Monday, April 26, 2010

Kalau Berlaku PRK di Kota Siputeh....

PAS tidak akan menggunakan kerajaan negeri untuk kepentingan parti! Ini sudah ditegaskan oleh YAB MB sejak awal lagi. Ada beberapa permohonan bantuan dari Kota Siputeh selepas kerusi itu diistiharkan kosong oleh mahkamah, antaranya permohonan memperbaiki dewan dan pagar sebuah sekolah cina di situ. MB dengan tegas menjawab, kita akan beri, tapi tunggu lepas pilihanraya, nanti dilihat sebagai 'rasuah politik' pulak.
.
YAB juga mengarahkan program Pemimpin Bersama Rakyat yang dijadualkan di Jerlun dibatalkan, buat di daerah lain. Nanti orang tuduh kita guna kedudukan sebagai MB dan Exco untuk kempen untuk PAS. Kita akan guna jentera parti sepenuhnya kalau berlaku PRK di Kota Siputeh. Kita menang dulupun bukan ada jentera kerajaan tolong kita. Kalau rakyat marah, gunalah jentera kerajaan samahunya macam BN dulu, depa kalah juga.
.
Sampai sekarang, walaupun kerajaan negeri sudah berpendirian bahawa kerusi itu kosong, tak ada sebarang projek segera dibuat di sana, selain daripada projek yang sudah diluluskan dalam Perancangan Plan Pembangunan Daerah, mengikut prosedur biasa.
.
Saya percaya, Malaysia akan melalui satu dimensi baru berparti politik andainya berlaku PRK di Kota Siputeh. Alangkah baiknya kalau berlaku jentera parti lawan jentera parti dalam PRK itu nanti, PAS Kedah sudah bersedia ke arah itu, BN bagaimana?
.

Sunday, April 25, 2010

Duit & Projek...sampai bila???

Kali ni di PRK Hulu Selangor memang terang-terang duit dan projek berhambur...macam orang tengah makan nasi terbatuk. Tak ada segan silu, tak ada undang-undang pilihanraya tentang rasuah, tanpa had. Rasa macam rakyat Malaysia yang tinggal di luar Hulu Selangor adalah rakyat kelas kedua kerana terlalu banyak yang diberi kepada mereka yang mengundi di sana. Semua tu duit rakyat Malaysia.

Tanpa berselindung lagi, janji ditabur dengan kata dua: BN mesti menang kalau mahu ia ditunaikan oleh kerajaan (Malaysia). Sudah jemu kita mengulangi bahawa ini adalah rasuah politik dan menyalahi undang-undang dan prinsip demokrasi.


Sejak bila kempen politik jenis ini bermula? Bila ia akan berakhir? Apa kita boleh buat untuk menghentikan trend ini? Treng BN ini telah membentuk sebuah masyarakat pengundi yang berkiblatkan projek dan wang, bukan lagi kesedaran yang dibina dengan ilmu dan maklumat. Negara-bangsa (nation) kita akan dibentuk oleh kelompok rakyat yang boleh dibeli - diumpan. Ini sangat bahaya!
Kebijaksanaan, kesedaran, keupayaan membuat pilihan berasaskan akal dan fikiran yang bersandar kepada ilmu dan maklumat tidak lagi diperlukan untuk memilih kerajaan, hanya yang ada kuasa untuk menabur wang negara atau wang sendiri boleh menguasai pilihan rakyat.Ini juga amat bahaya, andainya jika seorang taukeh dadah atau along bertanding dalam pilihanraya!
Menggunakan kedudukan dalam kerajaan dan berkempen atas kedudukan itu untuk memenangkan parti adalah salah. Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Pertama Malaysia mengambil cuti 3 bulan untuk berkempen dalam pilihanraya. Dia bercakap sebagai Presiden UMNO untuk memenangkan Perikatan. Kini PM Najib, Muhyiddin dan semua menteri berkempen, bercakap dan menggunakan peruntukan dalam kementerian masing-masing untuk membeli undi bagi pihak BN. Hal ini sudah banyak disyarahkan, tapi ia terus diulangi dan semakin berkembang. Apa jenis demokrasi ni?
Ia boleh dihentikan! Jangan undi BN dalam PRU ke 13, walaupun BN menghempapkan gunung emas sebesar Bukit Uhud di depan rumah kita. Agama, negara-bangsa, maruah, akal budi, ilmu, kesedaran, kefahaman dan generasi akan datang lebih penting dari segunung emas! Berapa ramai yang mampu menggenggam prinsip ini?? Mari kita teruskan pembinaan rakyat dari kelompok ini!


Sunday, April 18, 2010

Engkau Pergi Juaaaa.....

