Tuesday, May 26, 2009

SELAMAT BERANGKAT TUANKU- SELAMAT JALAN DATO'SERI

Hari ini, jam 3:20 petang, melalui Lapangan terbang Sultan Abdul Halim, YAB Dato' Seri Menteri Besar Kedah telah mengiringi KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman ke Singapura menziarahi Tuanku Al-Sultan Kelantan Darul Naim yang kegeringan. Selamat Berangkat Tuanku - Selamat Jalan Dato' Seri. Kepulangan dijangka pada jam 8:00 malam esok melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Monday, May 25, 2009

Kenal Ulama' - Siapa Pula Profersional?

Oleh: Dinsman

Menjelang Muktamar PAS pada awal Jun ini tiba-tiba akhbar harian pro-Umno itu memberi perhatian luar biasa kepada PAS. Baguslah. Memang dia ada agenda tertentu. Itu semestinyalah. Dan agendanya itu tentulah bukan bertujuan sengaja hendak memeriahkan muktamar kita.

Maka diperbesarkanlah berita mengenai perbezaan dan persaingan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS, khasnya dalam isu pertandingan dan pemilihan untuk jawatan-jawatan dalam pimpinan peringkat atas.

Maka pimpinan PAS pun difokuskan kepada dua golongan atau dua kategori itu, iaitu ulama dan profesional. Ada yang kata hanya ulama yang layak untuk memegang dua jawatan tertinggi dalam parti; dan ada yang kata profesional pun layak juga sekiranya dia memiliki ilmu agama, iaitu yang dipanggil profesional yang ulama. Lalu timbul pula istilah ulama yang profesional, dan profesional yang ulama.

Maka timbul soalan dalam fikiran saya, apakah di dalam PAS hanya ada dua kategori manusia? Atau, hanya dua kategori manusia yang boleh jadi pemimpin? Samada dia ulama, atau dia profesional.

Dan apakah pula ciri-ciri seseorang yang boleh dipanggil ulama, dan ciri-ciri seseorang yang boleh dipanggil profesional? Siapa pula yang menentukan ciri-ciri tersebut? Orang seperti Mat Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub misalnya, termasukkah ke dalam salah satu kategori tersebut?

Saya tak mahu jawab soalan itu kerana saya macam dah keliru atau dikelirukan. Apakah manusia yang baik di atas dunia ini hanya dari golongan ulama dan profesional sahaja? Kalau bukan ulama dan bukan profesional, macamana? Tak baikkah? Atau tak boleh jadi manusia baikkah? Atau tak layakkah dia menjadi pemimpin walaupun dia memiliki ciri-ciri kepemimpinan yang nyata dan berkalibar?

Saya macam terkeliru dan merasa agak pelik dengan keghairahan kita menggunakan dua istilah tersebut untuk bercakap soal kepemimpinan. Samalah juga dengan terkeliru dan peliknya saya dengan keghairahan sesetengah pihak kita melihat umat Islam hari ini langsung di dalam kotak sunni atau syi’ah. Dan sunni itu pula dibahagikan lagi kepada syafie, maliki, hanafi, wahabi dan sebagainya.

Tak bolehkah kita melihat orang Islam itu sebagai orang Islam? Asalkan dia tidak melanggar hukum-hukum dan nilai-nilai Islam yang kita semua persetujui, seperti yang terdapat jelas di dalam al-Quran dan Hadis, kita terimalah dia sebagai Islam. Tak perlulah kita memperbesar-besarkan perbezaan di antara kita.

Yang suka memperbesar-besarkan perbezaan di kalangan kita, dan bersusah payah mengkategorikan kita ke dalam golongan itu dan golongan ini, dan kemudian menganjurkan pula pelbagai aktiviti bagi menonjolkan lagi perbezaan-perbezaan itu, siapa? Tentulah musuh kita, ‘kan? Apa tujuan mereka? Tentulah untuk memecah-belahkan kita, supaya kita menjadi lemah, dan terus lemah. Maka tak dapatlah kita hendak melawan mereka. Itu saja. ‘Kan!

