Friday, September 30, 2011

HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH

HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
http://drmaza.com/home/?p=1624#more-1624

Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.

Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.

Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:

"Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis" (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A'lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-'Arabi/1407H)

Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau 'suruhanjaya rasuah'.

Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka'ab al-Qurtubi apabila diminta oleh 'Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:

"Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau".( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).

- Gambar Hiasan

Membezakan Jenis Jenayah

Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.

Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):

"Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui". (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah/1405H)

Hudud Dan Hak Privasi

Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang 'spy' dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang.."

Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:

"Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan". (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)

Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada 'Abd ar-Rahman bin 'Auf :

"Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.

Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan 'Abd ar-Rahman-: "Kau tahukah ini rumah siapa?". Jawab: "Tidak". Kata Umar: "Ini rumah Rabi'ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?". Kata 'Abd ar-Rahman: "Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: "Jangan kamu mengintip". Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka".( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).

Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :

"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini" (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).

Membina Masyarakat Yang Pemaaf

Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:

"Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: "Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini". Jawab Nabi s.a.w: "Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan".
Lalu baginda membaca firman Allah: "Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)" (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).

Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan 'mengidam' untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka 'penolong syaitan'.

Hudud Memerlukan Ijtihad Baru

Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.

Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).

Pendirian rasmi PAS mengenai hudud

Pendirian rasmi PAS mengenai hudud

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

Thursday, September 29, 2011

Mamat Utusan! Hanglah Bapa Musang Berbulu Ayam!

Mamat yang jadi bos Utusan (baca: surat pekeliling UMNO) ni bimbang sungguh bercampur sedih pilu bila banyak maklumat penting (baca: kerja tak betoi) Perdana Menteri (baca: Presiden UMNO) dibocorkan oleh orang-orang Anwar Ibrahim yang meresap masuk dalam jabatan- dan agensi strategik kerajaan.

Dengan kebocoran banyak maklumat penting itu, dia bimbang (baca: takut terseret dengan dia sekali) nasib DS Najib akan jadi macam Muammar Ghadafi.

Dia takut sangat-sangat sebab banyak agensi penting telah dikendalikan oleh pegawai yang masuk melalui pengambilan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi menyokong perjuangan Anwar Ibrahim!

Boleh baca di sini - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Kata mamat Utusan ni, depa yang berada dalam agensi strategik kerajaan tu bagai 'musang berbulu ayam' kerana membocorkan maklumat penting Najib kepada Anwar seperti kos penerbangan dan percutian pribadi dengan pantas dan tepat! Hah! Kalau cepat mungkin kerana depa tu memang cekap, kalau tepat, hang susah hati buat apa?

Saya rasa mamat utusan ni kepalanya dah tak betoi. Kalau Najib tak buat salah apa-apa, apa yang nak dibimbangkan. Bocoq pi lah 40 lori maklumat atau dokumen pun, kalau tak ada yang tak betoi, apa nak takut. Itu yang rakyat nak sekarang ni, kerajaan dan pemimpin telus dan transparen.

Perkara yang mamat utusan ni tak sedar ialah manusia yang dipilih, dilantik dan diamanahkan menjaga agensi strategik kerajaan ialah manusia yang hebat dan cemerlang, sama ada dinilai melalui kelayakan akademik maupun rekod kerja mereka sebelumnya.

Depa mengaji dari tadika hingga universiti dididik dan dilatih membuat pertimbangan dalam tugas depa berdasarkan ilmu pengetahuan. Depa cerdik, pandai dan layak menduduki jawatan itu kerana mereka berilmu. Ilmulah yang memandu depa apa yang baik, apa yang buruk, apa yang salah dan apa yang benar, apa yang patut dan apa yang tidak patut.

Kalau mamat utusan kata depa tu musang berbulu ayam kerana pertimbangan berasaskan ilmu yang depa ada, orang macam mamat utusan dan mamat mamat lain yang kuat membodek dan melindungi tingkah laku salah pemimpin melalui media yang depa kepalai itu, nak dipanggil apa? Musang apa? Berbulu apa?

Kenapa mereka bocorkan maklumat? Saya percaya sebab depa mahu rakyat tahu apa yang pemimpin negara ini sedang buat diwaktu rakyat dicengkap tekanan kenaikan harga barang dan seribu mak nenek masalah lain dalam negara ini. Kenapa depa tak mau kunci mulut? Sebab depa tau, di akhirat esok, depa pun kena juga kalau bersubahat melindungi kerja tak betoi pemimpin. Ini satu perkembangan yang sihat dalam perkhidmatan awam! Pegawai dah mula merujuk kepada agama dalam tingkah laku mereka, mereka sudah kenal dosa dan pahala!

Apa guna ilmu dan kemahiran yang diajaq di universiti, malah sejak pra sekolah lagi, kalau dalam waktu depa mengamalkan ilmu itu di alam pekerjaan, depa dipanggil musang berbulu ayam. Kalau begitu, ambil saja kaki bodek, kaki subahat, yes man, kaki ampu di kedai kopi dan pejabat UMNO Bahagian jagi pegawai di agensi strategik kerajaan.

Tengok la juga kaki angguk macam pokka di pejabat JASA, Kemas, Seranta, Utusan Melayu, Media Prima, Star, SB dan MIO yang bekerja hanya untuk membetulkan semua salah-silap pemimpin kerajaan (baca: Pemimpin UMNO/BN) dan meletakkan salah itu kepada orang lain. Senaraikan juga JKKK, ketua blok felda, Penyelaras DUN dan Parlimen, blogger dan cyber trooper UMNO yang sudah dikunci mulut dengan elaun besar selama ini untuk menduduki agensi strategik kerajaan. Kalau semua ini terjadi, sah! Pemimpin itu akan selamat dan bersih...tapi negara ini akan hancur!

Kenapa orang cerdik pandai di agensi itu menyokong perjuangan Anwar Ibrahim? Adakah depa semua tak tau Anwar Ibrahim itu manusia paling jahat di Malaysia ni (baca: manusia paling jahat di dunia)? Dia kaki sex,luar tabii, kaki betina, kaki rasuah, kawan dengan Yahudi, jual negara, jemput kuasa asing, pembohong, pelari duit, gadai agama, bla...bla...? Mana ada manusia selepas Firaun yang sejahat Anwar? Depa tak tau ka? Takkan orang cerdik pandai yang kerja di agensi strategik kerajaan tak kenai Anwar Ibrahim dan perjuangannya? Hish! SPA dan JPA salah pilih orang ni...

Kesimpulan dari ketakutan dan kesediahn Mamat Utusan yang tak boleh tidur lena ni.... Nilai dan norma hidup mereka sudah terbalik kuang dek kerana telah buta dan tuli dengan UMNO/BN. Segala yang salah di kalangan pemimpin mesti disorok dan dilindungi oleh semua agensi kerajaan. Biar pemimpin dan bini depa buat apa saja sesuka hati, atas nama negara, depa mesti dijaga, takut nanti jadi Muammar Gaddafi! Mabuk ka apa dia ni??

Pemimpin kami dalam PR siap siaga sepanjang masa untuk dilondeh oleh rakyat maupun pegawai di keliling mereka jika ada sebarang kesilapan yang disengajakan sepanjang memegang amanah negara (baca: sentiasa diintai sepanjang masa kalau-kalau ada kesilapan, kalau tak ada juga, cipta satu kesilapan untuk dikenakan mereka secukup-cukupnya).

