Mereka dibaluti undang-undang dan peraturan yang diputuskan oleh kerajaan dari masa ke semasa.


Kenyataan Zaini bahawa KCS menaungi BN selama ini adalah janggal. Mereka adalah jentera kerajaan, bukan payung kepada parti yang membentuk kerajaan. Saya boleh terima kalau dikatakan BN yang menaungi mereka, kerana kuasa kerajaan adalah mengatasi kuasa pegawai yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Sobri Sudin membelit Zaini Hassan dalam hal ini, dan spin Zaini mengikut lilitan Sobri. Di sebalik semua itu, Sobri sebenarnya hanya menyulam tali milik orang lain.


Idea ini terlontar ditengah-tengah KCS dan politik Kedah sejak sebulan lalu. Ia adalah hipotesis baru dalam usaha beberapa orang dalam KCS membina idea dan teori bagi menghasilkan persepsi - namun masih tidak berupaya menjelmakan hakikat- di kalangan KCS supaya memusuhi pemimpin kerajaan negeri. Hipotesis ini sebenarnya amat janggal, seperti kata bidalan seorang penulis 'tidak berupaya menakung air'.


Permusuhan ini direkacipta apabila ada dalam kalangan KCS yang disiasat SPRM akibat kes-kes lama dan baru tetapi belum dituduh di mahkamah, belum dibuktikan bersalah dan belum dihukum. Kesempatan dalam isu yang bersipongang dalam KCS sekarang ini digunakan untuk membina persepsi bahawa politik dan kerajaan  harus diubah untuk menyelamatkan KCS yang sedang dimusuhi oleh pemimpin politik kerajaan sekarang. Ada bau seperti masakan dari resepi UMNO/BN pula idea ini. Tentu ada pertemuan sesama mereka...!


Pencipta idea dan teori ini datangnya dari pihak-pihak yang rasa terancam dengan siasatan SPRM, lalu cuba mempengaruhi pendapat umum bahawa mereka diiniaya oleh orang politik. Kalau bukan Sobri yang mencipta idea ini, saya tahu siapa yang memberi tutorial kepadanya, orang lain juga tahu. Belum pernah ada sebarang mesyuarat parti di mana-mana pun yang membincangkan hal ini seperti yang dituduh oleh tukang spin dalam rencananya. Sobri Sudin pun tak pernah hadir dalam mana-mana mesyuarat PAS kerana dia super-UMNO, dia hyper-kelentong.


Jawapan YAB Menteri Besar sangat jelas dalam tuduhan bahawa dia mengarahkan SPRM menyiasat untuk mengenakan KCS terbabit. Saya bukan Perdana Menteri! SPRM di Kedah tidak patut menerima arahan politik untuk menyiasat atau tidak menyiasat setiap laporan kerana mereka  undang-undang yang perlu dikuatkuasakan. Seluruh rakyat mengharapkan SPRM bebas melaksanakan tanggungjawab mereka. 


Menteri Besar tiada sebarang kepentingan pribadi untuk melindungi atau mengarahkan siasatan itu daripada berlaku. Kepentingan politik Menteri Besar ialah melaksanakan polisi bebas rasuah, belanja berhemah, berjimat cermat, tingkatkan hasil untuk membina Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. Kepentingan ini dikongsi oleh seluruh rakyat Kedah termasuk pegawai dan ahli politik. Oleh itu, seluruh pelaksana dasar dan penguatkuasa undang-undang patut bekerja ke arah itu. Mana mungkin pelanggaran undang-undang seorang dua pegawai diperbetulkan dengan membina persepsi bahawa adanya satu grand design yang sangat menakutkan sedang menanti seluruh KCS! Ia dicipta oleh PAS, maka UMNO saja yang mampu menyelamatkan kita semua! Bukankah ini satu percubaan membantutkan kebijaksanaan dan kematangan KCS yang mewarisi sejarah yang panjang itu?


Grand design yang didakwa wujud itu adalah palsu! Grand design sebenarnya sedang dilancarkan oleh beberapa individu melalui Sobri Sudin berkudakan tukang spin di Utusan Malaysia. Jawapan paling tepat terhadap dakwaan Zaini Hassan saya dapat waktu makan tengahari tadi. Ia adalah kenyataan seorang pegawai tinggi KCS seperti berikut: KCS bukan bodoh! Buat apa depa membuka pekung di dada dan membuka ruang supaya orang menempelak kita... Itu masalah mereka, politik mereka, bukan masalah KCS. Kami tiada masalah untuk bekerja dengan sesiapa sahaja yang menjadi goverment of the day. 

Wednesday, May 30, 2012

Tengok Gambar Ni Dulu...Esok Kita Ulas

Gambar dan sample air ini diambil oleh Kakitangan Jabatan Perhutanan sewaktu Puteri UMNO buat demo di Baling pasai ayaq keroh. Depa prihatin sangat pasai ayaq keroh ni...esoknya ketua UMNO pulak muncul menyalahkan akiviti pembalakan di Gunung Inas....sebenarnyabada story lama yg depa kena utup sebelummia meletup...esok saya cerita...tengokmdulungambaq ni betoi2...

Pegawai Jab Hutan Yang Membuat Tinjauan Air Sedang Menemubual Penduduk.