Balik kepada topik wacana kita kali ini – ulama atau profesional yang layak memimpin PAS? Saya fikir kita tidak perlu merujuk kepada kategori mana seseorang itu boleh dimasukkan. Kita menerima Haji Abdul Hadi Awang bukan kerana dia dari kategori ulama atau profesional. Kita menerima TG Nik Aziz Nik Mat pun bukan kerana dia dari kategori ulama atau profesional. Kita menerima mereka kerana peribadi mereka yang kita kenal sebagai peribadi yang layak memimpin.

Seseorang itu menjadi peribadi yang layak memimpin bukan kerana dia seorang ulama atau seorang profesional. Dia layak memimpin adalah kerana ciri-ciri atau sifat-sifat kepemimpinan yang ada pada dia, yang boleh diterima oleh kebanyakan orang pada waktu itu. Tidak semestinya dia seorang ulama, dan tidak semestinya dia seorang profesional.

Kalau dia seorang petani biasa pun, bukan seorang profesional dan bukan seorang ulama, tetapi dia memiliki sifat-sifat kepemimpinan yang disukai oleh kebanyakan orang dan dipercayai dia paling layak memimpin umat pada waktu ini, lebih daripada mereka menyukai dan mempercayai ulama atau professional yang ada, maka dialah yang akan dipilih menjadi pemimpin.

Ahli-ahli PAS tentulah amat arif akan orang bagaimana yang mereka perlukan untuk memimpin mereka pada masa ini. Pedulikanlah apa yang mahu dikata dan dilaporkan oleh media yang pro-Umno itu. Mereka itu mencari-cari point atau sudut mana yang mereka boleh serang PAS, atau boleh menghasut orang-orang PAS.

Masalah hendak memilih pemimpin peringkat Timbalan dan Naib Presiden di kalangan PAS, memang ada. Tetapi masalahnya tidaklah sama seperti masalah yang terdapat di dalam Umno. Ini kita mesti ingat. Jangan kita terperangkap melayan permainan mereka itu, yang kalau boleh mereka nak jadikan masalah di dalam PAS pun sama dengan masalah di dalam Umno.

Dasar “kepimpinan ulama” di dalam PAS sudahpun diinstitusikan. Makanya ada Majlis Syura di dalam PAS, yang memang tidak ada di dalam Umno. PAS juga ada Dewan Ulama, yang juga tidak ada di dalam Umno. Jadi tidak perlu lagi ditimbulkan soal siapa yang lebih layak memimpin – ulama atau profesional.

Ahli-ahli PAS di seluruh negara sudahpun mencalonkan calon-calon pemimpin yang mereka fikir layak untuk dipilih dalam muktamar nanti. Ini proses biasa dalam demokrasi yang diamalkan PAS. Bukan untuk mencetuskan proses kempen yang boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan ahli.

Apa pun, kita perlulah sentiasa berhati-hati dengan dakyah dan hasutan pihak musuh. Lebih-lebih lagi pada waktu-waktu begini, ketika kita sedang berfikir untuk memilih pemimpin yang akan memimpin umat di zaman yang penuh pancaroba ini.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

Thursday, May 21, 2009



WARKAH TERBUKA KEPADA :
SELURUH PEMBACA KEDAHLANIE.BLOGSPOT.COM, PENYUMBANG BERITA DAN ARTIKEL, & ADMIN.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.



Salam hormat daripada saya di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Terlebih dahulu saya mengajak diri yang kerdil ini, seluruh pembaca, penyumbang berita dan blogger untuk memanjatkan rasa syukur kepada Allah s.w.t di atas nikmat dan rahmat yang dianugerahkan. Mari kita terus meningkatkan ketaqwaan kepadaNya, moga-moga kita semua beroleh keampunan dan keredhaan.

Saya telah mengikuti rapat bahan-bahan yang dipaparkan dilaman maya Kedahlanie berkaitan isu-isu Negeri Kedah, dan mengutip semua sumbangsaran yang dilontarkan, sama ada punya identity atau bersembunyi. Saya ambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih atas usaha anda semua.

Bagi undian prestasi Kerajaan Negeri Kedah, saya telah menganalisa semua komen berasaskan beberapa bidang dan kelompok, dan saya telah memanjangkannya kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar (MB) untuk tindakan selanjutnya.