Para pemimpin kami sentiasa menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pegawai dan rakyat dalam semua aspek kehidupan termasuk kehidupan pribadi mereka. Mereka memahami dan menghayati slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan' melebihi pembawa slogan itu sendiri.

Apa yang terdedah, apa yang rakyat tahu, apa yang kami kata, apa yang kami buat, apa yang terbit dari mulut, itulah yang di hati...apa yang dijalani oleh pemimpin kami, itulah yang sebenar, tanpa selindung, tanpa takut tanpa bimbang (no fear kata mat saleh)... Itulah beza kami dengan kamu wahai Mamat Utusan Zaini Hassan! Hanglah bapak Musang Berbulu Ayam yang sebenar!

Sunday, September 25, 2011

Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman- Dato' TG Nik Aziz Nik Mat

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ(13
وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ (14)- النساء: 13-14

Yang bermaksud : Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. – Surah Al-Nisa', ayat 13-14

Tema sambutan Hari Hududullah pada tahun 1432 Hijrah ini ialah "Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman". Bermakna perundangan Islam termasuk hukum hudud amat mengutamakan prinsip mencegah dan mendidik umatnya ke arah keharmonian hidup bermasyarakat. Oleh itu, di dalam al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 11 kali di dalam 7 ayat yang dirangkumi di dalam 5 surah yang berlainan. Satu ayat daripadanya membicarakan tentang hukum hakam puasa, tiga daripadanya tentang hukum cerai dan iddah, dan satu ayat lagi membicarakan tentang hukum faraid atau pembahagian harta pusaka, seperti mana ayat tersebut di atas. Kemudian, satu ayat juga menceritakan sikap orang-orang munafik yang suka melanggar hudud Allah dan satu lagi membicarakan tentang hukum zihar.

Penelitian terhadap ayat-ayat tersebut memberikan kefahaman kepada kita bahawa hudud bukanlah bermaksud hukuman ke atas penjenayah terhadap kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina dan minum arak sahaja, tetapi lebih luas lagi ia mencangkupi semua batasan syariat yang ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, satu silap faham yang sangat dikesalkan apabila disebut hudud, maka digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam terhadap pesalah. Malah dilabelkan pula sebagai undang-undang primitif yang ketinggalan zaman. Sedangkan setiap pekara yang dibatasi oleh syariat dengan hukum halal dan haram dalam kehidupan manusia adalah disebut "hududullah" (hudud Allah).

Contohnya makan minum, dihalalkan oleh Allah SWT tetapi memakan perkara yang haram dikira melanggar hudud Allah. Melunaskan tuntutan fitrah manusia untuk berpasangan dibenarkan oleh Allah SWT melalui ikatan perkahwinan dan diharamkan jika dilakukan melalui bersekedudukan tanpa berkahwin yang menyebabkan hubungan zina dan ia dianggap melanggar hudud Allah. Nyata sekali, setiap perkara yang haram, melanggar perintah Allah SWT, maka dianggap melanggar hudud Allah SWT. Rasulullah SAW mengumpamakan perbuatan melakukan perkara yang haram ini seperti menceroboh tanah larangan milik Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Yang bermaksud : Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah qalb. – Hadis riwayat Bukhari.

Kekeliruan

Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan di dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah. Maka hudud telah diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah. Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan: "Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan' dan "akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina." Paling dukacitanya, kata-kata itu terbit daripada bibir orang Islam sendiri. Sekalipun kata-kata itu sudah lama diucapkan, tetapi kesannya telah memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang Allah SWT.

Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar. Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ouf of date dan sebagainya. Tanggapan seperti ini bukan sahaja berlegar di kalangan non muslim bahkan masyarakat umat Islam sendiri masih keliru di dalam memahami keindahan syariat Islam yang sebenar.

Kekeliruan dan kejahilan ini bertambah parah apabila beberapa isu agama yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak ditangani sebagaimana yang diajar oleh Islam. Natijahnya, Islam semakin dipandang serong oleh masyarakat. Isu-isu seperti larangan non muslim memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentimen yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.

Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri. Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah. Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku Pentadbir alam ini. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa, orang ini bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T, tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim.

Saya yakin, sebahagian besar daripada masalah ini ialah kerana kejahilan terhadap keindahan undang-undang Islam itu sendiri. Justeru, Kelantan mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Hududullah setiap tahun dan pada tahun ini pula diadakan seminar undang-undang syariah peringkat kebangsaan untuk memberikan pendedahan dari masa ke semasa kepada masyarakat agar apabila tiba saat dan masanya yang membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan dilaksanakan dengan penerimaan dan kefahaman daripada masyarakat yang sudah terdidik dengan maklumat-maklumat yang benar.

Optimis

Saya optimis, jika wajah sebenar undang-undang syariah didedahkan, tidak akan ada suara-suara sumbang yang menolak pelaksanaannya nanti. Kata cerdik pandai tidak kenal maka tidak cinta.

Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar seminar ini dapat dilaksanakan dari masa ke semasa dan hendaklah dibuka penyertaannya kepada penyertaan masyarakat non muslim untuk datang mendengar dan mengemukakan persoalan agar setiap kemusykilan dapat dijawab oleh para ilmuan bukannya diperdebatkan di dada-dada akhbar sehingga menjadi isu politik yang bias.

Hasarat Kerajaan Negeri ialah untuk mempertingkatkan syiar Islam di Kelantan ini. Oleh itu, saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan sama ada negeri atau pesekutuan agar sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti iman di kalangan rakyat dengan berkerjasama menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan cara masing-masing. Mudah-mudahan kehidupan kita semua ini akan mendapat ihsan dan keberkatan dariNya.

Firman Allah SWT :

ولْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya". –Surah Ali Imran, ayat 104.

Apa yang penting difahami bahawa hukum hudud ini bila dilaksanakan, bukannya pelaksananya adalah orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun setelah menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu. Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik.

Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat. Jika gejala penolakan ini tidak dibendung, saya bimbang menjadi satu trend yang sebenarnya membawa kesan yang tidak baik terhadap akidah umat Islam. Jangan merasakan ini sebagai satu isu yang mudah kerana mempertikaikan hukum hudud sebenarnya mempertikaikan Allah SWT.

Penegasan Allah

Sebagai mengingatkan kembali, hayatilah penegasan Allah mengenai hudud yang bertaraf "tilka" memberi makna kehormatan, ketinggian dan peringkat atasan dari segi keutamaannya. Bermakna ia perkara penting. Maka orang yang tidak menerima hudud Allah, orang itu adalah orang durhaka!

Hukuman-hukuman hudud akan dilaksanakan oleh orang yang pakar mengenainya. Penghukuman hudud ada orangnya yang kita panggil hakim. Ia adalah tugas hakim bukannya orang politik. Maka rakyat atau mereka yang ragu, tidak perlu bimbang.

Kita juga kena ingat balik kisah "riddah" pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Keputusan beliau ialah mengisytihar perang terhadap golongan riddah. Lalu Saidina Abu Bakar menegaskan: "Usahkan orang tidak mengeluarkan zakat, orang yang tidak beri 'tali hidung' ('iqal) unta, aku akan perangi mereka." Ia bermakna perbuatan yang bersifat durhaka itu tidak bolleh dibiarkan, kerana bila dibiarkan akan rosaklah masyarakat (orang ramai).