Jam 3.26 petang, hari khamis tanggal 15 April 2010, YB Tan Wei Tsu melakukan apa yang dia usahakan sejak Mei 2008. Cuma dia lakukan berseorangan, tidak berempat seperti yang dihajatkan untuk mencukupkan bilangan 5 seperti diminta oleh 'pembeli' kerusi di kedah.
.
Dia menghadapi masalah dengan pimpinan partinya, berpunca daripada 'power bargain' yang tercetus sejak Mei 2008. Sejak berita turun naik harga 'komodoti' kerusi ADUN di Kedah, nama YB Tan pasti muncul bersama YB Lunas. Ia sampai kepada saya dalam pelbagai cara, dan setiap sumber membawa versi yang sama.
.
YB Lunas agak baik harganya sewaktu PRK Permatang Pauh, dan YB Tan juga memilih tarikh PRK - Hulu Selangor. Pada jam 3.15 petang itu, saya cuba mengesahkan cerita itu dengan bekas pembantu pribadinya. Dia mengesahkan telahan saya dan bila ditanya kenapa kamu tak ikut sekali...selamba saja dia jawab... ' Saya tiada value'.
.
Saya yakin, pimpinan partinya di Kedah tidak akan pergi sejauh itu menghentam beliau, malah akan terus membimbing dan mententeramkan YB Tan selepas tidak dilantik menjadi EXCO dalam rombakan Mac lalu, kalau tidak kerana 'power bargain' yang turut disertai oleh YB Tan. Siapa yang tak marah jika tawar menawar terus dilakukan setelah beberapa pertemuan peringkat tertinggi dilakukan untuk mengenalpasti masalah dan mendengar luahan rasa YB-YB PKR Kedah.
.
Saya sudah mengira YB Tan berada di sebelah 'sana' sejak dia tidak dilantik semula, cuma menunggu masa bilakah saatnya kiraan saya itu boleh dijumlahkan. YB Tan hanya mencipta perkelahian yang lebih parah dengan cabar-mencabar dengan pimpinannya supaya dia punya sebab yang kukuh dan selamat untuk cross the bridge. Alasan ini terpaksa 'dibajai' setiap hari supaya ia cukup-cukup subur untuk mempengaruhi tiga lagi Adun supaya turut menyeberang. Tapi waktu yang 'memberi nilai' sudah tiba di PRK Hulu Selangor, maka adunan alasan dan nilai pasaran memaksa YB Tan pergi seorang dulu menyertai kem YB Lunas.
.
Saya menyimpan 6 kotak cerita disebalik perginya dua YB itu, yang saya pilih untuk dirahsiakan. Biarlah ia tersimpan dalam koleksi sejarah sewaktu saya bertugas sebagai Setiausaha politik YAB MB Kedah. Tengoklah berapa lama ia mampu dikunci dalam kotak-kotak itu. YB.....Hujung minggu ni ada mana?
.

Saturday, April 10, 2010

Kacau pentadbiran Majlis Agama, Pemuda kedah buat Laporan Polis terhadap Dato' Bashah

Laporan Polis akan dibuat padi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar.

Dato' Ahmad Bashah Md. Hanifa hasut imam derhaka KDYMM Sultan Kedah.

Saya, Ahmad Bin Yahya, selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, dengan ini membuat laporan polis kerana mendapati ada unsur hasutan dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Dato' Ahmad Bashah Md. Hanifa untuk mempengaruhi para imam di negeri Kedah Darul Aman untuk mengingkari titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

Laporan saya ini adalah berpandukan laporan akhbar Sinar Harian, dalam muka surat U5, bertarikh 06 April 2010.
Dalam laporan akhbar tersebut, Dato' Ahmad Bashah dengan jelas meminta para imam agar tidak mengisi borang M4 yang telah diedarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah bagi tujuan mengemaskinikan data institusi imam di negeri ini.

Pengedaran borang M4 adalah mengikut arahan yang termaktub dalam Seksyen 63, Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah yang telah mendapat limpah perkenan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam bagi Negeri Kedah.

Oleh yang demikian, amat jelas bahawa, Dato' Ahmad Bashah dengan sengaja cuba menghasut para imam yang menerima borang M4 untuk mengingkari titah perkenan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kerana beliau mengarahkan agar para imam tidak mengisi borang tersebut.

Bagi saya, secara tidak langsung, Dato' Ahmad Bashah juga telah campur tangan dalam urusan pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri kedah yang dinaungi oleh KeBawah Duli Yang maha Mulia Tuanku Sultan.

Sekian sahaja laporan saya.

Saturday, April 3, 2010

Kedah: Tembak Dengan Pistol Ayaq



Sebelum ini di RTM, kini melalui TV3 pula. Aduan Rakyat TV3 kelmarin memang ada agenda yang sama seperti arahan bos UMNO Kedah dalam mesyuarat baru-baru ni. Manipulasi isu air semaksima mungkin untuk menanam kepercayaan bahawa, Kerajaan PR Kedah telah gagal sepenuhnya. Maka RTM dan TV3 yang melenting kalau dikatakan ‘pelacur’ pun sekonyong-konyong menyondol tanpa usul periksa lagi. Kedah dikatakan mengalami krisis air! Kedahlah negeri paling tenat dalam isu bekalan air di kalangan negeri-negeri di benua Asia, malah seluruh dunia. Apakah memang berlaku krisis air di Kedah?

Ada tiga tahap dalam isu air sebelum ia dikatakan sebuah KRISIS.