Berkaitan isu tuntutan yang dikatakan melampau yang tidak dinyatakan tuan tubuh Exco yang terlibat, saya telah memaklumkan kepada MB dan beliau akan mengambil tindakan perlu untuk mengatasi perkara tersebut jika didapati wujud kes seperti yang didakwa. Tidak dapatlah saya nyatakan di sini bentuk tindakan dan siapakah individu tersebut. Kepada penulis yang menggunakan nama Penyiasat Persendirian diharap dapat menghubungi saya untuk penjelasan lanjut.

Berkenaan isu rumah Adun Merbau Pulas, saya telah berjumpa dan mendapatkan penjelasan beliau. Benar seperti yang dinyatakan oleh beberapa responder bahawa ruang tambahan itu adalah untuk dijadikan Pusat Khimat Wakil Rakyat (PKWR). Kos ubahsuai adalah antara RM35 – RM40 ribu sahaja daripapa wang simpanan beliau sendiri, wang pencen suami (Cikgu Ramli) dan duit kebun getah pusaka keluarganya.
Sebahagian daripada kos tersebut masih belum dibayar (berhutang) kepada pembekal (hardware) dan upah tukang, dianggarkan berjumlah RM17 ribu. Dakwaan bahawa kos yang melebihi RM80 ribu dari dana kerajaan yang diseleweng adalah tuduhan yang amat berat dam keterlaluan. Saya harap abudzaralghifari bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t dan daripada YB Adun Merbau Pulas, keluarga beliau dan seluruh pengundi beliau. Ingatlah penegasan Allah dalam Al_Quran “Sesungguhnya dosa memfitnah adalah lebih berat daripada membunuh”.

Beliau tahu pihak-pihak yang bertanggungjawab mereka-reka fitnah tersebut, dan anaknya menyimpan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki oleh dua orang yang mengambil gambar rumahnya pada hari tersebut. Laporan polis sedang dipertimbangkan untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

Saya secara pribadi amat berat untuk bertanyakan hal tersebut, dan jawapan beliau mengundang titisan air mata tanpa disedari. Memandangkan beliau memegang portfolio kebajikan, memberi sumbangan dari wang gaji, melawat, menziarah dan merasai pederitaan rakyat (seperti Adun-Adun lain), tidak dapat dielakkan lagi.
Hampir separuh daripada gaji dan elaun bulanan disumbangkan kepada masyarakat, PKWR dan parti, satu pertiga untuk perjalanan ulang-alik beliau ke pejabat di Alor Setar dan sebahagian kecil untuk diri dan keluarga beliau. Semuanya dibentangkan secara terperinci. Tidak dapat saya bayangkan kesukaran dan pengorbanan beliau untuk melaksanakan amanah yang dipikul, semoga semua itu dianugerahkan ganjaran kebaikan daripada Allah s.w.t.
Walaupun tidak ada baki untuk menjadi harta dunia untuk diwarisi anak-anak, beliau tetap bersemangat untuk terus berkhidmat dan menunaikan amanah yang amat berat itu. Marilah kita berdoa semoga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk meneruskan perjuangan mulia ini.

Saya amat berharap jawapan ini dapat menamatkan pergelutan maya dalam suasana politik yang serba terbuka di zaman ini. Anasir-anasir jahat pihak musuh perlu sentiasa diawasi, baik musuh itu berupa syaitan, jin, manusia, dan nafsu dalam diri.

Kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, saya menyeru agar kita dapat bersatu dan mendokong hasrat melahirkan sebuah negeri yang sejahtera, tempat berteduh orang miskin dan lemah yang terbela bersama orang kaya yang pemurah. Semoga usaha kita mendapat barakah dan hidayah daripada Allah s.w.t.

Sekian Terima kasih

Yang benar,

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
SETIAUSAHA POLITIK
YAB DATO’ SERI MENTARI BESAR KEDAH


SEMOGA YB TERUS BERSABAR, BERTAMBAH SEMANGATJUANG DAN DILIMPAHI RAHMAT... AMIN!!