Sama juga, dengan seseorang itu yang membiarkan bacaan fatihah secara tidak betul tajwid, akan berterusan dengan tidak betul. Sedangkan kerana bacaan tidak betul itu, mwenyebabkan ia berubah makna atau menjadi makna yang tidak betul.

Akhirnya, rakaman tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah istiqomah dan sentiasa mengambil tanggungjawab menjayakan misi hududullah ini.

*Olahan daripada ucapan pada Sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan, pada 22 Syawal 1432 bersamaan 20 September 2011, jam 10.40 pagi di Balai Islam Lundang, Kota Bharu.

Isu hudud petanda akhir pilihanraya

Isu hudud petanda akhir pilihanraya
Nasrudin bin Hassan

1. Tidak ada petir, tidak ada guruh, tiba - tiba isu perlaksanaan hukum hudud timbul kembali. Pada pandangan saya, apabila timbul isu perlaksanaan hukum hudud dan ia dimulakan oleh pemimpin dan mantan pemimpin UMNO dan BN maka ia menandakan masuknya musim pilihanraya.

2. Isu perlaksanaan hukum hudud tidak akan kedengaran atau ia tidak akan menjadi polemik jika tidak kerana datangnya musim pilihanraya. Isu ini tidak pernah muncul pada musim panas mahupun musim sejuk. Juga tidak timbul pada musim kemarau atau musim hujan. Bahkan isu hukum hudud ini tidak langsung kedengaran pada musim - musim lain seperti musim haji, musim perayaan, musim cuti hatta musim durian sekalipun. Isu hudud hanya muncul dengan segala ribut polemiknya apabila tiba musim pilihanraya.

3. Hudud adalah sebahagian dari syariat Allah swt yang telah dinaskan di dalam al Quranul Karim. Tuntutan melaksanakannya adalah kekal sejak ia diwartakan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta langit, bumi, manusia dan seluruh alam cakrawala ini. Justeru itu, ia bukan satu isu ! sebaliknya ia adalah ilmu dan syariat yang mesti dipelajari, difahami, dilaksana dan dihayati oleh ummat Islam.

4. Saya kagum dan menyokong kenyataan YAB Ayahanda Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan yang konsisten dengan pendirian dan prinsip perjuangan Islam yang didokong. Sebetulnya adalah satu keistiqamahan yang dituntut kepada semua pemimpin dan anggota Jamaah Islam. Maka saya tidak nampak sebarang isu atau polemik di situ melainkan musim pilihanraya telah tiba.

5. Perbahasan mengenai hudud tidak selayaknya di media kerana ia bukan isu politik untuk dipolemikkan, tetapi ia adalah ilmu dan syariat yang mempunyai kaedah, usul dan feqh yang perlu dipelajari dengan jujur, difahami dengan halus, diamal dengan telus dan dihayati dengan tekun.

6. Perbahasan dan pengkajian mengenai hudud mesti melalui seminar kefahaman yang berterusan, pengajian khusus di pusat pengajian Islam seperti Universiti, madrasah, masjid, usrah, forum, diskusi, wacana, dialog atau halaqah - halaqah tertentu yang dilakukan secara berterusan.

7. Saya menyarankan kepada semua termasuk non muslim dan khasnya kepada pemimpin - pemimpin Umno dan BN yang mahu memahami dan mendalami hukum hudud dan perlaksanaannya supaya daftar dan menyertai kelas pengajian di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad [KUIZM]. Inilah antara tempat yang sesuai untuk belajar, berdiskusi dan berwacana kearah memahami hukum hudud yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'

8. Berbahas dan berpolemik di dada media, pula mendedahkan isu ini kepada komentar orang ramai yang bercakap tidak berasaskan ilmu adalah suatu yang tidak selayaknya berlaku justeru ia akan mendedahkan kesucian hukum Allah swt ini kepada pencemaran fikrah [pemikiran] dan aqidah [keyakinan].

9. Musim pilihanraya hampir serupa dengan musim tengkujuh dalam beberapa aspek terutama ribut yang menghuru - harakan dan petir yang gegak gempita. Kini Umno dan Agensinya sedang porak peranda ekoran siri pendedahan yang konsisten Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan konspirasi memenangkan Umno dan BN melalui cara yang tidak demokratik.

10. Selesaikan dulu kepincangan politik dan ketempangan demokrasi negara kerana inilah isu sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat keseluruhannya mendepani pilihanraya umum yang akan datang.

Hak mereka mengundi tercalar dengan wujudnya ic klon dan nama pemilih yang bertindih.

Kedaulatan negara terganggu dengan wujudnya pemegang ic berkod 71 tanpa dikenali dan diketahui asal usulnya dengan jumlah melebih 170 ribu.

Demokrasi tercemar apabila peraturan yang digubal tidak konsisten dan tidak saksama.

Integriti pengendali sistem pilihanraya [SPR] negara yang tercalar kerana sikap yang bias dan tidak telus.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saturday, September 24, 2011

Kelantan Dan Tanggungjawab Hudud

Kelantan Dan Tanggungjawab Hudud
Oleh: Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin
http://drmaza.com/home/?p=1617

Apabila sebut hudud di Malaysia, ramai yang akan mengingati hasrat Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Ada yang menyatakan hasrat tersebut sekadar mainan politik, padahal tuduhan itulah mainan politik. Saya bukan anak Kelantan, tidak juga aktivis parti di Kelantan. Saya orang luar Kelantan yang sering diberikan peluang oleh Kerajaan Kelantan untuk melihat pentadbiran dari dekat.

Saya yakin bahawa dalam isu hudud hasrat Kelantan bukan main-main. Ia adalah hasrat yang terbit dari perasaan tanggungjawab perintah muslim terhadap ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan nas-nas Rasulullah s.a.w dalam sunnah baginda. Saya sendiri mendengar perkataan YAB Menteri Besar Kelantan ketika ditanya tentang hudud, beliau menjawab: "Jika Allah tanya saya di akhirat, saya akan beritahu Kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya".

Saya lihat wajahnya, saya rasai kejujuran dan kebimbangan beliau yang diamanahkan pemerintahan mengenai hukum Allah berkenaan. Apa tidaknya, Allah menegaskan dalam al-Quran: (maksudnya)

"Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat. Perempuan Yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman" (Surah an-Nur: 1).

Dalam al-Quran ada disebutkan beberapa jenis hukuman terhadap jenayah-jenayah tertentu; jenayah curi (Surah al-Maidah: 38), jenayah hirabah (Surah al-Maidah: 33), jenayah zina (Surah an-Nur: 3), dan qazf (Surah an-Nur: 4). Dalam hadis pula disebutkan hukuman sebat bagi peminum arak, buang daerah bagi penzina dan rejam bagi penzina muhsan, juga bunuh bagi yang murtad. Hukuman ini secara umumnya dikategorikan sebagai hudud. Walaupun begitu, ada perbincangan dalam kalangan sarjana mengenai kedudukan hukuman murtad, buang daerah dan rejam; adakah itu hudud atau ta'zir (discretionary punishment). Jika ia hudud bererti ia tidak boleh dipinda atau ditukar ganti. Jika ia ta'zir bererti ia terdedah kepada perubahan dan penilaian semula pihak pemerintah. Saya akan bincangkan nanti dalam artikel yang lain.

