Friday, September 16, 2011

Program Pembohongan Perdana BN Kedah...

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Sabtu lalu, Barisan Nasional Kedah menganjurkan program yang dinamakan Majlis Penerangan Perdana Negeri Kedah di Dewan Wawasan, Jitra. Dewan Wawasan terletak di bawah Majlis Daerah Kubang Pasu, ertinya milik kerajaan negeri. Ini bukan kali pertama program politik BN diadakan di atas premis kerajaan negeri. Sebelum puasa baru ini, Perdana Menteri telah datang berkempen politik dalam dewan tersebut. Ceramah politik perdana pro Umno pernah diadakan di Stadium Suka Sultan Abdul Halim. BN bebas mengadakan ceramah politik di atas premis kerajaan negeri di balairaya, mini stadium serta padang awam milik negeri.

Ini satu catatan kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah kerana mengamalkan demokrasi tulen dalam pemerintahan. Siapa saja berhak bercakap di mana saja, jika munasabah serta tidak menggugat ketenteraman awam. Hak bersuara tidak diganggu di bawah PR. Lihat balik sewaktu BN berkuasa di Kedah dulu, jangankan premis awam, PAS pernah menyewa dewan hotel milik GLC untuk mengadakan program; Menteri Besar BN arahkan tempahan dibatalkan. Mereka akan marah jika dituduh 'perangai macam komunis kerana sekat kebebasan bersuara', tapi itulah yang mereka lakukan jika berkuasa.

Majlis Penerangan Perdana ini adalah program politik BN tapi penganjurnya ialah Kementerian Penerangan, di bawah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Pihak yang dijemput bukan setakat aktivis parti BN tetapi juga pegawai dan kakitangan kerajaan Pusat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Tidak kisah jika program tersebut betul-betul menerangkan dasar kerajaan Pusat tapi ianya program ceramah politik, berkempen untuk BN dan memburukkan Pakatan Rakyat. Selagi mereka berkuasa, jenuh rakyat bercakap berbuih mulut mempertikaikan program Umno/BN menggunakan platform, bajet dan kemudahan kerajaan; namun ia langsung tidak berbekas di hati mereka. Tanpa segan silu dan muka tak malu mereka terus memperkudakan sepenuhnya jentera kerajaan untuk kempen politik.

Antara yang hadir berkempen politik ialah Datuk Shafie Afdhal, Dato' Seri Jamil Khir Baharom dan Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah. SPR dan pihak keselamatan juga djemput berceramah; semuanya usaha untuk memantapkan sokongan rakyat terhadap BN sebab rakyat sudah kenal siapa SPR dan polis.

Majlis Penerangan Perdana itu lebih tepat untuk disebut sebagai Majlis Pembohongan Perdana kerana sebahagian besar bahan yang diguna menyerang kerajaan negeri Kedah, PAS dan PR adalah bohong belaka. Bahan-bahan risalah yang dibekalkan sarat dengan pembohongan dan fitnah. Bagi mereka jika rakyat mempercayai 10 peratus dari pembohongan itu ia merupakan satu kejayaan kerana tanpa berbohong maka mereka tidak mungkin berpeluang menceritakan keburukan kerajaan negeri Kedah.

Banyak sangat pembohongan disebarkan dalam program tersebut. Sebahagian besarnya sudah diperjelaskan, rakyat Kedah sudah faham. Namun perlu juga rasanya untuk memberi penjelasan terhadap beberapa pembohongan dan putarbelit yang dibuat. Dunia hari ini, melayan (menjawab) pembohongan juga perlu kerana setiap perkara yang menimbulkan kemusykilan maka rakyat akan mencari jawapan.

Antara tuduhannya, kerajaan Kedah dituduh galakkan gejala negatif dalam masyarakat. Alasannya pertambahan rumah urut dan pusat hiburan. Exco kerajaan negeri sudah menjelaskan dasar kerajaan negeri ialah tidak membenarkan pusat hiburan baru. Pusat hiburan yang beroperasi adalah tinggalan dari zaman BN. Jika ada yang baru, maka ia beroperasi secara haram. Bagi rumah urut pula, lesen yang dikeluarkan ialah urutan refleksologi, soalnya ia telah disalahgunakan untuk 'mengurut' yang lain. Masalahnya orang PAS tidak masuk ke tempat-tempat seperti itu. Orang Umno yang sering berkunjung ke situ kenalah beri kerjasama buat laporan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Pihak berkuasa tempatan sentiasa membuat pemantauan terhadap perkara tersebut. Serbuan perlukan kerjasama pihak polis, malangnya jika polis diajak bersama dalam penguatkuasaan maka premis haram itu pun tidak beroperasi. Mungkin berlaku secara kebetulan. Baru-baru ini dua orang Exco sendiri turun padang menjengah kegiatan pusat hiburan. Tindakan diambil terhadap yang menyalahi peraturan. Mungkin ada beberapa kelemahan dalam penguatkuasaan tetapi untuk menuduh kerajaan negeri 'menggalakkan pusat hiburan', ia satu pembohongan.

Sejak mentadbir Kedah tahun 2008 sehingga suku pertama 2011, pelaburan masuk ke negeri ini berjumlah RM6.360 billion. BN dakwa itu usaha kerajaan BN Kedah yang lalu. Selepas hampir empat tahun berlalu maka pelaburan masuk kini adalah hasil kerja mereka dahulu, nampaknya mereka sungguh hebat… atau pembohongan mereka yang hebat! (bersambung)

Penulis ialah Setiausaha Lajnah Penerangan, Dakwah Dan Media Baru PAS Kedah

No comments:

Post a Comment