Pertama seluruh infrastruktur asas bekalan dan sumber air di rumah pam, loji penapisan dan tangki simpanan dipacu pada tahap maksimum, termasuk pengangkutan lori tangki pihak berkuasa air dikerahkan. Ini rutin biasa operator air di seluruh Negara.

Kedua, lori-lori tangki swasta terpaksa disewa untuk menampung penghantaran bekalan air mentah ke kawasan terputus sumber air sehingga menyukar kehidupan harian. Bekalan ke kawasan-kawasan normal terpaksa dicatu dan dihadkan. Catuan air belum berlaku di negeri ini seperti berlaku di Sabah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor!

Ketiga, Rejimen 60 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diwujudkan khusus menangani isu keselamatan sumber dan bekalan air di negara ini terpaksa dikerahkan untuk campurtangan dalam isu ini. Sumber dan bekalan Air adalah item penting dalam isu keselamatan Negara. Beribu-ribu soldadu berceloreng basah dengan segala kelengkapan membekal air akan bertaburan di seluruh Kedah! Hal ini tak pernah terjadi dalam dua tahun ini!

Selepas tiga tahap ini, maka negara atau negeri wajar diistiharkan mengalami krisis air. Kedah berada di tahap mana? Kedah masih berada pada tahap pertama!!!!!

Kampung Keda Sungai Senam dan Kampung Kenangan di Sik, yang disiarkan dalam Aduan Rakyat TV3 kelmarin memang menghadapi masalah air sejak diwujudkan lebih dua puluh tahun dulu. Sejak saya mula terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak tahun 1995, dua penempatan itu memang sudah mengalami masalah bekalan air. Kampong Keda Sg Senam yang diwujudkan atas bukit tinggi melibatkan agensi keda dan Felcra, dengan strategi dan kepentingan politik kerajaan masa itu. Ada 400 pengundi (DUN Belantek) di Kg Keda Sg Senam yang menjadi ‘simpanan tetap’ BN, dan BN tak pernah tewas di UPU Kampung Chong, tempat mereka mengundi.

Pada PRU 2008, sebahagian besar daripada 400 orang ini tidak keluar mengundi kerana memprotes BN yang gagal selesaikan masalah air sejak mereka dipilih menyertai penempatan ini. PAS dibenarkan masuk berkempen dan menziarahi penduduk buat kali pertama pada tahun itu. Hanya 4 buah rumah sahaja yang berani mengaku akan menyokong PAS. Ada seorang pemuda yang celik politik membuka laluan, dan dia dipulaukan hingga sekarang.

PAS menang buat kali pertama sejak pilihanraya diadakan di UPU itu, kerana mereka tidak keluar mengundi. Tetapi kerana ada undi pos tentera di Kem Gubir seramai 1,031 yang dimasukkan di saat pembubaran DUN, BN menang juga di Belantek dengan majority 252 undi.

Apabila kerajaan bertukar tangan, maka cepat-cepat masalah itu dilonggokkan atas kepala kerajaan dengan segala kempen melalui surat khabar dan TV. Adun BN yang menang dengan undi pos tentera itupun menganjurkan demontrasi di kampong itu, seolah-olah air kering bila PR memerintah negeri.

Sejak puluhan tahun, lori tangki menghantar air ke kampong ini, tong drum tepi jalan pun dah banyak yang diulangsalin kerana lama berkhidmat menadah air. Paip utama rosak sepenuhnya sewaktu pembinaan empangan Beris oleh JPS dan usaha mengganti sedang dibuat. Jangan tergamam bila ada air memancut dari pili sedikit masa lagi.

Kampung Kenangan di Kampung Betong juga ‘simpanan tetap’ BN bagi DUN Jeneri. Tidak pernah sekalipun sejak ia wujud, PAS boleh masuk berceramah dan beramah mesra dengan penghuninya. Yang boleh dibuat ialah ceramah di kampung sebelah dan halakan pembesar suara ke sana, moga-moga ada yang mendengar. Selama itulah paip air menjadi hiasan di kampong itu. Alhamdulillah, malam tadi air mula sampai dari jam 2 pagi hingga 7 pagi – kali pertama sejak ia diwujudkan. Yang memang tak pernah menutup kepala paip, ia melimpah ke jalan raya.


Banyak lagi kisah ‘politik pistol air’ di lokasi Aduan Rakyat tempoh hari. Wakil SADA yang diinterbiu dalam rancangan itu banyak menceritakannya kerana sudah 36 tahun dalam industri itu, tetapi tidak disiarkan kerana akan memakan tuan lamanya.

Satu hal yang jelas ialah tiada isu yang lebih besar dan parah di Kedah selain isu air. Maka ia digomol semahunya oleh puak yang gila talak, baik muda atau tua. Johor, Neg 9, Melaka dan Sabah yang parah dengan isu air seperti dilupakan. Jangan sampai pistol air menjadi meriam air (water canon) di negeri-negeri itu, kerana saya sudah merasai kepedihannya dalam demontrasi bersih dan isu bahasa satu masa dulu.