Niat Buruk

Usaha menggambarkan negara Islam atau design negara yang mendaulat Islam sebagai negara hudud adalah gambaran yang tidak tepat. Pihak musuh berniat buruk. Hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam. Hudud adalah hukum Islam yang menjadi makanisme dalam mencegah jenayah. Asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya. Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat. Dalam masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat.

Firman Allah: (maksudnya):
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj: 41).

Penafsiran perkataan 'makruf' dan 'munkar' hendaklah diluaskan dalam konteks kehidupan muslim secara umum, dan kenegaraan secara khususnya. Maka dalam negara Islam; keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum. Tiada beza antara hukuman terhadap sultan atau raja dengan rakyat biasa. Tiada beza antara orang besar dan orang bawah. Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa. Kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga. Kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat.

Hukum Allah

Tiada seorang yang beriman pun yang akan berani membantah nas-nas qat'i (definitive texts) sama daripada al-Quran ataupun as-Sunnah. Mempersendakan teks al-Quran ataupun as-Sunnah seperti sendaan sesetengah pihak apabila Kelantan ingin melaksanakan hudud dengan menyatakan 'sesiapa yang ingin makan sup tangan sila ke Kelantan' adalah melampaui batasan agama. Bahkan, jika pengucap sedar dan bermaksud menghina nas al-Quran dan as-Sunnah, maka dia terkeluar dari Islam.

Nas-nas yang qat'i (definitive texts) itu, sekalipun diyakini tanpa syak daripada Allah, namun para sarjana Islam sering berbeza pendapat dalam menafsirkan maksudnya, atau berbeza pendapat dalam memperincikannya. Ini disebut sebagai dalil yang zanni (speculative meaning).

Umpamanya, dalam hukuman memotong tangan pencuri, tiada siapa yang syak tentang kewajiban melaksanakan nas ini. Namun, para sarjana berbeza pendapat dalam menentukan syarat yang melayakkan seseorang dijatuhkan hukuman tersebut. Demikian juga dibincang suasana yang membolehkan hukuman itu dilaksanakan. Ini kerana terdapat nas-nas yang lain yang boleh menafsirkan hukuman ini. Membahaskan, ataupun meletakkan syarat-syarat yang layak sebelum perlaksanaan sesuatu hukum hudud itu, bukanlah bererti menolak hukum itu, sebaliknya memastikan perlaksanaan itu memenuhi maksud sebenar dari titah perintah Allah dan rasulNya yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah (The Higher Objectives of Islamic Law).

Ini kerana bukan tujuan Islam ingin memastikan tangan pencuri itu putus, tetapi yang hendak dicapai ialah maksud keadilan, pencegahan dan pemeliharaan harta masyarakat di sebalik hukuman tersebut. Kaedahnya ditetapkan iaitu potong tangan. Maka, pelaksana hukum tersebut hendaklah memastikan bahawa apabila hukuman tersebut dilaksanakan, maksudnya dapat dicapai. Jika dilaksanakan, sedangkan maksud itu tidak dicapai, ataupun berlaku sebaliknya, maka itu tidak menunai tanggungjawab nas. Sebaliknya, hanya menzahirkan ketidakadilan, atau kekejaman atas nama Islam.

Suasana Kondusif

Suasana kondusif ialah suasana di mana apabila hukuman hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan. Tertegak keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri.

Nabi s.a.w bersabda:
"Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan". (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani).

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:
"Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza'i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…".

Dalam riwayat Abu Daud: "Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran" (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w mengarahkan agar hukuman tidak dilaksanakan dalam keadaan peperangan ataupun musafir kerana bimbang kesan yang negatif terhadap perlaksanaan itu disebabkan suasana yang tidak kondusif. Dengan melihat kepada nas yang seperti ini, maka persoalan persekitaran ketika hukuman hudud dilaksanakan perlu diambil kira.

Mewujudkan Suasana

Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suanana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.

Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum. Ini kerana pertama; dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.

Perjuangan penting kita pada hari ini, ialah mengujudkan suasana yang kondusif ini sebelum sesuatu undang-undang ini dilaksanakan. Ini kerana, jika undang-undang hudud dilaksanakan; dihukum orang bawahan; dilepas orang atasan, dihukum penzina; diketatkan perkahwinan serta disusahkan talak dan fasakh, dihukum peminum arak, digalakkan gambaran arak, dihukum pencuri; dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah dan salah guna harta negara dalam kalangan golongan atasan, dihukum pemberontak; dibiarkan kezaliman penguasa dan seterusnya, sudah pastilah hudud tidak dapat dilihat keindahannya.

Bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana yang seperti itu, hanya membinasakan masyarakat. Rasulullah s.a.w menyebut:

"Wahai manusia! Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di Kelantan suasana kondusif untuk hudud terikat bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran pusat. Selagi Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya, tidak mungkin suasana kondusif itu dapat diwujudkan. Selepas itu banyak lagi perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan. Maka, bukan menjadi kesalahan Kelantan jika beberapa hukuman hudud tidak dilaksanakan disebabkan keterbatasannya.

Kelantan telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu. Walaupun masih terbatas disebabkan banyak kekangan, namun apa yang penting hukuman itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan. Ijtihad-ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan. Saya akan bahaskan dalam artikel yang akan datang insyaAllah.

Thursday, September 22, 2011

Sejarah Berulang- Bertuahlah Siapa Yang Mengambil Pengajaran....

13 tahun lalu, saya diarahkan oleh Hj Mahfuz Omar yang menjadi Ketua Sekretariat Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk menempah Stadium Bukit Jalil untuk diadakan majlis Pelancaran Gerak Peringkat Nasional.

Setelah Salahuddin Ayub menandatangani cek RM5000 sebagai deposit, saya terus ke Staduim Bukit Jalil bersama saudara Fazli Abd Ghani, yang sekarang menjaga arkib PAS - dia sudah jadi pakar sejarah PAS. Pengurus Perbadanan Stadium Merdeka yang menguruskan stadium itu ialah seorang pelakon drama kegemaran ramai - OPAH- Abu Bakar Kasim.

Sewaktu saya tiba, Ziana Zain sedang berlatih menyanyi kerana akan diadakan konsert pada malam berikutnya di stadium itu. Kelihatan ramai pekerja sedang mengemaskan stadium kerana malam sebelumnya berlangsung jamuan untuk petugas Sukan Komenwel. Kata Abu Bakar, petugas pembekal makanan itu bekerja sejak malam tadi kerana banyak makanan tak habis. Tempahan untuk 50 ribu, yang datang hanya sekitar 20 ribu. Kontena yang berbaris di luar itu membawa sisa makanan yang tak diberitahu ke mana hendak dibuang.

Setelah selesai membawar deposit tempahan atas nama Mahfuz Omar dan saya sebagai penjamin, saya beredar ke Balai Polis Cheras untuk memohon permit himpunan. Ketua Polis Cheras waktu itu ialah ACP Bakri Zinin, Ketua Siasatan Jenayah Bukit Aman sekarang.

Selesai di IPD Cheras, saya ke Harakah untuk memaklumkan supaya wartawan menulis berita tentang hal itu kerana inilah kali perama program parti pembangkang akan diadakan dalam stadium. Tempahan dengan pengurusan stadium dan permit polis sudah di pohon. Semuaya beres, menunggu masa untuk berlaku.

Jika tidak salah ingatan saya, majlis akan berlangsung pada 21 Oktober 1998 (nanti saya betulkan jika tersilap). Masih ada lebih kurang satu minggu untuk membuat persiapan. Poskad khas yang direka semalaman, yang ditujukan kepada Perdana Menteri telah dihantar untuk dicetak sebanyak 100,000 keping. Saudara Azmi unit amal yang mengurus cetakan. Sementara itu tandatangan sokongan kepada Gerak yang diiklankan di Harakah masuk melalui mesin fax tak putus-putus. Sejuta tandatangan yang disasarkan akan di'hadiahkan' kepada PM.

Malam itu saya tidur lena selepas membayangkan betapa meriahnya stadium itu nanti dengan pimpinan dan penyokong Gerak yang akan hadir. Tentu ramai! Orang tengah marahkan Tun Mahadhir keranan memecat Anwar Ibrahim. gerak diketuai oleh Almarhum Presiden PAS, Dato' Hj Fadzil Noor.

Jam 9 pagi esoknya, Abu Bakar Kasim tercegat di depan tangga pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, Taman Melewar. Saya nak jumpa Mahfuz Omar atau Sanusi Md Nor, katanya. Sayapun turun ke bawah bila dipanggil seorang teman. Maaf Encik Sanusi, saya terpaksa pulangkan duit deposit tempahan Stadium semalam atas arahan 'orang atas' .... Maaflah cik Sanusi! Saya tak boleh buat apa-apa... Ini cek encik semalam. Seperkara lagi....dan saya dimaklumkan permit polis pun tak akan dikeluarkan! Katanya ringkas dan meminta diri.

Petang itu saya dipanggil ke IPD Cheras, disoal macam orang salah kerana memohon permit himpunan pelancaran Gerak oleh SB berpangkat inspektor dari Kelantan. Lepas makan lepat pisang dan teh tarik, saya dan Fazli Ghani balik....pening. Perjuangan tetap akan diteruskan. Inilah kisah pembangkang memohon guna stadium di zaman BN jadi Kerajaan. Ziana Zain boleh buat konsert, sukarelawan Komenwel boleh makan-makan... Kita tak boleh!

Akhirnya waktu pelancaran Gerak tiba juga. Berlaku di Taman Melewar yang mencatat sejarah dalam gerakan politik di Malaysia. Setiap inci bumi taman melewar penuh sesak, jem sampai ke Greenwood hingga ke Setapak. Saya tak dapat ke mana- mana, terperap dalam bilik..tangga pun dipenuhi manusia.

Menjelang jam 10, dicelah-celah orang ramai, 4 anggota polis berpangkat tinggi mencelah di celah ratusan ribu manusia mara ke pentas untuk menghentikan program. Dalam berhimpit-himpit, orang memberi laluan...disiplin dan rasa hormat kepada mereka sebagai penjawat awam membawa mereka ke pentas bertemu Cikgu Mustafa Ali (Cikgu Pa) yang menjadi Bendahari PAS waktu itu, dia bertanggungjawab ke atas premis markaz PAS itu.

Masa itu, kesedaran hak orang awam bila berdepan dengan polis belum seperti sekarang. Tak ramai yang tahu berhimpun dalam premis sendiri tak perlukan permit polis. Sekejap saja berhadapan Cikgu Pa mereka pun beredar dengan aman tanpa gangguan program diteruskan. Selepas itu Cikgu Pa membuat pengumuman...Kata Cikgu Pa, polis minta bercakap di mikrofon untuk minta orang amai beredar, perhimpunan ini tiada permit...tapi saya tidak izinkan kerana saya bimbang mereka tidak dapat keluar seperti mana mereka masuk tadi! Orang ramai bertakbir Allahu Akbar!!!... tanpa disuruh...

Derma malam itu juga catat sejarah. Kali pertama saya dan 6 sekretariat Gerak mengira wang derma sampai pagi. Wang kertas saja RM67 ribu, duit syiling pakai timbang kilo.

Sehingga Gerak dilancar ke seluruh negara dan menjalankan berbagai- bagai aktiviti dan roadshow, wang itulah digunakan...itulah titik mula perubahan lanskap politik negara kita sejak Merdeka... Kepimpinan Dato' Hj Fadzil Noor adalah arkiteknya... Bertuahnya kita kerana pernah 'memilikinya'..bertuah juga diri saya kerana turut berpeluang terbabit biarpun hanya sepalit warna di atas 'karya besarnya'.

Selepas itu, palancaran Gerak di Negeri- negeri semuanya diganggu polis, hingga ada yang terpaksa di batalkan. Saya sempat ke Pahang, Johor dan Kedah... Di Kedah berlaku di Muassasah. Petugas yang ditugaskan mengedar poskad khas kepada PM memanggil saya ke mejanya... Abang ambik poskad ni bang...sain saja dan bagi duit 3 kupang esok saya tong poskan! Saya senyum saja!

Saya ungkit kisah ini untuk apa??

Kerana ini adalah satu sejarah! Ulangan sejarah ini sudah tiba. Baru 13 tahun, kita sudah berada semula di putarannya... Di waktu Ustaz Azizan mengetuai kerajaan Kedah Waktu ini, dia sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Darul Aman dengan baik hati dan berbudi tinggi memberikan keizinan kepada Barisa Nasional menggunakan Stadium Suka Menanti untuk menjalankan aktiviti mereka... Dato' Bashah mengucap terima kasih atas kebaikan itu di akhbar!

Ia berlaku dua hari lalu. Inilah contoh kepimpinan PAS yang mengetuai Pakatan Rakyat... Bakal memimpin negara yang tercinta ini nanti.... Ada orang kata : PAS dengan UMNO-BN dengan PR sama saja... Politik politik juga!

Sama kah???

Mana mungkin! Kita sudah jauh berbeza walaupun dalam bab menggunakan stadium, apa lagi hal lain! Teras kita Islam... Amalan kita selari dengan demokrasi. BN yang mengurung demokrasi hanya untuk kelompok sempit mereka sudah ditolak... dan akan terus ditolak... Tunggulah masanya...mereka tiada upaya untuk bangkit lagi dengan tolakan itu...

Yang terlebih baik dari itu... PAS mengadakan majlisnya di kompleks sendiri di Batu 9... Kemaihhh!

Friday, September 16, 2011

Utusan Malaysia: Perancang Kempen UMNO

Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Bagi perancang kempen Umno, yang selama ini tercari-cari modal dan bekal politik menjelang pilihan raya umum ke-13, isu serangan Mat Indera di Bukit Kepong pada 1950, yang disebut sepintas lalu dalam ucapan Mat Sabu itu, dilihat senjata paling ampuh untuk menarik sebanyak mungkin sokongan pengundi Melayu.

Sesungguhnya Umno sudah putus harapan dengan masyarakat bukan Melayu, terutama pengundi Tionghua. Keputusan pilihan raya negeri Sarawak semakin memudarkan impian mereka untuk menjinakkan "kemarahan" masyarakat Cina, yang begitu terserlah dalam PRU12 sehingga mencetuskan tsunami politik yang bersejarah itu.

Kini, talian hayat Umno untuk terus menerajui takhta dan menguasai Putrajaya semata-mata tertumpu kepada orang Melayu. Melihat bagaimana Utusan Malaysia dan TV3 secara intensif menimbulkan isu-isu yang membangkitkan sentimen kemelayuan sudah cukup untuk membuktikan Umno terpaksa memperjudikan survival kuasanya.

"Apabila isu Mat Indera dimainkan setiap hari sejak 27 Ramadan lalu, bagi saya, itu petanda Umno sudah bankrap atau muflis isu," kata seorang penganalisis politik, yang juga seorang pensyarah kanan undang-undang sebuah universiti tempatan.

"Ia juga membuktikan segala usaha pembaharuan Najib Razak, terutama berkaitan pakej ekonomi, telah gagal dan langsung tidak membantu memulihkan imej BN. Lalu, tiada pilihan melainkan mencari-cari apa yang dilihat sebagai kelemahan pembangkang, khususnya PAS, iaitu seteru terkuat Umno, untuk digembar-gemburkan," tambahnya.

Kesempatan menemubual Mat Sabu, Isnin lalu, memberi kesempatan untuk saya mencari jawapan di atas "kekeliruan" yang dibangkitkan media Umno. Ternyata beliau cukup yakin dan selesa menjawab pertanyaan kami, malah menjangkakan Umno "menggali kuburnya" sendiri apabila membangkitkan soal sejarah kemerdekaan negara.

Selama ini, tidak kurang ramainya masyarakat Melayu, khususnya golongan yang sudah berumur, yang cukup menyanjung "satu-satunya jasa tidak ternilai Umno" iaitu memerdekakan Tanah Melayu. Persepsi itu diwarisi turun-temurun.

Malah, sebahagian mereka mengakui rekod buruk Umno selama memerintah lebih 54 tahun, tetapi tidak dapat melupakan "pengorbanan pemimpin Umno" untuk menghalau penjajah (walaupun kini diberitahu oleh juak-juak Umno di menara gading bahawa negara tidak pernah dijajah). Dan cara terbaik "membalas budi" Umno itu adalah dengan terus mengundinya dalam pilihan raya!

Walaupun saya tidak begitu mudah untuk meyakini Umno dapat ditewaskan dengan mudah melalui polemik ini, namun saya amat bersetuju jika "pancang kekuatan palsu" parti itu dapat robohkan atau sekurang-kurangnya dilemahkan.

Saya yakin masih ramai sarjana sejarah, yang jujur dengan ilmu mereka, bersedia berkongsi pengetahuan dengan publik, khususnya ketika rakyat cukup dahagakan "kisah benar" yang selama ini terselindung. Dan di pasaran sebenarnya sudah ada buku-buku yang mampu menyingkap "kegelapan" itu.

Percayalah, dalam waktu terdekat, kita akan dilambakkan dengan buku-buku yang mampu "memperbetulkan" sejarah negara, sekali gus mendokong usaha yang dirintis Mat Sabu itu ....

Pada awal bicara kami, Mat Sabu menjelaskan bahawa tema ceramah kontroversinya itu adalah soal sambutan kemerdekaan yang sudah jadi sambutan Umno dan bukan sambutan nasional yang dirayakan rakyat. Temanya adalah pengiktirafan kepada semua pihak yang menyumbang ke arah kemerdekaan, termasuk Umno.

Saya cuba mempersoalkan kemungkinan isu berkaitan keganasan komunis ini akan "mencederakan imej PAS" di kalangan masyarakat Melayu desa atau peneroka Felda. Kebanyakan konstituensi tradisi PAS masih di kampung-kampung, yang agak belum dapat ditembusi terjahan maklumat sepenuhnya.

Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri mengakui undi Melayu yang menjadi teras kekuatan politik tanahair perlu dikuasai PAS dalam PRU13, dengan target untuk memenangi 60 kerusi Parlimen. Hampir semua kerusi itu mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Lagi pun kebanyakan anggota keselamatan adalah orang Melayu. Dengan memutar-belitkan ucapan Mat Sabu itu, sambil menonjolkan bukti keganasan komunis seperti kudung kaki akibat jerangkap samar (walaupun tragedi berlaku pada 1970-an dan langsung tiada kaitan dengan penekanan Mat Sabu), Umno yakin undi pesara tentera, bekas polis dan kaum keluarga mereka tidak akan lari daripada BN.

Mat Sabu tidak menolak hakikat itu tetapi menganggapnya satu cabaran besar yang mesti ditukar kepada peluang untuk memberi penjelasan kepada rakyat. Namun beliau yakin bahawa perubahan dalam mana-mana pilihan raya lebih difaktorkan oleh kesedaran berpolitik masyarakat bandar.

"Saya yakin, anak-anak orang kampung yang tinggal di kota, yang terdedah dengan pelbagai maklumat menerusi media baru dan berkomunikasi melalui Facebook dan Twitter, dapat menjelaskan isu sebenar kepada ibu bapa mereka.

"Yang penting kita harus menukar apa yang dilihat sebagai tekanan ini kepada potensi untuk meluaskan pengaruh PAS," tekannya. "Ya," pintas saya, "kita seharusnya tidak mudah mengalah, mungkin di peringkat awal isu ini nampak memihak Umno, tetapi jika kempen dan penerangan diberikan secukupnya ke akar umbi, kebenaran sejarah akan terdedah."

"Apa pun, bagi saya," kata Mat Sabu, "kepada masyarakat di kampung, yang lebih penting adalah kesediaan PAS untuk turun bersama rakyat, berdamping erat dengan mereka, merasai susah-payah mereka dan menawarkan bantuan. Isu-isu nasional kadang-kadang tidak begitu mempengaruhi."

Dalam pada itu, beliau sempat menekankan, janganlah kita terlalu merendah-rendahkan keupayaan masyarakat kampung untuk membaca real-politik dan mengesan tipu-helah Umno memutar-belitkan isu ini.

Namun, beliau berulang kali mengingatkan kami tentang batas sempadan yang perlu diberi perhatian, iaitu masa sebelum merdeka dan selepas tarikh 31 Ogos 1957. Polis yang dilihat mempertahankan kepentingan British berada di zaman penjajah ketika bendera UnionJack masih berkibar megah.

Selepas merdeka, Mat Sabu dengan tegas menolak pendekatan militan dan keganasan pihak komunis kerana ruang demokrasi, meskipun diakui sempit, telah terbuka. Dalam kesibukannya, beliau masih sempat mengisi kolum "Membedah Demokrasi" dalam Harakah, yang konsisten mempromosikan usaha penambahbaikan terhadap sistem yang dianggap antara terbaik yang pernah dihasilkan manusia.

Program Pembohongan Perdana BN Kedah...

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Sabtu lalu, Barisan Nasional Kedah menganjurkan program yang dinamakan Majlis Penerangan Perdana Negeri Kedah di Dewan Wawasan, Jitra. Dewan Wawasan terletak di bawah Majlis Daerah Kubang Pasu, ertinya milik kerajaan negeri. Ini bukan kali pertama program politik BN diadakan di atas premis kerajaan negeri. Sebelum puasa baru ini, Perdana Menteri telah datang berkempen politik dalam dewan tersebut. Ceramah politik perdana pro Umno pernah diadakan di Stadium Suka Sultan Abdul Halim. BN bebas mengadakan ceramah politik di atas premis kerajaan negeri di balairaya, mini stadium serta padang awam milik negeri.

Ini satu catatan kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah kerana mengamalkan demokrasi tulen dalam pemerintahan. Siapa saja berhak bercakap di mana saja, jika munasabah serta tidak menggugat ketenteraman awam. Hak bersuara tidak diganggu di bawah PR. Lihat balik sewaktu BN berkuasa di Kedah dulu, jangankan premis awam, PAS pernah menyewa dewan hotel milik GLC untuk mengadakan program; Menteri Besar BN arahkan tempahan dibatalkan. Mereka akan marah jika dituduh 'perangai macam komunis kerana sekat kebebasan bersuara', tapi itulah yang mereka lakukan jika berkuasa.

Majlis Penerangan Perdana ini adalah program politik BN tapi penganjurnya ialah Kementerian Penerangan, di bawah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Pihak yang dijemput bukan setakat aktivis parti BN tetapi juga pegawai dan kakitangan kerajaan Pusat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Tidak kisah jika program tersebut betul-betul menerangkan dasar kerajaan Pusat tapi ianya program ceramah politik, berkempen untuk BN dan memburukkan Pakatan Rakyat. Selagi mereka berkuasa, jenuh rakyat bercakap berbuih mulut mempertikaikan program Umno/BN menggunakan platform, bajet dan kemudahan kerajaan; namun ia langsung tidak berbekas di hati mereka. Tanpa segan silu dan muka tak malu mereka terus memperkudakan sepenuhnya jentera kerajaan untuk kempen politik.

Antara yang hadir berkempen politik ialah Datuk Shafie Afdhal, Dato' Seri Jamil Khir Baharom dan Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah. SPR dan pihak keselamatan juga djemput berceramah; semuanya usaha untuk memantapkan sokongan rakyat terhadap BN sebab rakyat sudah kenal siapa SPR dan polis.

Majlis Penerangan Perdana itu lebih tepat untuk disebut sebagai Majlis Pembohongan Perdana kerana sebahagian besar bahan yang diguna menyerang kerajaan negeri Kedah, PAS dan PR adalah bohong belaka. Bahan-bahan risalah yang dibekalkan sarat dengan pembohongan dan fitnah. Bagi mereka jika rakyat mempercayai 10 peratus dari pembohongan itu ia merupakan satu kejayaan kerana tanpa berbohong maka mereka tidak mungkin berpeluang menceritakan keburukan kerajaan negeri Kedah.

Banyak sangat pembohongan disebarkan dalam program tersebut. Sebahagian besarnya sudah diperjelaskan, rakyat Kedah sudah faham. Namun perlu juga rasanya untuk memberi penjelasan terhadap beberapa pembohongan dan putarbelit yang dibuat. Dunia hari ini, melayan (menjawab) pembohongan juga perlu kerana setiap perkara yang menimbulkan kemusykilan maka rakyat akan mencari jawapan.

Antara tuduhannya, kerajaan Kedah dituduh galakkan gejala negatif dalam masyarakat. Alasannya pertambahan rumah urut dan pusat hiburan. Exco kerajaan negeri sudah menjelaskan dasar kerajaan negeri ialah tidak membenarkan pusat hiburan baru. Pusat hiburan yang beroperasi adalah tinggalan dari zaman BN. Jika ada yang baru, maka ia beroperasi secara haram. Bagi rumah urut pula, lesen yang dikeluarkan ialah urutan refleksologi, soalnya ia telah disalahgunakan untuk 'mengurut' yang lain. Masalahnya orang PAS tidak masuk ke tempat-tempat seperti itu. Orang Umno yang sering berkunjung ke situ kenalah beri kerjasama buat laporan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Pihak berkuasa tempatan sentiasa membuat pemantauan terhadap perkara tersebut. Serbuan perlukan kerjasama pihak polis, malangnya jika polis diajak bersama dalam penguatkuasaan maka premis haram itu pun tidak beroperasi. Mungkin berlaku secara kebetulan. Baru-baru ini dua orang Exco sendiri turun padang menjengah kegiatan pusat hiburan. Tindakan diambil terhadap yang menyalahi peraturan. Mungkin ada beberapa kelemahan dalam penguatkuasaan tetapi untuk menuduh kerajaan negeri 'menggalakkan pusat hiburan', ia satu pembohongan.

Sejak mentadbir Kedah tahun 2008 sehingga suku pertama 2011, pelaburan masuk ke negeri ini berjumlah RM6.360 billion. BN dakwa itu usaha kerajaan BN Kedah yang lalu. Selepas hampir empat tahun berlalu maka pelaburan masuk kini adalah hasil kerja mereka dahulu, nampaknya mereka sungguh hebat… atau pembohongan mereka yang hebat! (bersambung)

Penulis ialah Setiausaha Lajnah Penerangan, Dakwah Dan Media Baru PAS Kedah

Wednesday, September 14, 2011

Terkenang semasa dulu...Persidangan Menteri Besar & Ketua Menteri Pakatan Rakyat

Sunday, September 4, 2011

Yang Menang Tulis Sejarah, Yang Kalah Membuat Puisi...

Kata-kata sinis itu menggambarkan betapa sukarnya mencari penulisan sejarah oleh manusia yang jujur, kerana majoriti penulis sejarah menulis dari perspektif di pihak mana mereka berada dan ada yang menulis di bawah kawalan ketakutan dan telunjuk golongan berkuasa.

Umum dan rata-rata sebenarnya menyedari bahawa penulisan sejarah akan menyebelahi golongan yang akhirnya mendapat kuasa atau golongan yang menang.

Manakala bagi golongan yang kalah pula, sejarah yang ditulis, terutamanya apabila bercanggah fakta dengan sejarah golongan yang menang, mereka tidak berani untuk berterus-terang untuk menyerang penulisan sejarah golongan yang berkuasa pada ketika peristiwa tersebut berlaku kerana kebesaran risiko dan tekanan yang mereka terpaksa hadapi.

Bahkan, ada mereka yang berani, namun lazimnya sejarah yang ditinggalkan mereka akan dihapuskan oleh golongan yang menang supaya generasi seterusnya hanya terus mengagungkan dan mengenangkan jasa golongan yang menang demi kepentingan masing-masing.

Akibatnya golongan yang tertewas ini lebih selesa menulis puisi, cerpen dan novel bagi meluahkan bantahan dan penentangan mereka terhadap satu-satu isu atau tohmahan yang dilemparkan kepada mereka. Maka lahirlah kata-kata sinis "yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".

Sejarah, sifatnya ialah peninggalan untuk dinilai, difahami, dipelajari dan diambil iktibar terhadap sesuatu yang pernah berlaku, jarang sekali ia adalah untuk mencari kesalahan mana-mana pihak ketika peristiwa sejarah tersebut berlaku.

Tidak boleh dibahas

Namun, segalanya menjadi terbantut apabila fakta sejarah yang ditinggalkan tidak boleh dibahaskan, tidak boleh dicabar dan tidak boleh dibincangkan secara akademik, terutamanya apabila muncul dua-tiga versi fakta sejarah yang bercanggah mengenai sesuatu peristiwa.

Akibat penulisan sejarah yang tidak tepat itulah, timbulnya usaha untuk menilai semula, membahas, perbincangan ilmiah dan diskusi mengenai satu-satu fakta sejarah dari pelbagai sudut.

Namun, harus diingat, perkara yang paling malang dalam proses penulisan sejarah berkisar kepada mereka yang telah tiada untuk membela diri mereka terhadap penulisan yang tidak tepat terhadap mereka dalam penulisan sejarah, yang lumrahnya ditulis oleh golongan yang menang.

Kemunculan waris-waris untuk membela bagi pihak bapa, ibu atau waris mereka juga menambahkan warna-warni kepada perdebatan bahan sejarah – namun, apakah ia tepat? Sudah tentu, ia masih boleh dipertikai lagi.

Secara tidak sedar, rakyat dan negara kini sedang mencipta dan mencatitkan sejarah tersendiri.

Apakah sejarah yang sedang kita lakar kini, sebagai contoh apa yang berlaku 20 tahun yang lalu untuk generasi masa depan, akan atau telah dibuat secara jujur?

Jawapannya masih sama, ia tidak jujur kerana adanya kepentingan golongan pemerintah dalam menjaga minda generasi seterusnya pada waktu ini, dengan anggapan bahawa mereka akan kekal berkuasa.

Sebagai contoh, sejarah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya dibahas pada masa hadapan, apakah versi yang bakal dicatat dalam sejarah?

Kita tidak perlu melihat jauh, untuk seseorang yang pernah menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri suatu waktu dahulu, sekarang sudahpun ditulis dan digerombol oleh pihak pemerintah dalam wajah baru sebagai pengkhianat, penentang kerajaan dan selainnya sekiranya akhbar-akhbar pro-kerajaan pemerintah kini dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan.

Dilenyapkan dari sejarah

Mana catatan terhadap jasa beliau dalam membangunkan negara, malah memajukan Umno suatu masa dahulu? Adakah ia akan dicatat dalam sejarah kerajaan BN, atau akan dipadamkan begitu sahaja? Adakah dalam carta sejarah kepimpinan Umno, gambar timbalan Tun Dr Mahathir Mohamad ini pada 1990-an akan dihilangkan begitu sahaja dalam sejarah?

Sejarah apa pula mengenai beliau yang akan dituliskan dalam buku sejarah yang bakal diajar kepada pelajar pada masa depan?

Demikian juga dengan sejarah presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai menteri besar Terengganu yang cuba dibuang dari sejarah, sehinggakan gambar beliau sebagai menteri besar cuba dihilangkan.

Inilah realiti dalam permainan penulisan sejarah manusia oleh golongan yang menang, yang menjadi punca utama pahlawan-pahlawan negara yang bangun berjuang bermati-matian seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Datok Bahaman di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datuk Maharajalela dan Si Puntong di Perak, Dol Said di Negeri Sembilan/Melaka dan puluhan pimpinan yang lain yang kini lenyap dari sejarah.

Yang muncul, dicatat, dihargai malah tidak boleh dipertikaikan hari ini hanyalah pejuang yang diterima oleh Inggeris dalam sejarah penjajahan mereka terhadap Tanah Melayu.

Sesiapa yang ingin mengungkit semula jasa golongan yang tertewas, walaupun jasa mereka berharga akan terus dicop sebagai pengkhianat atau penyokong golongan tertentu dan cuba mengubah sejarah negara oleh pihak pemerintah.

Benarlah juga, mereka yang diterima sebagai pejuang oleh penjajah Inggeris ada jasa dalam usaha memerdekakan negara; namun namun pada masa yang sama benarlah juga ungkapan di atas "Yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".

Janganlah kita lupa pula dengan pejuang rakyat yang tidak diiktiraf, malah digelar sebagai pengganas oleh pihak penjajah atau golongan pemenang, mereka juga ada jasanya yang patut dimartabatkan dalam sejarah negara.

Biarlah para pembaca sejarah menilai kedudukan tokoh-tokoh negara pra-kemerdekaan yang tercatit dalam sejarah ini secara peribadi dengan fakta sejarah yang cukup – walaupun kesudahan tafsiran mereka mungkin bercanggah dengan versi sejarah yang dihasratkan, pihak pemerintah dinasihatkan jangan pula cepat mencela mereka ini.

Kerana ini adalah fenomena yang bagus untuk negara yang menunjukkan rakyat semakin matang dalam mengkaji maklumat yang diterima mereka sebelum menerimanya bulat-bulat tanpa soal selidik seperti dulu.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Saturday, September 3, 2011

Star Tertinggal Keretapi...


Apa agenda Star dan pihak dibelakangnya....?

Laporan muka depan Star hari ini pelik dan tersasul. Ia membawa satu agenda. Tiada sebarang isu yang sepadan dengan laporan itu telah atau pernah dibangkitkan di peringkat kerajaan maupun di peringkat parti. Ia hanya ramalan dan bayangan yang tidak tepat dengan peraturan dan prosedur, malah ia sebenarnya tidak berbangkit!

Penggantian atau pemangku mungkin perlu untuk pemimpin yang tidak sihat, malah satu kemestian bila keupayaan memimpin sudah hilang, tetapi amat pelik dan luar biasa untuk membangkitkannya bagi pemimpin yang sudah pulih dan mulai menjalankan tugasan seperti sebelumnya.
Keadaan sebenar sekarang menjadikan laporan star itu tidak releven lagi, dan tentu mengecewakan pihak-pihak dibelakangnya.

Selepas bercuti atas nasihat doktor sehingga 29 Ogos dan bersambung dengan cuti hari raya aidilfitri sehingga semalam, Dato' Seri Menteri Besar Kedah sudah mula berugas hari ini. Dalam tempoh cuti sebelum ini, beliau tetap menjalankan beberapa tugasan penting seperti mempengerusikan mesyuarat Exco.

Setelah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), beliau mendapat rawatan susulan di KMC dan Hospital Sulatanah Bahiyah mengikut prosedur perubatan yang dinasihatkan oleh Doktor. Prosedur itu selesai pada 29 September 2011seperti yang dijadualkan oleh Doktor pakar yang merawatnya.

Dalam tempoh itu juga Beliau juga sempat menghadiri beberapa majlis berbuka puasa, menyampaikan tazkirah dan menyampaikan sumbangan kepada guru quran dan bidan sukarela. MB juga ke pejabat menyelesaikan tugasan rutin, selain melakukan tugasan menyemak dokumen-dokumen untuk ditandatangani di rumah.

Hari ini beliau mula bertugas seperti biasa. Pagi tadi, beliau menziarahi jenazah Dato' Abdul Rahman Ahmad, Pegawai Daerah Kota Setar yang meinggal dunia semalam di Alor Belat, Pendang. Ketibaan beliau disamut oleh pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri dan keluarga Allayarham.
Pada 3 September 2011 (esok) beliau akan mengadakan rumah terbuka di Markaz PAS Jerai seterusnya Rumah Terbuka Menteri Besar di Mentaloon pada 4 September.

Beliau melahirkan kesyukuran kehadrat Allah swt dan berterima kasih kepada seluruh pemimpin dan rakyat Kedah kerana sepanjang tempoh mendapatkan rawatan itu, tiada perkara yang negatif berlaku dan proses pentadbiran kerajaan berjalan lancar...

Tiba-tiba Star bangkitkan skrip pemangku MB Kedah...ada masalah apa dengan depa ni???

Thursday, September 1, 2011

Selamat Hari Raya Aidulfitri

Selamat Hari Raya Eidulfitri...Maaf Zahir Batin kepada semua saudara mara, kawan- kawan dan seluruh Uumat Islam jauh dan dekat....